Isnin, 31 Oktober 2011

Buang sifat manja, ayuh jadi pejuang!



BERSYUKURLAH kita dengan limpahan nikmat kemudahan pada zaman yang serba canggih dan moden ini. Jika kita tidak bersyukur jadilah kita orang yang kufur dan nikmat itu akan menjadi bala, malapetaka serta azab.
Raya sudah, merdeka pun sudah cuma orang yang meraikannya perlu bebas dari cengkaman penjajahan nafsu dan beraya pula setelah berpuasa dengan jiwa baru serta peribadi yang lebih berdisiplin hasil tarbiah Ramadan.

Hari raya adalah lambang perjuangan. Begitu juga dengan kemerdekaan yang kita miliki adalah hasil perjuangan.

Hidup ini perlu berjuang, berani hidup berani berjuang, berani berkorban, kalau tak berani berkorban jangan berjuang dan kalau tak berani berjuang berhentilah hidup.

Kali ini penulis mahu mengajak remaja untuk menjadi pejuang bukannya menjadi terlalu manja. Hidup bukan hanya menunggu tetapi memburu, hidup untuk memerhati bukan hanya ingin diperhati, hidup bukan menunggu bantuan tetapi kita yang membantu.
Hari ini remaja mula nampak terlalu manja. Semuanya perlu disediakan, disogok dan dihidangkan di depan mata. Mereka tidak reti hidup susah dan jika diuji dengan kesu�sahan mereka mula merungut dan bising.

Kalau panas sikit bising, kalau busuk sikit bising, belajar banyak sikit mula rimas. Mereka ingin semuanya ‘instant’ tanpa perlu bersusah payah.

Bila bekerja hendak cepat naik, lambat sikit kenaikan terus tukar kerja, kalau kerja berat sikit cari kerja lain, kena tegur cepat melenting dan terus berhenti kerja.

Anak remaja pula pantang dimarah. Apabila ditegur mudah benar keluar rumah, cikgu marah sikit sudah tak nampak muka di sekolah, ada yang ponteng atau tukar sekolah.

Yang buat perniagaan nak cepat kaya hingga tak kira pula cara dan proses mendapatkannya. Kena pujuk sikit sudah cepat lupa walaupun menjadi alat kepada sindiket antarabangsa gara-gara hendak senang dan seronok, walaupun sudah banyak kali di laporkan berita di akhbar.

Artis dan penyanyi mahu cepat popular dan terkenal kerana masing-masing sudah meletakkan sasaran tetapi yang salahnya sanggup melakukan apa saja bukan kerana bakat atau dan kebolehan yang dimilikinya.

Orang politik pun terkena juga kerana mahu cepat masuk ‘ranking’. Cara lama ada tapi lambat. Sebenarnya bukan semua yang terbabit tetapi ia sudah nampak parah.

Nak salahkan mereka 100 peratus memang tidak boleh dan tak patutlah. Mereka memang terdidik dalam budaya cepat atau ‘instant’ berkenaan.

Lihatlah sekarang, hendak kirim berita tidak perlu ke pejabat pos lagi kerana sudah cukup dengan menghantar sms atau e-mail. Jumpa kawan sekarang hanya membuka laman sosial facebook, hendak tahu berita dunia tidak perlu ke kedai membeli akhbar kerana semuanya hanya di hujung jari.

Malah membeli-belah juga ada yang tidak perlu bersusah payah pergi pusat membeli-belah kerana semuanya menerusi pembelian secara online atau kad kredit barang boleh sampai terus ke pintu rumah.

Segala kecanggihan yang sedang kita nikmati hasil perahan tenaga dan daya juang berfikir yang tidak pernah kenal erti penat lelah.

Kita tahu semua ini bukan lahir sekelip mata seperti Aladdin dengan lampu ajaibnya. Kita tak tahu mungkin beribu kali mereka gagal ketika proses menterjemah impian di hati dan fikiran kepada realiti teknologi.

Sebagai pengguna kita hanya mengguna benda mati ini untuk membantu kita hidup tetapi mereka yang hidup hatinya berfikir bagaimana nak menghidupkan fikiran dan kreativiti setelah menggunakan benda mati ini.

Sedarlah bahawa kejayaan dan pencapaian itu ada masa dan ‘edahnya’. Hendak jadi doktor pakar ada edahnya, nak jadi akauntan ada tempoh masanya, nak jadi jurutera ada perlu masanya, nak jadi seorang ulama dan pendakwah apatah lagi sangat memerlukan masa dan ketekunan ilmu serta kefahaman.

Kemanjaan memang naluri percintaan dan kasih sayang tetapi jiwa pejuang jangan tidak boleh sangat dimanjakan sebab orang yang manja tidak boleh di ajak berjuang.

Kepada orang tua, didiklah generasi kita mengenai proses untuk mendapatkan sesuatu dan dari situ barulah mereka sedar dan faham sejarah terjadinya sesuatu.

Nabi Muhammad s.a.w melalui proses amat getir sebelum mencipta kecemerlangan.
Kalau kita jumpa orang-orang hebat mereka tidak bercerita mengenai harta, pangkat, sanjungan yang dimiliki tetapi mereka berkisar mengenai susah payah mereka mendaki ke puncak.

Orang manja hanya ingin diperhati bukannya memberi perhatian.

Yang manja-manja hanya mahu dihargai bukannya menghargai, mudah memberi kritikan tetapi tidak ada aksi. Buangkan sifat manja dan buktikan kita bersiap sedia bekerja untuk agama bangsa dan negara.

RUJUKAN..........

Tiada ulasan:

Catat Ulasan