Sabtu, 19 Februari 2011

ELAUN GURU TAKMIR DINAIKKAN SELURUH NEGARA

Guru takmir berperanan besar pertahankan agama
SUMBER:UTUSAN http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0219&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_09.htm



Jamil Khir Baharom (kiri) bersalaman dengan sebahagian guru takmir selepas menyampaikan khutbah dan menunaikan solat Jumaat di surau PWTC, Kuala Lumpur, semalam.





KUALA LUMPUR 18 Feb. - Kesemua 3,692 guru takmir di masjid-masjid seluruh negara diminta supaya bekerjasama dengan kerajaan dalam menyampaikan wadah perjuangan Islam seterusnya mempertahankan kesucian agama itu serta negara daripada sebarang ancaman.



Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, usaha gigih serta berterusan oleh golongan itu bakal memberikan impak besar terhadap usaha pemeliharaan kesucian agama Islam dan kedaulatan negara ini.



Katanya, peranan guru-guru takmir juga semakin penting ketika ini iaitu sewaktu negara melalui proses pembangunan yang disertakan dengan senario politik yang berubah-ubah.



Justeru katanya, para guru takmir di seluruh negara perlu menyerap semangat yang ada dalam diri Nabi Muhammad SAW yang tetap berdiri teguh ibarat Gunung Uhud ketika mempertahankan Islam sewaktu hayat baginda.



"Dalam perkembangan yang ada di Malaysia, apatah lagi senario politik yang sedang berkembang, ia memerlukan kita (guru takmir dan umat Islam) untuk mempunyai ketajaman pemikiran," katanya.



Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Multaqa Guru Takmir Seluruh Malaysia di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.



Seramai 788 guru takmir hadir pada program tersebut.



Sebagai rekod, guru takmir merupakan golongan ustaz yang memberikan tazkirah di masjid serta surau di seluruh negara terutama selepas solat Maghrib dan Jumaat. Perjawatan itu diwujudkan kerajaan di bawah agensi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sejak 25 tahun lalu.



Jamil Khir menambah, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM32 juta pada tahun ini sebagai pengisian kepada program-program takmir di masjid serta surau seluruh negara.



Terdahulu, beliau membacakan khutbah Jumaat di Surau Al Rahman di PWTC kepada kira-kira 3,000 jemaah termasuk 788 guru takmir yang mengikuti program 'multaqa' mereka di situ.



Antara lain, beliau menyentuh tentang sifat terpuji Nabi Muhammad yang amat mengutamakan kebajikan serta menyayangi umatnya dalam memperjuangkan agama Allah.



"Sayangilah anak-anak murid yang anda ajar di masjid serta surau di seluruh negara umpama bagaimana sayangnya Nabi Muhammad terhadap umatnya," katanya dalam khutbah tersebut.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan