Isnin, 20 Jun 2011

Pak Uda meninggal dunia

Pak Uda meninggal dunia


Muzakir Al-Bukhari Ahmad Yamashita terlalu sedih sehingga menitis air mata pada hari kematian datuknya, Zami Ismail, semalam. – utusan/Aswad Yahya


KUALA LUMPUR 19 Jun – Pelakon dan pelawak veteran terkenal, Zami Ismail, 67, atau lebih dikenali sebagai Pak Uda, meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) hari ini selepas mengalami masalah jantung.
Tonggak sitkom bersiri televisyen Pi Mai Pi Mai Tang Tu itu meninggal dunia pada pukul 10.35 pagi selepas tujuh hari dirawat di IJN.
Anak kedua Allahyarham, Ahmad Yamashita, 38, berkata, bapanya dimasukkan ke IJN ketika hadir untuk membuat pemeriksaan jantung pada 12 Jun lalu.
Menurutnya, ketika itu bapanya ditahan di wad untuk dilakukan pembedahan jantung, namun akibat tekanan darah dan diabetis, beliau kemudian dipindahkan ke Unit Rawatan Koronari (CCU).
“Selepas empat hari berada di CCU, pagi ini bapa menghembuskan nafas terakhir dengan ditemani lapan daripada sembilan anak-anaknya.
“Walaupun beliau tidak mengalami penyakit yang serius sebelum ini tetapi kami sekeluarga reda dengan pemergiannya,” katanya kepada pemberita di IJN di sini, hari ini.
Pak Uda meninggalkan isteri, Hanizan Ibrahim, 57, sembilan anak termasuk pelakon Opie Zami dan 13 orang cucu.
Jenazah Zami telah dikafan dan disembahyangkan di bilik mayat IJN sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Jalan Tapah, Perak, selepas solat Asar hari ini.
Anak Allahyarham, Ahmad Yamashita memberitahu, jenazah bapanya dikebumikan di Tapah atas permintaan Allahyarham yang meninggalkan pesanan tersebut kira-kira 15 tahun lalu.
“Bapa pernah meminta supaya beliau dikebumikan di kampung halamannya di Tapah. Oleh itu, kami menunaikan hajat terakhirnya itu,” katanya.
Kehilangan Pak Uda turut dirasai anak kepada Ahmad Yamashita iaitu Muzakir Al-Bukhari, 11, yang dilihat menangis berseorangan.
Muzakir Al-Bukhari ketika ditemui memberitahu, dia sedih selepas kehilangan insan yang selalu berjenaka dan sering keluar bersiar-siar dengannya.
“Kami berdua selalu keluar dan sangat rapat, tapi hari ini atuk telah meninggal dunia dan ia bererti saya kehilangannya untuk selama-lamanya,” katanya.
Pak Uda turut berlakon hampir 20 filem termasuk dua filem yang belum ditayangkan iaitu Husin Mon dan Jin Pakai Toncit dan Shh..Dia Datang dan pernah memenangi anugerah Pelakon Komedi Terbaik dalam Festival Filem Malaysia Ke-9 pada tahun 1991.
Jenazah pelakon komedi terkenal itul selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pekan Kecil Tapah Road, Tapah, Perak selepas solat Asar petang ini.

RUJUKAN.............

Tiada ulasan:

Catat Ulasan