Selasa, 28 Jun 2011

Gambar lucah di surah Yasin

 Kebesaran Allah yang hanya dapat dilihat hanya dengan mata hati

Kita sekali lagi dikejutkan dengan peristiwa yang tidak sepatutnya berlaku di negara yang tercinta ini. Ketika agama Islam di berikan pandangan yang berat sebelah dengan Islamphobianya, kesucian Agama yang benar ini sekali lagi dikotori dengan kes yang berlaku di Masjid Negeri Pulau Pinang.

Persoalannya ialah siapakah yang tergamak melakukan perkara yang terkutuk jauh dari norma-norma perilaku perbuatan manusia yang bersih dan suci jiwanya serta nilai kemanusiaanya? Tepuk dada tanyalah iman. Kita meminta kepada mereka yang tergamak melakukan perkara seumpama ini bersedialah menerima pembalasan daripada Allah swt sekiranya dia tidak menyesal dan bertaubat dengan kadar yang segera. 

Penghinaan ayat-ayat suci Allah swt ini sememangnya diluar kotak pemikiran manusia yang rasional. Hakikatnya Allah mengetahui siapakah yang sebenar beriman dan siapakah mereka yang talam dua muka munafik juga musang berbulu ayam.

Firman Allah swt dalam surah Al 'Ankabut ayat 11:

11.  Dan Sesungguhnya Allah benar-benar mengetahui orang-orang yang beriman: dan Sesungguhnya dia mengetahui orang-orang yang munafik.

 Tidak pernah kita mendengar kejadian itu yang menimpa Bibel mahu pun Taurat atau Talmud atau kitab suci agama lain...namun sekali lagi al Quran dihina sebegitu rupa tanpa mereka sedar akan perbuatan itu diperhatikan setiap langkah dan degupan jantung si pembuatnya Allah juga yang Maha Mengetahui dan mengira. Kehebatan CCTV  Malaikat 2 penjaga Raqib wa Atid telah menulis di kitab catatan amalannya untuk di pamerkan nanti di mahsyar sana.

Insaflah wahai mereka yang melakukan perkara itu, akan nyawa kita yang tidak sepanjang mana serta kekuatan kita pun tidak sekuat apa. Malaikat maut sentiasa mengintai-ngintai akan masa yang sesuai dengan perintah Allah swt datang menjemput kita pulang mengadapnya.
 
 Firman Allah swt dalam surah As Sajadah ayat 11:


11.  Katakanlah: "Malaikat maut yang diserahi untuk (mencabut nyawa)mu akan mematikanmu, Kemudian Hanya kepada Tuhanmulah kamu akan dikembalikan."

Tidak ada apa yang mahu diluahkan melainkan kita berserah kepada Allah Azzawajalla akan perbuatan yang dahsyat itu akan terbongkar dan bermohon restu agar agama ini tidak akan terus dipermainkan lagi.
wallahu'alam

Gambar lucah di surah Yasin

GEORGETOWN: Seorang pengawal keselamatan Masjid Negeri di Jalan Air Itam yang berhasrat membaca surah Yasin sebelum solat Asar di masjid itu petang kelmarin, terkejut apabila menemui gambar lucah diselitkan dalam surah Yasin.
Lebih mengejutkan, dalam kejadian jam 4.30 petang itu, pengawal berusia 30-an itu menemui 11 gambar lucah yang diselitkan dalam 11 naskhah surah Yasin di salah satu rak dalam dewan utama masjid berkenaan.

Imam Besar masjid itu, Yusuff Ahmad berkata, setiap satu surah Yasin yang bukan dicetak pihak masjid itu mengandungi gambar lucah memaparkan pelbagai aksi pasangan warga asing melakukan hubungan seks.
Katanya, surah Yasin berkenaan diletakkan di salah satu rak di pintu masuk utama masjid dan ia berbeza dengan surah Yasin yang dicetak jawatankuasa masjid itu.

“Selepas menemui gambar lucah dalam surah Yasin itu, pengawal keselamatan terbabit memberitahu tok siak masjid sebelum memaklumkan kepada kami.

“Saya percaya ada individu tidak bertanggungjawab melakukan perbuatan ini dan saya sedih serta kesal kerana mereka sanggup menghina rumah Allah swt,” katanya.

Yusuff berkata, perbuatan itu sangat memalukan dan lebih membimbangkan kejadian berlaku sehari sebelum kehadiran Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin ke negeri itu semalam.

Beliau berkata, Tuanku Mizan dijadual menunaikan solat Jumaat di masjid itu.
Menurutnya, di kawasan masjid itu tiada kemudahan kamera litar tertutup (CCTV) dan hanya ada pengawal keselamatan.

“Berikutan kejadian ini, kami membuat laporan di Balai Polis Kampung Baru, Jalan Air Itam pada jam 5.27 petang hari sama untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abd Rahim Jaafar berkata, pihaknya akan melakukan siasatan melalui laporan yang diterima dan menyifatkan perbuatan itu mencemarkan imej masjid dan kesucian agama Islam

SUMBER..............

Tiada ulasan:

Catat Ulasan