Khamis, 10 Mac 2011

PENJUAL RAJA-RAJA PART 5


Pada masa itu Al Saleh berada di luar Dimsyik. Apabila berita ini sampai kepadanya, baginda terus mengeluarkan arahan memecat Al Izz dari jawatan khatib dan mufti Damsyik serta mengarahkan supaya Al Izz ditangkap. Beliau menerima perlucutan jawatannya itu dengan tenang dan sedia berkorban demi menegakkan kebenaran dan mencegah kemungkaran. Setelah dibebaskan dari penjara, Al Izz mengambil keputusan keluar dari Damsyik dan menuju ke Al Quds, Palestin. Kemudian tiba pula Al Saleh Ismail bersama tentera Salibiyyah yang dalam pejalanan menuju ke Mesir.




Ketika berada di Quds, baginda menghantar seorang wakil untuk bertemu Al Izz serta memujuknya agar datang mengadap Sultan dan mencium tangannya. Sekiranya beliau berbuat demikian, akan dikembalikan kepada beliau jawatan asalnya. Al Izz dengan tegas menjawab :

“ Wahai si miskin! Aku sekali-kali tidak meredhai beliau mencium tanganku, bagaimana pula aku sanggup mencium tangannya.”

Utusan itu menjawab : “Jika tuan tidak menerima cadangan ini tuan akan ditangkap kembali.”

Al Izz menjawab: “ Buatlah apa yang kamu suka.”

Lalu Al Izz pun ditangkap kembali dan dikurung di dalam sebuah khemah yang berhampiran dengan khemah yang di diami oleh Sultan dan ketua tentera Salibiyyah.



Pada waktu malam terdengarlah suara Al Izz mengalunkan bacaan ayat-ayat suci al Quran dan zikir-zikir. Ketika itu Al Saleh Ismail memberitahu ketua Salibiyyah bahawa inilah ulama’ yang ditangkap kerana enggan bekerjasama dengan baginda.

“Beliau ditangkap demi kepentingan kamu”, ceritanya dengan bangga.

Ketua tentera Salibiyyah itu sebaliknya menjawab : “Kalaulah ulama’ ini di dalam agama kami, kami akan basuh kakinya dan meminum air basuhan tersebut”.

Selepas itu datanglah tentera Ayyub dari Mesir lalu mengalahkan tentera Al Saleh Ismail dan sekutunya Salibiyyah. Akhirnya Al Izz dibebaskan dan dibawa ke Mesir.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan