Khamis, 10 Mac 2011

Malaysia larang sebar Syiah

Oleh Syuhada Choo Abdullah dan Faiza Zainudin
bhnews@bharian.com.my
2011/03/10

Tindakan tegas diambil elak fahaman menular, pengaruhi umat Islam

KUALA LUMPUR: Pengikut ajaran Syiah di negara ini boleh mengamalkan fahaman itu tetapi tidak dibenar menyebarkannya kepada pengikut Ahli Sunnah Wal-Jamaah, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.
Katanya, pengamalan fahaman itu tidak disekat selaras peruntukan Perlembagaan Persekutuan bahawa rakyat bebas mengamalkan ajaran agama di negara ini.
Beliau berkata, larangan juga dilakukan secara berhati-hati kerana bukan semua ajaran Syiah bertentangan pegangan mazhab ahli sunnah.

“Bagaimanapun, pada masa sama, mereka (pengikut fahaman Syiah) tidak dibenar menyebarkan ajaran ini kepada orang lain,” katanya menjawab soalan tambahan Nasharudin Mat Isa (PAS-Bachok) di Dewan Rakyat, semalam.

Setakat ini, Jamil Khir berkata, enam negeri sudah mewartakan larangan terhadap penyebaran fahaman Syiah, iaitu Pulau Pinang, Terengganu, Selangor, Wilayah Persekutuan, Negeri Sembilan dan Melaka.

Katanya, pengikut fahaman Syiah bukan hanya membabitkan ahli akademik, malah meliputi ahli politik termasuk difahamkan ada yang dari parti pembangkang.
Justeru, beliau berkata, kerajaan melakukan pemantauan dari semasa ke semasa bagi mengelakkan sebarang pertentangan atau pertembungan tanpa disedari.

Terdahulu menjawab soalan asal Datuk Ismail Mohamed Said (BN-Kuala Krau), Jamil Khir berkata dalam menjaga keharmonian dan sensitiviti beragama di kalangan rakyat majmuk di negara ini, kerajaan mengambil pendekatan berhemah melalui semangat Perlembagaan di mana pengikut agama Islam dan agama lain bebas mengamalkan ajaran mereka.

“Namun bagi memastikan ajaran selain ahli sunnah yang diamalkan di Malaysia tidak menjejaskan keselamatan negara, kerajaan membuat pencegahan awal dengan membendung penyebarannya daripada terus menular dan mempengaruhi umat Islam di negara ini.

“Di samping itu, kerajaan negeri yang bertanggungjawab secara langsung dalam hal-ehwal agama sudah membuat usaha menjaga kesucian ahli sunnah supaya tidak tergugat,” katanya.

Beliau berkata, antara usaha dilakukan ialah menyebarluaskan fatwa mengenai larangan penyebaran fahaman Syiah kepada masyarakat, dan mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang melanggar peruntukan undang-undang, khususnya di negeri yang sudah mewartakan kesalahan penyebaran ajaran Syiah.

Sumber: http://www.bharian.com.my/bharian/articles/MalaysialarangsebarSyiah/Article

Tiada ulasan:

Catat Ulasan