Jumaat, 3 Disember 2010

Nikmat syurga, hakikat neraka

Nikmat syurga, hakikat neraka




Oleh ZUARIDA MOHYIN-utusan online



DALAM surah al-Mukminun ayat 1 hingga 11 Allah SWT berfirman yang bermaksud: Sesungguhnya berjayalah orang yang beriman. (Iaitu) orang-orang yang khusyuk dalam solatnya, dan orang-orang yang menjauhkan diri daripada (perbuatan dan perkataan) yang tiada berguna, dan orang-orang yang menunaikan zakat, dan orang-orang yang menjaga kehormatannya, kecuali terhadap isteri-isteri mereka atau hamba yang mereka miliki; maka sesungguhnya mereka dalam hal ini tiada tercela. Sesiapa yang mencari di sebalik itu maka mereka itulah orang-orang yang melampaui batas. Dan orang-orang yang memelihara amanah-amanahnya (yang dipikulnya) dan janjinya. dan orang-orang yang memelihara solatnya. Mereka itulah orang-orang yang akan mewarisi, (yakni) yang akan mewarisi syurga Firdaus. Mereka kekal di dalamnya.



Motivasi yang tidak ada tolok bandingannya dalam kita berusaha memperoleh tiket meraih syurga Firdaus, iaitu manusia perlulah beriman dan memenuhi tujuh perkara berikut:



lKhusyuk dalam solat



lMenjauhkan diri daripada perbuatan dan perkataan yang sia-sia



lMenunaikan zakat



lMenjaga kemaluan



lMemelihara amanah-amanah yang dipikul



lMemegang janji dan



lMemelihara solat.



Mungkin tujuh perkara di atas nampak mudah namun untuk mempraktikkannya perlu kepada kesungguhan dan disiplin. Pun begitu, setiap sesuatu itu ada jalan penyelesaian dan jawapannya. Malah sesuatu kejayaan itu datang dalam diri individu itu sendiri.



Namun pernahkah kita bayangkan jika sekiranya syurga dan neraka itu tidak ada? Adakah manusia mahu sujud kepada Allah? Barangkali wajar kita kemukakan pertanyaan ini.



Ini kerana ramai manusia di atas muka bumi ini yang beribadat kepada Allah kerana menginginkan syurga dan takutkan neraka.



Syurga dan neraka ibarat hitam putih kehidupan yang menunjukkan kebaikan dan keburukan. Kehidupan setiap manusia berakhir sama ada di syurga ataupun di neraka.



Ibnu Umar melaporkan, Nabi Muhammad SAW bersabda: Apabila seseorang daripada kamu meninggal dunia, diperlihatkan kepadanya di waktu pagi dan petang tempat tinggalnya nanti iaitu neraka ataupun syurga dan dikatakan kepadanya, "Inilah tempat tinggal engkau, kelak engkau dihantar ke sana." (riwayat Imam Bukhari)



Namun sejauh manakah kita memanfaatkan dan menghayati erti syurga dan neraka yang sebenar. Adakah semata-mata kerana ganjaran syurga dan takut pada seksaan api neraka, kita tunduk patuh kepada perintah Allah atau disebabkan keikhlasan kita sebagai hamba-Nya yang beriman.



Buku Andai Syurga & Neraka Tidak Ada cuba membicarakan tentang hakikat ibadah dalam kehidupan seorang Muslim.



Buku terbitan PTS Millennia Sdn. Bhd. pastinya menguji sejauh mana kita menginginkan ganjaran syurga dan neraka. Ia juga menyingkap hikmah di sebalik semua peristiwa yang berlaku di sekeliling kita melalui amalan-amalan yang kita lakukan.



Lantaran itu, keinginan dan kesungguhan dalam melakukan ibadah perlu berlandaskan keikhlasan tanpa mengharapkan balasan.



Dalam buku ini juga, ada merangkumi kisah ahli syurga, nikmat-nikmat syurga, azab neraka serta panduan mempersiapkan diri menjadi orang berakhlak mulia. Malah ia turut menjawab persoalan-persoalan mengenai ahli syurga dan siapakah yang mendapat ganjaran syurga.



Bersamalah kita singkap hikmah dan tauladan di sebalik andaian sekiranya syurga dan neraka tidak ada sebagai landasan bagi sebuah kehidupan yang lebih bermakna di dunia dan di akhirat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan