Jumaat, 3 Disember 2010

Berucap di depan khalayak dengan berani

ARKIB : 19/04/2004-utusan online




Berucap di depan khalayak dengan berani

TAHUKAH anda bahawa tahap kekhuatiran untuk mempersembahkan pidato di khalayak ramai adalah lebih tinggi iaitu 70 peratus berbanding kegentaran untuk bertemu kekasih?



Dan latar belakang beberapa tokoh ternama seperti Winston Churchill dan Franco Mitterand sewaktu mula belajar berpidato menunjukkan mereka turut mengalami tahap kebimbangan yang sama.



Malah jutawan filem, Stephen Spielberg yang begitu hebat dengan idea-ideanya adalah seorang yang amat penakut untuk berhadapan dengan khalayak ramai.



``Sesetengah orang mampu berpidato tapi malu, sesetengah lagi tak tahu berpidato tapi muka tak malu.'' Itu adalah pandangan Datuk Ahmad Zahid Hamidi yang dilontarkan dalam prakata buku ini.



Anak kelahiran Bagan Datoh, Perak ini percaya bahawa kemahiran berpidato bukan didorong oleh faktor keturunan, jauh sekali ia muncul secara semula jadi.



Sebaliknya, beliau yakin keterampilan berpidato boleh diasah dan digilap melalui latihan serta pemerhatian yang mesti dilakukan secara berterusan.



Sebab itulah menurut penulis buku ini ada kalangan ahli politik yang kaku ketika menyampaikan pidato politik berjaya mengatasi kelemahan tersebut menerusi latihan serta pemerhatian.



Kata-kata Ahmad Zahid itu bukan andaian atau teori semata-mata. Mengakui pertuturannya agak gagap ketika berada di sekolah rendah, penulis dibimbing oleh bapanya sendiri mengenai keterampilan berpidato.



Segala-galanya bermula ketika beliau berusia kira-kira lapan tahun apabila bapanya, seorang mudir di sebuah sekolah agama, kerap membawa beliau mendengar ceramah Yang Dipertua Pas, Hassan Adli.



Kesempatan itu digunakan oleh Ahmad Zahid untuk menimba pengetahuan mengenai keterampilan berpidato walaupun dalam usia yang masih mentah. Minat beliau itu semakin mendalam apabila kerap diajak oleh bapanya untuk menghadiri majlis ihtifal di sekolah bapanya.



``Semasa ihtifal saya tengok orang bersyarah dan berbahas hinggakan menambah minat saya untuk berpidato walaupun ketika itu bakat untuk berucap di khalayak ramai memang tidak ada,'' katanya.


Rentetan dari itu, Ahmad Zahid mencuba nasib menyertai pertandingan syarahan ketika berusia sembilan tahun dalam keadaan gagap sehingga beliau sendiri tidak tahu apa yang disampaikan.



Menyedari kelemahannya itu, penulis meningkatkan latihan berpidato sehingga beliau mampu membina keyakinan diri dan berjaya dalam beberapa pertandingan yang disertainya.



Beliau juga tidak bersetuju apabila ada pihak yang mendakwa bahawa keterampilan berpidato adalah faktor keturunan.



``Kita jangan menyangka kerana bapanya pandai berpidato anak-anak juga mahir berbuat demikian.



``Ini terbukti pada diri saya sendiri apabila hanya seorang daripada lima anak saya yang boleh berpidato manakala yang lain-lain tidak,'' katanya.



Seperti semua orang sedia maklum, orang politik pantang dapat mikrofon, sekali mikrofon dalam genggaman memang payah mereka nak berhenti. Ahmad Zahid turut dikuasai minat yang sama.



Rahsia



Kebolehan orang politik menyampaikan pidato politik sebenarnya didorong oleh banyak faktor dan rahsia. Menurut penulis ada juga orang politik yang hanya jaguh berpidato di peringkat kampung atau daerahnya, sebaik melangkah ke arena nasional atau antarabangsa, mereka kaku.



Menyedari bahan rujukan mengenai pidato politik di negara ini terlalu kurang, Ahmad Zahid mengambil kesempatan mengetengahkan ilmu serta petua pada dirinya untuk dikongsi.



Beliau yang tidak kedekut berkongsi pengalaman menyusun satu persatu persediaan serta kaedah berpidato yang pasti dapat membantu orang politik terutama yang masih muda.



Bukan setakat menyentuh mengenai bagaimana menyediakan bahan untuk berpidato, penulis turut menghuraikan keperluan pengawalan emosi serta lenggok badan yang diperlukan ketika berpidato supaya para hadirin tidak bosan.



Penulis turut menggunakan bahan-bahan penyelidikan ketika membuat Sarjana Komunikasi Korporat di Universiti Pertanian Malaysia (UPM) untuk melengkapkan lagi inti pati buku ini.



Etika berpidato turut diketengahkan bagi memberi panduan kepada para pemidato supaya mereka tidak terkeluar dari landasan-landasan berpidato.



Penulis turut melampirkan perbahasan politik beliau di Dewan Rakyat yang membantu pembaca belajar kaedah menyediakan bahan.



Dalam lampirannya itu penulis yang menyertakan teks lengkap perbahasan menunjukkan contoh pembukaan pidato, permulaan isi, penghujahan dan memperluaskan hujah.



Penulis turut memuatkan contoh kertas kerja yang dibentangkan pada seminar politik yang pasti mendatangkan kaedah serta format yang berbeza sedikit daripada pidato politik.



Sesuatu yang menarik mengenai buku ini ialah kesempatan penulis menyelitkan kata-kata hikmah beberapa pemimpin terkenal satu muka surat sebelum bermulanya sesuatu bab.



Petikan-petikan menarik oleh Dr. Mahathir Mohamad, Soekarno, Martin Luthor King, Hamka dan Fidel Castro mempunyai maksud serta nilai tersendiri yang pasti mampu dihayati oleh para pembaca.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan