MOTIVASI
UPAH YANG DITERIMA, AMANAH DILAKSANA
OLEH:
Tuan Abd.Ghani bin Yusof
( Pensyarah Kolej Matrikulasi Pulau Pinang dan Pakar Motivasi MODID )
PROGRAM TAFAQQUH FIDDIN PERDANA GURU-GURU TAKMIR NEGERI PULAU
PINANG 1432 H/ 2010 M
BAHAGIAN PENGURUSAN MASJID DAN SURAU
JABATAN HAL EHWAL AGAMA ISLAM PULAU PINANG\
PENGENALAN :
Isu berkaitan integriti dan amanah adalah isu nasional yang sering dibincangkan secara serius. Penjawat awam memikul tugas dan amanah yang besar dalam menggerakkan organisasi masing-masing. Tidak dinafikan bahawa majoriti dari kita sememangnya telah dan sedang melaksanakan tugas yang diamanahkan dengan penuh rasa tanggungjawab dan penuh integriti. Namun , hanya `kerana nila setitik ,rosak susu sebelanga `.Itulah pepatah yang boleh kita selitkan disini kerana tidak semua dari kita bersikap amanah dan berintegriti tinggi. Ada sebilangan kecil dari penjawat awam atau orang yang dipertanggungjawabkan melaksanakan sesuatu tugas, melaksanakannya secara sambil lewa,tidak serius,kurang komitmen atau dalam kata `tidak amanah`.
Dalam hal ini , para guru agama atau guru takmir masjid juga tidak terlepas daripada berhadapan isu ini. Sememangnya majoriti dari kita telah cuba melaksanakan tugas yang diamanahkan dengan sebaik mungkin, namun masih ada segelintir dari kita melaksanakannya secara kurang serius,tiada komitmen dan tidak konsisten. Inilah yang dikatakan`kerana nila setitik,rosak susu sebelanga`.
Disini,penulis ingin mengajak kita semu membuat `refleksi diri` atau `muhasabah diri`, sejauhmanakah peranan yang telah kita ambil untuk memperbaiki diri kita,kualiti pengajaran kita,perbetulkan niat kita dan keberkesanan kaedah yang kita gunakan dalam penyampaian kita. Dengan penganjuran program tafaquhfiddin ini sedikit sebanyak dapat memperingatkan kita kembali tentang tanggungjawab dan amanah yang sedang kita pikul ini.
ISU BERKAITAN UPAH:
Upah kalau dirujuk kepada kamus dewan ia membawa kepada pengertian sejenis bayaran saguhati yang diterima sebagai balasan apa yang telah kita berikan atau sebagai saguhati kepada perkhidmatan yang telah diberikan. Upah juga boleh dinamakan sebagai gaji atau imbuhan dalam konteks yang lebih luas.
Sememangnya, upah memainkan peranan yang penting dalam menggerakkan motivasi seseorang untuk melaksanakan sesuatu kerja. Adalah mustahil atau tidak masuk akal, jika ada dikalangan kita sanggup melaksanakan sesuatu tugas secara tetap dan berterusan tanpa menerima apa-apa ganjaran,upah,komisen atau gaji. Jika ada sekalipun yang sebegitu ikhlas sifatnya, namun jumlahnya adalah terlalu kecil.
Namun apa yang menjadi pokok persoalannya disini ialah sejauhmanakah, setimpalnya bayaran upah yang diterima, berbanding dengan tugas yang telah dilaksanakan. Ada dikalangan kita yang begitu gigih dan komitmen dalam menyampaikan ilmu . tahniah diucapkan. Maka upah dan ganjaran yang diterima adalah cukup sepadan dengan perkhidmatan yang telah diberi.Alhamdulillah.
Didalam kelompok guru-guru agama dan guru takmir yang cukup ramai itu, terselit guru-guru agama dan guru takmir yang hanya menerima tugasan mengajar hanya semata-mata kerana ganjaran dan upah yang dijanjikan. Kualiti pengajaran dan penyampaian ilmunya pada anak-anak muridnya berada pada tahap yang kurang memuaskan atau dalam kata lain, tidak sepadan dengan bayaran yang diberi.
Dimanakah silapnya ? Kurang penghayatan tentang konsep amanah ? Mungkin sebahagian besar dari kita memang cukup faham dengan nilai `amanah` tapi penghayatannya kurang. Atau, sebahagian dari guru-guru takmir merasakan ini hanyalah tugas fardhu kifayah yang mana semua orang perlu memainkan peranan.
Apapun alasan yang diberi, konsep upah dan amanah ini perlu dinilai kembali dan diberi `penjenamaan semula` atau `re-branding` supaya apa yang kita hasratkan mencapai matlamatnya. Adalah tidak adil jika kita menerima bayaran dan menggunakan hasil bayaran itu untuk membiayai` penghidupan `kita,tetapi dalam waktu yang sama kita telah abaikan amanah yang telah kita pikul selama ini,iaitu menyampaikan ilmu kepada umat islam yang sedia maklum memang dahagakan ilmu agama.
INTEGRITI DAN AMANAH DALAM MENYAMPAIKAN ILMU :
Hanya orang yang berkemampuan dari segi ilmu agama sahaja bersedia dan menerima tanggungjawab untuk menyampaikan ilmu agama dimasjid-masjid . Orang yang berkelulusan agama sahaja yang mempunyai `kapasiti` untuk menyampaikan ilmu berkaitan farhu ain,muamalat,ibadah,feqah,tauhid,hadis,ulum quran dan lain-lain cabang ilmu agama.Tidak kiralah dari mana institusi pengajian tinggi yang pernah kita diami, yang pentingnya penguasaan ilmu agama itu sendiri. Tidak semua dari kita punyai latar belakang ilmu agama. Maka dibahu guru takmir masjidlah, terpikulnya tanggungjawab ini.Kalau bukan guru takmir siapa lagi ?
Atas sebab inilah perlunya ada konsep amanah,ikhlas dan `integriti` dalam menyampaikan ilmu agama. Bukan upah yang menjadi `keutamaannya` tetapi `nilai ilmu` itulah yang patut kita utamakan. Upah itu adalah hanya sekadar saguhati diatas khidmat para guru takmir diatas kesudiannya meluangkan masa untuk menyampaikan ilmu. Betul ! Upah itu adalah `penggerak` atau `pemangkin` untuk menyuntik semangat kita selaku guru takmir dalam menyampaikan ilmu, tapi janganlah ia menjadi `prioriti`dalam tugas yang diberi.
Secara umumnya mengajar itu dilakukan dalam tiga kaedah ( mengikut pendapat ulama muktabar ):
Pertama: dengan tujuan untuk beribadah saja, dan tidak mengambil upah.
Kedua : mengajar dengan mengambil upah.
Ketiga : mengajar tanpa syarat, dan jika ia diberikan hadiah ia menerimanya
Maka guru –guru takmir masjid berada dalam kategori yang kedua. Maka upah yang diterima perlu selari dan sepadan dengan bayaran yang diterima.
Sifat amanah secara sepintas lalu nampak seolah-olah suatu yang `abstrak` ( tidak dapat dilihat dan nilai ),tapi sebenarnya ianya boleh dinilai dan diukur. Lihatlah kepada kesungguhan kita, persediaan kita, komitmen kita,penjagaan masa kita dan apa juga yang berkaitan dengan kualiti diri kita sebagai guru takmir,maka itulah yang boleh dijadikan sebagai `penanda aras` atau `benchmark` kepada nilai amanah yang kita pegang dalam menyampaikan ilmu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan