Rabu, 22 September 2010

SEMAK STATUS PERADUAN

gambar hiasan


ARKIB : 21/09/2010-UTUSAN ONLINE



Satu temubual bersama Tuan Hj. Razali bin Shahabudin, Pengarah Bahagian Perancangan Dan Penyelidikan JAKIM telah diadakan untuk membincangkan isu peraduan-peraduan di Malaysia. Manusia hakikatnya sukakan harta. Harta dalam surah Ali Imran di mana harta menjadi satu perhiasan yang nampak cantik apabila dipandang. Maka banyak perkara untuk mendapatkan harta. Antaranya menyertai peraduan. Di sini kita mahu mengetahui peraduan yang dibenarkan dan tidak dibenarkan dalam Islam.



gambar hiasan

Semak status peraduan

Mega: Apakah hukum asas dalam menyertai peraduan yang diadakan sama ada menerusi media massa atau pihak lain?



RAZALI: Secara asasnya, hukum asal bagi pertandingan dan peraduan adalah harus. Para ulama fiqh telah sepakat menyatakan hukum ini. Antaranya al- Kasani, Ibn Qudamah menyatakan dalam kitab- kitab kerangan mereka.



Para ulama ini berhujah dengan firman Allah SWT yang maksudnya: dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh Yang menceroboh) Segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan dan dari pasukan-pasukan berkuda yang lengkap sedia, untuk menggerunkan dengan persediaan itu musuh Allah dan musuh kamu serta musuh-musuh Yang lain dari mereka yang kamu tidak mengetahuinya; sedang Allah mengetahuinya, dan apa sahaja yang kamu belanjakan pada jalan Allah akan disempurnakan balasannya kepada kamu, dan kamu tidak akan dianiaya. (al-Anfal: 60)



Ketika menghuraikan ayat ini, Imam al- Mawardi telah menyatakan arahan menyediakan kekuatan untuk berperang tidak akan sempurna melainkan dengan adanya latihan dan pertandingan.

gambar hiasan


Oleh yang demikian, secara umumnya, pertandingan adalah suatu yang harus dan dibenarkan oleh agama selagi tidak bercanggah dengan prinsip asas Islam.



Syarat-syarat yang saya maksudkan adalah antaranya seperti berikut:



a) Peraduan tersebut mestilah peraduan yang bermanfaat contohnya menguji minda, peraduan yang mengajak orang ramai cintakan ilmu dan sebagainya.



b) Peraduan tersebut mestilah tidak membawa kepada kelekaan contohnya sehinggakan meninggalkan perintah wajib iaitu solat dan seumpamanya



c) Peraduan tersebut mestilah tidak boleh mempunyai sebarang unsur judi dan bertenung nasib.



gambar hiasan


Dalam ayat 90 surah al-Maidah, Allah mengharamkan judi dan mengundi nasib. Soalnya, apakah unsur-unsur yang membawa kepada judi dan bertenung nasib dalam peraduan yang perlu dielakkan?



RAZALI: Seperti yang saya nyatakan sebelum ini, hukum asal bagi peraduan ataupun pertandingan adalah diharuskan dalam Islam. Walaubagaimanapun keharusan ini diikat dengan syarat-syarat yang tertentu iaitu mestilah tidak mengandungi apa jua elemen yang bercanggah dengan prinsip-prinsip Islam.



Jika peraduan tersebut mempunyai unsur perjudian dan mengundi nasib maka secara automatik hukumnya adalah haram. Oleh yang demikian, unsur judi dan tenung nasib inilah yang perlu dielakkan dalam sebarang peraduan yang mahu dianjurkan.



Persoalannya, bagaimana kita boleh mengenal pasti sesuatu peraduan tersebut mengandungi unsur judi atau tidak? Suka saya merujuk Garis Panduan Peraduan Berasaskan Hadiah, Jakim yang telah diperakukan oleh Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan dalam sidangnya kali ke- 84 bertarikh 15 Disember 2008.



Perkara 6.1 (i)



a) Penganjur tidak boleh mengenakan apa- apa caj atau yuran kepada peserta sebagai bayaran pendaftaran untuk menyertai peraduan yang dianjurkan bagi mengelakkan wujudnya unsur- unsur perjudian dan pertaruhan.



Ulasan: Maknanya sebarang peraduan yang mengenakan caj sebagai bayaran pendaftaran sebagai syarat untuk menyertai peraduan adalah mengandungi unsur pertaruhan dan judi. Peraduan seumpama ini mesti dielakkan.



Perkara 6.1 (ii)



b) Tiada sebarang caj tambahan boleh dikenakan kepada peserta peraduan contohnya caj kos pengurusan, caj ke atas setiap set soalan peraduan dan seumpamanya.



Ulasan: Maknanya sebarang peraduan yang mengenakan caj tambahan kepada peserta contohnya untuk mendapatkan soalan peraduan mesti membayar sejumlah wang terlebih dahulu sebagai syarat, maka kaedah ini juga mempunyai unsur judi yang mesti dielakkan.



Perkara 6.1 (iii)



c) Jika peraduan dianjurkan melalui telefon dan seumpamanya, pihak penganjur tidak boleh menaikkan caj perbualan telefon dan khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada caj semasa bagi mengelakkan wujudnya unsur perjudian.



Ulasan: Mana-mana peraduan menerusi SMS atau memerlukan untuk membuat panggilan telefon contohnya peraduan melalui radio atau TV, di mana penganjur menaikkan kadar caj semasa SMS atau telefon tersebut, maka ini juga mempunyai unsur judi yang diharamkan oleh agama.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan