Selasa, 7 September 2010

HARI RAYA EIDUL FITRI 1431 H-ADAKAH KITA BETUL-BETUL BERUBAH?


Alhamdulillah, syukur kepada Allah SWT kita menyambut Ramadhan dan InsyaAllah Hari Lebaran dengan penuh keamanan dan kemakmuran. Jauh dari bencana alam, peperangan, kekacauan atau pun kebuluran. Nikmat Allah SWT ini merupakan cerminan kepada kita bahawa kurniaanNya kalau dihitung kepada kita makin bertambah bukan makin berkurangan di tanah air yang kaya dan makmur bahagia ini.

Jesteru pengisian bagi menghadapi 1 Syawal bukan hanya tertumpu kepada baju baru, cat rumah baru, perabot baru, kuih-muih dan menu beraneka hidangan bagi santapan lahiriah atau fizikal. Yang terpenting adalah jiwa dan rohani kena diperbahuri juga dengan azam, niat dan tekad menjadi hamba Allah SWT yang bertaqwa. Tidak cukup semua yang terhidang didepan mata itu baru tetapi sikap dan akhlak kita masih lama. Terutama tahap pemikiran kita yang perlu ditajdid (diperbahurui).

Media arus perdana di kaca TV sekali lagi perlu sedar akan peranan mereka dalam membantu perubahan minda masyarakat terutamanya masyarakat Islam. Rata-rata rumah di negara kita disamping melayan tetamu pasti akan memasang TV sepanjang hari. Namun amat menyedihkan kerana kita masih tidak mahu  berubah atau tidak menghayati Ruh Ramadhan yang telah berlalu. Kita amat terkejut kerana senarai deretan tajuk filem "hantu" atau bergenre seram memenuhi rancangan yang akan ke udara sepanjang musim perayaan ini. Bagaimana ini boleh berlaku? Adakah kita kekeringan filem yang boleh membina jati diri dan sayangkan negara? Tiadakah lagi program yang bercorak kesedaran dan keagamaan yang menunjukkan perpaduan umat Islam? Apalah kiranya kita menayangkan kes pembungan bayi kerana ianya menjadi isu utama arus perdana dari menayangkan hiburan 100 peratus hingga tenggelam punca? Apakah rasionalnya tayangan filem seram pada hari raya ini?

Kesemua persoalan ini membuatkan kita terfikir sama ada kita sedang betul ber"hari raya" atau menjadi "hantu raya"?Perkara ini amat serius kerana hari raya merupakan umat Islam merayakan hari kemenangan melawan hawa nafsu selama sebulan dan melahirkan graduan TAQWA untuk 11 bulan yang akan datang. Kita berasa sungguh hampa dengan sajian media pada hari raya yang tidak menyokong anjuran agama ini apatah lagi untuk menyokong gagasan 1 Malaysia oleh YAB Perdana Menteri.

Masih lagi kita diselubungi misteri nusantara, mengapa filem seram banyak ditayangkan untuk santapan masyarakat. Berbeza dengan perayaan kaum lain yang tidak ada filem seram semasa perayaan mereka? Mengapa?

Soalan-soalan ini perlu kepada jawapan yang bijak demi membangunkan minda masyarakat kita. Akhirnya sama-samalah kita bermuhasabah demi untuk berubah. Tuhan Tidak Akan Merubah Nasib Sesuatu Kaum Melainkan Kaum Itu Yang Merubahnya.

selamat Hari Raya Adilfitri 1431 H dari warga Takmir Pulau Pinang. Maaf Zahir Batin
Minal 'aaedin wal faaezin!

1 ulasan:

  1. kerana iman keluar masuk dan senantiasa dihasut syaitan 24 jam

    BalasPadam