Khamis, 29 November 2012

Berdakwah di alam maya

Berdakwah di alam maya


Noor Bahyah Mahamood (kiri) bersama suami, Wan Akashah Wan Abdullah (dua dari kiri) beramah mesra bersama peminat mereka.
ACAP kali apabila seseorang itu bergelar selebriti, nama mereka sering kali dikaitkan dengan laman sosial seperti Facebook, Twitter dan sebagainya.

Laman sosial itu, sama ada diwujudkan oleh mereka sendiri atau peminat telah menyebabkan hampir setiap masa, segala aktiviti termasuk status dan post selebriti itu telah memberikan pengaruh yang besar kepada orang ramai.

Malah para pendakwah termasuk para ustaz dan ustazah turut tidak terlepas daripada tempias laman sosial. Malah terdapat peminat mereka turut mendirikan fan pages bagi mengumpulkan rakan dan menganjurkan aktiviti sesama mereka.

Bagaimanapun para pendakwah tidak mengunakan peluang itu untuk mencari keuntungan atau mencari publisiti, tetapi menggunakan kesempatan tersebut untuk menyebarkan ajaran Islam.

Tidak terkecuali bagi tokoh pendakwah terkenal, Datuk Noor Bahyah Mahamood yang mempunyai laman facebook sejak 2010 .

Katanya, laman yang dikendalikan oleh beliau sendiri sedikit sebanyak telah memberi manfaat kepada masyarakat.

Bukan sahaja aktiviti beliau hampir setiap hari diperhatikan oleh masyarakat tetapi gerak geri suaminya, Wan Akashah Wan Abdullah dan empat cahaya mata mereka juga mengalami nasib sama.

"Saya menggunakan peluang ini untuk menunjukkan contoh tauladan yang baik kepada masyarakat bahawa Islam sebuah agama indah dalam membimbing keluarga dengan penuh kasih sayang dan harmoni.
"Biar masyarakat dapat mengambil contoh terbaik yang wujud dalam keluarga saya, semoga segala kebaikan yang diambil itu mendapat berkat dan ganjaran daripada Allah SWT," kata Noor Bahyah.

Selain gambar aktiviti keluarga dimuatkan dalam facebook, beliau turut menghebahkan program ceramah kepada umum supaya orang ramai dapat turut menyertai aktiviti tersebut.
"Biarpun terdapat keburukan pada Facebook, namun kebaikannya tidak boleh dinafikan. Peluang itu wajar digunakan pendakwah untuk mempelbagaikan platform saluran ilmu. Dakwah bukan sahaja di masjid atau surau, tetapi di mana-mana," ujar beliau lagi.

Sejuta peminat

Tiada lafaz boleh diungkapkan melainkan ucapan syukur kepada Allah selepas Facebook Noor Bahyah berjaya mengumpul sejuta peminat selepas beliau menunaikan solat Isyak pada 29 September lalu.

"Alhamdulillah, tujuan untuk menyampaikan mesej dakwah kepada masyarakat melalui Facebook akhirnya tercapai dengan kejayaan tersebut.

"Jelas menunjukkan ayat-ayat al-Quran, potongan hadis dan kata-kata hikmah serta doa-doa harian yang dipaparkan dalam laman Facebook mendapat maklum balas positif," ujarnya.

Beliau berkata, teknologi canggih dalam menyebarkan maklumat dengan pantas dan berkesan amat sesuai dalam menyebarkan dakwah kepada masyarakat termasuk bukan beragama Islam.

Sebahagian besar peminat beliau adalah terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat berusia antara 18 hingga 34 tahun.

"Peminat dari Malaysia mencatat jumlah sebanyak 900,000 seterusnya India berjumlah 20,000 dan diikuti Perancis, Britain, Amerika Syarikat, Yaman, Australia, Arab Saudi, Jepun, Pakistan, Sri Lanka, Bahrain dan lain-lain.

"Kalau di negara ini, masyarakat bandar, khususnya di Kuala Lumpur mencatat peratusan peminat yang tinggi berbanding kawasan lain. Ini menunjukkan bahawa kesibukan bekerja dalam kalangan warga kota, tidak menghalang mereka untuk melayari mesej dakwah di facebook saya," ujar beliau.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan