Pedoman pengsyariatan haji
ALHAMDULILLAH, kita mengucapkan syukur kepada Allah SWT kerana diberikan peluang oleh-Nya untuk sekali lagi dapat menjejakkan kaki ke bulan haji. Bagi mereka yang sudah berlepas ke Mekah untuk menunaikan haji, semoga dapat memperoleh haji mabrur dan dapat mengambil kesempatan berada di sana untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT dan dapat meningkatkan keyakinan terhadap Islam sebagai agama yang benar.Ibadat haji adalah merupakan salah satu rukun Islam yang lima dan diwajibkan ke atas umat Islam yang berkemampuan dan memenuhi syarat-syaratnya untuk mengerjakannya.
Firman Allah SWT: Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadah haji dengan mengunjungi Baitullah, iaitu sesiapa yang mampu berkuasa sampai kepadanya. Dan sesiapa yang kufur (ingkar akan kewajipan ibadah haji itu), maka sesungguhnya Allah maha kaya (berhajatkan sesuatu pun) daripada sekalian makhluk. (Ali-Imran: 97)
Berdasarkan kepada nas di atas, maka para ulama telah bersepakat mengenai ibadah haji yang mesti ditunaikan sekali seumur hidup bagi mereka yang berkemampuan. Seandainya seseorang itu berkemampuan, tetapi enggan menunaikan ibadah tersebut, maka dia akan mendapat dosa daripada Allah SWT.
Perlu difahami, bahawa Allah SWT mewajibkan sesuatu ibadah itu kepada hamba-hambanya kerana ia mempunyai hikmah dan kelebihannya yang tersendiri. Antara kelebihan ibadah haji ialah sebagai medan untuk membersihkan diri daripada dosa yang telah dilakukan selama ini, sama ada sedar atau tidak.
Mereka yang pergi menunaikan haji dengan penuh keimanan dan ketakwaan kepada Allah SWT, akan mendapat keampunan daripada Allah SWT. Ini sebagaimana yang disabdakan oleh Baginda Rasulullah SAW daripada Abu Hurairah ra: Sesiapa yang mengerjakan haji ke Baitullah dengan tidak melakukan perkara-perkara keji dan tidak berbuat fasik, maka dia suci daripada dosa-dosanya, seolah-olah dia kembali pada hari dilahirkan oleh ibunya. (riwayat Al-Bukhari)
Ibadah haji juga dapat mendidik jiwa dan mentarbiah keperibadian seseorang Muslim itu agar sentiasa berada dalam ketaatan kepada Allah SWT. Hakikat ini dapat dilihat dengan pensyariatan beberapa ibadah lain dalam Islam seperti solat dan puasa.
Begitu juga yang berlaku terhadap ibadah haji, di mana keseluruhan amalan yang dilaksanakan adalah merupakan proses pentarbiahan terhadap anggota jasad dalam mentaati perintah Allah SWT.
Pakej pentarbiahan ini bukannya ciptaan manusia, sebaliknya ia merupakan modul tarbiah yang secara terus dicipta oleh Allah SWT yang semestinya tidak mempunyai kelemahan.
Sebelum seorang hambanya berniat untuk menunaikan haji, mereka dibenarkan untuk memakai apa jua pakaian yang menutup aurat. Tetapi setelah mereka berniat di miqat yang ditentukan, maka hanya pakaian yang tertentu sahaja yang dibenarkan untuk dipakai.
Begitu jugalah yang berlaku kepada amalan-amalan lain, yang pada asalnya dihalalkan sebelumnya, tetapi bertukar menjadi haram sewaktu mula dalam ihram. Contohnya mencabut tumbuh-tumbuhan, menyembelih binatang, menggunting rambut, menjalin hubungan antara suami dan isteri dan sebagainya. Bukankah segalanya ini menguji tahap kesabaran seseorang itu dalam mentaati Allah?
Selain itu, ibadah haji merupakan sebesar-besar peringatan yang mengingatkan orang-orang Islam tentang sejarah para Nabi yang terdahulu, terutamanya kisah keluarga Nabi Ibrahim as. Semangat berkorban yang ditunjukkan oleh Nabi Ibrahim dan keluarganya demi memartabatkan agama Allah SWT sepatutnya tersemai dalam hati sanubari kita apabila berada di sana.
Di dalam kitab Al-Bidayah Wannihayah jilid pertama, karangan Imam Al-Hafiz Ibnu Kathir menceritakan detik ketika mana isterinya Hajar ditinggalkan dan dibiarkan berada di lembah tersebut lantas ia berkata kepada suaminya: "Allahkah yang memerintahkan kamu untuk berbuat demikian? Jawab Ibrahim: Ya, lalu isterinya berkata: Oleh itu Allah SWT tidak akan mensia-siakan kami." Lihatlah, betapa agungnya pengorbanan yang dilakukan oleh mereka.
Antara hikmah lain, ibadah haji merupakan perhimpunan umat Islam dari seluruh dunia. Mereka berhimpun tanpa mengira warna kulit, kedudukan, pangkat dan sebagainya. Mereka berzikir dengan ungkapan dan bahasa yang serupa. Laungan takbir, tahlil dan tahmid meniti di bibir mereka. Oleh kerana ajaran Islam tertegak atas dasar kasih sayang sesama umatnya, maka syariat seumpama ini diwujudkan.
Justeru, sudah tiba masanya untuk kita melakukan sesuatu supaya beroleh keampunan dan rahmat daripada Allah SWT. Terlalu banyak nikmat yang dianugerahkan kepada kita, lantas mengajak agar kita bersyukur kepadanya. Ramadan telah pun berlalu, kini menjelang pula program haji yang penuh dengan beberapa pengajaran dan teladan yang perlu diselami.
Jikalau dahulu para Nabi dan Rasul teguh dalam melaksanakan misi dan amanah yang diberikan kepada mereka tanpa banyak bicara, maka marilah kita bermuhasabah kembali setakat mana amanah yang telah diberikan dalam syarikat, keluarga dan masyarakat dapat dipikul dengan sebaiknya.
Pengorbanan yang ditunjukkan oleh Nabi Ibrahim as dan anaknya Ismail as sudah cukup menjadi bukti tentang kesabaran dan ketakwaan mereka berdua. Bagaimana pula kita? Apakah pengorbanan yang telah kita curahkan untuk meraih saham di akhirat? Sudahkah kita bersedia untuk bertemu dengan Allah yang Maha Esa? Sebanyak manakah amalan yang telah kita himpunkan untuk mendapat reda daripada-Nya?
Marilah kita renungkan bersama. Semoga pengsyariatan ibadah haji ini akan memberikan banyak faedah kepada kita sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: Supaya mereka menyaksikan berbagai perkara yang mendatangkan faedah kepada mereka. (al-Hajj: 28)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan