Sumber baru bumi Gaza
Sebelum itu, saya yang berada dalam kumpulan terakhir daripada tiga kumpulan misi, terpaksa bermalam di sebuah bandar pelancongan tepi Laut Mediterranean, El Arish, Mesir.
El Arish merupakan bandar yang menjadi perhentian terakhir sebelum anggota misi masuk ke Gaza.
Terletak di Semenanjung Sinai, Mesir kedudukannya ialah kira-kira 50 kilometer dari Rafah yang merupakan sempadan Mesir-Gaza.
Dalam hati saya, walaupun Gaza hanya tinggal beberapa kilometer sahaja dari El Arish, sangkaan awal pastinya ia tidak seindah El Arish. Rupa-rupanya gambaran itu jauh meleset dan terpaksa menarik balik kata-kata itu.
Semenanjung Gaza, terutama Bandar Gaza itu setanding El Arish malah jauh lebih menawan hati.
Tidak sahaja memiliki keindahan alam semula jadi yang sama, iaitu pesisiran pantai Laut Mediterranean tetapi pasir pantainya putih, lebih bersih, lebih segala-galanya.
Pemandangan yang hampir sama seperti berada di kawasan pertanian tanah tinggi Cameron Highlands.
Cili tumbuh subur
Di sepanjang tepi pantai di Bandar Gaza, pepohon cili dipenuhi cili-cili bersaiz besar, merah menyala dan hanya menunggu masa untuk dipetik, hidup subur dalam cuaca yang sangat panas.
Subhanallah, inilah yang sering diperkatakan bahawa Gaza adalah bumi yang penuh keberkatan, waima bumi anbia ini ditimpa pelbagai ujian berat.
Bahkan, bukan perkara baru dikatakan Gaza dikurniakan Allah SWT dengan bermacam-macam kelebihan yang menyebabkan Israel ingin merampas tanah-tanah di situ.
Anggota rombongan Aqsa2Syarif8 sempat dibawa ke sebuah ladang pertanian moden di selatan Gaza, iaitu berdekatan dengan Rafah dikenali sebagai Muhrrarat Hitteen (bermaksud Tanah Kebebasan) yang dahulunya pernah dirampas oleh rejim Israel sebelum bebas 2005. Kawasan itu juga pernah di jajah oleh tentera Salib selama hampir 100 tahun dan berjaya dirampas semula oleh pahlawan Islam terkenal, Salahuddin Al Ayyubi dalam Peperangan Hittin.
Apabila kawasan lain terpaksa menggunakan bekalan air yang bersumberkan air laut, tetapi tidak di Taharrat Hitteen.
Sebanyak tujuh perigi mata air dalam tanah yang dimusnahkan dan ditimbus oleh pihak Israel sebelum mereka meninggalkan kawasan itu, berjaya ditemui dan telah mengembalikan kawasan subur itu untuk penduduk Gaza.
Ini menjadikan kawasan yang pada pandangan mata kasar merupakan sebuah padang pasir yang luas dan tandus tetapi tersembunyi di dalamnya akan emas-emas 'putih', iaitu sumber bekalan air bersih.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan