Mendepani gejala murtad
Pendidikan akidah secara berterusan dapat menjadi benteng kepada gejala sosial dan masalah murtad dalam kalangan umat Islam. Akidah dalam basa Arab menurut Kamus Dewan Edisi Ketiga dapat difahami sebagai kepercayaan, keyakinan yang kuat kepada Allah.
Manakala murtad dapat difahami sebagai perbuatan orang yang telah mengucap dua kalimah syahadat , atau orang yang keturunan Islam kemudian melakukan sesuatu yang menyebabkan kekafiran. Seperti sujud kepada berhala secara sukarela. Menghinakan sesuatu yang dilarang oleh Allah S.W.T, seperti nama-nama Allah S.W.T, sifat-sifat Allah S.W.T, al-Quran, hadis, hukum syarak, rasul-rasul dan sebagainya.
Sesungguhnya seperti dalam kalimah syahadat, "Tiada tuhan melainkan Allah dan Nabi Muhammad S.A.W adalah utusan atau pesuruh Allah," merupakan sumber kesatuan umat Islam. Apabila seseorang mengucapkan kalimat ini dan dia tidak melanggarnya, maka sejak waktu itu dia merupakan bahagian yang tidak dipisahkan daripada umat Islam.
Oleh itu, dengan sendirinya orang-orang yang masih berada di luar Islam, mereka tidak termasuk bahagian daripada umat Islam ini. Tokoh Islam, Said Hawwa menjelaskan bahawa, orang yang menyatakan dirinya masuk Islam akan pasrah dan mengarahkan dirinya hanya kepada Allah S.W.T, mengikut petunjuk-petunjuk Rasulullah S.A.W yang bererti dia telah menyatakan dirinya untuk terus mengabdi kepada Allah S.W.T dan dengan sendirinya terbebas daripada segala macam bentuk pengabdian kepada yang lain.
Kesatuan akidah sangat penting bagi menghindarkan seseorang daripada unsur-unsur yang membawa kepada murtad. Selain itu, akidah juga boleh menjadi benteng kepada segala ancaman gejala sosial pada masa kini, khususnya kepada kalangan remaja dan generasi muda.
Kita memahami bahawa, semua manusia diciptakan oleh Allah SWT dan sebagai umat Islam adalah untuk beribadat kepada-Nya. Allah SWT berfirman yang bermaksud: Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka mengabdi kepada-Ku. (adz-Dzaariyaat: 56)
Mengabdikan diri bermaksud beribadat kepada Allah SWT dan tidak kepada yang lain. Bagi makhluk yang ingkar dan tidak patuh, sudah tentulah akan mendapat balasan daripada-Nya.
Justeru, Nabi SAW bersabda yang bermaksud: "Umat terdahulu selamat (jaya) kerana teguhnya keyakinan dan zuhud. Manakala umat terakhir kelak akan binasa kerana kebakhilan (harta dan jiwa) dan cita-cita yang kosong." (Ibnu Abi Ad dunia).
Lantaran itu, pendidikan akidah adalah teras penting untuk menanamkan keyakinan kepada manusia terhadap keesaan Allah dengan mengabdikan diri kepada-Nya, menjadi insan soleh yang mendekatkan diri kepada Allah dan merealisasikan segala tujuan hidup di dunia ini.
Oleh itu, dalam mempelajari akidah, ibu bapa dan guru perlu mengaplikasikan kaedah pengajaran supaya anak-anak atau pelajar lebih menghayati tujuan mempelajarinya. Pendidikan akidah adalah teras penting yang perlu dididik kepada seseorang sejak seseorang itu masih kecil lagi.
Imam al-Ghazali menegaskan, pendidikan akidah ini menjadi asas kepada keimanan dan keyakinan manusia terhadap keesaan Allah yang merupakan asas kepada segala ilmu. Menurutnya, "Mencintai dan mengamalkan ilmu adalah tanda kecerdasan dan disukai Allah. Barang siapa yang keluar rumahnya dengan niat untuk mencari ilmu, nescaya dilindungi Allah sampai dia kembali.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan