Penulisan sejarah dalam Islam
Salah satu peninggalan ilmu terpenting dalam Islam ialah penulisan sejarah atau historiografi. Sejak pertengahan abad kedua, penulisan sejarah, baik riwayat hidup Nabi Muhammad SAW mahupun maklumat lain telah dimulakan oleh para penulis Islam.Salah satu karya terkenal adalah Sirah Ibnu Ishaq karya Muhammad bin Ishaq bin Yasar (m. 768) yang kemudian disemak oleh Ibnu Hisyam (m. 833). Buku ini lebih dikenali dengan nama Sirah Ibnu Hisyam.
Sebagai tokoh yang istimewa di kalangan pengikutnya, Nabi Muhammad SAW menjadi pusat tumpuan penulis Islam. Riwayat hidup baginda telah dimulakan oleh para ahli hadis sejak pengumpulan tutur kata dan perbuatan Nabi Muhammad (hadis).
Inilah pengasas historiografi Islam. Daripada penulisan riwayat hidup ini, penulis Islam beranjak kepada penulisan riwayat hidup para sahabat, tabiin dan generasi selanjutnya.
Penulisan ini menjadi salah satu cabang ilmu terpenting dalam perbahasan hadis. Para ulama hadis menyebutnya sebagai ilm al-Rijalatauilmu yang menjelaskan riwayat hidup perawi hadis.
Tarikh
Orang Arab menyebut sejarah dengan kata tarikh (Tarikh). Penulis pertama yang menggunakan istilah tarikh untuk penulisan sejarah ialah Ibnu Jarir al-Tabari (839-923), sejarawan dari Baghdad.
Beliau menamakan bukunya Tarikh al-Umamwa al-Muluk (Sejarah Bangsa dan Raja). Karya al-Tabari ini merupakan buku sejarah pertama yang ditulis secara menyeluruh.
Penulis sejarah selepas itu terhutang budi kepada al-Tabari bukan hanya kerana mereka menggunakan buku itu sebagai rujukan, malah turut menggunakan kaedah historiografi al-Tabari.
Abdur Rahman Al-Jabarti
Pada era moden, penulisan semula sejarah Islam dilakukan oleh beberapa cendekiawan dari Timur Tengah dan Asia Selatan. Di Mesir, gerakan penulisan sejarah dimulakan sejak abad ke-18, seiring dengan gerakan kebangkitan intelektual di Negara itu.
Sejarawan pertama Abdul Rahman al-Jabarti (1753-1822) melalui bukunya Aja'ib al-Athar (Jejak Ajaib), lebih banyak menumpukan pada penulisan sejarah Mamluk dan jatuh bangunnya kerajaan Islam sehingga kemasukan penjajah Perancis ke Mesir.
Karya Sejarah penting lain adalah Tarikh al-Tamaddun al-Islami (Sejarah Peradaban Islam) yang ditulis oleh Jurji Zaidan (1861-1914) dan trilogi sejarah Islam, Fajr al-Islam, Duha al-Islam dan Zuhr al-Islam yang ditulis oleh Ahmad Amin.
Kitab Muqaddimah
Antara karya sejarah yang paling penting dan terkenal ialah Kitab al-'IbarwaDiwan al-Mubtada' wa al-Khabar fi Ayyam al-'Arab wa al-'Ajamwa al-Barbar karya Ibnu Khaldun yang terdiri daripada tujuh jilid. Kitab ini lebih dikenali dengan nama pendeknya Muqaddimah (Pengantar Umum).
Muqaddimah sebenarnya merujuk kepada pengantar bagi keseluruhan kitab Ibnu Khaldun itu. Kitab ini juga dianggap sebagai falsafah sejarah. Dalam buku tersebut Ibnu Khaldun juga menjelaskan teori dan metodologi penelitian sejarah secara sistematik dan menyeluruh.
Kemuncak kejayaan
Kemuncak penulisan sejarah dalam Islam adalah pada abad ke-7 dan ke-8 H. Puluhan buku sejarah yang tebalnya menyamai ensiklopedia pada era moden, ditulis oleh beberapa orang ilmuwan Islam seperti al-Kamil fi al-Tarikh (Sejarah Lengkap) karya Ibnu Asir (1160-1233), Mu'jam al-Buldan (Kamus Negara) karya Yaqut al-Hamawi (1179-1229; sejarawan dari Iraq) dan al-Bidayah wa al-Nihayah (Permulaan dan Akhir) karya Ibnu Khathir (1300-1373).
RUJUKAN: UTUSAN MALAYSIA...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan