Selasa, 25 September 2012

Kursus Komitmen Imam Masjid Kariah Negeri Pulau Pinang

Kursus Komitmen Imam Masjid Kariah Negeri Pulau Pinang

Bahagian Kemajuan Islam, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang telah mengadakan Kursus Komitmen Imam Masjid Kariah Negeri Pulau Pinang pada 18 hingga 20 September 2012 bertempat di Hotel Rainbow Paradise, Tanjung Bungah, Pulau Pinang. Seramai 100 orang peserta yang terdiri daripada imam-imam Masjid Kariah dari 6 buah daerah di Pulau Pinang telah menghadiri majlis tersebut. Program ini telah dirasmikan oleh Dato’ Haji Sazali bin Hussein, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang. Pengarah Bahagian Kemajuan Islam JAKIM, Tuan Haji Zainal Abidin bin Jaffar turut hadir dan menyampaikan ucapan aluan dalam majlis perasmian.
 
Program ini telah memfokuskan beberapa isu semasa yang berkaitan dalam pengurusan masjid. Antara pengisian program yang telah dilaksanakan ialah Etika dan Integriti Imam oleh SS Dato’ Seri Hassan bin Ahmad, Mufti Pulau Pinang, Isu Semasa Negara dan Isu Penyalahgunaan Masjid dan Surau di Malaysia oleh Dato’ Mohd Sofian bin Mat Makinudin, Timbalan Pengarah Cawangan Khas PDRM Bukit Aman, Kaedah Pengurusan Masjid dan Surau Pulau Pinang oleh Tuan Haji Ayob bin Yaacob, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pengurusan Masjid, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang, Peranan Imam dalam Merawat Gejala Sosial Yang Mengancam Keharmonian Negara oleh Ustaz Mohd Ajib bin Ismail, Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Kemajuan Islam, JAKIM dan, Tuan Haji Mohd Rijal bin Ghazali Imam Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin yang telah membincangkan tajuk Penyampaian Khutbah Berkesan dan Tahsin Qiraat.
 
Majlis penutupan program ini telah disempurnakan oleh Tuan Haji Mohd Sofian bin Mat Ludin, Penolong Pengarah Unit Imam Bahagian Kemajuan Islam JAKIM dan Tuan Haji Imran bin Ibrahim, Pegawai Takmir Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang turut hadir menyampaikan amanat kepada para peserta.
 
Kerjasama yang terjalin antara pihak JAKIM dan JHEAIPP serta komitmen yang tinggi yang diberikan dalam menjayakan kursus tersebut  telah memberi hasil yang positif kepada panganjur dan peserta dalam meningkatkan komitmen dan kualiti imam dalam memainkan peranan sebagai pemimpin utama dalam masyarakat.



sumber...........

Tiada ulasan:

Catat Ulasan