Sesama Yahudi berebut kuasa
SETELAH berhari-hari melakukan kepungan, Kota Khaibar dengan benteng pertahanan berlapis-lapis memang terlalu sukar untuk ditembusi dan ditawan oleh tentera Islam.Walaupun tekanan demi tekanan diberikan, termasuk tentera Islam menjadi korban pertama dalam perang itu, namun Kota Khaibar tetap gagal dikuasai.
Selaku pemimpin tentera, Rasulullah sendiri sentiasa mencari jalan menakluki kota Khaibar meskipun baginda telah diwahyukan bahawa perang itu menjanjikan kemenangan kepada seluruh umat Islam.
Pada masa sama, penduduk Yahudi kota Khaibar sendiri mengalami krisis atau pergolakan yang hebat, khususnya di kalangan pemimpin mereka.
Ia bermula dengan ketua mereka yang merupakan penduduk asal Khaibar, Uzair bin Rizam dibunuh oleh pembantu kepada Ketua Yahudi Bani Nadhir, Huyay bin Akhtab, iaitu Sallam bin Misykam.
Huyay telah dihukum bunuh bersama-sama dengan semua kaum lelaki Yahudi Bani Quraizah dalam peristiwa selepas Perang Khandaq.
Sallam bin Misykam membunuh Uzair kerana marah dan tidak berpuas hati dengan layanan berat sebelah pemimpin Yahudi Khaibar itu terhadap para pelarian Bani Nadhir.
Mereka hanya dibenarkan bermalam di dalam kota. Sedangkan pada sebelah siangnya terpaksa berada di luar kota selain terpaksa membayar cukai yang tinggi kepada Uzair.
Niat jahat
Namun Sallam tetap berusaha mengajak Uzair memerangi dan merampas kembali Madinah daripada orang Islam. Beliau mahu Madinah dikembalikan sebagai Yathrib dengan pihak Yahudi Bani Nadhir menguasai terutama ekonomi dan perniagaan di kota tersebut.
Namun Uzair enggan kerana selama ini pihak Islam tidak pernah memberi masalah dan menganggu kedudukan Yahudi di Kota Khaibar.
Namun setelah melihat sendiri kedudukan Kota Khaibar yang sangat strategik dan mempunyai pelbagai keistimewaan terutama kubu dan benteng pertahanan yang sangat kuat dan lengkap dengan peralatan senjata yang canggih pada masa itu, iaitu manjanik, pelantik besar yang dapat menyekat kemaraan musuh, sekali gus dapat menghancurkan musuh, menyebabkan Sallam menyimpan niat jahat untuk mengambil alih kekuasaan di Kota Khaibar.
Sallam akhirnya berjaya membunuh Uzair secara senyap-senyap. Kematian Uzair tanpa diketahui angkara siapa itu menimbulkan kegemparan di kalangan para pengikutnya, termasuk untuk mencari pengganti.
Kesempatan itu diambil oleh Sallam dengan berpura-pura simpati atas kematian Uzair dan mendakwa kononnya ia dilakukan oleh perisik yang diupah oleh Nabi Muhammad.
Sallam terus menawarkan dirinya untuk menggantikan Uzair kerana kononnya Uzair pernah memberitahunya supaya mengambil alih tampuk pemerintahan sekiranya dia tiada sambil berjanji mencari pembunuhnya.
Mendengarkan kata-kata Sallam itu, ramai yang berasa sangat yakin dan tanpa ragu-ragu lagi bersetuju melantiknya sebagai ketua dan pemimpin baru kepada seluruh penduduk Yahudi di Kota Khaibar.
Namun sejak itu Sallam memberikan keutamaan kepada kaumnya - Yahudi Bani Nadhir. Ini termasuk meletakkan anggota tentera di kalangan kaumnya di barisan paling hadapan iaitu mempertahankan Kubu Nai'im.
Rahsia yang ditutup itu akhirnya terbongkar apabila seorang perempuan tampil memberitahu bahawa Uzair mati dibunuh Sallam.
Mendengarkan perkara itu, pembantu kepada Sallam sendiri, Al Harits bin Abu Zainab terus membentuk pakatan menjatuhkan Sallam. Masing-masing tidak berpuas hati dengan tindak tanduk Sallam, lebih-lebih lagi janjinya untuk menangkap pembunuh Uzair, sebenarnya satu penipuan yang sangat licik demi merebut kuasa.
Bagi mengarahkan Sallam supaya melepaskan jawatan tentu sahaja bakal menimbulkan perbalahan di kalangan Yahudi Bani Nadhir dan Yahudi Khaibar. Lalu Sallam dibunuh secara senyap dengan diberi air minuman yang telah diracun.
Kematian Sallam tidak menimbulkan masalah besar kerana Bani Nadhir sendiri akhirnya terpaksa bersetuju apabila Al Harits dilantik serta merta menjadi ketua baru.
Sebaik sahaja dilantik sebagai ketua, Al Harits mahu menggantikan barisan tentera daripada kaum Yahudi Bani Nadhir yang mempertahankan Kubu Nai'im dengan anggota tentera daripada penduduk asal Khaibar.
Al Harits juga mahu serangan terhadap tentera Islam diperhebatkan dengan menggunakan senjata pelontar batu dan api (manjanik) yang dikira paling canggih dan hebat pada masa itu.
Namun, entah bagaimana satu serangan anak panah daripada pihak Islam tepat mengenainya menyebabkan Al Harits terbunuh. Namun pihak Yahudi segera menggantikan tempat Al Harits itu kepada Kinanah bin Rabi yang berkahwin dengan anak perempuan Huyyay bin Akhtab, Saffiyah.
Kinanah bertindak pantas demi kedudukan Yahudi dengan turut melancarkan serangan bagi membolehkan semua benteng-benteng pertahanan di Kota Khaibar itu sukar untuk ditembusi oleh pihak Islam.
SUMBER..........
Tiada ulasan:
Catat Ulasan