Isnin, 13 Februari 2012

TAZKIRAH BERSAMA LEMBAGA KEBAJIKAN PEREMPUAN ISLAM NEGERI PULAU PINANG



Pada jam kira-kira 4:00 petang, Ahad, 27 Mac 1927, maka berkumpullah orang-orang Melayu yang terdiri daripada cerdik pandai dan hartawan pada masa itu di rumah seorang hartawan Melayu, iaitu Tuan Mohamad Ariff Tajuddin yang lebih terkenal dengan nama Mohamad Ariff yang mana rumah beliau terletak di Jalan Hatin, Pulau Pinang. Sekarang, tapak tersebut dijadikan rumah kediaman Guru-Guru Sekolah Sri Tanjong berhadapan dengan Masjid Jalan Hatin.



Gambar: Tapak tanah bekas rumah Allahyarham Tuan Haji Mohamad Ariff Tajuddin; suatu perhimpunan cerdik pandai dan hartawan Melayu diadakan pada 27 Mac 1927 untuk mengasaskan penubuhan Penang Malay Association (PMA) atau Persatuan Melayu Pulau Pinang (PEMENANG)


Perhimpunan pada hari tersebut telah membincangkan tentang cadangan untuk mengadakan sebuah persatuan bagi menjaga kepentingan bangsa Melayu dan agama Islam di bawah penjajahan British.


Dalam perjumpaan tersebut, maka kata sepakat telah pun dicapai untuk menubuhkan sebuah Persatuan yang diberi nama Penang Malay Association (P.M.A.) atau Persatuan Melayu Pulau Pinang (PEMENANG).





Setelah undang-undang persatuan digubal dan diluluskan oleh Pendaftar Pertubuhan, maka Mesyuarat Agung Persatuan yang pertama yang diadakan pada 9 Mei 1927. Beberapa kenamaan telah dilantik seperti nama yang tersebut di bawah untuk menjadi Anggota Pertama untuk mentadbirkan PEMENANG.


Yang Di Pertua : Dr A.O. Merican

Naib Yang Di Pertua : Tuan Mohamad Raus Bin Chik
Tuan M Z Merican
Tuan Mohamad Jashim Bin Iskandar
Setiausaha : Dr Kamil Mohd Ariff

Bendahari : Tuan M N Merican

Ahli-Ahli Jawatankuasa : Tuan A Abdullah

Tuan M S Ariffin
Tuan U M Bakar
Tuan C M Che Din (C M Hashim)
Tuan Hj Murshid
Tuan Mohamad Hussain
Tuan T Nyak Puteh
Tuan S Mohamad Thambi
Pemeriksa Kira-Kira : Tuan C Mohamad Ismail
Tuan Kapt Baba Ahmad


Gambar: Ahli-ahli pengasas Penang Malay Organization bergambar pada Mesyuarat Agung Pertama pada 9 Mei 1927. Gambar ini diambil di hadapan Masjin Jalan Hatin, Pulau Pinang.


Persatuan Melayu semasa diluluskan pendaftarannya telah diberi pengecualian pendaftaran (exempt Society) oleh kerajaan ketika itu.


Penaung-Penaung Persatuan yang dilantik semasa penubuhannya ialah:



(1) Gabenor Negeri-Negeri Selat, Sir Hugh Clifford

(2) Sri Paduka Sultan Perak, Duli Yang Maha Mulia Sultan Iskandar
(3) Regent Negeri Kedah, Yang Amat Mulia Tengku Ibrahim


Persatuan Melayu Pulau Pinang semasa ditubuhkan meliputi tanah besar Seberang Perai dan Dinding oleh jajahan Pulau Pinang ketika itu termasuk Dinding dan Pangkor di negeri Perak.


Jasa Persatuan Melayu Pulau Pinang yang menjadi ingatan sejarah sehingga hari ini ialah dengan mengemukakan satu memorandum kepada pihak yang berkuasa Kerajaan British untuk mewujudkan tanah simpanan Melayu di Pulau Pinang. Tiga orang pemimpin yang ditugaskan merangka memorandum tersebut ialah Dr Kamil Mohamad Ariff, Kapten Mohamed Noor Bin Mohamed dan Kapten Syed Salleh Al Sagoff. Setelah Memorandum mi dikemukakan oleh Persatuan Melayu Pulau Pinang kepada Kerajaan British, peruntukan sebanyak $40,000/= telah diluluskan untuk membeli sebidang tanah di Kampong Melayu, Air Itam, Pulau Pinang untuk dikhaskan sebagai tanah simpanan Melayu. Barang diingati bahawa inilah satu-satunya Tanah Simpanan Melayu yang dikhaskan dalam sebuah Tanah Jajahan British (British Straits Settlement) dan tanah ini masih kekal sehingga hari ini.


Gambar: Dari kiri: Tuan Kapten Syed Salleh Al Sagoff, Tuan Dr. Kamil Mohamad Ariff dan Tuan Kapten Mohamed Noor bin Mohamed


Semasa zaman pemerintahan Jepun, kegiatan-kegiatan Persatuan Melayu tidaklah aktif. Selepas Perang Dunia Kedua, iaitu pemerintahan semula penjajah British di Malaya pada tahun 1945, Persatuan Melayu Pulau Pinang bergerak semula dan cergas dalam kegiatannya. Ketika inilah semangat menentang penjajahan memuncak di seluruh negara. Persatuan Melayu telah mengambil peranan yang penting bagi meniup semangat orang-orang Melayu Pulau Pinang bersama-sama dengan orang-orang Melayu seluruh negara untuk menyedari pentingnya menentang penjajahan dan bersedia untuk berkerajaan sendiri dan seterusnya mencapai kemerdekaan untuk negara.


Kebangkitan semangat orang-orang Melayu ketika itu bertambah lagi oleh kerana kesilapan (blunder) Kerajaan British menerusi wakilnya yang bernama Sir Harold Mac Michael yang ditugas oleh Baginda King George VI untuk membawa satu perjanjian yang dinamakan Treaty Mac Michael bagi mendapat tandatangan Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu yang bermaksud untuk menakluk Malaya dan menurunkan taraf-taraf Raja-Raja Melayu kepada taraf Kadi sahaja yang akan hanya menjaga Hal Ehwal Agama dan adat istiadat Melayu.




SUMBER.....

Tiada ulasan:

Catat Ulasan