Jumaat, 10 Februari 2012

Beri kuasa penuh kepada mufti

Beri kuasa penuh kepada mufti


Hassan Ahmad gembira bersama sijil anugerah yang diterimanya pada Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 2012 di Masjid Putra, Putrajaya, baru-baru ini.



SAYA mengucapkan setinggi tahniah kepada penerima anugerah Perdana Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan Tahun 2012 iaitu Datuk Seri Hassan Ahmad yang juga Mufti Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

Saya amat mengenali Hassan yang merupakan tokoh yang tidak asing lagi di bidang kefatwaan di Malaysia. Malah beliau juga mempunyai ramai anak murid yang dididiknya sewaktu bergelar seorang pensyarah.

Walaupun saya sendiri tidak pernah belajar secara formal dengan Hassan namun saya banyak mengambil pengajaran daripada setiap patah perkataan yang keluar daripada beliau.
Beliau adalah seorang tokoh yang lahir daripada keluarga beragama dan sentiasa komited memartabatkan undang-undang syariah di Malaysia khususnya Pulau Pinang.
Anugerah yang diberikan kepada beliau itu merupakan pengiktirafan kepada institusi mufti dan kefatwaan di Malaysia dan merupakan isyarat daripada pihak Kerajaan agar institusi fatwa ini perlu lebih mantap bergerak dan menjadi tunjang kepada pemerkasaan undang-undang Islam.
Fatwa adalah mekanisme pembinaan perundangan Islam yang wujud sejak zaman Rasulullah lagi.
Institusi fatwa mula berkembang dengan pesat semasa pemerintahan Umawiyah, Abasiyah dan Uthmaniyah.

Pada ketika itu mufti bukan sahaja bertindak sebagai penasihat dalam bidang hukum syarak tetapi terlibat secara langsung membantu Kadi menyelesaikan kes-kes di mahkamah.
Fatwa bukan sahaja menjadi pembimbing kepada rakyat dan masyarakat tetapi dijadikan sebagai panduan dalam melaksanakan tanggungjawab oleh pemerintah.

Apabila Tanah Melayu (ketika itu) mencapai kemerdekaan, penentuan perkara mengenai hukum syarak dan doktrin Islam dikekalkan di bawah kuasa negeri.

Ia bukan suatu perkara yang diperolehi daripada Perlembagaan Persekutuan tetapi telah diamalkan sejak zaman Kesultanan Melayu lagi.

Dalam hal ini, pemerintah merujuk kepada para ulama untuk mendapatkan fatwa atas apa jua persoalan yang belum diputuskan secara definitif ataupun perkara yang menimbulkan pertikaian dalam sudut hukum syarak.

Dalam konteks Malaysia ketika ini Akta dan Enakmen Pentadbiran Agama Islam memperuntukkan kedudukan dan peranan mufti sebagai penasihat utama Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu.
Umpamanya seksyen 33 Akta Pebtadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993 menyatakan mufti hendaklah membantu dan menasihati Yang di-Pertuan Agong berkenaan dengan semua perkara hukum syarak, dan dalam semua perkara sedemikian hendaklah menjadi pihak berkuasa utama di Wilayah-Wilayah Persekutuan selepas Yang di-Pertuan Agong kecuali jika diperuntukkan selainnya dalam Akta tersebut.

Seiring dengan peredaran zaman yang memerlukan penyelesaian daripada sudut hukum syarak terhadap perkara-perkara yang semakin hari semakin kompleks, peranan mufti ini perlulah dipertingkat dan diperkasa juga dari masa ke semasa.
Mufti hendaklah bebas memberi nasihat dan membuat teguran kepada mana-mana pihak termasuk kerajaan dan bukan kerajaan.

Adalah amat aneh ketika ini beberapa agensi yang ditubuhkan oleh kerajaan membuat pelbagai teguran sehingga mencampuri urusan agama Islam sedangkan teguran dari pihak mufti seperti tidak diendahkan sahaja.

Mufti juga mesti dibebaskan daripada sebarang tekanan dan pengaruh politik atau individu tertentu.
Sehingga hari ini terdapat beberapa negeri telah menaiktaraf jawatan mufti setaraf Exco Kerajaan Negeri walaupun mufti tersebut tidak duduk sebagai ahli permesyuaratan negeri.

Sebagai ulul amri semua institusi agama diletakkan terus di bawah Yang di-Pertuan Agong dan Raja Raja Melayu termasuklah mufti. Ahli politik dan pihak kerajaan tidak mempunyai kuasa untuk mencampuri urusan mufti khususnya di dalam menggarap sesuatu fatwa bagi menjamin segala fatwa, dasar atau pandangan berkaitan agama Islam dan hukum syarak bebas sama sekali dari unsur dan pengaruh politik.

Fatwa yang diputuskan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri tidak perlu lagi dibincangkan oleh pihak Kerajaan untuk tujuan pewartaaan. Hal yang demikian pernah beberapa kali berlaku dan perkara sebegini hendaklah dielakkan dari terus berlaku.

RUJUKAN.....................

Tiada ulasan:

Catat Ulasan