Ahad, 19 Februari 2012

Berselawat lebih utama

Berselawat lebih utama

SAYA keliru sama ada lebih baik kita bersedekah al-Fatihah ke atas nabi SAW atau berselawat ke atas baginda.

JAWAPAN

Pastinya berselawat ke atas baginda adalah lebih utama berbanding bersedekah fatihah. Ini kerana perintah berselawat ke atas baginda jelas dalam al-Quran.
Allah SWT dan para malaikat sentiasa berselawat ke atas baginda. Yang demikian jelas dalam firman Allah SWT yang bermaksud: Allah dan malaikat-Nya berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad SAW); wahai orang-orang yang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya. (al-Ahzab: 56)
Imam al-Tabari menjelaskan dalam tafsirnya, selawat dalam ayat ini bermaksud 'memberkati'.

Dengan kata lain, Allah SWT dan para malaikat mengucapkan keberkatan ke atas baginda Rasulullah SAW.
Selepas turun ayat ini baginda membacakannya kepada para sahabat, di antara sahabat ada yang bertanya: "Wahai Rasulullah ucapan Salam ke atas tuan telah kami ketahui, bagaimana pula dengan ucapan selawat? Lantas baginda mengajarkan mereka mengenai selawat: Allahumma solli 'Ala Muhammad wa 'ali Muhammad wa baarik 'ala Ibrahim wa 'ala 'Ali Ibrahim, innaka hamidun majid.
Ada juga yang menamakan selawat ini dengan selawat ibrahimiyyah. Berdasarkan riwayat, ada beberapa bentuk selawat yang lain diajar oleh Rasulullah SAW kepada para sahabat pada ketika diajukan soalan berkaitan dengan selawat.

Namun selawat ibrahimiyyah dibaca dalam solat selain daripada selawat ke atas baginda yang ringkas. Perlu juga diingat bahawa selawat yang diucapkan dalam solat adalah rukun dalam solat, tanpanya tidak sah solat.
Namun selawat yang wajib dalam solat telah melepaskan kita daripada kewajipan selawat. Ini kerana di kalangan ulama yang berpendirian selawat yang diperintahkan Allah ke atas orang yang beriman adalah wajib, dikira berdosa bagi mereka yang tidak berselawat ke atas baginda.

Dengan demikian selawat keatas baginda di luar solat adalah sunat yang sangat dituntut. Mereka yang banyak berselawat pastinya akan dapat merasakan kehebatan Dan keberkatan selawat ke atas baginda.
Selawat ke atas baginda SAW adalah suatu yang tidak wajar diabaikan, sedang Allah SWT dan para malaikat sentiasa bahkan berterusan akan berselawat ke atas baginda, iaitu mengucapkan keberkatan ke atas baginda.

Di dalam kitab-kitab hadis, para ulama mensyarahkan bahawa jika selawat daripada Allah SWT maksudnya, puji-pujian. Jika selawat itu daripada para malaikat adalah bermaksud doa.
Di antara kelebihan dan keutamaan selawat ke atas baginda dapat dilihat melalui beberapa hadis Rasulullah SAW yang bermaksud:

 "Sesiapa yang berselawat ke atas aku di pagi hari sebanyak 10 kali dan di kala petang 10 kali maka dia akan beroleh syafaatku. (riwayat al-Tabraniy)
 "Orang yang paling utama bagiku di hari kiamat adalah orang yang banyak selawatnya ke atas aku". (riwayat al-Tirmidzi dan Ibn Hibban)
 "Sesiapa yang berselawat ke atasku sekali nescaya Allah berselawat ke atasnya 10 kali dan dihapuskan baginya 10 kesalahan dan diangkat 10 darjat. (riwayat Ahmad)

Banyak lagi riwayat yang menyebut kelebihan berselawat ke atas baginda yang tidak sempat disebut di sini.
Namun sebagai seorang Muslim yang inginkan cinta Rasulullah SAW pastinya akan banyak berselawat ke atas baginda. Mustahil bagi akal apabila mengaku cinta tetapi tidak disebut dan disuburkan cinta tersebut dengan berselawat.

Saya yakin sesungguhnya mereka yang membanyakkan selawat ke atas baginda dengan penuh kasih sayang dan cinta yang tidak berbelah bagi ke atas baginda akan melayakkan diri untuk beroleh syafaat Rasulullah SAW.

Saya juga ada membaca beberapa riwayat yang menyebut bahawa selawat dan salam yang diucapkan oleh seseorang ke atas baginda SAW akan disampaikan oleh malaikat yang ditugaskan untuk menyampaikan salam dan sejahtera yang diucapkan oleh seseorang kepada baginda SAW.
Bayangkan, hari ini kalau ada di antara kita yang berselawat ke atas Rasulullah SAW kemudian selawat dan salam itu disampaikan oleh malaikat kepada nabi SAW, indahnya hari tersebut.
Maka bagi beroleh keberkatan hidup Dan kasih sayang Allah SWT maka memperbanyakkan selawat seharusnya menjadi rutin dalam diari kehidupan seharian.
Beruntunglah mereka yang membanyakkan selawat ke atas baginda dan rugilah mereka yang mengabai dan melengahkan selawat ke atas baginda SAW.


rujukan.......

Tiada ulasan:

Catat Ulasan