TEKS UCAPAN
Y.B MEJAR JENERAL DATO’ SERI JAMIL KHIR BIN HJ BAHAROM (B)
MENTERI DI JABATAN PERDANA MENTERI
PROGRAM TAFAQQUH PERDANA GURU-GURU TAKMIR
ZON UTARA TAHUN 2011
HOTEL SERI MALAYSIA
KEPALA BATAS, PULAU PINANG
19 NOVEMBER 2011 (SABTU) 2.30 PETANG
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
الحمد الله رب العلمين وبه نستعين
والصلاة والسلام على سيّدنا محمد
وعلى اله وصحبه ومن اتبع هداه الى يوم الدين
Yang Berusaha Pengerusi Majlis
1. Y.Bhg Dato’ Hj. Othman bin Mustapha – Ketua Pengarah JAKIM,
2. Y.Bhg Tuan Haji Sazali bin Hussein – Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang,
3. Tuan Haji Zainal Abidin bin Jaffar, Pengarah Bahagian Kemajuan Islam JAKIM,
Guru-guru Takmir yang mewakili Negeri Perlis, Pulau Pinang dan Kedah, Rakan-rakan media seterusnya hadirin dan hadirat yang dikasihi sekalian.
------------------------------------------------------------------------------------------------------------
1. Alhamdulillah, saya bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana dipertemukan dalam suatu majlis yang amat bermakna pada hari ini iaitu Program Tafaqquh Fiddin Perdana Guru-guru Takmir Zon Utara Bagi Tahun 2011 ini.
2. Saya rasa amat gembira dengan adanya perjumpaan seperti ini, dan melalui forum seperti ini juga akan memberi peluang kepada tuan-tuan untuk berinteraksi secara langsung dengan pihak JAKIM dan JAIN.
3. Pada kesempatan ini, saya ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada tuan-tuan yang telah berkhidmat dengan penuh dedikasi serta sanggup berkorban apa saja demi memastikan setiap lapisan masyarakat mendapat pengisian ilmu pengetahuan khususnya yang berkaitan ilmu keagamaan. Dalam masa yang sama juga tuan-tuan telah berjaya mengimarahkan masjid dan surau di kawasan masing-masing.
4. Islam telah berfungsi sebagai agen perubahan masyarakat, sejarah menunjukkan bahawa islam membawa bersama-samanya pelbagai ilmu, corak amalan dan rangkaian nilai-nilai positif sehingga berjaya mengubah pemikiran, budaya dan cara hidup kaum masing-masing di seanterio dunia.
5. Sungguhnya sejarah silam telah membuktikan bahawa peranan ilmu mampu membina suatu peradaban dan ketamadunan yang unggul. Hal ini dapat kita lihat bermula pada zaman Rasulullah SAW di Madinah hinggalah ke hari ini. Kejayaan ini bukan sahaja dinisbahkan kepada kejayaan Nabi SAW sahaja bahkan peranan alim ulama’ dalam meneruskan kesinambungan tugasan para rasul ini juga banyak menyumbang kepada pembinaan tamadun ummah.
6. Dalam konteks ini juga, pendidikan dan proses pengilmuan berkait rapat dengan proses pembangunan manusia. Manusia dibekalkan oleh Allah SWT dengan akal untuk membolehkannya berfikir. Dari berfikir menjadikan manusia tahu, dari tahu menjadikan manusia berpengetahuan, dari berpengetahuan menjadikan manusia berilmu dan dari ilmu membolehkan manusia memiliki hikmah. Maka hikmahlah menjadi martabat paling tinggi bagi manusia yang membawa suluh dalam kehidupan.
7. Apa yang saya ingin nyatakan di sini ialah tentang kepentingan ilmu dalam membina sebuah negara yang maju dan unggul selaras Wawasan 2020. Walaupun mungkin ada yang berpendapat program takmir masjid dirasakan tidak begitu besar sumbangannya dalam kemajuan negara, namun pada pandangan saya ia merupakan satu program yang begitu penting kerana dengannya masyarakat dapat didedahkan dengan segala jenis ilmu agama seperti akidah, syariah, dan ilmu akhlak. Ini adalah asas kepada seseorang individu muslim. Hasil daripada penghayatan nilai-nilai agama yang menyeluruh inilah akan lahirnya insan yang benar-benar berjaya dunia dan akhirat.
8. Dalam konteks yang lebih luas lagi program takmir ini juga termasuk dalam bidang dakwah. Maka sudah tentulah asas-asas menjadi seorang dai’e juga mestilah ada bersama tuan-tuan. Menurut Dr. Abdul Karem Zaidan dalam bukunya Dasar-Dasar Ilmu Dakwah seseorang pendakwah itu mestilah mempersiapkan dirinya dengan ilmu pengetahuan yang mencukupi. Selain itu ianya hendaklah mempunyai iman yang kuat bagi menghadapi segala cabaran dan mehnah yang sentiasa menganggu dan menghalang tugas sebagai seorang dai’e.
Hadirin dan Hadirat yang dikasihi,
9. Sehubungan dengan apa yang saya nyatakan tadi, suka saya memaklumkan bahawa Kerajaan sentiasa memberi perhatian serius terhadap aspek pendidikan serta pembangunan islam dan umat islam di Malaysia. Setiap tahun pihak kerajaan telah memperuntukkan begitu banyak wang bagi tujuan tersebut. Jumlah peruntukan pada tahun 2011 ini sahaja ialah sebanyak RM 500,967,264.64. Peruntukan tersebut termasuklah bayaran elaun imam, elaun guru takmir, elaun guru KAFA, termasuklah juga bayaran elaun kepada tuan-tuan.
10. Semua keistimewaan ini adalah kerana kedudukan agama islam di dalam perlembagaan Malaysia adalah sebagai agama Persekutuan atau suka saya sebut dengan istilah Agama Negara. Peruntukan sebegini banyak tidak boleh dipertikai oleh mana-mana pihak. Namun begitu harus diingat oleh kita semua kerana dalam masa yang sama juga terdapat beberapa ancaman dari dalam dan luar terhadap islam dan umatnya di negara kita samada secara terang mahu pun berselindung disebalik kumpulan tertentu.
11. Sesungguhnya sejak dahulu sampailah ke hari ini, agama islam dan umatnya sentiasa menjadi sasaran pihak luar yang ingin melihat Islam dan penganutnya mengalami kehancuran. Selain itu juga, ancaman kepada umat islam, ada juga berpunca daripada penganutnya sendiri. Beberapa bentuk ancaman atau cabaran yang saya ingin kongsi bersama tuan-tuan pada hari ini ialah seperti;
I. Isu Perpecahan Umat Islam
Sehubungan dengan perkara di atas, saya ingin memetik Titah Pemangku Raja Perak Darul Ridzuan, DYTM Raja Dr.Nazrin Shah semasa memberi ucaptama di Kongres Majlis Agama Islam Negeri-Negeri seluruh Malaysia pada 26 September 2011 yang lalu di PWTC. Baginda telah memberi peringatan terhadap ancaman kepada Agama Islam dan umat Islam khususnya di Malaysia dengan menyebut;
‘’bahawa pencerobohan besar bermula dari perbuatan kecil. Ia mungkin bermula dari sebuah masjid surau, atau sebuah madrasah atau sebuah mimbar. Ia bermula dari satu khutbah , satu ungkapan, satu ucapan, tazkirah atau satu doa”
Justeru itu, sebagai orang yang bertanggungjawab secara langsung terhadap institusi masjid dan surau, saya beranggapan peringatan baginda Raja Dr.Nazrin tersebut tepat pada masanya dan hendaklah di ambil perhatian oleh semua pihak khususnya tuan-tuan yang bertugas sebagai guru takmir.
II. Ancaman Akidah Atau Ajaran Sesat
Pada masa ini negara kita telah banyak terdapat ajaran sesat yang menyeleweng daripada ajaran islam yang sebenar. Ajaran ini dibawa oleh orang perseorangan atau golongan tertentu telah bertapak dalam masyarakat. Antara bentuk ajaran sesat yang telah dikenalpasti ialah pertamanya dalam bentuk ajaran baru yang sengaja direka oleh mereka yang mempunyai niat dan agenda peribadi. Yang kedua ialah dalam bentuk tarikat yang menyeleweng dari amalan tarikat yang sebenar dan yang ketiganya ialah dalam bentuk amalan dan kepercayaan tradisi seperti kepercayaan mistik dan sebagainya.
III. Selain dari ancaman dalaman, agama suci Islam beserta umatnya juga sering diancam dari pihak-pihak tidak ingin melihat syiar Islam terus berkembang di bumi Malaysia ini khususnya dan di seluruh dunia amnya. Perkembangan mutakhir ini menyaksikan bagaimana adanya percubaan pihak tertentu untuk menarik umat Islam masuk ke agama mereka sebagaimana yang berlaku disebuah negeri baru-baru ini.
IV. Seterusnya ancaman dalam bentuk aliran pemikiran seperti Fahaman Liberal, Sekularisme, Hedonisme, Modenisme, dan lain-lain lagi. Yang terbaru ialah satu gerakan yang berselindung di sebalik hak asasi manusia, sedangkan mereka sebenarnya ingin memberi tempat atau mengiktiraf golongan gay dan lesbian. Perkara ini nyata bertentangan dengan Islam.
Dato’-Dato’, Tuan-Tuan dan Puan-Puan sekalian,
dasarkan beberapa ancaman terhadap umat Islam yang saya sebutkan sebentar tadi,
maka disini saya sarankan beberapa langkah yang perlu kita ambil bagi menangani perkara
tersebut.
maka disini saya sarankan beberapa langkah yang perlu kita ambil bagi menangani perkara
tersebut.
Langkah tersebut ialah;
I. Para cerdik pandai Islam terutamanya alim ulamak termasuk tuan-tuan hendaklah sentiasa memberi penjelasan kepada masyarakat setempat berhubung dengan beberapa ancaman di atas. Disinilah tuan-tuan dituntut untuk bekerjasama dengan memberi penjelasan mengenai perkara tersebut terutama ketika menyampaikan kuliah.
II. Disamping JAIN dan MAIN, seluruh masyarakat juga hendaklah memberi kerjasama yang erat melaporkan apa jua kegiatan yang pada fikiran merupakan penyelewengan kepada agama Islam yang diamalkan sekarang.
III. Berwaspada terhadap segala bentuk ajaran yang tidak biasa didengar dan diamalkan di negara ini.
13. Maka menjadi harapan saya agar tuan-tuan sentiasa belajar dan menambah ilmu dalam berbagai bidang ilmu, khususnya ilmu keagamaan. Sebagai contoh, kalau sebelum ini tuan-tuan hanya mahir dalam bidang hokum fekah sahaja, maka dengan belajar berbagai cabang ilmu sudah tentu tuan-tuan juga boleh mengajar ilmu-ilmu lain seperti akidah, tasawuf, dan sebagainya. Saya juga ingin mencadangkan supaya sudah sampai masanya tuan-tuan perlu cuba melakukan perubahan dalam teknik penyampaian. Sebagai contoh tidak salah rasanya kalau tuan-tuan menggunakan alat bantu mengajar semasa menyampaikan kuliah di masjid atau surau. Penggunaan komputer riba dan pancaran projektor mampu memberi kelainan dalam teknik penyampaian. Saya percaya ianya dapat menghasilkan kesan yang positif sebagaimana yang telah dilakukan dalam penyampaian teks khutbah multimedia di beberapa tempat. Selain itu, ianya juga boleh menarik golongan muda atau remaja untuk turut serta dalam kelas pengajian yang diadakan. Perkara ini juga adalah selaras dengan perkembangan masa kini yang menjadikan teknologi ICT sebagai medium baru untuk berkomunikasi.
14. Marilah kita sama-sama mempertahan dan mengekalkan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah yang kita amalkan di negara ini. Marilah kita sama-sama mengembalikan sifat-sifat mulia serta mengikis sifat-sifat buruk melalui ilmu pengetahuan dan pengalaman akhlak murni dalam kehidupan seharian. Marilah kita meningkatkan budaya berfikir, menghidupkan budaya menuntut ilmu, menghayati hidup berakhlak demi memartabatkan agama Islam yang suci.
15. Saya mencadangkan agar program ini dijadikan agenda utama tahunan JAKIM dan JAIN sebagai wadah perkongsian ilmu dan saluran untuk mengeratkan dan menyemarakkan hubungan antara guru-guru takmir dengan pihak kerajaan. Saya juga berharap usaha-usaha seperti ini tidak terhenti setakat ini sahaja malah ia perlu diteruskan sebagai satu usaha mengimarahkan masjid dan surau di seluruh negara.
16. Akhir sekali, bagi menyempurnakan majlis perasmian, saya dengan lafaz بسم الله الرحمن الرحيم dengan ini merasmikan Majlis Penutupan Program Tafaqquh Perdana Guru-Guru Takmir Zon Utara Tahun 2011 ini. Sekian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan