Isnin, 14 November 2011

Qazaf


Oleh Us. Muzaffar Ikmal
Penulis Tamu Majalah i-Fikrah

Qazaf

Allah S.W.T telah mensyariatkan hukuman had qazaf bagi memelihara manusia daripada sewenang-wenangnya melemparkan tuduhan zina terhadap orang lain. Islam memelihara kemuliaan dan maruah manusia. Agama mengajar kita supaya tidak berburuk sangka dengan orang lain, menjaga lidah daripada menuduh seseorang dan memelihara kita daripada terjebak dalam menyebarkan fitnah.
Hukuman had qazaf


Dalam surah al-Nur ayat 4 Allah S.W.T berfirman yang bermaksud “ Dan orang-orang yang melemparkan tuduhan (zina) kepada perempuan yang terpelihara kehormatannya, kemudian mereka tidak membawakan empat orang saksi, maka sebatlah mereka lapan puluh kali sebatan, dan janganlah kamu menerima persaksian mereka itu selama-lamanya, kerana mereka adalah orang-orang yang fasiq” .  Imam Abdul Rahman Muhammad I’wad Al-Juzairi di dalam kitabnya,  Kitab al-Fiqh a’lal Mazahib al-A’rbaa’h, jilid yang kelima di bawah bab Had al-Qazaf menyebut,  hukuman terhadap mereka yang melakukan qazaf adalah seperti berikut:

1) Disebat 80 kali sebatan mengikut cara Islam
2) Penyaksian/keterangannya ditolak sepanjang hayatnya
3) Dihukum menjadi ahli fasiq
4) Dianggap sebagai kazib (pendusta) di sisi Allah S.W.T
5) Dilaknat di dunia dan dilaknat di akhirat
6) Baginya azab yang pedih di akhirat
7) Anggota badannya akan menjadi saksi terhadap tuduhan yang telah dilemparkan pada hari akhirat kelak.

Balasan terhadap qazif ( orang yang menuduh)

            Dalam surah an-Nur ayat 23-25, Allah S.W.T berfirman yang bermaksud “ Sesungguhnya orang-orang yang menuduh perempuan-perempuan ( dan lelaki-lelaki) yang terpelihara kehormatannya, yang tidak terlintas memikirkan sebarang kejahatan, lagi yang beriman, akan dilaknat (oleh Allah) di dunia dan di akhirat dan mereka pula akan beroleh azab siksa yang besar. Pada hari lidah mereka dan tangan mereka serta kaki mereka menjadi saksi terhadap mereka sendiri, tentang segala yang mereka lakukan” . Sebahagian para ulama menyebut, qazif ( orang yang menuduh) itu dituntut mengemukakan empat orang saksi untuk membenarkan dakwaannya itu, sekiranya dia berbohong maka di akhirat kelak akan bangun lima anggota badannya yang akan menjadi saksi kepada pembohongannya iaitu lidah, kedua-dua tangan dan kedua-dua kakinya. Ia adalah satu penghinaan kepadanya sesuai dengan percubaannya menuduh orang lain melakukan zina. 
            Penulis juga menyebut di dalam Kitab al-Fiqh a’lal Mazahib al-A’rbaa’h, “ barang siapa yang membuka keaiban manusia, maka keaibannya juga akan dibuka oleh orang lain, dan barang siapa yang cuba mengintai-intai aurat (membuka keaiban) muslim yang lain, maka Allah S.W.T akan mengintai-intai  auratnya ( membuka keaibannya), sepertimana kamu berbuat sesuatu perkara (kejahatan), kamu akan dibalas dengan perkara itu (kejahatan), barang siapa yang menanam kerugian nescaya akan memperoleh penyesalan”.  Oleh itu, sebagai seorang muslim, kita hendaklah menjauhi daripada perkara yang akan merugikan kita di dunia dan di akhirat.

Definisi Qazaf 

Menurut istilah syarak, qazaf ialah menuduh seseorang melakukan zina tanpa mengemukakan saksi-saksi yang adil. Ia juga termasuk jika menuduh seseorang itu melakukan liwat atau jika menafikan anak sebagai nasabnya.Kesemua imam mazhab iaitu Hanafi,Maliki, Syafie dan Hanbali telah bersepakat bahawa sesiapa yang menuduh seseorang melakukan zina atau liwat tanpa mengemukakan saksi-saksi, maka mereka yang menuduh itu wajib dijatuhkan hukuman had qazaf. Begitu juga kepada lelaki yang menafikan anaknya sebagai nasabnya tanpa bukti atau saksi-saksi.

Hikmah pengharaman qazaf
Tujuan pengharaman qazaf adalah bagi memelihara maruah manusia, yang menjadi satu daripada perkara yang sangat penting bagi manusia sama ada bagi diri, keluarga atau masyarakatnya. Islam telah menegaskan kewajipan mempertahankan maruah dengan meletakkan maruah mengatasi harta yang juga wajib dipertahankan. Demi menjaga maruah itulah, maka diwajibkan hukuman qazaf secara hudud yang ditetap oleh Allah dan RasulNya S.A.W supaya seseorang itu atau kumpulannya tidak boleh melemparkan tuduhan zina atau liwat ke atas seseorang yang lain secara sewenang-wenangnya.

Kesimpulan

Sebagai seorang muslim, kita diwajibkan akur dengan undang-undang yang telah ditetapkan Allah kepada kita, sepertimana termaktub di dalam al-Quran dan as-Sunnah, kerana Allah S.W.T yang menjadikan manusia, maka Allah jualah yang maha mengetahui undang-undang yang sesuai untuk manusia.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan