Unit Takmir, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang begitu berbesar hati menerima kunjungan Jemaah Tabligh dari Fatani yang diketuai oleh Tuan Guru Baba Hj Ismail b Abd Rahman
Tuan Haji Mat Nazri b Haramine juga merupakan Pengarah Akauntan Negara Cawangan Pulau Pinang merupakan orang yang kuat dalam usaha dakwah di Pulau Pinang
Tuan Haji Ismaik b Ishaq Benjasmith al Fatani, Pengerusi NGO The Center Of Conservation For Local Culture And Environments The Southern Border Of Thailand (PUSTA). Beliau amat mahir dalam sejarah Fatani dan pernah di tembak 9 das oleh senjata RK buatan Russia kerana menulis sejarah Fatani. Namun Allah masih panjangkan umurnya, Subhanallah.
Cenderahati kenang-kenangan buku Jurnal Takmir Bil 1/11 dan majalah Suara Masjid keluaran JAKIM disampaikan kepada ahli rombongan oleh Penolong Pengarah Takmir JHEAIPP
Ziarah bukan sekadar satu warisan atau budaya, ia sebaliknya sebahagian daripada ibadah yang sangat besar fadilatnya.
Diriwayatkan Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Sesiapa yang menziarahi orang sakit atau menziarahi saudaranya kerana Allah, dia akan diseru malaikat dengan seruan: “Alangkah bagusnya engkau, alangkah bagusnya perjalananmu, telah tersedia untukmu sebuah rumah di dalam syurga!” (Hadis riwayat at-Tirmizi)
Anas meriwayatkan, pada suatu hari Abu Bakar mengajak Umar menziarahi Ummu Aiman kerana Rasulullah sering menziarahinya ketika hayat Baginda. Apabila melihat kedua-dua sahabat itu datang, Ummu Aiman menangis terisak-isak. Mereka bertanya: “Apa yang menyebabkan puan menangis? Tidakkah puan tahu bahawa apa yang ada di sisi Allah itu lebih baik bagi Rasulullah?”
Beliau menjawab: “Bukan saya tidak tahu bahawa apa yang ada di sisi Allah itu lebih baik bagi Rasulullah, tetapi yang membuatkan saya menangis ialah wahyu yang sering turun dari langit telah pun terhenti!”
“Kata-kata itu benar-benar menyentuh hati mereka lalu kedua-duanya turut menangis bersamanya.” (Hadis riwayat Muslim)
Hadis di atas menunjukkan Rasulullah dan sahabat mengamalkan budaya ziarah menziarahi serta ganjaran pahala yang sangat besar disediakan Allah untuk hamba-Nya yang menziarahi saudaranya.
Oleh kerana ziarah adalah satu ibadah, maka adab serta syaratnya mesti diketahui dan dipatuhi.
# Betulkan niat.
Niat yang ikhlas adalah rukun pertama setiap ibadah yang dilakukan oleh seseorang Muslim. Tanpa keikhlasan, ibadah tidak diterima.
Abu Hurairah meriwayatkan daripada Nabi Muhammad bahawa seorang lelaki menziarahi saudaranya di sebuah kampung.
Allah mengutus malaikat mengekori perjalanannya. Malaikat itu menghampirinya lalu bertanya: “Saudara hendak ke mana?”
Lelaki itu menjawab: “Menziarahi saudara saya yang tinggal di kampung ini.”
Malaikat bertanya lagi: “Apakah saudara mengharapkan apa-apa keuntungan yang diberikannya kepada saudara?”
Dia menjawab: “Tidak. Saya menziarahinya kerana kasihkannya kerana Allah.”
Malaikat berkata: “Sesungguhnya aku adalah malaikat yang diutus oleh Allah untuk memberitahumu sesungguhnya Allah telah mengasihimu seperti engkau mengasihi saudaramu itu kerana-Nya.” (Hadis riwayat Muslim)
# Waktu yang sesuai.
Menurut Islam, rumah kediaman adalah hak seseorang yang perlu dihormati. Tuannya mempunyai kebebasan untuk menerima kunjungan tetamu atau sebaliknya mengikut kesesuaian waktu serta keadaan dalam rumah mereka.
Hal ini diterangkan dalam firman Allah bermaksud: “Wahai orang yang beriman, janganlah kamu masuk ke dalam rumah yang bukan rumah kamu, sehingga kamu lebih dulu meminta izin serta memberi salam kepada penghuninya (ahlinya); yang demikian adalah lebih baik bagi kamu, supaya kamu beringat (mematuhi cara dan peraturan yang sopan).” (Surah an-Nur, ayat 27).
Oleh itu, sebelum berkunjung, eloklah menghubungi tuan rumah terlebih dulu bertanyakan waktu yang sesuai untuk dikunjungi.
# Mulakan dengan salam.
Salam adalah doa daripada pengunjung kepada sahabat yang dikunjungi. Kemudian doa itu dibalas dengan cara yang lebih baik.
Lantaran itu Allah menyatakan apabila kita memasuki rumah hendaklah memberi salam kepada diri sendiri. Ertinya dengan memberi salam kepada tuan rumah kita akan memperoleh salam daripadanya.
Firman Allah bermaksud: “Maka apabila kamu masuk ke rumah, hendaklah kamu memberi salam kepada kamu dengan cara memohon kepada Allah hidup yang berkat lagi baik. Demikianlah Allah menerangkan ayat yang menjelaskan hukum-Nya, supaya kamu memahaminya.” (Surah an-Nur, ayat 61)
Rasulullah SAW mengajar cara memberi salam iaitu dengan berkata: “Assalamualaikum, bolehkah saya masuk?” sebanyak tiga kali.
Jika tiada jawapan, atau tidak mendapat keizinan pengunjung hendaklah beredar dengan dada yang lapang tanpa menaruh prasangka terhadap tuan rumah.
Ketika memberi salam pengunjung tidak harus berdiri menghadap pintu, sebaliknya berdiri dengan memandang ke arah kanan atau kiri. Sekiranya tuan rumah bertanyakan siapa yang datang, pengunjung hendaklah menyatakan nama atau gelarannya. Tidak memadai menjawab “saya”.
# Bersalaman.
Apabila bertemu Muslim lain disunatkan bersalaman atau berjabat tangan. Daripada Al-Barra’, Rasulullah bersabda maksudnya: “Apabila dua Muslim bertemu dan berjabat tangan, diampunkan dosa kedua-duanya sebelum mereka berpisah.” (Hadis riwayat Abu Daud)
Harus juga berpeluk-pelukan sekiranya sahabat atau saudara datang dari jauh. Saidatina Aisyah berkata, ketika Zaid bin Harithah tiba di Madinah, Rasulullah berada di rumahku.
Beliau datang dan mengetuk pintu rumahku. Lalu Rasulullah bangun dan berjalan ke arahnya lantas memeluk dan menciumnya.
Bagaimanapun, perlu diingat bahawa bersalaman dan berpeluk-pelukan hanya boleh dilakukan di antara lelaki dengan lelaki atau perempuan dengan perempuan.
Bersalaman dan berpeluk-pelukan antara lelaki dengan perempuan yang bukan mahram adalah haram.
# Bawa hadiah.
Adalah baik sekiranya pengunjung membawa sedikit hadiah atau buah tangan kerana diriwayatkan Rasulullah bersabda maksudnya: “Hendaklah kamu saling memberi hadiah, nescaya kamu akan menyayangi antara satu sama lain.”
Sesungguhnya kelebihan serta adab ziarah tidak tertumpu kepada pengunjung saja. Pihak yang menerima dan memuliakan tetamu juga ada kelebihan serta adabnya
rujukan: http://jendelahikmah05.blogspot.com/2005/11/kunjung-mengunjungi-ibadat-digalak.html
Tiada ulasan:
Catat Ulasan