Jumaat, 9 November 2012

Persiapan kematian

Persiapan kematian

KEMATIAN memang tidak dapat dipisahkan daripada kehidupan manusia. Setinggi ilmu perubatan untuk mengkaji penawar sesuatu penyakit, manusia tidak boleh lari daripada soal kematian seperti yang telah termaktub dalam suratan takdir.

Sihat lawannya sakit, maka hidup lawannya mati. Sama ada Rasulullah mahupun orang beriman termasuk individu yang ingkar kepada perintah Allah akan menghadapi kematian. Bahkan panggilan maut itu tidak mengira umur, sama ada tua mahupun muda.

Untuk mendalami ilmu persiapan kematian, sebuah buku keluaran terbaru Telaga Biru Sdn. Bhd. bertajuk, Rahsia Kematian, Alam Barzakh dan Roh merupakan inisiatif terbaru untuk menceritakan soal tersebut dalam penuh penghayatan, mudah dan ringkas.

Menurut penulisnya, Ahmad Adnan Fadzil, buku itu akan merungkai alam selepas kehidupan dunia dan saat sakaratulmaut berdasarkan dalil al-Quran dan hadis serta pendapat ulama silam.
Ahmad Adnan menjelaskan pendekatan buku itu berbeza daripada buku lain kerana ringkas dan mudah dibaca serta sesuai untuk seluruh lapisan masyarakat.

"Malah buku ini menjawab kekeliruan yang ditimbulkan oleh beberapa buku sehingga kupasan tersebut sebenarnya tidak wujud dalam al-Quran dan hadis.
"Perkara itu dibimbangi boleh menyebabkan ramai yang sesat serta keliru.

"Contohnya berkenaan dakwaan roh akan kembali kepada keluarganya selama 40 hari selepas kematian adalah tidak benar sedangkan si mati akan disoal dalam alam barzakh sebaik sahaja mereka dikebumikan," jelas beliau.

Buku setebal 151 muka surat itu mengandungi lima bab iaitu manusia dan kematian, kematian yang bermakna, di ambang maut, kehidupan alam barzakh dan hakikat roh, perbahasan soal kehidupan sehingga alam barzakh selain diselitkan dengan gambar rajah.

Orang ramai boleh mendapatkan buku berharga RM18 ini di kedai buku berdekatan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan