Rabu, 7 November 2012

Kerja sebagai ibadah

Kerja sebagai ibadah

SETIAP bidang pekerjaan tenaga kerja atau tenaga buruh merupakan sumber yang terpenting. Ia sama penting dengan sumber ekonomi lain seperti; tanah, modal dan keusahawanan. Setiap pekerja mestilah bekerja dengan penuh etika dalam melaksanakan tugas yang diamanahkan.

Lantaran itu, etika dapat difahami sebagai tatacara dan peraturan yang telah ditetapkan dalam sesuatu pekerjaan. Di samping itu, dalam melaksanakan apa juga kerja, ia mestilah kerja yang halal untuk saraan anak dan isteri. Selain itu, etika yang paling penting adalah sifat amanah dalam melaksanakan kerja tersebut.

Menurut Islam bekerja adalah ibadah jika dilakukan kerana Allah SWT. (rujuk az- Zariyat: 56 dan al-Bayyinah: 5)

Oleh itu, etika dan budaya kerja yang disarankan mestilah budaya kerja yang tekun dan bekerja keras, rajin dan bersungguh-sungguh, beramanah dan bersih. Dalam hal ini para pekerja amat digalakkan supaya mengikut etika yang disarankan. Melalui etika dan budaya kerja yang baik setiap pekerja akan mendapat berkat dalam setiap pekerjaan yang dilakukan.

Antara etika dan budaya yang baik adalah mengikut acuan yang terpancar daripada nilai kebudayaan Islam iaitu yang meliputi akidah, syiar, pemahaman, emosi, akhlak dan tatasusila Islam. Bekerja sebagai ibadah mestilah disematkan dalam hati setiap pekerja di negara ini.

Bekerja atau mencari rezeki untuk diri dan keluarga adalah suatu amanah. Oleh itu, bekerja juga turut menjadi amanah yang wajib ditunaikan. Ini bererti bekerja adalah suatu amanah yang wajib ditunaikan bagi mendapatkan hasil daripada pekerjaan yang dilakukan sendiri.

Dalam memilih pekerjaan mestilah pekerjaan yang halal. Jika melakukan pekerjaan yang tidak halal yang bertujuan untuk mendapatkan keuntungan yang besar dan cepat yang boleh mendatangkan kemudaratan kepada diri dan keluarga. Sebagai contoh melalukan pekerjaan yang haram dan menyalahi undang-undang negara. Islam melarang umatnya melakukan pekerjaan yang tidak halal dan berdosa. Segala hasil yang diperoleh adalah haram digunakan untuk diri sendiri, keluarga atau orang lain.

Pandangan tokoh ulama, Dr. Yusuf Al-Qaradhawi tentang ekonomi dan harta iaitu setiap masyarakat mempunyai sistem ekonomi yang khusus yang menjadi falsafah, akidah, teladan dan pandangannya terhadap individu, masyarakat harta, tugasnya serta ideanya terhadap agama, dunia kekayaan dan kemiskinan.

Menurutnya, semuanya ini mempengaruhi manusia dalam hubungannya terhadap penghasilan kekayaan, cara memperoleh, serta cara mengagih dan menggunakannya. Daripada situlah maka terbentuknya sistem ekonomi sesebuah masyarakat.

Etika dan budaya kerja Islam mencakupi segala bidang perekonomian. Antaranya; bekerja sendiri atau bekerja makan gaji. Menurut Islam orang yang memakan hasil usahanya sendiri adalah sangat mulia dan tinggi darjatnya. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: Makanan yang paling baik dimakan oleh seseorang adalah makanan yang diperoleh daripada hasil titik peluhnya, oleh sebab itu Nabi Daud as, memakan hasil yang diperoleh daripada titik peluhnya sendiri. (riwayat Muttafaq 'alaih).

Tiada ulasan:

Catat Ulasan