Rabu, 11 Mei 2011

Fosil cengkerang Zaman Dinosaur ditemui

Fosil cengkerang Zaman Dinosaur ditemui


Fosil cengkerang dari jenis Dwikatup yang ditemui di tapak perumahan di Bandar Kuala Lipis, kelmarin.


KUALA LIPIS 10 Mei - Penyelidik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menemui fosil cengkerang dipercayai berusia antara 200 hingga 250 juta tahun di tapak pembinaan perumahan Taman Emas, di sini semalam.
Penemuan buat pertama kalinya itu menguatkan lagi bukti bahawa negara ini termasuk bandar ini berada di dasar laut yang menjadi habitat cengkerang primitif pada zaman Mesozoik atau dikenali Zaman Dinosaur kira-kira 230 juta tahun lalu.
Penyelidik UKM, Ahmad Rosli Othman (gambar) berkata, fosil cengkerang itu ditemui pada lapisan batu-batan yang pecah selepas kerja-kerja meratakan tapak oleh jentolak dilakukan untuk projek perumahan yang terletak di atas sebuah bukit di sini.
"Fosil cengkerang ini ditemui dalam lapisan batu pasir dikenali jenis 'cengkerang dwikatup' berkulit keras yang lazimnya hidup di habitat persekitaran laut cetek.
"Fosil ini hanya ditemui di permatang bukit dan saya yakin banyak lagi fosil boleh ditemui pada lapisan batu-batan sepanjang lima kilometer di tapak pembinaan perumahan di sini,'' katanya kepada pemberita di sini semalam.
Menurut Ahmad Rosli, kawasan terbabit sememangnya berfosil selepas dibuktikan menerusi kajian ahli Paleontologis British, Edwin Tulley Newton pada 1900 dan hasil penemuannya telah didokumentasikan bagi tujuan kajian selanjutnya.
Beliau berkata, fosil sama juga pernah ditemui di Kampung Cegar Perah di sini dan Mentakab di Temerloh, Pahang, Bahau dan Gemas di Negeri Sembilan serta Aring di Kelantan.
"Ia sekali gus menunjukkan bahawa kawasan berkenaan juga pernah terletak di bawah permukaan laut pada Zaman Dinosaur,'' ujarnya.
Menurut Ahmad Rosli, fosil cengkerang yang ditemui di sini lebih tebal kerana ia hidup di habitat laut cetek berbanding yang ditemui di Mentakab baru-baru ini kerana kawasan berkenaan terdiri daripada laut dalam dan tidak bergelora.
Beliau berkata, fosil cengkerang itu perlu dipulihara oleh pihak yang berkenaan untuk tatapan generasi akan datang kerana ia merupakan warisan geologis yang tidak boleh diperbaharui dan mungkin tidak ditemui lagi pada masa akan datang.
"Seelok-eloknya tapak penemuan batuan fosil ini dipulihara oleh kerajaan untuk penyelidikan saintifik bagi merungkai lebih banyak bukti kejadian lampau di negara ini," ujarnya.

RUJUKAN............

Tiada ulasan:

Catat Ulasan