Isnin, 7 Januari 2013

2013 Sudah Bermula…Himpunan 1,000 Jiwa 1 Hati

2013 Sudah Bermula…Himpunan 1,000 Jiwa 1 Hati

Seramai 2700 remaja telah menyertai program Himpunan 1,000 Jiwa 1 Hati di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah yang diadakan pada 31 Disember 2012 sehingga 1 Januari 2013.
 
Program anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Pusat Bimbingan Remaja Puteri Raudhatus Sakinah (RS) itu bertujuan memberi alternatif kepada remaja belia menyambut tahun baru secara sihat dan penuh dengan input yang membangunkan rohani. Salah satu lagi program ‘ilaj bagi memberi pilihan kepada umat Islam.
 
Ketua Pengarah Jakim, Datuk Othman Mustapha berkata, program yang diadakan selama dua hari satu malam itu merupakan kali ketiga penganjurannya dengan membawakan tema 'Jiwa Kuat Generasi Hebat'.
 
"Program ini merupakan usaha bersepadu Jakim dan pelbagai sektor korporat dalam usaha membanteras gejala sosial yang semakin parah dalam kalangan remaja kita terutamanya pada malam sambutan ambang tahun baru.

Penganjuran program adalah sebahagian daripada pelan strategik Jakim 2009 hingga 2014 di bawah teras strategik kelima iaitu pemantapan kefahaman dan penghayatan Islam secara syumul bagi melahirkan umat yang terbaik.
 
Antara pengisian menarik yang dibawakan pada program tersebut adalah forum “Bual Bicara Cinta Anak Muda”  bertajuk 'Destinasi Cinta' yang membawakan barisan panel ternama seperti Wardina Safiyyah, Sham Kamikaze dan Ustaz Mohd. Nor Mamat dan persembahan pentas oleh Kumpulan Nasyid UNIC, In-team dan juga Edcoustic.
 
Turut diadakan, bacaan ikrar beramai-ramai pengakuan menjadi remaja dan belia yang bijak dan menjauhi zina, qiamullail di bawah pimpinan Imam Muda Najdi dan slot Sinaran Dhuha oleh Imam Muda Hassan.
 
 
 
Sebahagian 2700 Peserta Yang Hadir
 
 
Antara Tetamu VIP yang Menyaksikan Bual Bicara Anak Muda,Timbalan Ketua pengarah (Pembangunan Insan )
 
 
 
 
Bual Bicara dan Sedikit Hiburan Sebelum Menunggu Tahun Baru
 
 
 
 
 
Timbalan Ketua pengarah (Pembangunan Insan ) dan Ketua penolong Pengarah Kanan KSK
Turut Sama Membaca Ikrar Bersama-sama
 
 
 
Solat Dhuha dan Ceramah di Pagi Tahun Baru
 
 
 
Ketua Pengarah JAKIM menyatakan sokongan Kempen Bijak Jauhi Zina
 
 

Rabu, 2 Januari 2013

SELAMAT TAHUN BARU MASIHI 2013 DARI UNIT TAKMIR PULAU PINANG




Memasang azam baharu

TAHUN demi tahun berlalu, kian laju dan meninggalkan kita sama ada kita mahu atau kita tidak setuju. Dalam Islam, kiraan tahun bermula kala Nabi Muhammad SAW berhijrah dari Mekah ke Madinah. Ia digagaskan semasa Saiyidina Umar al-Khattab menjadi pemerintah; bukannya tercetus pada zaman Rasulullah SAW. Manakala, tahun Masehi pula digagaskan oleh golongan Nasrani, berdasarkan kepada tarikh kelahiran Nabi Isa as atau disebut Isa al-Masih.

Di Malaysia, kita menyediakan diri untuk menerima dua kedatangan tahun baharu. Pertama tahun Islam ataupun tahun hijri; keduanya tahun masehi yang sesetengah orang menganggap ia bukan tahun Islami, lantaran pengasasnya adalah golongan Kristian.
Walau apa pun perbahasan mengenainya, kedatangan dua tahun baharu ini sewajarnya memberikan suatu erti yang lebih bermakna buat kita.





Erti tahun baru?

Apakah ertinya tahun baru bagi kita? Sesetengah orang menyambutnya lantaran orang lain juga menyambutnya. Ada orang suka menjadikan tahun baharu sebagai neraca bagi mengukur, sejauh manakah perubahan-perubahan positif telah berjaya dicapai oleh dirinya pada setiap perubahan tahun yang menjelma. Ringkasnya, adakah lebih baik, lebih menurun atau statik tidak ke mana-mana?

Ada pula yang menjadikan tahun baharu sebagai permulaan sesuatu yang baharu, misalnya, mereka akan memulakan tabiat untuk menabung 10 peratus daripada pendapatan bermula pada tahun baharu. Malah, ada orang menjadikan tahun baharu sebagai medan memasang azam baharu, mahu menamatkan aktiviti merokok, misalnya.

Malah, tidak kurang juga ada orang yang kerjanya asyik memperteguhkan azam dan tekad terdahulu yang mungkin belum terkabul sebagaimana yang mereka mahu. Orang seperti ini sepatutnya berawas, bimbang mereka hanya suka memasang azam namun tidak komited merealisasikannya. Orang seperti ini juga, sering dianggap golongan yang rugi di dalam Islam kerana tidak berusaha untuk berubah.

Namun, awas! Memasang azam dan memulaianya pada setiap permulaan tahun baharu hanyalah kepada perkara yang harus. Janganlah memasang azam, untuk mulai menunaikan solat fardu bermula tahun baharu atau memberikan zakat yang wajib hanya pada tahun baharu. Perkara yang wajib, perlulah disegerakan, bimbang kematian lebih dahulu mendatangi kita; sedang tahun baharu masih belum bermula.

Umumnya, inilah sebahagian daripada erti tahun baru bagi sesetengah orang. Tidak ada suatu erti yang piawai, malah ia tergantung kepada nawaitu atau maksud akhir seseorang yang mahu dicapai setelah setahun masa dijalaninya.

Harus diingat, tahun baharu itu indikasinya adalah waktu atau masa. Itulah tahun, tidak kiralah jumlahnya 365 hari bagi tahun Masehi atau 354 hari bagi tahun Hijri, ia adalah masa.







Masa ini, diistilahkan oleh pepatah Arab seperti sebilah pedang. Ia disebutkan sebagai al-waqtu ka as-saif iaitu: "Waktu itu ibarat pedang; jika kamu tidak memotongnya, maka ia yang akan memotong kamu."

Sebab itulah, Islam amat berkira-kira dengan waktu dan masa. Di dalam al-Quran dan al-hadis Nabi Muhammad SAW, terdapat pelbagai versi bicara mengenai masa.

Antara yang paling lumrah disebut, ialah: Demi masa! Sesungguhnya manusia itu di dalam kerugian; kecuali mereka yang beriman dan beramal soleh; serta berpesan-pesan dengan kesabaran dan berpesan-pesan dengan kesabaran. (al-'Asr: 1-3)

Surah ini lazimnya menjadi penutup kepada sesuatu acara. Contohnya, mesyuarat yang baik itu, diawali dengan surah al-Fatihah (pembuka) dan ditutupi dengan surah al-'Asr (masa). Inilah hakikat kepentingan masa di dalam Islam, sehingga ia disunnahkan menjadi amalan.



Bahkan, Nabi Muhammad SAW sendiri berpesan dengan pelbagai perkataan, bahawa masa itu apabila sudah berlalu, maka tiada akan kembali lagi walau sesaat. Maka, manusia dianjurkan agar menjaga masa dengan penuh manfaat.

Nabi Muhammad SAW menyatakan yang maksudnya: "Manfaatkanlah lima kesempatan sebelum datang (lima) kesempitan. Manfaatkan usia mudamu sebelum kamu tua, manfaatkan sihatmu sebelum sakit, gunakan kekayaanmu sebelum kamu miskin, gunakan waktu lapangmu sebelum kamu sibuk dan manfaatkan hidupmu sebelum kamu mati." (riwayat al-Hakim)

Inilah kondisi umat Islam dan masa. Bukan namanya umat Islam, jika mereka dengan sengaja membiarkan waktu berlalu dengan percuma. Umat Islam, dijulang di dalam al-Quran sebagai peneraju dunia, sentiasa berusaha untuk berubah menjadi lebih baik setiap masa.

Ini kerana, Allah SWT telah menegaskan: Demikianlah Allah tidak akan merubah kenikmatan yang telah Dia berikan kepada suatu kaum, sehingga mereka merubahnya sendiri. (al-Anfal: 53)

Rabu, 26 Disember 2012

Teriakan petanda kiamat

Teriakan petanda kiamat


bencana- bencana yang berlaku sekarang ini adalah bukti kekuasaan Allah SWT yang perlu diambil pengajaran. - Gambar hiasan
PADA ayat yang sebelumnya, Allah SWT menyuruh mereka bertakwa kepada-Nya dan mengingatkan supaya jangan menerima azab seperti yang pernah dialami oleh umat-umat terdahulu kerana mereka telah mendustakan para rasul.

Manakala dalam ayat yang berikutnya dia menerangkan pula keingkaran tentang hari kebangkitan semula manusia dan juga permintaan mereka agar hari kebangkitan tersebut didatangkan dengan segera dalam nada mengejek.

Kemudian diterangkan kepastian berlaku hari kebangkitan dan bangkit dari kubur masing-masing lantas mereka bertanya: Siapakah yang telah mengejutkan kami dari kubur? Kemudian dijawab: Allah SWT yang menentukan semua ini dan Dia telah menjanjikannya kepada rasul-rasul-Nya yang lepas.

Ibnu Kathir berkata: "Allah SWT mengkhabarkan tentang anggapan orang kafir yang mengatakan mustahil terjadinya hari Kiamat dalam kehidupan mereka."
Firman Allah SWT: Dan (apabila mereka diingatkan tentang huru-hara dan balasan akhirat) mereka bertanya (secara mempersenda): Bilakah datangnya (hari akhirat) yang dijanjikan itu? Jika betul kamu orang-orang yang benar (maka Kami sedia menunggu). (Yasin: 48)

Al-Maghari berkata: "Mereka berkata dengan nada mengejek-ejek serta memperolok-olok: Bilakah berlakunya hari kebangkitan manusia yang sering kali kamu ancamkan kepada kami, sama ada secara jelas atau samar jika kamu orang yang boleh dipercayai kata-katanya?"

Kata-kata di atas ditujukan kepada Rasulullah SAW dan orang Mukmin yang sentiasa membacakan ayat yang menyebut hari kebangkitan manusia dan menyuruh mereka beriman dengan peristiwa tersebut. Pertanyaan mereka dijawab oleh Allah SWT.

Firman Allah SWT: Mereka tidak menunggu melainkan satu pekikan yang (dengan secara mengejut) akan membinasakan mereka semasa mereka dalam keadaan leka bertengkar (merundingkan urusan dunia masing-masing). (Yasin: 49)

Ibnu Jarir meriwayatkan daripada Ibnu Umar yang berkata: "Sebenarnya sangkakala akan ditiup ketika manusia berada di jalan, majlis-majlis dan pasar-pasar. Ketika itu sehelai kain masih berada di tangan dua orang yang sedang tawar-menawar, tiba-tiba mereka terkejut."

Itulah yang dimaksudkan Allah SWT dalam firman-Nya: Mereka tidak menunggu melainkan satu teriakan sahaja akan membinasakan mereka ketika sedang bertengkar.
Ibnu Kathir berkata: "Mereka tidak menunggu kecuali satu teriakan sahaja. Ketika ditiupkan sangkakala, manusia masih lagi bertengkar, tawar-menawar di pasar-pasar. Malaikat Israfil diperintahkan Allah SWT meniup dengan kuat dan berterusan, tidak satu makhluk yang terkecuali mendengarnya lantas semuanya dibangkitkan dan berkumpul di hari kiamat."

Imam al-Bukhari dan Muslim meriwayatkan sebuah hadis daripada Abu Hurairah, bahawa Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud: Kiamat akan berlaku ketika dua orang masih merentang sehelai kain dalam proses tawar-menawar hingga kedua-duanya tidak sempat lagi meneruskan urusan jualbelinya, apatah lagi melipat semula kainnya itu. 

Kiamat juga akan berlaku ketika seseorang baru menyimen kolahnya sebelum sempat mengisi air di dalamnya. Hari kiamat juga berlaku ketika seseorang membawa susu kambingnya tanpa sempat meminumnya. Kiamat juga akan berlaku ketika seseorang baru menyuap makanan ke dalam mulutnya sebelum sempat dia mengunyahnya.

Kemudian Allah SWT menerangkan kedatangan hari Kiamat yang begitu cepat dengan hanya satu teriakan sahaja malah lebih cepat daripada itu.
Firman Allah SWT: Maka dengan itu, mereka tidak berpeluang membuat sebarang pesanan (wasiat atau lainnya), dan (kalau mereka berada di luar) mereka tidak sempat kembali kepada keluarganya. (Yasin: 50)

Ibnu Kathir berkata: "Atas yang mereka miliki kerana saat itu lebih penting daripada masalah tersebut."

Al-Maghari berkata: "Ketika itu mereka tidak lagi berpeluang membuat pesanan wasiat kepada seseorang di kalangan ahli keluarganya. Begitu juga dengan seseorang yang berpisah dengan keluarga tidak sempat lagi untuk berkumpul semula."

Pekikan itu datang dengan mendadak sehingga mereka akan mati berkaparan di mana sahaja ketika itu. Kemudian Allah SWT menerangkan pula tiupan sangkakala yang kedua akan ditiupkan nanti.
Marilah sama-sama kita menginsafi betapa kerdilnya kita yang akan melalui peringkat perjalanan yang jauh, bermula daripada kehidupan dunia menuju ke alam kubur seterusnya dibangkitkan menjadi hamba Allah yang perlu taat dan patuh kepada perintah-Nya. Ini kerana kebahagiaan yang hakiki ialah apabila seseorang selamat dari neraka Allah dan dapat menghuni syurga-Nya.

Isnin, 24 Disember 2012

Menyantuni si miskin

Menyantuni si miskin


Jadikanlah diri kita manusia yang pemurah dengan cara melazimkan diri selalu bersedekah.
- Gambar hiasan
ADAKAH manusia boleh menolak kedatangan orang-orang miskin dan menyatakan bahawa kemiskinan itu boleh dihindari jika mereka berusaha untuk menjadi kaya. Apakah pandangan Islam jika ada orang yang bersifat demikian dan apakah caranya supaya manusia tidak memandang serong kepada orang-orang miskin?

Jawapan 

SEGALA puji bagi Allah SWT yang telah menjadikan kekayaan dan kemiskinan sebagai satu ujian bagi setiap manusia. Di dalam Islam, kemiskinan bukanlah sesuatu yang wajar dicari, namun, jika ditakdirkan menjadi miskin, seseorang itu tidak pula seharusnya membiarkan dirinya terus-menerus berkeadaan miskin. Mereka dianjurkan agar berusaha dan mencipta kejayaan dalam hidupnya. Namun, jika mereka bersabar dalam tempoh kemiskinan itu, pastilah besar pahalanya di sisi Allah SWT.

Banyak ayat al-Quran dan hadis Nabi Muhammad SAW yang menyeru manusia agar berusaha dan menjadikan diri mereka mampu bersedekah dan berzakat. Sudah pastilah, ia adalah satu isyarat agar kita berusaha untuk keluar daripada kemiskinan.

Namun, jangan kita lupa bahawa manusia boleh menjadi miskin dengan pelbagai sebab. Ada orang menjadi miskin atas faktor keadaan. Misalnya, harta-benda dan kekayaannya musnah akibat bencana alam seperti gempa bumi, tsunami dan sebagainya. Atau dia menjadi miskin kerana kegawatan ekonomi, perusahaannya bankrap atau dia dibuang kerja. Maka, dia menjadi miskin secara tiba-tiba tanpa diduga.

Ada juga orang menjadi miskin atas faktor latar belakang keluarga yang tidak berpendidikan atau memang terkekang dengan belenggu yang menghalang perubahan. Misalnya pada zaman dahulu, ada orang menjadi miskin kerana mereka lahir dalam keturunan miskin, pekerja bawahan dan juga keturunan hamba abdi, seperti Bilal bin Rabah. Sukarlah mereka untuk keluar daripada keadaan sedemikian.

Maka, untuk memuliakan manusia hamba itulah, Allah SWT telah mengizinkan agar mereka dibebaskan dengan peruntukan zakat. Bahkan, Nabi Muhammad SAW juga menyeru agar manusia sentiasa berfikir untuk menjadi lebih baik dan keluar daripada status yang lemah.

Nabi Muhammad SAW menyatakan: Mukmin yang kuat adalah lebih baik dan lebih dicintai oleh Allah daripada Mukmin yang lemah dan pada tiap-tiap (mereka) ada kebaikan. Bersungguh-sungguhlah kamu mendapatkan apa yang mendatangkan manfaat bagi kamu, dan pohonlah pertolongan kepada Allah dan janganlah kamu lemah dan sekiranya suatu (musibah) menimpa kamu maka janganlah kamu mengatakan: Kalau saya melakukan itu (dulu) sudah tentu saya akan begini dan begitu, tetapi katakanlah: (Ini adalah) takdir Allah, Dia berkuasa melakukan apa yang Dia kehendaki. Sesungguhnya "KALAU" membuka amalan syaitan. (riwayat Muslim)
Hakikatnya, walau apa pun situasi kemiskinan, ia adalah ujian daripada Allah SWT. (rujuk al-An'am: 53)

Pemberian

Berbalik kepada persoalan di atas, bagaimanakah sikap orang kaya apabila didatangi orang-orang miskin? Jawapannya, sudah pastilah Islam menghendaki agar golongan miskin ini dilayan secara sepatutnya. Jika perlu memberi, maka berilah. Jika enggan memberi, maka tolaklah dengan baik. Bahkan, pemberian yang diiringi ucapan yang jahat, dipandang hina oleh Allah SWT. (rujuk al-Baqarah: 264)

Perkara yang paling dilarang adalah, jika si kaya itu enggan memberikan hartanya maka dia turut mendabik dada bahawa harta itu adalah miliknya; bahkan sebaliknya mengherdik orang-orang miskin itu agar berusaha sendiri mencari hartanya. Allah SWT menyelar golongan ini kerana mereka telah berkelakuan seperti Qarun. (rujuk al-Qasas: 78)

Rabu, 19 Disember 2012

ATURCARA PROGRAM TAFAQQUH FIDDIN PERDANA PERINGKAT NEGERI PULAU PINANG TAHUN 2012-TAKMIR PULAU PINANG MEMBASMI AJARAN SESAT-SYIAH DAN ARQAM

ATURCARA
PROGRAM TAFAQQUH FIDDIN PERDANA
GURU TAKMIR 
PERINGKAT NEGERI PULAU PINANG TAHUN 2012
 HOTEL SERI MALAYSIA KEPALA BATAS





11 Disember 2012 (Selasa)



8.00 pagi - 8.30 pagi
:
Pendaftaran Peserta 


 
9.00 pagi - 10.30 pagi
:
 
 
:
 
:
 
 
 
:
 
 
:

Perasmian Program Tafaqquh Fiddin Perdana Peringkat Negeri Pulau Pinang Tahun 2012


Bacaan Ayat Suci Al-Quran

Ucapan Aluan Oleh:
Y.Bhg. Dato‘ Haji Sazali bin Haji Hussein
Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang

Ucapan dan Perasmian Majlis Oleh:
Y.B. Dato‘ Haji Mohd Salleh bin Man
Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang

Penyampaian Cenderahati Kepada
Y.B. Yang Dipertua MAINPP

10.30 pagi -11.00 pagi
:
Minum Pagi



11.00 pagi -
1.00 tgh
:
Diskusi Buku Kerja I (Sesatnya Al-Arqam)
Tersungkur Di Pintu Syurga”
Oleh:Ustaz Zabidi bin Mohamed
Pendakwah Bebas
1.00 tgh - 2.30 ptg
:
Makan Tengah Hari / Check In Hotel / Solat Zohor 


 
2.30 ptg -
5.00 ptg
:
Diskusi Buku Kerja II
Siapa Syiah Sebenar”
Oleh: Al-Fadhil Ustaz Abdullah bin Din
Persatuan Ulama Malaysia Negeri Kedah
5.00 ptg - 6.30 ptg
:
Solat Asar / Rehat
6.30 ptg - 8.00 mlm
:
Makan Malam dan Solat Maghrib
8.00 mlm - 8.30 mlm
:
Rehat / Solat Isyak


8.30 mlm -
10.30 mlm
:
Diskusi Buku Kerja III
Syiah Yang Melampau”
Oleh: Al-Fadhil Ustaz Abdullah bin Din
Persatuan Ulama Malaysia Negeri Kedah
10.30 mlm - 11.00 mlm
:
Minum Malam / Rehat

12 Disember 2012 (Rabu)
7.00 pagi -8.30 pagi
:
Sarapan Pagi



8.30 pagi -
10.30 pagi
:
Diskusi Buku Kerja IV
Ancaman Syiah Kepada Negara”
Oleh: PDRM Bukit Aman Kuala Lumpur
10.30 pagi - 11.00 pagi
:
Minum Pagi



11.00 pagi - 1.00 tgh
:
Diskusi Buku Kerja V
Isu-isu Semasa Mengenai Syiah”
Oleh: Al-Fadhil Ustaz Aizam bin Mas’ud
Bahagian Penyelidikan JAKIM, Putrajaya
1.00 tgh - 2.30 ptg
:
Makan Tengahari / Solat Zohor / Check Out



2.00 ptg - 4.30 ptg
:
Diskusi Perdana “Perpecahan Aqidah”
Tajuk: 73 Pintu, 73 Jalan (73 Furqah Aqidah)
Moderator : Tuan Haji Roslan bin Che Rus
Panel I : Ustaz Mohd Zahir bin Abd. Ghani
Panel II : Ustaz Aizam bin Mas’ud
Panel III : Ustaz Irwan Aswandy bin Ashaari
4.30 ptg - 5.00 ptg
:
Bersurai


Isnin, 17 Disember 2012

Perkasa institusi latihan Islam

Perkasa institusi latihan Islam


Ab. Halim Tamuri
PERKEMBANGAN pusat latihan Islam yang semakin pesat ditubuhkan sejak akhir-akhir ini membuktikan satu lagi anjakan baru dalam industri dakwah tanah air.
Ternyata selepas mula bergerak aktif sejak 10 tahun lalu, penubuhan pusat latihan Islam menunjukkan peningkatan yang ketara dengan kerjasama pelbagai pihak termasuk badan kerajaan, bukan kerajaan atau persendirian.

Perkembangan ini juga secara tidak langsung menunjukkan kesatuan umat Islam dalam menyebarkan dakwah Islamiah dan pelbagai ilmu Islam dalam pelbagai medium. Antaranya, menerusi kursus serta latihan Islam.

Ini merupakan khabar gembira kepada seluruh umat Islam di negara ini yang mengimpikan syariat Islam terus dimartabatkan dalam membina negara Islam cemerlang dan yang lebih sempurna.
Namun, dalam kepesatan penubuhan pusat latihan Islam tersebut, sejauh mana jaminan terhadap keberkesanan pusat latihan tersebut dalam melatih ummah bagi melahirkan insan yang cemerlang, perlu diambil perhatian.

Ataupun lebih membimbangkan adakah ia ditubuhkan sekadar berlandaskan keuntungan di sebalik memenuhi kehendak dan keperluan masyarakat, khususnya dalam perkara yang berkaitan hal-ehwal Islam?

Perkara inilah yang ditekankan oleh pensyarah Jabatan Perkaedahan dan Amalan Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Datuk Dr. Ab. Halim Tamuri ketika membentangkan kertas kerja dalam Konvensyen Pusat Latihan Islam Malaysia, baru-baru ini.
Dr. Ab. Halim berkata, di sebalik kepesatan kewujudan pusat latihan Islam itu, apa yang dikhuatiri adalah berlaku persaingan sesama sendiri untuk merebut peserta, sedangkan mereka sendiri tidak mempunyai kemahiran dan kepakaran yang mendalam dalam ilmu tersebut.

Hal ini umpama 'ketam mengajar anaknya berjalan lurus' yang tidak mendatangkan sebarang kesan malah akan merosakkan imej pusat latihan Islam yang menjadi harapan masyarakat untuk memperoleh latihan yang berasaskan kepada roh Islam hanya kerana tidak dapat dikelola dengan baik.

Oleh itu, ujar Dr. Ab. Halim, jurulatih Islam terlebih dahulu perlu diberi latihan dan mendapat persediaan yang secukupnya bagi memastikan pengurusan dan pentadbiran Islam mempunyai tahap kualiti yang tinggi.

Ini kerana menurutnya, kejayaan kursus atau latihan yang dijalankan adalah bergantung kepada dua faktor utama iaitu; kandungan atau modul latihan dan tenaga pengajar atau jurulatih yang mengendalikan kursus tersebut.

"Kedua-dua komponen ini amat berkait rapat dalam menjamin keberkesanan kecemerlangan latihan dan dakwah, selain perlu disokong oleh kemudahan fizikal yang sesuai dalam memenuhi keperluan latihan lain.

"Namun faktor inilah yang dilihat masih belum dikuasai sepenuhnya oleh segelintir pusat latihan tersebut. Tugas jurulatih yang cemerlang sangat penting kerana pemantapan dan keberkesanan dakwah Islam adalah bergantung kepada kemampuan jurulatih memberikan pendedahan, latihan dan kursus kepada peserta.

"Kandungan atau modul latihan yang diberikan juga penting dan haruslah bersesuaian dengan tahap penerimaan peserta," katanya.

Dr. Ab. Halim membentangkan kertas kerja bertajuk Jurulatih Islam: Ciri-ciri dan kemahiran yang perlu ada bagi memastikan kejayaan latihan Islam di Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), Bangi, Selangor baru-baru ini.

Konvensyen Pusat Latihan Islam Malaysia merupakan konvensyen yang julung kalinya diadakan dengan mengumpulkan sebanyak 40 pusat latihan Islam dari seluruh negara.

Perhimpunan selama dua hari itu juga diadakan bagi membincangkan permasalahan dan kelemahan yang berlaku kepada pusat latihan Islam, di samping mewujudkan kerjasama strategik antara institusi latihan.

Konvensyen itu juga diadakan berikutan tiada penyelarasan yang strategik daripada badan tertentu terhadap kegiatan pusat latihan Islam seluruh negara dilakukan sebelum ini.
Perkara tersebut dilihat kurang memberi impak yang tinggi kepada masyarakat dan secara tidak langsung boleh mencemarkan identiti pusat latihan Islam yang menjadi pemangkin kepada pembentukan rohani dan sahsiah diri ummah.

Sebanyak sembilan kertas kerja dibentangkan pada konvensyen tersebut.
Antara pembentang kertas kerja yang hadir adalah Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pembangunan Insan, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Yaakob Abdul Rahim; Ketua Penolong Pengarah ILIM, Mohamad Zamri Mohamed Shapik dan pensyarah Fakulti Sains Kemanusiaan, Universiti Pendidikan Sultan Idris, Profesor Dr. Habib Mat Som.

Khamis, 13 Disember 2012

Malam “TAHAJJUD CINTA”

Malam “TAHAJJUD CINTA”

“TAHAJJUD CINTA”

Kau datang ketika duka
dan bintang bercahya
tunjukku ke jalan syurga
Ku haus di tengah laut
lemas mencari tempat berpaut
kirimkan aku kekuatan
serta pedoman di kesesatan

Ku sunyi dalam gembira
perih pedih tanggung derita
sungguh aku bukan wali
yang suci dari hina dan benci

Kau datang ketika duka
dan bintang bercahya
tunjukku ke jalan syurga

Terlalu lama aku mencuba
terlalu banyak
cinta yang ku damba
tiada yang sempurna
hanyalah fana
Tuhan, ampuni hamba-Mu

Kau datang ketika duka
dan bintang bercahya
tunjukku ke jalan syurga

Ku rebah di dada malam
memecah dendam yang lama diam
ku tanggalkan baju dunia
dakapku dengan selimut syurga
ya Tuhanku hanya padamu
tempat mengadu segala rindu
limpahi ku rahmat kasihmu
dalam tahajjud cinta bersujud
 
 
 
Sidang Media Pelancaran Malam Tahajjud Cinta
 
 
Ucapan Dato' Siti Nurhaliza
 
          Jabatan Kemajuan Islam (JAKIM) melalui  Majlis AIDS Malaysia (MAM) dengan kerjasama Yayasan Ihtimam Malaysia (YIM) akan mengadakan malam amal “Tahajjud Cinta” yang akan berlangsung pada 30 Januari 2013.  Tujuan malam amal ini adalah bagi meraih dana yang akan di salurkan kepada Yayasan AIDS Malaysia dan Yayasan Ihtimam Malaysia bagi usaha Advokasi  dalam menangani permasalahan  HIV/AIDS di Malaysia serta hasrat bagi pembinaan sebuah rumah perlindungan HIV/AIDS.
 
           Pelancaran Malam Tahajjud Cinta tersebut telah diadakan pada 5 Disember 2012 baru ini bertempat di Grand Hyatt Kuala Lumpur yang telah dihadiri oleh Tan Sri Zaman Khan selaku Timbalan Pengerusi YIM, Mr. Robert Dallimore Pengurus Besar Grand Hyatt Kuala Lumpur, Cik Mawar selaku penaja program Malam Tahajjud Cinta serta turut disokong oleh artis terkenal seperti Dato’ Siti Nurhaliza, Fahrin Ahmad, Bob AF dan beberapa orang lagi artis terkenal yang telah dilantik sebagai selebriti sokongan riben merah di bawah seliaan MAM.
 
         Diharap program ini akan berjalan lancar dan mendapat  sokongan semua pihak dalam menangani masalah HIV/AIDS yang semakin menular di Malaysia.
 
 
 
Selebriti Sokongan Riben Merah
 
 
Sesi Soal Jawab Bersama Wartawan