Isnin, 17 Disember 2012

Perkasa institusi latihan Islam

Perkasa institusi latihan Islam


Ab. Halim Tamuri
PERKEMBANGAN pusat latihan Islam yang semakin pesat ditubuhkan sejak akhir-akhir ini membuktikan satu lagi anjakan baru dalam industri dakwah tanah air.
Ternyata selepas mula bergerak aktif sejak 10 tahun lalu, penubuhan pusat latihan Islam menunjukkan peningkatan yang ketara dengan kerjasama pelbagai pihak termasuk badan kerajaan, bukan kerajaan atau persendirian.

Perkembangan ini juga secara tidak langsung menunjukkan kesatuan umat Islam dalam menyebarkan dakwah Islamiah dan pelbagai ilmu Islam dalam pelbagai medium. Antaranya, menerusi kursus serta latihan Islam.

Ini merupakan khabar gembira kepada seluruh umat Islam di negara ini yang mengimpikan syariat Islam terus dimartabatkan dalam membina negara Islam cemerlang dan yang lebih sempurna.
Namun, dalam kepesatan penubuhan pusat latihan Islam tersebut, sejauh mana jaminan terhadap keberkesanan pusat latihan tersebut dalam melatih ummah bagi melahirkan insan yang cemerlang, perlu diambil perhatian.

Ataupun lebih membimbangkan adakah ia ditubuhkan sekadar berlandaskan keuntungan di sebalik memenuhi kehendak dan keperluan masyarakat, khususnya dalam perkara yang berkaitan hal-ehwal Islam?

Perkara inilah yang ditekankan oleh pensyarah Jabatan Perkaedahan dan Amalan Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Datuk Dr. Ab. Halim Tamuri ketika membentangkan kertas kerja dalam Konvensyen Pusat Latihan Islam Malaysia, baru-baru ini.
Dr. Ab. Halim berkata, di sebalik kepesatan kewujudan pusat latihan Islam itu, apa yang dikhuatiri adalah berlaku persaingan sesama sendiri untuk merebut peserta, sedangkan mereka sendiri tidak mempunyai kemahiran dan kepakaran yang mendalam dalam ilmu tersebut.

Hal ini umpama 'ketam mengajar anaknya berjalan lurus' yang tidak mendatangkan sebarang kesan malah akan merosakkan imej pusat latihan Islam yang menjadi harapan masyarakat untuk memperoleh latihan yang berasaskan kepada roh Islam hanya kerana tidak dapat dikelola dengan baik.

Oleh itu, ujar Dr. Ab. Halim, jurulatih Islam terlebih dahulu perlu diberi latihan dan mendapat persediaan yang secukupnya bagi memastikan pengurusan dan pentadbiran Islam mempunyai tahap kualiti yang tinggi.

Ini kerana menurutnya, kejayaan kursus atau latihan yang dijalankan adalah bergantung kepada dua faktor utama iaitu; kandungan atau modul latihan dan tenaga pengajar atau jurulatih yang mengendalikan kursus tersebut.

"Kedua-dua komponen ini amat berkait rapat dalam menjamin keberkesanan kecemerlangan latihan dan dakwah, selain perlu disokong oleh kemudahan fizikal yang sesuai dalam memenuhi keperluan latihan lain.

"Namun faktor inilah yang dilihat masih belum dikuasai sepenuhnya oleh segelintir pusat latihan tersebut. Tugas jurulatih yang cemerlang sangat penting kerana pemantapan dan keberkesanan dakwah Islam adalah bergantung kepada kemampuan jurulatih memberikan pendedahan, latihan dan kursus kepada peserta.

"Kandungan atau modul latihan yang diberikan juga penting dan haruslah bersesuaian dengan tahap penerimaan peserta," katanya.

Dr. Ab. Halim membentangkan kertas kerja bertajuk Jurulatih Islam: Ciri-ciri dan kemahiran yang perlu ada bagi memastikan kejayaan latihan Islam di Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), Bangi, Selangor baru-baru ini.

Konvensyen Pusat Latihan Islam Malaysia merupakan konvensyen yang julung kalinya diadakan dengan mengumpulkan sebanyak 40 pusat latihan Islam dari seluruh negara.

Perhimpunan selama dua hari itu juga diadakan bagi membincangkan permasalahan dan kelemahan yang berlaku kepada pusat latihan Islam, di samping mewujudkan kerjasama strategik antara institusi latihan.

Konvensyen itu juga diadakan berikutan tiada penyelarasan yang strategik daripada badan tertentu terhadap kegiatan pusat latihan Islam seluruh negara dilakukan sebelum ini.
Perkara tersebut dilihat kurang memberi impak yang tinggi kepada masyarakat dan secara tidak langsung boleh mencemarkan identiti pusat latihan Islam yang menjadi pemangkin kepada pembentukan rohani dan sahsiah diri ummah.

Sebanyak sembilan kertas kerja dibentangkan pada konvensyen tersebut.
Antara pembentang kertas kerja yang hadir adalah Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pembangunan Insan, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Yaakob Abdul Rahim; Ketua Penolong Pengarah ILIM, Mohamad Zamri Mohamed Shapik dan pensyarah Fakulti Sains Kemanusiaan, Universiti Pendidikan Sultan Idris, Profesor Dr. Habib Mat Som.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan