Liku hidup penceramah
KECELARUAN dalam sesuatu perkara akan timbul apabila kita meninggalkan al-Quran dan hadis nabi. Ketenangan dan kebenaran akan muncul apabila al-Quran dan Hadis Nabi menjadi pegangan."Demikian antara intipati tulisan tokoh agama terkenal, Mohammad Kazim Elias dalam sebuah karya terbarunya berjudul Tuhan Sedang Menguji Kita' yang menceritakan kisah peribadinya melalui liku-likunya kehidupan sebagai penceramah dan pendakwah agama selama 22 tahun.
Buku setebal 352 halaman itu telah berada di pasaran sejak Mei lalu turut mengisahkan pengalaman tokoh agama itu yang juga dikenali sebagai Ustaz Kazim berhubung pelbagai dugaan ditempuhi antaranya seperti cabaran sebagai penceramah agama, masalah keluarga, sakit dan lain-lain lagi.
Yang menariknya dalam buku berkenaan, Ustaz Kazim turut menceritakan kisahnya yang berpeluang bertemu dan mengajar seorang banduan di penjara selama 10 tahun sehingga individu tersebut berjaya menghabiskan bacaan beratus-ratus kitab agama di sebalik tirai besi tersebut.
Selain itu, terdapat banyak tip yang berguna dikongsi penulis dalam karya tersebut dan salah satunya ialah petua untuk menghafaz al-Quran.
Menurut penulis, beliau yang juga merupakan seorang hafiz mengamalkan membaca sebanyak 40 kali satu halaman al-Quran.
Walaupun telah menghafalnya sejak zaman remaja, tokoh agama itu tetap mengamalkan teknik membaca 40 kali untuk mengukuhkan ingatan di samping memberi fokus kepada bacaan tajwid. Beliau akan memastikan hafalan berkenaan dipraktikkan ketika dalam bacaan solat sama ada solat sunat atau ketika menjadi imam solat fardu secara berjemaah.
Pengisian motivasi diselami didikan kerohanian itu wajar dibaca oleh seluruh segenap masyarakat dalam mencari erti sebenar hidup memandangkan terdapat lapan bab yang antaranya seperti lupa ketika senang, manisnya ujian Allah, salah berkahwin muda dan pelbagai lagi.
Penerbitan buku ini juga dilihat secara tidak langsung dapat membantu masyarakat yang memerlukan bimbingan dan panduan.
Orang ramai boleh mendapat buku tulisan terbitan Karangkraf Sdn. Bhd. berharga RM19.90 itu dipasaran bagi mengetahui lebih lanjut pengalaman pengasas Sekolah Tahfiz dan pondok moden yang dinamakan Pusat Pendidikan al-Barakah dalam dunia dakwah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan