Rabu, 13 Februari 2013

Abai sunnah Islam dihina

Abai sunnah Islam dihina


Pembudayaan al-Quran wajar bermula sejak kecil dalam usaha menerapkan akhlak Rasulullah SAW terhadap golongan muda.
TANGGAL 12 Rabiulawal setiap tahun, seluruh umat Islam pasti meraikan ulang tahun kelahiran Nabi Muhammad SAW. Matlamatnya bukan sahaja mengajak masyarakat mengingati pergorbanan baginda, tetapi juga mencontohi kejayaan Rasulullah dalam mewujudkan satu ketamadunan manusia yang membawa misi keamanan kepada seluruh alam.

Jika dilihat pada zaman sebelum Rasulullah dilahirkan, masyarakat Arab ketika itu mengamalkan perbuatan yang bertentangan norma kehidupan manusia seperti membunuh anak perempuan hidup-hidup, berzina dan berperang sesama sendiri.

Tetapi apabila Nabi Muhammad SAW dilantik menjadi rasul, baginda telah mentransformasikan amalan jahiliah berkenaan dengan mengikut acuan al-Quran.
i pada waktu Islam menguasai tamadun, kaum hawa dimuliakan, bahkan maruah mereka dipelihara.
Ini dijelaskan seperti mana ucapan Rasulullah dalam khutbah terakhirnya yang dikenali Wida' apabila baginda menyebut: "Wahai manusia, sebagaimana kamu mempunyai hak atas isteri kamu, mereka juga mempunyai hak ke atas kamu. Sekiranya hak ke atas kamu sempurna, mereka juga berhak untuk diberi makan dan pakaian dalam suasana kasih sayang. Layan wanita dengan baik dan berlemah-lembut kerana sesungguhnya mereka adalah teman dan pembantu kamu setia. Selain itu, hak kamu ke atas wanita ialah mereka sama sekali tidak membenarkan orang yang kamu tidak suka memasuki ke dalam rumah serta dilarang melakukan zina."

Bukan sahaja maruah wanita diangkat dan dimartabatkan oleh Rasulullah, tetapi banyak lagi perubahan yang dilakukan baginda termasuk memberi kebebasan kepada bukan Islam mengamalkan cara hidup mereka.

Rasulullah SAW juga tidak sekadar membaca al-Quran, tetapi kitab suci itu dihafal, difahami dan diterangkan kepada para sahabat serta isi kandungannya dijadikan amalan.

Bukan sekadar amalan berkaitan fardu ain dan fardu kifayah tetapi juga yang membawa kepada kebangkitan umat Islam dalam semua aspek.

Tindakan tersebut menyebabkan Islam disanjung tinggi oleh masyarakat bukan Islam sehinggalah mereka terpesona dan akhirnya menganut agama Islam.

Bagaimanapun timbul persoalan mengapa pada hari ini syariat Islam dihina, dipermainkan malah diperlekehkan oleh bukan Islam. Sedangkan Islam merupakan agama syumul dan sesuai mengikut peredaran zaman.

Malangnya, kecaman itu turut didalangi oleh umat Islam sendiri sehingga terdapat dalam kalangan mereka mengarang karya menghina Rasulullah.

Berbanding zaman Rasulullah, masyarakat pada ketika itu yakin terhadap agama Islam kerana mereka melihat mukjizat dan kemuliaan daripada akhlak yang ditonjolkan oleh Rasulullah. Namun setelah kewafatan Rasulullah hampir 1,400 lalu, terdapat generasi hari ini mula goyah dengan Islam kerana gagal menghayati hikmah dan rahsia di sebalik syariat yang diturunkan oleh Allah SWT itu.
Maka timbul slogan anti-Rasulullah yang mendakwa bahawa ajaran yang dibawa oleh baginda adalah zalim dan melanggar hak asasi manusia. Mengapa wujud stigma seumpama itu?

Pensyarah Pusat Pengajian Umum, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Dr. Mohd. Arip Kasmo, berkata, itu disebabkan golongan tersebut tidak yakin kerana tidak melihat bukti mukjizat dan hikmah sunah Rasulullah.

Beliau yang memperkenalkan kajian dikenali sebagai Penghayatan Sunah Nabi (Pesona) berkata, jika mengetahui rahsia kandungan isi al-Quran yang diterjemahkan melalui perilaku nabi dengan mendalam, nescaya golongan anti-Rasulullah itu akan mengakui kebenaran ajaran baginda.
Mohd. Arip mengambil contoh kes pendakwaan di mahkamah, seseorang hakim tidak mensabitkan atau melepaskan tertuduh daripada sesuatu dakwaan jika tidak mempunyai bukti.

Demikian juga dalam situasi yang dihadapi oleh manusia kini yang tidak mempercayai sunnah Nabi Muhammad kerana tidak melihat bukti kebenaran berkenaan.

Mengkaji sunnah

Ujar beliau, masalah itu dapat diselesaikan jika umat Islam kini melangkah ke hadapan mengkaji sunah dan mengetengahkan hikmah di sebalik syariat tersebut serta menghebahkan kepada masyarakat.

Sebab itu beliau memperkenalkan Pesona dalam usaha menerapkan penghayatan sunnah kepada masyarakat.

Menurut Mohd. Arip, masyarakat barat pada masa kini merupakan golongan yang banyak mengkaji sunnah Rasulullah. Malah mereka mengamalkan amalan baginda dalam kehidupan seharian.
Malangnya, umat Islam pula mengabaikan amalan mulia itu sebaliknya bangga mengamalkan gaya hidup sulaman barat.

Mohd. Arip mengakui, daripada kajian yang dilakukan 100 peratus menunjukkan Islam bukan sekadar sebuah agama ritual semata-mata, tetapi merupakan cara hidup.

"Jika sebelum kedatangan Islam rakyat Sepanyol tidak mandi, apabila Islam menguasai negara itu, diwujudkan bilik mandi awam yang bertujuan mendidik rakyat menjaga kebersihan. Demikian indahnya Islam.

"Allah menurunkan al-Quran melalui perantaraan Nabi Muhammad sebagai mukjizat untuk menyakinkan keimanan manusia, tetapi masyarakat hari ini tidak yakin kerana mereka tidak melihat bukti kebenaran kitab suci itu. Kadang-kadang kita yang dilahirkan sebagai Islam turut musykil.
"Oleh demikian, para pendakwah digesa menggunakan pendekatan ilmu berbanding falsafah seperti mana digunakan oleh generasi terdahulu, apatah lagi masa kini semua menggunakan hujah ilmu untuk berhujah," jelas Mohd. Arip.

Kebenaran al-Quran

"Kami akan perlihatkan kepada mereka tanda-tanda kekuasaan kami di merata-rata tempat dan pada diri mereka sendiri, sehingga ternyata jelas kepada mereka bahawa al-Quran adalah benar. Belum lagi ternyata kepada mereka kebenaran itu dan belum cukup bagi mereka bahawa Tuhanmu mengetahui dan menyaksikan tiap-tiap sesuatu?

Intipati ayat 53 surah al-Fusilat di atas jelas menunjukkan bahawa isi kandungan kitab suci al-Quran adalah benar jika diyakinkan kepada manusia tentang tanda-tanda kekuasaan Allah.
Sehubungan itu, Mohd. Arip yang turut memperkenalkan kajian Pengukuhan Akidah Menerusi Mukjizat Sains Dalam al-Quran (Pasak) memberitahu sudah tiba masanya para sarjana Islam mengorak langkah menyakinkan masyarakat dengan mengupas sunnah, seterusnya dihebahkan kepada umum.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan