Rabu, 26 Januari 2011

Islam: Pemuda Pas selar kenyataan Kuan Yew

KUALA LUMPUR 25 Jan. - Dewan Pemuda Pas hari ini menyelar sikap bekas Perdana Menteri Singapura, Lee Kuan Yew yang bertindak menyemarakkan dendam kesumat dan permusuhan terhadap Islam serta umatnya tanpa bersandarkan maklumat yang tepat




Ketuanya, Nasrudin Hassan berkata, tuduhan Kuan Yew bahawa Islam menjadi penghalang kepada integrasi dan pembangunan di Singapura tidak ubah seperti musuh yang melihat Islam dengan api dendam serta permusuhan berpanjangan.



Beliau berkata, kenyataan itu juga jelas memperlihatkan tahap pemikirannya yang telah luput tarikh selain menggambarkan Menteri Mentor Singapura itu umpama seorang pejuang militan rasis sedang mengalami penyakit Islamophobia begitu parah.



''Biarpun telah lama hidup hampir dengan komuniti umat Islam, ternyata Kuan Yew masih gagal melihat secara positif bagaimana Islam dan umatnya menjalani kehidupan dan menyertai politik mahupun ekonomi.



''Kuan Yew perlu sedar penghalang sebenar kepada keharmonian kaum sehingga mencetus sentimen perkauman yang melampau malah mendorong berlakunya jenayah adalah hasil daripada penolakan agama Islam atau salah faham yang serius terhadap agama Islam itu sendiri,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.



Beliau berkata demikian sebagai reaksi kepada gesaan Kuan Yew terhadap umat Islam di republik itu supaya tidak terlalu kuat berpegang kepada ajaran Islam bagi membantu proses integrasi dan pembangunan negara.



Kenyataan bekas Perdana Menteri Singapura itu terkandung di dalam buku Lee Kuan Yew: Hard Truths To Keep Singapore Going.



Di dalam buku tersebut, Kuan Yew turut menyebut, Singapura boleh mengintegrasi semua kaum dan agama kecuali Islam.



Lebih malang lagi beliau berkata, Kuan Yew turut menaruh rasa curiga terhadap Malaysia dan Indonesia sebagai negara Islam serta negara jiran yang dikatakan cuba menggugat kedaulatan negaranya.



''Cara berfikir dan sikap yang diambil oleh Kuan Yew merupakan sesuatu yang berisiko tinggi bagi keselamatan serantau ini. Bagi saya ia merupakan satu bentuk fikiran yang aktif ke arah mencetus konfrantasi,'' katanya lagi.



Dalam perkembangan sama beliau berkata, tokoh sebijak Kuan Yew sepatutnya tidak tergesa-gesa membuat kesimpulan mengenai Islam tanpa terlebih dahulu merujuk kepada para ulama.



''Mereka merupakan pihak yang berautoriti untuk menjelaskan kedudukan Islam dan umatnya secara tepat dan benar,'' katanya.



Dalam pada itu, Nasrudin menjelaskan Islam merupakan agama yang sangat mementingkan toleransi terutama dalam konteks hubungan silaturrahim.



''Definisi mudah mengenai ajaran Islam ini boleh difahami daripada kenyataan Duta Besar Islam ke Habsyah, Saidina Jaafar Abi Talib di hadapan Raja Najasyi.



''Islam menyuruh kami bercakap benar, menunaikan amanah, menghubungkan tali kekeluargaan, berbaik dengan jiran, meninggalkan perkara yang haram dan meninggalkan pertumpahan darah.



''Islam melarang kami dari kekejian (zina), bercakap bohong, memakan harta anak yatim dan menuduh perempuan yang bersih dengan tuduhan zina,'' katanya.



Beliau berkata, kenyataan di atas jelas menunjukkan bagaimana ajaran Islam diamalkan.



''Berpegang teguh atau komited dengan ajaran Islam tidak akan menjadikan masyarakat berpecah belah apa lagi terperangkap dalam permusuhan dan perkauman sempit yang boleh mencetus huru hara,'' ujarnya.



Untuk itu katanya, pihak Pemuda Pas menggesa supaya Kuan Yew lebih banyak mengkaji Islam dan mempelajarinya daripada tokoh Islam yang mempunyai autoriti untuk membetulkan persepsi beliau terhadap Islam.



''Kami sendiri bersedia untuk memberi penjelasan mengenai Islam kepada Kuan Yew seandainya diberi peluang untuk berbuat demikian,'' katanya lagi.

 
Utusan Online-26 Januari 2011

Tiada ulasan:

Catat Ulasan