Selasa, 13 April 2010

FILEM KITA SEBENARNYA MEMAPARKAN WAJAH DAN FIKIRAN KITA

    Hari ini keasyikan menonton filem sama ada melalui youtube, vcd, mp4, pawagam, tv dan lain-lain medium bukanlah perkara yang asing dalam masyarakat. Mata dan telinga yang Allah SWT anugerahkan ini merupakan nikmat yang tidak terhingga untuk manusia melihat aksi-aksi bikinan sutradara yang mempunyai pelbagai idea untuk menghujankan imaginasi masing-masing untuk tatapan semua. Kebanyakan mereka ini bermatlamat "hanya" untuk hiburan dan lakonan tanpa mengetahui karya-karya mereka mempunyai impak yang tersendiri dan mempengaruhi budaya berfikir masyarakat.

    Jika di India, filem-filem Hidustan merupakan escepism atau larian keluar masyarakat dari memikirkan taraf hidup mereka yang melarat dan miskin. Mereka dihidangkan dengan gambaran kemewahan pelakon-pelakonnya untuk membawa masyarakat lari seketika dari memikirkan hidup  mereka yang naif dan kais pagi makan pagi kais petang makan petang. Akhirnya masyarakat merasa gembira serta terhibur dengan lakonan juga nyanyian aktor dan aktres lalu meredakan tekanan kehidupan seharian mereka.Begitu besarnya kesan filem Bollywood kepada masyarakat di sana.

    Namun berbeza dengan kita masyarakat Melayu Islam di Malaysia. Amat kurang filem-filem yang boleh membawa masyarakat berfikir apatah lagi mahu memperbetulkan akhlak generasi yang kian merudum kini. Generasi dihidangkan dengan lambakan cerita-cerita alam mistik yang tidak habis-habis dimomokkan dalam minda anak muda dan akhirnya akan memuntahkan gejala yang tidak sehat serta yang menakutkan kerena ianya bersangkut paut dengan akidah umat Islam.Rujuk:
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0413&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_04.htm

    Jika di zaman Allahyarham Tan Sri P.Ramlee kisah hantu-hantu ini boleh dikira dengan jari sahaja. Orang Minyak, Bunian, Jerangkung, Pontianak (sekadar menyebut beberapa contoh) namun hari ini punya hebat orang kita sampai nama hantu pun sudah tak dapat dilabelkan lagi. Ditambah lagi dengan pemaparan seks bebas, pemanduan yang merbahaya serta berani mati ala kamikaze, kita sudah tentu tidak dapat berbohong bahawa perkara ini pasti mempengaruhi masyarakat.

    Adakah sutradara ini akan bersikap lepas tangan? Ya sudah tentu."Kami hanya memaparkan sahaja terpulang kepada penonton untuk berfikir. Nak buat ke tak  nak buat masing-masing sudah boleh bezakan.Ini hanya sekadar hiburan dan lakonan sahaja". Ini tahap pemikiran sutradara yang  (ss) syok sendiri dan hanya memikirkan kepentingan peribadi.               

    Kita tidak dapat bayangkan jika minda seperti inilah yang telah menghasilkan filem untuk tontonan masyarakat. Masyarakat dahagakan filem yang boleh membawa mereka kepada cintakan Negara, sayangkan bangsa dan lebih-lebih lagi sanggup bekorban demi Agama. Bukan sebuah rumahtangga yang berantakan, cerai  berai dan kesah-kesah pelakonnya yang beragama Islam berpakaian dengan baju yang tidak cukup kain serta menjadi "lebih teruk dari mat saleh". Para sutradara yang beragama Islam dan berbangsa melayu ini perlu duduk semeja dan membincangkan hala tuju filem untuk merubah wajah bangsa dan melonjakkan fikiran kita demi kemajuan negara. Inilah fungsi filem sebenarnya.

Kita melihat perkara ini amat penting kerana sedar akan besarnya peranan mereka dalam merubah cara fikir masyarakat dari hanyut dalam mimpi masing-masing.

Mimpi kita adalah sama. Jika ini tidak dapat diubah dan kita tidak mahu untuk berubah maka begitulah filem kita yang  sebenarnya memaparkan wajah dan fikiran kita!

*Ini hanyalah pandangan. Pro dan kontra perlu dibincangkan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan