Khamis, 11 Oktober 2012

Perkhidmatan Cemerlang Islam Gemilang

Perkhidmatan Cemerlang Islam Gemilang

Selaras dengan hasrat memperkasakan dan mentransformasikan Perkhidmatan Hal Ehwal Islam ke arah kecemerlangan, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) telah menganjurkan Konvensyen Perkhidmatan Hal Ehwal Islam 2012 pada 3 Oktober 2012 bertempat di Dewan Dato’ Mohd. Shahir, Institut Latihan Islam (ILIM) Malaysia, Bandar Baru Bangi, Selangor.
 
Antara objektif Konvensyen ini adalah bagi memperkasa perkhidmatan hal ehwal Islam dengan kemahiran pengurusan hal ehwal Islam yang efisien dan berwibawa bagi menjadikan Malaysia sebuah Negara Islam yang maju; meningkatkan penguasaan ilmu dan maklumat dalam semua disiplin ilmu Islam bagi menyampaikan mesej dakwah kepada pelbagai lapisan masyarakat; dan mewujudkan jaringan maklumat dan kerjasama pintar antara semua agensi perkhidmatan hal ehwal Islam di Malaysia dalam membangunkan modal insan negara.
 
Konvensyen yang bertemakan “Perkhidmatan Cemerlang Islam Gemilang” ini buat julung kalinya telah disempurnakan perasmiannya oleh YBhg. Dato’ Sri Dr. Ali bin Hamsa Ketua Setiausaha Negara. Beliau dalam amanatnya telah menyarankan agar Jakim dapat menerajui transformasi perkhidmatan hal ehwal Islam demi memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada masyarakat. Begitu juga, agensi-agensi agama perlu memperkasakan peranannya dalam menangani isu-isu semasa masyarakat terutamanya permasalahan aqidah umat Islam yang perlu diberi perhatian serius.
 
 
 
Konvensyen ini telah dihadiri seramai 800 orang peserta yang merupakan pegawai-pegawai hal ehwal Islam dari seluruh negara. Para peserta adalah terdiri daripada para pegawai Jakim, para pegawai agensi-agensi agama kerajaan peringkat persekutuan seperti Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) dan JAWHAR, juga para pegawai dari Majlis Agama Islam Negeri-negeri, Jabatan Agama Islam Negeri-negeri dan Jabatan Mufti Negeri-negeri. Turut menyertai konvensyen ini adalah pegawai-pegawai Jakim yang ditempatkan sebagai kader di pelbagai agensi dan kementerian, serta pegawai-pegawai hal ehwal Islam yang bertugas di pusat-pusat Islam peringkat universiti.
 
 
 
Sepanjang Konvensyen ini berlangsung, sebanyak dua kertas kerja telah dibentangkan. Kertas kerja pertama bertajuk ”Pengurusan Islam dan masa depan di Malaysia” oleh YBhg. Dato’ Hj. Yusof bin Hj. Husin; Pengarah Jabatan Agama Islam Perak. Manakala kertas kerja kedua bertajuk ”Persepsi Terhadap Pengurusan Hal Ehwal Islam di Malaysia : Harapan dan Kenyataan”. Kertas kerja ini dibentangkan oleh YBhg. Prof. Emeritus Dato’ Paduka Dr. Mahmood Zuhdi Hj. Ab. Majid dari Universiti Islam Antarabangsa.
 
 
 
Secara keseluruhannya, konvensyen ini telah dilaksanakan dengan jayanya. Semoga perkhidmatan hal ehwal Islam dapat diperkasakan dan ditransformasikan selaras dengan keperluan semasa, agar mencapai kecemerlangan dan mendapat pengiktirafan yang sewajarnya. Ini adalah selaras dengan peranan perkhidmatan hal ehwal Islam yang sangat penting dalam memperjuangkan dan mengembalikan kegemilangan Islam di dunia. 
 
 
 
 
 
 
 
Pengarah-pengarah Bahagian bergambar bersama KSN
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan