Isnin, 22 Oktober 2012

Penubuhan Jakim - Hari Ini Dalam Sejarah

Penubuhan Jakim - Hari Ini Dalam Sejarah

 
 
Pada hari ini 17.10.1968, Majlis Raja-Raja telah bersetuju untuk menubuhkan satu badan bagi menyelaraskan pentadbiran agama Islam di seluruh negara. Badan ini telah dirasmikan penubuhannya pada 1hb . Julai, 1969 dengan nama Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Agama Islam Semenanjung, Malaysia. Setelah negeri Sabah dan Sarawak diterima menjadi ahli majlis ini pada 17 Jun 1971 nama badan ini telah ditukar kepada Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam, Malaysia. Tujuan utama Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam ialah untuk mengendalikan pentadbiran agama Islam dari peringkat pusat supaya tidak ada perbezaan dan perselisihan dengan Majlis Agama Islam ditiap-tiap negeri. Untuk melaksanakan tujuan ini majlis ini bertangungjawab:
 
1.    Membincang, menimbang dan menguruskan apa-apa perkara yang dirujukan kepada majlis oleh Majlis Raja-raja, mana-mana Kerajaan-kerajaan Negeri atau Majlis Agama Islam Negeri atau seseorang Ahli Majlis, dengan tujuan hendak memberi nasihat atau saranan.
 
2.    Memberi nasihat kepada Majlis Raja-raja, Kerajaan Negeri atau majlis Agama Islam Negeri atau apa-apa perkara berkenaan dengan perundangan atau pentadbiran Agama Islam dan pelajaran Agama Islam dengan tujuan hendak memperbaiki, menyemak atau menggalakkan persamaan undang-undang atau pentadbiran.
 
Majlis ini mempunyai 21 orang ahli; 2 orang dilantik oleh Perdana Menteri, wakil-wakil negeri kecuali Negeri Pahang dan Kedah, 5 orang dilantik oleh Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong dengan persetujuan Majlis Raja-raja dan seorang setiausaha yang dilantik oleh Majlis Raja-raja. Pengerusi Majlis ini dilantik oleh Majlis Raja-raja dan atas saranan Perdana Menteri dan sehingga kini Perdana Menteri telah dilantik menjadi Pengerusi. Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam diuruskan oleh Bahagian Agama Jabatan Perdana Menteri, yang bertindak sebagai urusetia kepada majlis. Kini majlis ini mengendalikan beberapa institusi seperti Institiut Dakwah dan Latihan Islam, Pusat Penyelidikan Islam, Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia, Maktab Perguruan Islam, Sekolah Menengah Ugama di Sarawak, dan Maahad Tahfiz Wal-Qiraat di Masjid Negara. Majlis ini juga bertanggungjawab atas beberapa perkara seperti penggunaan perkataan dan tanda halal, azan di televisyen dan pengharaman Ajaran Qadiyani atau Ahmadiyah. Dengan adanya majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia, kerajaan berharap hal-hal yang berkaitan dengan agama Islam di seluruh negara akan dapat diseragamkan.
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan