MELAKSANAKAN dakwah adalah tanggungjawab semua orang. Inilah
keistimewaan menjadi Muslimin dan Muslimat yang beriman dan selalu
menyuruh diri sendiri dan orang lain mengikut perintah dan berpegang
kepada addin-Nya.
Sebagai orang yang beriman kepada Allah SWT hendaklah menyuruh dan
mengajak orang lain beriman kepadaNya. Sebagai umat yang terpilih dan
terbaik dakwah adalah jalan terbaik mengajak orang lain beriman kepada
Allah.
Allah berfirman yang maksudnya: Kamu adalah umat yang terbaik yang
dilahirkan untuk manusia, kamu menyuruh kepada makruf dan mencegah
daripada yang mungkar, dan kamu pula beriman kepada Allah. Sekiranya
ahli kitab itu beriman, tentulah itu lebih baik bagi mereka, antara
mereka ada yang beriman dan kebanyakan mereka adalah orang-orang yang
fasik. (ali Imran: 110)
Setiap umat Islam adalah sebaik-baik umat yang diciptakan oleh Allah
untuk melakukan kebajikan dan mencegah kemungkaran. Melakukan kebaikan
mestilah secara berterusan walaupun sedikit. Kemudiannya akhir dilakukan
secara tetap dan lebih banyak.
Tugas berdakwah tidak semestinya terletak kepada tanggungjawab
pendakwah, penceramah, imam dan ahli jawatankuasa masjid sahaja. Malah
ia boleh menjadi tugas dan tanggungjawab guru dan ustaz di sekolah serta
orang biasa.
Syarat yang paling utama adalah mempunyai ilmu agama bagi mengajak orang lain mengerjakan kebaikan dan kebajikan.
Tokoh ilmuwan Islam, Al-Khazin menjelaskan bahawa pendakwah itu
terbahagi kepada empat. Pertama, golongan para Nabi dan Anbiya'
(nabi-nabi) yang berdakwah dengan pengantaraan mukjizat, hujah-hujah
penerangan dan penjelasan.
Kedua, golongan alim ulama yang diiktiraf sebagai para Nabi. Ketiga,
golongan mujahidin yakni orang-orang yang berperang kerana Allah SWT.
Keempat, para muazin yang melaungkan azan mengajak manusia mendirikan solat, juga dianggap sebagai pendakwah.
Konsep atau peranan pendakwah mestilah lebih luas. Dari segi
konsepnya, mengajak orang lain mengerjakan kebajikan adalah berdakwah,
mengajak orang lain solat dan mendekati masjid adalah dakwah. Malahan
menegur kawan-kawan daripada melakukan perbuatan yang tidak baik juga
adalah dakwah.
Peranan dakwah ini boleh dimainkan melalui lisan atau perbuatan.
Antaranya melalui nasihat, teguran dan pandangan yang berhikmah.
Sekolah adalah pusat pembelajaran ilmu pengetahuan yang sepatutnya dijadikan asas berdakwah, iaitu mengajak ke arah kebaikan.
Kita tidak mahu konsep dakwah itu disempitkan. Harus diingat mengajak
orang lain mendalami ilmu pengetahuan juga adalah dakwah. Sebagai
pelajar, menasihati pelajar lain, khususnya kawan-kawan sebaya tidak
menghisap rokok adalah dakwah. Menasihati mereka agar tidak melanggar
disiplin sekolah juga adalah dakwah.
Konsep dakwah
Dalam hal ini Allah berfirman: Dan hendaklah ada antara kamu satu
puak yang menyeru kepada kebajikan (mengembang dan menyebarkan Islam),
menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada
segala perkara yang mungkar (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat
demikian, ialah orang-orang yang berjaya. (ali Imran: 104).
Pendek kata, dakwah itu sangat meluas konsepnya. Jika semua orang
berdakwah iaitu mengajak ke jalan kebaikan dan menjauhi kemungkaran
tidak akan ada perbuatan buruk berlaku dalam masyarakat seperti ragut,
merempit di jalan raya, penyalahgunaan dadah, seks bebas dan pembuangan
bayi.
Sikap mengambil tahu hal orang lain dan menasihatinya ke jalan yang
di redai Allah SWT adalah sikap yang baik. Sikap hedonisme iaitu sikap
mementingkan diri sendiri dan tidak mengambil tahu hal orang lain adalah
unsur yang dibawa dari Barat. Dalam Islam perpaduan umat itu ibarat
satu bangunan yang menyokong kebaikan antara satu sama lain.
Dalam hal ini Nabi bersabda yang bermaksud: Sesungguhnya agama ini
mudah dan tiada seorang yang menyulitkan agama, kecuali pasti
dikalahkannya. Bertindaklah tepat, lakukan pendekatan, sebarkan berita
gembira, permudahkan dan gunakan siang dan malam hari serta sedikit
waktu fajar sebagai penolongmu. (riwayat al-Bukhari)
Oleh itu, dalam berdakwah ini tidak ada apa yang perlu disusahkan dan
disukarkan, semuanya boleh dipermudahkan, asalkan kita mahu
melakukannya.
Kejayaan seseorang pendakwah banyak bergantung pada usaha dan kemahuan yang sentiasa dilakukan dalam aktiviti berdakwah.
Melaksanakan kerja-kerja dakwah adalah tugas yang paling murni dan
mulia di sisi Allah, kerana ia menyeru manusia supaya beriman kepada
Allah dan beribadat hanya kepada-Nya.
Di samping itu, dakwah juga mengajak manusia supaya melakukan perkara
yang makruf (baik) dan menjauhi yang mungkar (keji). Natijah
daripadanya akan mewujudkan keharmonian dan kebahagiaan hidup dalam
masyarakat serta memperoleh keredaan Allah di dunia dan akhirat.
Pada masa kini, kita berada di era langit terbuka dan era globalisasi
dengan perkembangan teknologi sehingga terciptanya alat komunikasi yang
serba canggih.
Oleh itu, semua orang boleh berdakwah mengajak ke arah kebaikan.
Ingatlah, walau dengan menyampaikan satu ayat yang menyeru ke arah
kebaikan juga adalah satu dakwah.
Bagaimanapun, kerja-kerja dakwah yang kita lakukan itu mestilah
ikhlas semata-mata kerana mengharap keredaan Allah SWT, bukan untuk
kepentingan peribadi dalam bentuk duniawi.
sumber............
Tiada ulasan:
Catat Ulasan