Jumaat, 8 Mac 2013

Suatu Pencarian Sinar Hidayah

Suatu Pencarian Sinar Hidayah

MAK NYAH, PONDAN, BAPOK, DARAI, MUKHANNAZ, BENCONG, WARIA…Suatu istilah yang tidak asing dalam masyarakat kita hari ni. Kehadiran mereka di khayalak sentiasa menarik perhatian. Lemah-lembut, manja, melaram, seksi dan menarik ada kalanya melebihi wanita sejati. Kemunculan mereka kekadang mengundang perasaan jelik, meluat dan benci sesetengah golongan. Hakikatnya golongan ini terperangkap dalam satu situasi yang mendorong mereka memilih untuk kehidupan songsang. Hakikat kelakian mereka telah musnah dan mereka menjalani kehidupan sebagai seorang perempuan.

 Persoalan disini siapa yang harus dipersalahkan??

 JAKIM mengambil pendekatan memujuk mereka tanpa ada perasaan sangsi dan stigma. manusia tidak layak menghukum mereka dengan menentukan dosa pahala, syurga neraka tetapi kita bertangungjawab menyedarkan mereka dari dunia khayal dan menyedari hakikat kejadian manusia di muka bumi ini.

 Meneruskan kesinambungan program 2012, atas permintaan komuniti sendiri maka JAKIM dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang(JHEAIPP) dan Kementerian Kesihatan Malaysia telah mengadakan Program Perkhemahan Muhibbah 2013 di Jerejak Rainforest Pulau Pinang pada 27 hingga 1 Mac 2013.

3 hari berkampung di pulau Jerejak peserta di dedahkan dengan pelbagai maklumat antaranya isu HIV/AIDS, isu masyarakat, hal semasa, tayangan video prihal kematian, night walk dan sebagainya. Peserta juga di beri kelonggaran untuk beriadah bersama pihak urusetia dan pihak resort. 

 Pendekatan tauhid, mengenal diri dan mengenal maha pencipta adalah satu elemen yang paling penting sepanjang pengisian program. Peserta amat tersentuh dan mengalirkan air mata apabila menghayati pengisian program. Al Fadil Ustaz Hanafiah Abdul Malik atau lebih di kenali dengan nama SIFU Hanafi adalah pemudah cara dalam mengendalikan para peserta.

 Pengarah Bahagian KSK,JAKIM, Ustazah Saimah binti Mukhtar menyatakan program kerohanian dan penghayatan tauhid seperti ini adalah tangungjawab semua pihak, komuniti ini wajib diberi perhatian sewajarnya. Mereka perlukan kasih sayang dan perhatian sepenuhnya. Hidayah hanya dari Allah, kita hanya berusaha dan menunjukkan jalan sahaja.

 “Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib suatu kaum kecuali kaum itu sendiri yang mengubah apa-apa yang pada diri mereka” QS 13 : 11

 Semoga kita semua tergolong dalam golongan orang yang beriman dan mendapat tempat di syurga kelak…Aminnnn….

Tahsinul Solah
 Tazkirah ringkas dari JHEAIPP
 
Tahsinul Wuduk
Usrah dan Luahan Hati
Penghayatan kejadian manusia
Riadah

 Penyampaian hadiah
  Bergambar kenangan bersama urusetia


Jumaat, 15 Februari 2013

Jakim perjelas sambutan hari Valentine




 
Jakim perjelas sambutan hari Valentine
5:42PM Feb 12 2011       
 
"Amalan merayakan Hari Valentine atau Hari Memperingati Kekasih yang tiba setiap 14 Feb tidak pernah dianjurkan oleh Islam.

"Roh perayaan ini mempunyai unsur-unsur Kristian dan amalannya yang bercampur dengan perbuatan maksiat adalah bercanggah dan dilarang oleh Islam," inilah kata putus Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Islam Malaysia yang bersidang buat kali ke-71, hampir enam tahun yang lalu berkaitan Valentine Day.

"Islam tidak menolak apa sahaja yang baik yang datang dari Barat apatah lagi jika ia berkaitan dengan berkasih sayang," kata Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz.      

"Kita menerima dan meraikan Hari Ibu dan Hari Bapa yang mengingatkan kasih sayang kepada ibu dan bapa kita," katanya ketika merasmikan majlis pelancaran Kempen Awasi Jerat Valentine's Day pada Jumaat.

Namun katanya Islam juga pada masa yang sama akan menolak sesuatu yang datang waima dari Timur sekalipun jika ia bertentangan dengan prinsip dan amalan agama Islam.

"Ia bukan persoalan atau isu asal tempat kedatangan sesuatu sambutan sesuatu perayaan dan keraian itu, tetapi amalan atau ritual yang dilakukan untuk merayakan hari-hari tertentu itu," katanya.

Wan Mohamad berkata Islam bukan agama yang menyekat atau menghalang untuk penganutnya meluahkan kasih sayang tetapi apa yang disekat adalah perbuatan maksiat yang dilakukan semasa menyatakan kasih sayang itu.

“Jika kita kasih pada orang, itu bukan maksiat tetapi kalau kita adakan hubungan diluar pernikahan, itu maksiat. Itu bezanya,” ujarnya.

Katanya beliau yakin bukan sahaja Islam, agama lain juga meletakkan batasan dan etika yang perlu penganutnya patuhi.

Beliau berkata bagi Hari Valentine, meraikannya sangat jelas ia terarah kepada amalan maksiat.

“Itulah sebabnya fatwa dikeluarkan untuk menyekat dan menasihati orang Islam supaya tidak menyambut Hari Valentine dengan melihat dari segi sejarah dan realiti sekarang ini, di mana-mana pun ia sinonim dengan amalan maksiat,” katanya.

Sebagai perbandingan, Wan Mohamad berkata fatwa juga memutuskan sekiranya rakan bukan beragama Islam mengadakan majlis menyambut hari perayaan mereka, orang Islam boleh menghadirinya.

Namun jika majlis sosial itu menyajikan minuman beralkohol, “majlis itu sudah rosak dan kita tidak boleh hadir,” katanya.
“Kita juga boleh meraikan kawan kita yang meraikan hari perayaan agama mereka tetapi kita ditegah daripada terlibat dengan ritual agama itu sebab itu sudah masuk ke dalam isu akidah," jelasnya.

Beliau berkata penjelasan juga perlu dibuat agar Islam tidak difitnah dengan mengatakan agama itu tidak boleh meraikan rakan bukan Islam yang meraikan Hari Natal, Hari Diwali, Tahun Baru Cina, Hari Gawai dan sebagainya.

“Kita hanya tidak boleh terlibat dengan ritual ibadat agama lain. Acara sosial, kita berhimpun dengan mereka yang bukan Islam, itu tidak ada masalah.

“Pemimpin kita juga hadir majlis sebegitu. Malah Mufti-mufti kita hadir ke majlis jamuan teh yang dianjurkan oleh jiran yang menyambut Hari Natal,” katanya.

Pelancaran Kempen Awasi Jerat Hari Valentine tersebut adalah untuk mengajak umat Islam terutamanya golongan remaja supaya tidak meraikan sambutan Hari Kekasih Isnin ini.

"Islam menganjurkan umatnya supaya menjadikan jalinan kasih sayang sesuatu yang abadi. Ungkapan kasih sayang bukan seminit untuk sehari dan sehari untuk setahun. Ia adalah sepanjang hayat," kata Wan Mohamad.

- Bernama




Khamis, 14 Februari 2013

TEMUDUGA GURU TAKMIR NEGERI PULAU PINANG 2013 DI MASJID NEGERI PULAU PINANG

TEMUDUGA GURU TAKMIR NEGERI PULAU PINANG 2013
BERTEMPAT DI MASJID NEGERI PULAU PINANG
DIKETUAI OLEH S.S DATO SERI HJ HASSAN B HJ AHMAD
MUFTI KERAJAAN NEGERI PULAU PINANG
MERANGKAP PAKAR RUJUK TABUNG HAJI MALAYSIA DI ARAB SAUDI

MASA: 8.00 PAGI
TARIKH: 14 FEBRUARI 2013
TEMPAT: MASJID NEGERI PULAU PINANG

 Dalam konteks yang lebih luas, program takmir ini termasuk dalam bidang dakwah. Maka sudah tentulah asas-asas menjadi seorang dai’e juga mestilah ada bersama guru-guru takmir. Menurut Dr. Abdul Karem Zaidan dalam bukunya Dasar-Dasar Ilmu Dakwah seseorang pendakwah itu mestilah mempersiapkan dirinya  dengan ilmu pengetahuan yang mencukupi. Selain itu ianya hendaklah mempunyai iman yang kuat bagi menghadapi segala cabaran dan mehnah yang sentiasa menganggu dan menghalang tugas sebagai seorang dai’e.

 Urusetia dan panel bergambar kenangan bersama S.S Dato Seri Mufti

 Bacaan kitab turath amat dititik beratkan untuk disampaikan kepada masyarakat. Kitab Matla'ul Badrain di pilih oleh S.S Dato Seri untuk melihat cara calon mengajar.

 Ujian bacaan dan pemahaman hadith di uji oleh Us Salahuddin b Sulaiman Pegawai Tadbir Agama Daerah Butterworth SPU. Ujian yang akan menguatkan hujah guru takmir apabila berdepan dengan masyarakat yang sudah mahu ke masjid menuntut ilmu.

Aqidatu Naajin adalah kitab yang diuji pemahamannya oleh Tn Hj Rosli b Othman , dari jawatankuasa fatwa Negeri Pulau Pinang
KPP pengurusan masjid dan surau Us Ayob b Yaacob

 Ustaz Ahmad b Hashim dari Kolej Islam Antarabangsa atau KITAB menguji bacaan al Quran dan tajwid. Ada yang gagal.

 Tn Hj Yusuf b Ahmad Imam Besar Masjid Negeri Pulau Pinang

 32 orang calon yang hadir hari ini mahu menyahut cabaran sebagai guru takmir negeri Pulau Pinang. Tahniah!

 Guru-guru agama dari Kementerian Pendidikan Malaysia/ Jabatan Pelajaran Negeri Pulau Pinang hari ini terpanggil untuk berbakti kepada masyarakat.

Berdebar-debar sebelum di temuduga. 

PEMBAHAGIAN TOPIK PANEL TEMUDUGA

TOPIK SOALAN
PANEL 1
PANEL 2
BACAAN AL-QURAN & TAJWID / TAFSIR
Tuan Haji Ahmad bin Hashim
(Pensyarah Kolej Islam Teknologi Antarabangsa-KITAB)
Tuan Haji Yusuff bin Ahmad
Imam Besar Masjid Negeri Pulau Pinang
PENGETAHUAN AM TAKMIR / ISU SEMASA
Tuan Haji Ahmad bin Hashim 
(Pensyarah Kolej Islam Teknologi Antarabangsa-KITAB)
Tuan Haji Yusuff bin Ahmad
Imam Besar Masjid Negeri Pulau Pinang
AKIDAH & SAHSIAH / KEMAHIRAN MENGAJAR
Dato’ Sri Haji Hassan bin Haji Ahmad
Mufti Kerajaan Negeri Pulau Pinang
Tuan Haji Rosli bin Othman
Ahli Majlis Fatwa Kerajaan Negeri Pulau Pinang
BACAAN KITAB TURATH & FATWA/     HUKUM-HUKUM SEMASA
Dato’ Sri Haji Hassan bin Haji Ahmad

Mufti Kerajaan Negeri Pulau Pinang
Tuan Haji Rosli bin Othman

Ahli Majlis Fatwa Kerajaan Negeri Pulau Pinang
HADITH & BACAAN KITAB MENGAJAR
Tuan Haji Ayob bin Yaacob
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pengurusan Masjid dan Surau JHEAIPP
Tuan Salahuddin b Sulaiman
Pegawai Tadbir Agama Butterworth JHEAIPP

Rabu, 13 Februari 2013

Abai sunnah Islam dihina

Abai sunnah Islam dihina


Pembudayaan al-Quran wajar bermula sejak kecil dalam usaha menerapkan akhlak Rasulullah SAW terhadap golongan muda.
TANGGAL 12 Rabiulawal setiap tahun, seluruh umat Islam pasti meraikan ulang tahun kelahiran Nabi Muhammad SAW. Matlamatnya bukan sahaja mengajak masyarakat mengingati pergorbanan baginda, tetapi juga mencontohi kejayaan Rasulullah dalam mewujudkan satu ketamadunan manusia yang membawa misi keamanan kepada seluruh alam.

Jika dilihat pada zaman sebelum Rasulullah dilahirkan, masyarakat Arab ketika itu mengamalkan perbuatan yang bertentangan norma kehidupan manusia seperti membunuh anak perempuan hidup-hidup, berzina dan berperang sesama sendiri.

Tetapi apabila Nabi Muhammad SAW dilantik menjadi rasul, baginda telah mentransformasikan amalan jahiliah berkenaan dengan mengikut acuan al-Quran.
i pada waktu Islam menguasai tamadun, kaum hawa dimuliakan, bahkan maruah mereka dipelihara.
Ini dijelaskan seperti mana ucapan Rasulullah dalam khutbah terakhirnya yang dikenali Wida' apabila baginda menyebut: "Wahai manusia, sebagaimana kamu mempunyai hak atas isteri kamu, mereka juga mempunyai hak ke atas kamu. Sekiranya hak ke atas kamu sempurna, mereka juga berhak untuk diberi makan dan pakaian dalam suasana kasih sayang. Layan wanita dengan baik dan berlemah-lembut kerana sesungguhnya mereka adalah teman dan pembantu kamu setia. Selain itu, hak kamu ke atas wanita ialah mereka sama sekali tidak membenarkan orang yang kamu tidak suka memasuki ke dalam rumah serta dilarang melakukan zina."

Bukan sahaja maruah wanita diangkat dan dimartabatkan oleh Rasulullah, tetapi banyak lagi perubahan yang dilakukan baginda termasuk memberi kebebasan kepada bukan Islam mengamalkan cara hidup mereka.

Rasulullah SAW juga tidak sekadar membaca al-Quran, tetapi kitab suci itu dihafal, difahami dan diterangkan kepada para sahabat serta isi kandungannya dijadikan amalan.

Bukan sekadar amalan berkaitan fardu ain dan fardu kifayah tetapi juga yang membawa kepada kebangkitan umat Islam dalam semua aspek.

Tindakan tersebut menyebabkan Islam disanjung tinggi oleh masyarakat bukan Islam sehinggalah mereka terpesona dan akhirnya menganut agama Islam.

Bagaimanapun timbul persoalan mengapa pada hari ini syariat Islam dihina, dipermainkan malah diperlekehkan oleh bukan Islam. Sedangkan Islam merupakan agama syumul dan sesuai mengikut peredaran zaman.

Malangnya, kecaman itu turut didalangi oleh umat Islam sendiri sehingga terdapat dalam kalangan mereka mengarang karya menghina Rasulullah.

Berbanding zaman Rasulullah, masyarakat pada ketika itu yakin terhadap agama Islam kerana mereka melihat mukjizat dan kemuliaan daripada akhlak yang ditonjolkan oleh Rasulullah. Namun setelah kewafatan Rasulullah hampir 1,400 lalu, terdapat generasi hari ini mula goyah dengan Islam kerana gagal menghayati hikmah dan rahsia di sebalik syariat yang diturunkan oleh Allah SWT itu.
Maka timbul slogan anti-Rasulullah yang mendakwa bahawa ajaran yang dibawa oleh baginda adalah zalim dan melanggar hak asasi manusia. Mengapa wujud stigma seumpama itu?

Pensyarah Pusat Pengajian Umum, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Dr. Mohd. Arip Kasmo, berkata, itu disebabkan golongan tersebut tidak yakin kerana tidak melihat bukti mukjizat dan hikmah sunah Rasulullah.

Beliau yang memperkenalkan kajian dikenali sebagai Penghayatan Sunah Nabi (Pesona) berkata, jika mengetahui rahsia kandungan isi al-Quran yang diterjemahkan melalui perilaku nabi dengan mendalam, nescaya golongan anti-Rasulullah itu akan mengakui kebenaran ajaran baginda.
Mohd. Arip mengambil contoh kes pendakwaan di mahkamah, seseorang hakim tidak mensabitkan atau melepaskan tertuduh daripada sesuatu dakwaan jika tidak mempunyai bukti.

Demikian juga dalam situasi yang dihadapi oleh manusia kini yang tidak mempercayai sunnah Nabi Muhammad kerana tidak melihat bukti kebenaran berkenaan.

Mengkaji sunnah

Ujar beliau, masalah itu dapat diselesaikan jika umat Islam kini melangkah ke hadapan mengkaji sunah dan mengetengahkan hikmah di sebalik syariat tersebut serta menghebahkan kepada masyarakat.

Sebab itu beliau memperkenalkan Pesona dalam usaha menerapkan penghayatan sunnah kepada masyarakat.

Menurut Mohd. Arip, masyarakat barat pada masa kini merupakan golongan yang banyak mengkaji sunnah Rasulullah. Malah mereka mengamalkan amalan baginda dalam kehidupan seharian.
Malangnya, umat Islam pula mengabaikan amalan mulia itu sebaliknya bangga mengamalkan gaya hidup sulaman barat.

Mohd. Arip mengakui, daripada kajian yang dilakukan 100 peratus menunjukkan Islam bukan sekadar sebuah agama ritual semata-mata, tetapi merupakan cara hidup.

"Jika sebelum kedatangan Islam rakyat Sepanyol tidak mandi, apabila Islam menguasai negara itu, diwujudkan bilik mandi awam yang bertujuan mendidik rakyat menjaga kebersihan. Demikian indahnya Islam.

"Allah menurunkan al-Quran melalui perantaraan Nabi Muhammad sebagai mukjizat untuk menyakinkan keimanan manusia, tetapi masyarakat hari ini tidak yakin kerana mereka tidak melihat bukti kebenaran kitab suci itu. Kadang-kadang kita yang dilahirkan sebagai Islam turut musykil.
"Oleh demikian, para pendakwah digesa menggunakan pendekatan ilmu berbanding falsafah seperti mana digunakan oleh generasi terdahulu, apatah lagi masa kini semua menggunakan hujah ilmu untuk berhujah," jelas Mohd. Arip.

Kebenaran al-Quran

"Kami akan perlihatkan kepada mereka tanda-tanda kekuasaan kami di merata-rata tempat dan pada diri mereka sendiri, sehingga ternyata jelas kepada mereka bahawa al-Quran adalah benar. Belum lagi ternyata kepada mereka kebenaran itu dan belum cukup bagi mereka bahawa Tuhanmu mengetahui dan menyaksikan tiap-tiap sesuatu?

Intipati ayat 53 surah al-Fusilat di atas jelas menunjukkan bahawa isi kandungan kitab suci al-Quran adalah benar jika diyakinkan kepada manusia tentang tanda-tanda kekuasaan Allah.
Sehubungan itu, Mohd. Arip yang turut memperkenalkan kajian Pengukuhan Akidah Menerusi Mukjizat Sains Dalam al-Quran (Pasak) memberitahu sudah tiba masanya para sarjana Islam mengorak langkah menyakinkan masyarakat dengan mengupas sunnah, seterusnya dihebahkan kepada umum.

Jumaat, 8 Februari 2013

Bunuh cicak bermotif balas dendam?

 

Bunuh cicak bermotif balas dendam?

RAMAI yang bertanya soalan ini kepada saya. Kenapa Islam memberi kelebihan tertentu untuk membunuh cicak? Apakah itu kerana ia pernah meniupkan api yang membakar Nabi Ibrahim? Jika benar, mengapa kerana kesalahan seekor cicak ratusan tahun lalu, semua cicak mesti dibunuh hingga ke hari ini?

Jawapan

Sebelum menjawab soalan ini, saya hendak menegaskan satu prinsip. Setiap perintah Rasulullah SAW mestilah mengandungi hikmah tertentu, sama ada kita dapat mengetahui hikmah itu ataupun tidak.

Namun begitu, setiap kali berbincang tentang perintah ataupun larangan Nabi SAW, kita mesti pastikan terlebih dahulu status kesahihan hadis yang mengandungi perintah atau larangan tersebut.
Ini kerana, menisbahkan suatu ucapan palsu kepada Nabi SAW sebuah dosa besar menurut para ulama.

Hadis yang mengandungi perintah membunuh cicak adalah sahih berasal daripada Nabi SAW. Antaranya hadis riwayat Muslim daripada Saad bin Abi Waqqas bahawa Nabi memerintahkan untuk membunuh cicak dan menyebutnya sebagai haiwan perosak (fuwaisiq).

Sunat

Berdasarkan hadis di atas, para ulama sepakat menyatakan sunat membunuh cicak. Sebabnya kerana cicak termasuk haiwan perosak, pengotor dan boleh membawa penyakit. Atau dalam hadis Saad bin Abi Waqqas di atas, ia termasuk fuwaisiq.

Dalam istilah moden, kita boleh mengatakan bahawa cicak termasuk dalam kategori pest (perosak) seperti; nyamuk, kutu, tikus, pijat, lipas dan lain-lain. Semua haiwan ini digalakkan untuk dibasmi demi menjaga kesihatan manusia.

Berkata Imam al-Nawawi dalam Syarh Sahih Muslim: "Nabi memerintahkan dan menggalakkan untuk membunuh cicak kerana ia termasuk mu'ziyat (haiwan-haiwan yang dapat mengganggu kesihatan manusia)."

Jadi, sama sekali tidak benar sangkaan bahawa kerana kesalahan cicak seekor, semua cicak mesti dibunuh hingga ke hari ini.

Meniup api Ibrahim

Kisah cicak meniup api yang membakar Nabi Ibrahim memang sahih. Al-Bukhari meriwayatkan, Nabi memerintahkan Ummu Syarik untuk membunuh cicak. Baginda bersabda: "Ia pernah meniup api pembakaran Nabi Ibrahim (untuk menyalakannya)."

Namun hadis ini sama sekali tidak menunjukkan bahawa perkara itu tidak menjadi 'illat (penyebab) suruhan tersebut. Menurut al-Baidawi, ini menunjukkan betapa kotor dan buruknya cicak sehinggakan syaitan boleh memperalatkan (cicak) untuk meniup dan menambah besar api yang membakar Nabi Ibrahim.

Jadi, lagi-lagi perbincangan kembali kepada sifat perosak dan kotor haiwan kecil ini. Sifat inilah yang menjadi sebab utama mengapa Islam memerintahkan untuk membunuhnya. Bukan kerana motif balas dendam atau perkara lainnya.

Adapun hadis al-Nasa'i dan Ibnu Majah yang menceritakan bahawa Siti Aisyah menyiapkan sebuah tombak untuk membunuh cicak, itu adalah hadis lemah.

Dalam hadis tersebut, Rasulullah SAW menceritakan bahawa semasa Nabi Ibrahim dilempar ke dalam api, semua haiwan berusaha memadamkannya kecuali cicak. Haiwan ini malah meniup untuk menyalakan api. Maka sebab itulah Rasulullah memerintahkan untuk membunuhnya.
Dalam sanad hadis ini terdapat kecacatan yang melemahkannya.

Khamis, 7 Februari 2013

Penciptaan tujuh petala langit

Penciptaan tujuh petala langit


rahsia alam ini hanya Allah SWT yang mengetahui. - Gambar hiasan
SELEPAS dibincangkan sebahagian berkaitan dengan kekuasaan Allah SWT di mana boleh melakukan apa sahaja. Maka Allah SWT mengukuhkan lagi penghujahan dan alasan bagaimana kuasa-Nya Allah SWT tanpa boleh ditolak banding dan dipertikaikan lagi.

Firman Allah SWT: Tidakkah diakui dan tidakkah dipercayai bahawa Tuhan yang telah menciptakan langit dan bumi (yang demikian besarnya) berkuasa menciptakan semula manusia sebagaimana ia menciptakan mereka dahulu? Ya! diakui dan dipercayai berkuasa! dan Dia lah Pencipta yang tidak ada bandingan-Nya, lagi Yang Maha mengetahui. (Yasin: 81)

Ibnu Kathir berkata: "Allah SWT berfirman mengkhabarkan dan mengingatkan kita tentang kekuasaan-Nya yang agung dalam menciptakan tujuh lapis langit dan yang terkandung di dalamnya berupa bintang-bintang yang beredar dan tetap, serta mencipta tujuh lapis bumi dan apa yang terkandung di dalamnya berupa gunung-gunung, batu-batuan, lautan, hutan dan isinya. Dia pun mengarahkan untuk mengambil dalil tentang dikembalikannya jasad-jasad dengan penciptaan sesuatu yang agung ini."

Al-Maraghi berkata: "Allah SWT memperingatkan manusia, bahawa Dia mampu mencipta tujuh petala langit berserta bintang dan lain-lainnya serta bumi dengan segala isinya. Allah SWT juga memperingatkan bahawa Dia yang berkuasa mencipta alam semesta Yang Maha Besar itu, sudah tentu Dia berkuasa mengembalikan semua tulang-temulang manusia yang hancur menjadi seperti sediakala."

Sayid Qutub berkata: "Itulah matahari-matahari yang tidak terhitung banyaknya. Setiap matahari mempunyai jalan peredarannya masing-masing dan kebanyakannya mempunyai planet-planet pengikut yang beredar di sekelilingnya seperti bumi beredar di sekeliling matahari kita."

Semuanya beredar dan berlari dengan tepat dan tetap, tidak pernah berhenti sesaat pun dan tidak pernah kacau. Jika tidak, alam ini akan binasa dan bintang-bintang yang besar yang terapung-apung di angkasa itu akan berlanggaran satu sama lain.

Angkasa raya menjadi tempat terapung-apung jutaan bintang yang tidak terbilang itu adalah di luar keupayaan kita untuk menggambarkan dan memahaminya. Ia merupakan sesuatu yang memeningkan kepala manusia.

Firman Allah SWT: Sesungguhnya keadaan kekuasaannya apabila ia menghendaki adanya sesuatu, hanyalah ia berfirman kepada (hakikat) benda itu: "Jadilah engkau!." Maka ia terus menjadi. (Yasin: 82)

Ibnu Kathir berkata: "Iaitu, Dia memerintahkan kepada sesuatu hanya dengan satu perintah, tidak perlu pengulangan dan penguat seperti kata penyair, Jika Allah menghendaki satu perintah, Dia hanya mengatakan satu perkataan, Jadi, maka ia pun jadi."

Al-Maraghi berkata: "Ayat di atas menunjukkan betapa agungnya kekuasaan Allah SWT sehingga jika Dia menghendaki sesuatu, ketika itu juga boleh terjadi. Setelah menjelaskan akan keagungan kekuasaan-Nya, Allah SWT kemudian menyucikan diri-Nya daripada segala tohmahan batil orang musyrik."

Syed Qutub berkata: "Sama ada sesuatu itu langit atau bumi, lalat atau semut semuanya sama sahaja di hadapan kalimat kun dan semuanya akan terus muncul ke alam al-wujud. Di sana tiada yang mudah dan tiada yang payah, tiada yang dekat dan tiada yang jauh."

Sebaik sahaja wujudnya iradat Allah SWT untuk menciptakan sesuatu sudah cukup untuk mewujudkan biarpun apa sahaja sesuatu itu. Allah hanya mendekatkan gambaran urusan penciptaan itu kepada manusia supaya mereka dapat memahaminya dengan ukuran manusia yang terbatas.

Rabu, 6 Februari 2013

Penghafaz Al-Quran Harus Jadi Teladan Ummah

Penghafaz Al-Quran Harus Jadi Teladan Ummah

02 Februari 2013 – Kecacatan yang dialami oleh golongan kurang upaya masalah penglihatan (OKUMP) bukanlah halangan untuk berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan rakan-rakan normal yang lain.

Demikian diluahkan oleh Saudara Ahmad Qusairi binti Mat Zizi, pelajar program Diploma Tahfiz Al-Quran yang berjaya menamatkan hafazan al-Quran 30 juzu’ pada Majlis Khatam Hafazan Al-Quran yang diadakan di Dewan Muktamar Darul Quran baru-baru ini.
“Saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada pihak Darul Quran khususnya kerana telah memberikan peluang untuk kami belajar di Darul Quran dan berjaya menghafaz al-Quran dengan kemudahan-kemudahan yang disediakan” kata beliau.

Seramai 194 orang pelajar diraikan dalam majlis tersebut termasuk tujuh orang pelajar dari kalangan Orang Kurang Upaya Masalah Penglihatan (OKUMP).

Berucap merasmikan majlis tersebut, Dato’ Haji Othman bin Mustapha, Ketua Pengarah Jakim berkata para pelajar yang telah berjaya mengkhatamkan hafazan al-Quran perlulah memelihara hafazan dan kesucian al-Quran disampingkan mengamalkan intipati dan ajaran yang terkandung di dalamnya.

Justeru kata beliau lagi, penghafaz al-Quran merupakan orang yang istimewa di hadapan Allah SWT dan RasulNya, kerana itu mereka harus menyandang amanah keistimewaan ini dengan selalu menunjukkan akhlak mulia sebagai ikutan dan teladan kepada masyarakat awam.

Menurut beliau lagi, JAKIM sentiasa menyokong dan komited terhadap segala program yang diatur oleh pihak Darul Quran ke arah memantapkan lagi program tahfiz al-Quran di negara ini.
Sebelum itu, Tuan Haji Paimuzi bin Yahya, Pengarah Darul Quran di dalam ucapan aluan beliau, mengucapkan tahniah dan syabas kepada ibu bapa dan para pelajar khususnya yang telah berjaya menamatkan hafazan 30 juzu’ al-Quran.

Beliau juga berpesan supaya para pelajar dapat memberikan fokus dan tumpuan kepada peperiksaan akhir diploma yang bakal dihadapi pada akhir bulan Februari.

Dato’ Haji Othman Mustapha turut menyampaikan Anugerah Pelajar Cemerlang kepada dua orang pelajar iaitu, Saudara Dzafarul Idham bin Mohd Fuzi dan Saudari Siti Hajar binti Zulkifli.
Majlis turut dimeriahkan dengan persembahan qasidah daripada kumpulan Asbabul Mustofa yang terdiri daripada para pelajar Darul Quran.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Us Abdul Kodir bin Sallah, Timbalah Pengarah (Akademik), Us Che Mat bin Che Deraman, Pendaftar Darul Quran, kakitangan Darul Quran dan ibu bapa pelajar.

web-DSC_0379
Perarakan pelajar menuju ke Dewan Muktamar tempat berlangsungnya majlis ini.
web-aDSC_0465
Sebahagian pelajar yang memperdengarkan bacaan pada Majlis Khatam Hafazan Al-Quran.
web-DSC_0420
Saudara Ahmad Qusairi (pelajar OKUMP) turut memperdengarkan bacaan beliau.
web-DSC_0502
Tuan Haji Paimuzi (Pengarah Darul Quran) ketika menyampaikan ucapan aluan beliau.
web-DSC_0520
Dato' Haji Othman (Ketua Pengarah JAKIM) berucap merasmikan majlis ini.
web-DSC_0576
Suasana ketika sesi penyampaian cenderahati kepada pensyarah tasmik.
• Klik thumbnails untuk melihat album penuh majlis ini (32 foto):
AnNamir Photography
Fotografi: Muktasyaf Ibrahim AnNamir

sumber......