Rabu, 8 Februari 2012

Mensia-siakan masa satu kejahatan

Mensia-siakan masa satu kejahatan



Memenuhi masa terluang dengan misi kemanusiaan itu adalah jauh lebih baik, sekali gus memupuk naluri insaniah. - Gambar hiasan



SEJAUH manakah kita menghargai masa dalam kehidupan kita? Sekiranya kita ditanya dengan beberapa soalan seperti apakah kekayaan yang paling berharga dalam hidup? Wang ringgit? Hartanah? Anak-anak? Kecantikan? Kecerdasan? atau Kesihatan? Barangkali jawapannya adalah kesemuanya.
Yang pastinya, semua itu tidak setara dengan nilai waktu yang kita miliki. Kekayaan yang sebenar yang kita miliki setelah Islam ialah masa.

Dapatkah kita memahami mengapa waktu ini begitu penting? Mungkin persoalan ini tidak mempengaruhi diri sedikitpun kerana kita telah terbiasa dalam kehidupan seharian dengan ketidakpedulian terhadap masa.

Dalam al-Quran Allah SWT banyak bersumpah dengan waktu dan ia disebut dalam banyak tempat, sekali gus menunjukkan kepentingan masa.
Antaranya surah al-Lalil ayat 1-2, surah ad-Dhuha juga ayat 1-2. Surah al-Fajr juga ayat satu 1-2 dan ayat pertama dalam surah al-Asr.

Apakah sebabnya Allah menyuruh manusia memikir dan merenung tentang hal berkaitan masa? Umat manusia yang tidak tahu menghargai masa, tidak mungkin akan menjadi umat yang maju, sebagaimana disebut dalam surah Ali Imran ayat 110.
Ayat di atas menyebut bahawa manusia adalah umat yang terbaik. Namun pada prinsipnya ia akan menjadi umat yang terbaik apabila mampu memanfaatkan seluruh kurnia Allah dan tidak menyalahgunakannya, khususnya masa.

Sebagai manusia yang terbaik adakah kita telah dapat merasakan kepentingan masa dalam kehidupan kita ini?

Sesungguhnya seluruh kehidupan dan amal umat Islam sentiasa berkait dengan masa. Lebih-lebih lagi, yang berkait rapat dengan ibadat. Dalam ibadat solat umpamanya, aspek masa amat dititikberatkan.
Ketika di tanya oleh para sahabat kepada Rasulullah tentang apakah amalan yang sangat disukai oleh Allah SWT? Baginda menjawab: "Solat tepat pada waktunya."
Begitu juga dengan ibadat puasa yang ditentukan dengan masa. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Berpuasalah dan akhirinya dengan melihat anak bulan." Selain ditegaskan dalam surah al-Baqarah ayat 184.

Antara intipati ayat di atas ialah, tentang ingatan agar dapat memanfaatkan masa dalam bulan Ramadan dengan sebaik-baiknya kerana kelebihan bulan Ramadan di samping waktu yang terhad. Dalam ibadat haji pula, pelaksanaannya juga tertakluk kepada faktor masa. Sebagaimana dalam surah al-Baqarah ayat 197.

Begitu juga dengan ibadat zakat harta, faktor masa atau disebut haul merupakan salah satu syarat. Semuanya bertujuan satu bentuk penegasan kepada kepentingan masa. Oleh itu, marilah kita menggunakan ia dengan sebaik-baiknya, apatah lagi atas perkara yang sia-sia.
Pernahkah kita terfikir bahawa aspek pengadilan atau penghakiman manusia pada hari akhirat juga ada kaitannya dengan masa. Firman Allah SWT kepada golongan orang-orang kafir dalam surah al-Fathir ayat 37.
Dalam ayat ini Allah telah menempelak orang-orang kafir yang tidak manfaatkan masa kurniaan Allah untuk berfikir tentang kebesaran-Nya serta menzalimi diri mereka dengan mensia-siakan umur.
Selanjutnya marilah kita merenung sebuah hadis Nabi yang bermaksud: "Pada hari kiamat kelak, tidak ada seorang hamba pun dibenarkan meninggalkan tempatnya kecuali setelah ditanya lima perkara. Tentang penggunaan umur masa mudanya, tentang kekayaannya dari mana diperoleh dan untuk apa digunakan, tentang ilmunya untuk apa dilakukan."

Oleh itu, kita perlu berusaha untuk memanfaatkan waktu walaupun orang Barat telah lama menghargai waktu dan memanfaatkan dengan sebaik-baiknya. Mulai hari ini kita perlu menghargai waktu dan tahu menilainya yang mana kaca dan yang mana permata.

Seorang tabiin besar, Hassan al-Basri pernah mengungkapkan kata-kata berikut setiap kali matahari terbit: "Wahai manusia, aku adalah hari kamu yang baharu yang akan menjadi saksi di atas segala amal perbuatan kamu. Pergunakanlah dengan baik dan jadikanlah aku bekalmu. Sebab bila aku telah pergi, aku tidak akan kembali hingga hari kiamat."

Justeru, masa adalah kehidupan kita dan kehidupan itu adalah nafas yang keluar dan masuk daripada rongga kita.

Jika sekiranya terdapat banyak kelapangan masa, kita perlu berwaspada kerana maksiat akan muncul apabila kita mempunyai masa lapang yang banyak. Lebih-lebih lagi, jika umur masih muda.
Sejarah telah mencatatkan peristiwa isteri seorang pegawai tinggi kerajaan Mesir telah menggoda Nabi Allah Yusuf dan salah satu sebab ialah kerana beliau mempunyai masa lapang yang banyak.
Orang yang mempunyai masa senggang yang banyak akan mendorong dirinya untuk melakukan perkara-perkara yang tidak baik melebih perlakuan orang muda.

Selain itu, kita lihat perlakuan anak-anak remaja pada hari ini. Ada kalanya seorang anak muda mempunyai kebebasan luar biasa yang diberikan oleh ibu bapa. Dibiarkan tidur hingga 12 jam, bangun hingga lewat tengah hari, terlepas semua kewajipan agama, pergaulan yang bebas, berhibur yang terlampau serta langsung tidak menghargai masa. Ini semua akan menjurus anak muda ke lembah maksiat.

Begitu juga berlaku di kalangan para pekerja yang berkhidmat di pejabat atau perusahaan. Ada kalanya mereka bekerja dalam erti kata yang sebenar hanyalah dalam tempoh yang sangat sedikit berbanding dengan waktu sebenar.

Banyak masa dihabiskan dengan berbual, membaca surat khabar, melayari Internet atau kerja-kerja yang tidak bersangkutan dengan tugasan hakiki.
Ini adalah sesuatu yang bertentangan dengan agama. Gaji yang diperoleh adalah haram kerana tidak menjalankan tugas dengan sepenuh amanah.

Persoalannya apakah ini yang dilakukan oleh umat Muhammad? Jika ini berlaku, seluruh umat akan menerima kesan yang buruk dan mendedahkan diri kepada pembalasan buruk pada hari kiamat.
Berapa banyak masa yang telah terbuang dengan sia-sia mungkin boleh dimanfaatkan untuk membantu kedua-dua ibu bapa kita.

Jika tersedar setelah keduanya telah tiada tidak berguna lagi. Pernahkah kita mengenal pasti wanita-wanita memakai tudung atau menutup aurat mereka setelah lanjut usia?
Mengapa orang-orang yang mengetahui agama tidak membetulkan atau menyedarkan mereka? Mengapa masih memilih untuk tunggu dan lihat atau tidak ambil kisah? Kesempatan yang ada itu mungkin akan hilang.

Kita perlu menyedari bahawa bencana
dan musibah yang menimpa pada hari ini adalah akibat daripada ketidaksedaran umat terhadap menghargai masa.

Ramai yang tidak menyedari bahawa mensia-siakan waktu adalah salah satu ciri kejahatan. Ini termasuklah golongan yang suka melepak, duduk berjam-jam di kedai kopi.

Sebagi seorang Islam kita perlu menyedari kesan daripada mensia-siakan masa. Apabila kita masih tidak kisah apa yang berlaku di sekeliling, dibuai mimpi dan tidak ambil peduli terhadap jatuh bangun umat, maka bencana yang menimpa umat tidak akan berakhir, bahkan akan terus bertambah.
Kemungkinan satu hari nanti kita akan dikejutkan pula dengan musibah yang lebih besar. Ini menepati apa yang telah Allah tegaskan dalam surah ar-Ra'du ayat 11.

Selagi kita tidak menghargai masa, selagi setiap Muslim tidak menghayati agamanya, selagi anak watan tidak berusaha menghasilkan sesuatu hasil usaha mereka sendiri atau selagi mana anak-anak muda tidak mencari ilmu pengetahuan dan memanfaatkan untuk diri mereka dan masyarakat seluruhnya, selagi itulah keadaan amat sukar untuk berubah.

RUJUKAN...........

Isnin, 6 Februari 2012

Hukuman ikut kitab Taurat

Hukuman ikut kitab Taurat


KAUM Bani Israel atau Yahudi adalah golongan perosak di muka bumi ini, maka hukuman terhadap Yahudi Bani Quraizah merupakan satu pengajaran kepada semua pihak.



Abu Lubabah telah gagal dalam misinya untuk menjadi orang tengah kepada kemelut antara kaum Yahudi Bani Quraizah yang sedang dikepung oleh tentera Islam.
Akibatnya, seluruh kaum Yahudi itu semakin tertekan dan mereka lebih cenderung memilih untuk menyerah diri kepada tentera Islam. Namun, mereka bimbang ia mungkin tidak semudah itu.
Mereka pasti dihukum dengan hukuman berat walaupun telah menyerah diri. Ini termasuk kemungkinan dihalau keluar dari Kota Madinah sebagaimana yang pernah menimpa puak-puak Yahudi sebelum ini.

"Saya tidak mahu orang saya dihalau keluar dari Madinah. Cukuplah dengan apa yang berlaku kepada Bani Nadhir sebelum ini. Tetapi apakah cara yang lebih selamat untuk kita keluar daripada semua ini," kata Kaab ketika duduk berbincang dengan kaumnya yang terkepung itu.
Mereka kemudiannya bersetuju untuk menghantar wakil kepada suku Aus dan meminta bantuan mereka untuk menemui Rasulullah bagi meringankan hukuman.

"Tidakkah kamu suka membela kami, sebagaimana kaum Khazraj membela sahabat-sahabat mereka dari kaum Yahudi Bani Qainuqa' sebelum ini," tanya wakil Kaab kepada pembesar Suku Aus.
Mendengarkan itu, Suku Aus tidak dapat menolak permintaan Bani Quraizah dan segera mereka bertemu dengan Rasulullah bagi memohon pertimbangan baginda supaya meringankan hukuman terhadap seluruh anggota kaum Bani Quraizah.

Baginda menerima permintaan tersebut. Tetapi untuk lebih adil dan memberikan memuaskan hati semua pihak, baginda sendiri tidak akan menjatuhkan sebarang hukuman.
Baginda memberikan penghormatan kepada seorang sahabat dari Suku Aus itu sendiri untuk menjatuhkan hukuman.
Oleh kerana Bani Quraizah percaya dan meminta bantuan Suku Aus jadi biarlah Suku Aus yang menentukan bentuk hukuman yang sesuai untuk mengajar Bani Quraizah yang khianat terhadap perjanjian damai.

"Wahai golongan Aus, tidakkah kamu reda bahawa jika seorang lelaki antara kamu memberi hukuman kepada mereka itu," tanya Rasulullah.
"Baiklah Ya Rasulullah, kami reda," jawab Suku Aus.
"Maka dengan itu kamu bawalah ke mari dan bertanyakan sendiri kepada Saad bin Muaz, pemimpin yang kamu segani daripada puak kamu akan bentuk hukuman untuk semua anggota kaum Bani Quraizah," kata Rasulullah.
Saad bin Muaz pada masa itu sedang sakit teruk akibat luka-luka yang dialaminya semasa Perang Khandaq.

Dengan menggunakan tandu, Saad dibawa kepada Rasulullah yang kemudiannya seluruh suku Aus pun datang berduyun-duyun bagi mendengarkan apa yang bakal dijatuhkan kepada Yahudi Bani Quraizah.
Mereka meminta supaya Saad berbuat baik terhadap Bani Quraizah namun mereka yakin Saad akan memaafkan dan membebaskan Bani Quraizah.
Dalam keadaan kesakitan itu, sebenarnya terlalu sukar bagi Saad untuk menentukan apa yang terbaik untuk beliau putuskan.
Lalu beliau pun meminta supaya diberikan Kitab Taurat bagi mencari ayat-ayat daripada kitab itu yang boleh dijadikan rujukan dalam menentukan hukuman yang tepat kepada pengikut kitab itu sendiri - kaum Yahudi.

Akhirnya Saad menemui ayat berikut: "Jika kamu telah dekat dengan suatu kota yang hendak kamu serang ajaklah mereka untuk berdamai. Jika mereka tidak mahu berdamai maka kepunglah kota itu.
"Jika tuhan memberikan kemenangan kepada kamu maka bunuhlah semua kaum lelakinya dengan pedang. Kaum wanita, anak-anak kecil dan haiwan ternakan jadikan sebagai rampasan perang."
Selepas membaca ayat yang diambil dari Kitab Taurat itu, Saad pun berkata: "Dengan ini saya menjatuhkan hukuman ke atas mereka, semua lelaki dari kaum Yahudi Bani Quraizah akan dibunuh, harta benda mereka akan dirampas dan anak isteri mereka akan dijadikan tawanan."

Masing-masing terkejut dengan apa yang keluar dari mulut Saad itu. Tetapi mereka tidak mampu berkata apa-apa lagi kerana semuanya sudah termaktub dalam kitab Taurat itu sendiri. Bukan daripada al-Quran mahupun dari Nabi Muhammad sendiri sebagai pesuruh Allah.
Hukuman tersebut tidak dapat ditarik balik ditambah lagi Saad pula meninggal dunia tidak lama selepas itu akibat kecederaan teruk yang beliau alami.
Maka hukuman sebagaimana yang ditetapkan oleh Saad itu dilaksanakan tanpa bantahan mana-mana pihak terutamanya kaum Yahudi Bani Quraizah itu sendiri.
Jika itu sudah ditakdirkan kepada mereka dan sebagaimana yang termaktub dalam kitab ikutan mereka sendiri, iaitu Taurat maka mereka pun menjalani hukuman tersebut.

Begitupun baginda Rasulullah masih meminta kepada kaum tersebut supaya memeluk Islam jika mahu nyawa mereka selamat. Tetapi sebagaimana Huyyay sendiri bukan sahaja menolak mentah-mentah permintaan baginda, malah beliau mengajak kaum Yahudi yang lain supaya jalani sahaja hukuman tanpa perlu rasa takut dan demi maruah jangan sekali-kali berpaling daripada agama mereka kepada Islam.

Maka seluruh kaum Yahudi Bani Quraizah tidak ada yang terlepas menjalani hukuman termasuk ketua mereka, Kaab bin Asad.

Kisah Perang Ahzab atau Khandaq itu ada diceritakan dalam surah al-Ahzab.
Ini termasuklah kisah hukuman terhadap Bani Quraizah sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: Dan Allah telah menghalau kembali (angkatan tentera) orang-orang yang kafir itu (ke tempat masing-masing) dengan keadaan mereka geram marah (kerana gagal dan hampa), mereka tidak mendapat sebarang keuntungan. Dan Allah selamatkan orang-orang yang beriman dari bencana menghadapi peperangan itu. Dan (ingatlah) adalah Allah Maha Kuat, lagi Maha Kuasa.

Dan Dia menurunkan golongan Ahli Kitab (kaum Yahudi) yang membantu tentera musuh itu, dari benteng-benteng mereka (menyerah diri), setelah diisikan-Nya hati mereka dengan perasaan gerun. (Lalu mereka diadili dan dijatuhkan (hukuman); sebahagian di antaranya kamu bunuh, dan sebahagian lagi kamu tawan.

Dan Dia menjadikan kamu mewarisi tanah-tanah dan rumah-rumah serta harta benda mereka, dan juga tanah-tanah (di negeri-negeri lain) yang belum kamu menjejaknya. Dan (ingatlah) adalah Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu. (al-Ahzab: 25-27)

Natabah dihukum bunuh

Hanya seorang sahaja wanita Yahudi yang menjalani hukuman bunuh iaitu Natabah binti Hakam.
Beliau dihukum bunuh kerana perbuatannya yang membunuh seorang sahabat baginda yang juga anggota tentera Islam iaitu Khallad bin Suwaid dengan batu penggiling semasa berlaku serangan-serangan kecil ketika Bani Quraizah itu dikepung oleh tentera Islam.

Apa yang menghairankan beliau hanya ketawa apabila dibawa untuk menjalani hukuman tersebut.
Saidatina Siti Aishah yang ada ketika itu pun bertanya: "Hairan, mengapa kamu ketawa? Sedangkan kamu akan dihukum mati sebentar lagi?"
"Saya gembira kerana pastinya dapat menemui suamiku yang telah menjalani hukuman mati sebentar tadi di alam sana.

"Saya juga gembira kerana akan bertemu dengan Khallad yang membolehkan saya dihukum mati dan berpeluang untuk menemui suamiku itu," kata Natabah.
Selain Natabah, seluruh wanita Yahudi yang lain termasuk kanak-kanak ditawan oleh tentera Islam. Mereka juga kemudiannya merampas harta-harta milik kaum itu untuk dijadikan harta rampasan perang atau ghanimah.

Turut dirampas ialah tanah-tanah dan kebun-kebun kurma, alat-alat pertanian dan rumah-rumah berserta perabut serta beratus-ratus haiwan ternakan terutamanya unta dan kambing.
Juga dikumpulkan pelbagai jenis peralatan perang dan senjata, iaitu 1,500 bilah pedang, 300 baju perang, 2,000 tombak dan 500 perisai.

RUJUKAN..............

Ahad, 5 Februari 2012

Rasulullah ketua keluarga mithali

SALAM MAULIDUR RASUL S.A.W DARI KAMI WARGA TAKMIR JABATAN HAL EHWAL AGAMA ISLAM PULAU PINANG

SOLLU 'ALAN NABI!

ALLAHUMMA SOLLI 'ALA SAYYIDINA MUHAMMAD WA 'ALA AALIHI WASAHBIHI AJMA'IN

 

Rasulullah ketua keluarga mithali


Seorang suami yang melayan keluarganya dengan baik adalah termasuk dalam kategori orang yang sempurna imannya sebagaimana yang disabdakan oleh Nabi Muhammad SAW. - Gambar hiasan



Pembinaan sebuah keluarga yang dilimpahi kebahagiaan bukanlah menjadi satu fatamorgana atau ilusi yang tidak mampu dicapai seandainya semua umat Islam mempunyai iltizam yang tinggi untuk menggapainya.

Bak kata pepatah Melayu, "Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan". Begitu juga pepatah bagi masyarakat Barat yang menyatakan when there is a will, there is a way.
Setiap manusia lelaki dan wanita diciptakan oleh Allah sememangnya memerlukan pasangan bagi saling melengkapi antara sama lain seperti Allah menciptakan Saidatina Hawa untuk menjadi teman dan pasangan kepada Abul Basyar Saidina Adam a.s.

Penciptaan insan yang bergelar lelaki dan wanita ini sudah menjadi fitrah dan tabie yang termaktub dalam setiap firman Allah menerusi al-Quran yang bermukjizat itu.

Bak kata sesetengah orang "perkahwinan dan pernikahan menurut kebiasaannya hanya dilihat dan dirasakan kemanisan dan kenikmatannya hanya sebulan atau paling lama tiga bulan sahaja".
Andainya benar kenyataan ini, apakah pernikahan tersebut hanya menjadi satu perkara sia-sia. Malah ia akan menjadi beban besar yang terpikul ke atas kedua-dua pihak - suami dan isteri.
Apabila ditanya mengapa situasi seperti ini boleh terjadi, maka kita akan dapati kesimpulannya hanya kerana "melihat orang lain berkahwin, maka saya pun berkahwin".

Justeru, keikhlasan dan ketulusan memikul tanggungjawab sebagai suami dan isteri kerana Allah itu sudah hilang. Sebabnya, sesetengah pasangan menganggap sebagai satu halangan yang besar dalam erti seorang lelaki dan wanita yang masih belum dan tidak merasa puas dengan kebebasan yang diperlukan dalam diri masing-masing.
Oleh yang demikian, sebagai umat Islam barangkali ada kebenaran di sebalik kata-kata bahawa mengahwini orang yang dicintai suatu keharusan dan mencintai orang yang dinikahi adalah suatu kewajipan.

Bersempena kedatangan tarikh ulang tahun keputeraan junjungan besar Nabi Muhammad SAW pada 12 Rabiulawal 1433 Hijri bersamaan 5 Februari 2012 Masihi yang menjadi qudwah (contoh) dalam pelbagai aspek.

Maka umat Islam bukan sahaja memperingati baginda sebagai insan suci yang membawa obor Islam di atas muka bumi akan tetapi ia perlu dilihat - jika dalam aspek rumahtangga, maka kita sewajarnya mendalami bagaimana untuk kita mencontohi teladan Rasulullah SAW dalam menyantuni para isteri (Ummahaat Al-Mukminin) serta kaum keluarganya.

Barangkali ada yang berkata bahawa terlalu jauh impian kita untuk menyamai taraf dan kedudukan serta segala teladan yang baginda lakukan. Namun, sebagai umat baginda perlu sentiasa menanam impian dan hasrat melakukan yang terbaik untuk keluarga.

Pelbagai contoh yang mungkin menjadi sumber inspirasi kepada kita semua seperti baginda pernah bersabda yang bermaksud: "Sebaik-baik kamu adalah yang terbaik terhadap keluarganya ; dan aku adalah yang terbaik dari kamu terhadap keluargaku. Orang yang memuliakan kaum wanita adalah orang yang mulia, dan orang yang menghina kaum wanita adalah orang yang tidak tahu budi". (riwayat Abu 'Asakir)

Di dalam hadis yang lain juga ada baginda SAW berpesan: "Orang mukmin yang paling sempurna imannya adalah yang paling baik akhlaknya, dan yang berbuat baik kepada ahli keluarganya". (riwayat Abu Daud dan At-Tirmizi)

Sekiranya kita mempunyai darjat dan kedudukan yang tinggi di mata masyarakat, maka tidaklah menjadi hina dan tercela darjat berkenaan dengan sebab kita menyantuni keluarga.

Bahkan dalam konteks ini, baginda SAW seorang yang Allah telah angkat dan iktirafnya sebagai kekasih-Nya tetap tidak melupakan tugas dan tanggungjawab baginda sebagai manusia biasa.
Maka, situasi ini agak kontradik dengan apa yang nabi SAW paparkan iaitu sesetengah suami yang percaya bahawa dengan ketegasan dan kemarahan sahaja 'jawapan' dalam mendidik seseorang isteri.
Baginda lemah-lembut dengan isteri

Sifat lemah lembut baginda SAW jelas terpapar dalam satu situasi pernah baginda pulang pada waktu pagi yang kebetulannya baginda teramat lapar pada ketika itu akan tetapi apabila dilihatnya tiada apa pun yang ada untuk menjadi makanan sarapan. Lalu nabi bertanya: "Adakah masih belum ada sarapan wahai Humaira?" (Humaira adalah panggilan mesra untuk Saidatina Aisyah yang bererti pipi yang kemerah-merahan).

Maka Saidatina Aisyah menjawab dengan agak serba salah: "Belum ada apa-apa wahai Rasulullah". Rasulullah SAW lantas berkata: "Jika begitu saya puasa saja hari ini" tanpa sedikit tergambar rasa sekelumit kemarahan dan kekesalan pada raut wajah baginda.

Oleh yang demikian, dewasa ini, dengan situasi yang sama walau pun sekilas dipandang kecil tetapi ia boleh menjadi isu dan perkara besar sehingga boleh membawa kepada pergaduhan dan perbalahan.
Apa yang jelas bahawa jika bertindak dengan terburu-buru tanpa usul periksa maka pastinya akan berkesudahan dengan keputusan yang menjadikan syaitan dan iblis bergembira kerana telah berjaya mengkucar-kacirkan sebuah rumahtangga Muslim.

Menggalas tugas dan tanggungjawab sebagai seorang ketua dalam sesebuah keluarga bukan sahaja memerlukan ilmu pengetahuan agama yang cukup malah kesabaran menjadi paksi yang teras dalam melayari bahtera kehidupan.

Ini kerana andainya tersalah dalam membuat sebarang keputusan seperti contoh dalam sesebuah rumahtangga maka banyak pihak yang akan menanggung permasalahan seperti anak-anak, pembahagian harta benda dan sebagainya.

Betapa tulus dan bersih hati seorang insan berdarjat mulia yang tidak keberatan untuk menjahit serta menampalnya sendiri jika ada pakaian baginda yang terkoyak tanpa menyuruh isterinya.
Malah lebih daripada itu baginda juga seperti insan yang lain tidak segan silu memerah susu kambing sama ada untuk kegunaan keluarga atau pun untuk dijual.

Masya-Allah, di manakah kita sekarang? Hanya dengan kerana darjat dan kedudukan, tugas-tugas seperti tadi barangkali tidak menjadi kegemaran kita.

Bersama kita sematkan dalam diri dan keazaman kita bahawa seandainya seorang nabi dan rasul yang mulia itu sanggup menyantuni keluarganya dengan baik. Beratkah kita untuk menjejaki langkah dan teladan Baginda.

Semoga iltizam dan cita-cita kita untuk menjadi seorang ketua keluarga yang mengambil semangat dan model paparan Nabi Muhammad SAW menjadi realiti.

l Jika ada kemusykilan agama, sila ke Facebook dan Twitter Ustaz Tuan Asmawi Tuan Umar, Pegawai Perhubungan Awam Jawi merangkap Pengasas & Penasihat Imam Muda & Ustazah Pilihan di www.facebook.com/tuanasmawi dan www.twitter.com/tuanasmawi

RUJUKAN.......... 

Khamis, 2 Februari 2012

Tiada keredaan Allah tanpa keredaan ibu bapa

Tiada keredaan Allah tanpa keredaan ibu bapa


UMAT Islam disuruh berbuat baik kepada ibu bapa terutama apabila mereka sudah lanjut usia. - Gambar hiasan



Dewasa ini, kita seringkali dipersembahkan dengan episod-episod sedih dan duka yang berlaku dalam masyarakat kita. Ada segelintir masyarakat yang sanggup mengabaikan ibu bapa mereka.
Bukan sahaja tidak pernah bertanya khabar, bahkan sanggup membiarkan kehidupan ibu bapa mereka melarat sehingga menagih simpati dari jiran-tetangga untuk meneruskan kehidupan.

Lebih malang, ada yang sanggup memukul, mencaci dan mengeji ibu bapa tanpa belas kasihan.
Ada pula yang tergamak menghantar ibu bapa mereka yang sudah tua dan uzur itu ke pusat-pusat penjagaan warga tua dan langsung tidak dipedulikan nasib mereka. Walhal ketika kecil, ibu bapa mereka tidak sampai hati menyerahkan mereka di bawah jagaan orang lain walau hidup dalam keadaan penuh kekurangan.

Islam meletakkan ibu bapa pada tempat yang tinggi dari segi kedudukannya. Seseorang itu wajib mentaati kedua ibu dan bapanya selagi ketaatan tersebut tidak bertentangan dengan Syariat Allah SWT. Bahkan, Allah SWT meletakkan keterikatan keredaannya bersama keredaan ibu bapa.
Dengan kata lain, seseorang itu tidak akan memperolehi keredaan Allah SWT, tanpa terlebih dahulu meraih keredaan kedua ibu bapanya. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Keredaan Allah bergantung pada keredaan ibu bapa, dan kemurkaan Allah bergantung pada kemurkaan kedua-dua ibu bapa". (riwayat al-Hakim)

Kita diperintahkan oleh Allah SWT untuk berbuat baik kepada keduanya, bercakap dengan lemah-lembut dan sopan-santun. Kita dilarang mengucapkan perkataan yang dapat mengguris hati mereka walaupun sekadar mengucapkan "ah".

Di samping itu, hendaklah kita sentiasa mendoakan kebaikan sama ada ketika kedua-duanya masih hidup atau telah meninggal dunia.

Perintah berbuat baik kepada kedua ibu bapa ini adalah kerana Allah SWT mahu kita menghargai pengorbanan mereka untuk memelihara dan membesarkan kita dengan penuh kasih-sayang.
Maka, kita perlu berterima kasih kepada mereka dengan cara membalas jasa mereka sebaik mungkin walaupun ia tidak akan sekali-kali menyamai pengorbanan dan sumbangan mereka selama ini.
Kewajipan berterima kasih kepada ibu bapa ini dapat dilihat dalam firman Allah SWT yang bermaksud: Dan kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya ,ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan dari awal mengandung sehingga akhir menyusunya dan tempoh menceraikan susunya adalah dalam masa dua tahun. Dengan demikian bersyukurlah kepada ku dan kedua ibu bapamu dan ingatlah kepada Aku lah jua tempat dikembalikan untuk menerima balasan. (Luqman: 14)

Pengorbanan mereka adalah pengorbanan yang cukup besar. Maka atas dasar itulah Islam menggandingkan tanggungjawab mentaati ibu bapa mengiringi persoalan mentauhidkan Allah.
Firman Allah yang bermaksud: Dan hendaklah kamu beribadah kepada Allah dan janganlah kamu sekutukan Dia dengan sesuatu apa jua pun dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibu bapa kamu, kaum kerabat, anak-anak yatim, orang-orang miskin, jiran tetangga yang dekat, jiran tetangga yang jauh, rakan sejawat, orang yang bermusafir dalam kesusahan dan hamba yang kamu miliki. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang sombong, takbur dan suka membangga diri. (al-Nisa': 36)

Seksaan berat

Justeru, Allah SWT dan Nabi Muhammad SAW telah memberi ancaman kepada mereka yang sanggup menderhaka kepada ibu bapa. Mereka bakal berhadapan dengan seksaan yang berat dalam api neraka beserta laknat yang tidak berkesudahan daripada Allah SWT.

Nabi SAW bersabda: "Semua dosa diakhirkan hukumannya sekehendak Allah SWT sehingga ke hari kiamat, kecuali dosa kerana derhaka kepada kedua orang tuanya, maka yang demikian diciptakan hukumannya bagi yang melakukannya". (riwayat Al-Hakim)

Imam Az-Zahabi dalam kitabnya Al-Kabair telah menyebutkan kata-kata Ka'ab bin Al-Ahbar tentang keburukan orang yang menderhaka kepada ibu bapa dan kebaikan orang yang menjaga hubungan dengan ibu bapanya.

Beliau menyatakan: "Sesungguhnya Allah SWT akan mempercepatkan kebinasaan dan kecelakaan seseorang apabila dia menderhakai kedua ibu bapanya, iaitu akan dipercepatkan seksaannya. Dan sesungguhnya Allah akan menambah umur seseorang, jika dia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya, maka dia akan memberikan perbelanjaan kepada keduanya, jika mereka berdua memerlukannya".

Justeru, marilah kita sama-sama menjaga ibu bapa kita sebaik mungkin. Jangan lokek menghubungi mereka selalu, bertanya khabar dan memberikan penjagaan penuh kepada mereka.
Ambillah peluang berbakti kepada mereka sementara mereka masih hidup. Bagi mereka yang telah kehilangan ibu dan bapa, teruskan mendoakan mereka supaya diampuni dosa dan dimasukkan dalam golongan orang yang soleh.

RUJUKAN...............

Rabu, 1 Februari 2012

Homoseksualiti megah di Tel Aviv



Pengunjung bar menunggu majlis parti gay di sebuah kelab malam Tel Aviv pada 20 Januari lalu. Tel Aviv telah menjadi lokasi tumpuan pelancong gay di Mediterranean. - REUTERS



TEL Aviv telah lama menjadi syurga golongan gay dan merupakan antara sebilangan kecil kawasan di Asia Barat di mana individu homoseksual berasa bebas berjalan berpegangan tangan dan bercumbuan di khalayak ramai.

Kini, iklim nyaman, hiburan waktu malam dan kempen penjenamaan kreatif yang disokong kerajaan Israel telah mengangkat bandar Tel Aviv sebagai antara destinasi utama pelancong gay dari seluruh dunia.
Pentadbiran bandar Tel Aviv telah memperuntukkan kira-kira AS$100,000 (RM307,850) atau lebih daripada satu pertiga bajet pemasaran antarabangsa mereka untuk menarik kedatangan pelancong homoseksual.
Walaupun tiada perangkaan khusus direkodkan, pegawai kerajaan menjangkakan puluhan ribu pelancong gay dari luar negara datang ke Tel Aviv setiap tahun.

Datuk Bandar Tel Aviv, Ron Huldai menegaskan, pihaknya sedang cuba membentuk sebuah model untuk keterbukaan, pluralisme dan toleransi.
Hotel pertama yang dimiliki golongan gay secara terbuka di bandar tersebut dibuka baru-baru ini dan banyak tapak pelancongan yang disokong kerajaan Tel Aviv membawa pelancong homoseksual terus ke kelab-kelab malam terhangat, bar dan resort ternama di sana.

Seorang pegawai Kementerian Pelancongan Israel, Pini Shani yang terlibat dalam kempen tersebut menjelaskan, pihaknya telah lama mengiktiraf potensi ekonomi komuniti gay dunia.
"Pelancong gay adalah pelancong berkualiti yang membelanjakan wang dan menetapkan trend semasa.
"Tanpa rasa ragu, pelancong yang mempunyai pengalaman positif di sini juga mempunyai nilai PR tersendiri. Jika mereka pulang dengan rasa puas, mereka akan menjadi duta muhibah untuk Israel," katanya.
Bandar itu juga mengadakan pesta perarakan homoseksual tahunan yang meriah dan Tel Aviv juga mempunyai pusat komuniti sendiri untuk golongan gay.

Tel Aviv juga baru-baru ini memenangi anugerah Bandar Gay Terbaik Dunia 2011 daripada pelanggan American Airlines dan laman sesawang GayCities, menumpaskan New York, Toronto (Kanada) dan London.

Antara komen yang diterima daripada pelancong gay termasuk lelaki Israel amat eksotik dan Tel Aviv umpama buih keamanan untuk golongan homoseksual atau LGBT di Asia Barat.
Tel Aviv sebenarnya turut menjadi syurga bagi golongan homoseksual Palestin yang berhadapan dengan pemulauan atau penindasan di tanah air mereka sekitar Tebing Barat.
Perkara sama berlaku di kalangan Yahudi ultra ortodoks yang meninggalkan 'penjara' rumah mereka untuk kebebasan bandar besar di Tel Aviv.

Di sebalik imej sebuah masyarakat yang bergelut dengan paksaan agama dan ancaman peperangan yang berterusan, Israel merupakan antara negara paling progesif dari sudut hak golongan homoseksual.
Golongan gay berkhidmat secara terbuka dalam tentera dan Parlimen Israel, sementara Mahkamah Agung negara itu juga telah menganugerahkan bermacam hak kekeluargaan kepada individu homoseksual seperti hak warisan harta dan manfaat kepada individu gay yang pasangannya meninggal dunia.
Israel juga merupakan negara pertama di dunia yang memaparkan penyertaan pasangan sama jantina dalam versi pertandingan televisyen Dancing With the Stars mereka.
Selain itu, golongan gay, lesbian mahupun transeksual merupakan antara ahli muzik dan pelakon paling popular di Israel.

Secara rasmi, tiada perkahwinan gay di Israel terutamanya kerana tiada perkahwinan sivil di sana. Semua perkahwinan perlu melalui Rabai Yahudi yang menganggap homoseksualiti satu dosa besar dan melanggar undang-undang Yahudi.

Bagaimanapun, kerajaan Israel tetap mengiktiraf pasangan sama jantina yang berkahwin di luar negara.
Mengambil anak angkat di kalangan pasangan homoseksual juga secara rasminya diharamkan tetapi ini boleh diatasi kebanyakan pasangan sama jantina melalui kaedah ibu tumpang atau mengambil anak angkat di luar negara.

Pasangan kepada invidu homoseksual juga boleh mengambil anak kepada pasangan hidup mereka sebagai anak angkat.
Namun, situasi di bandar Baitulmuqaddis, sejam perjalanan dari Tel Aviv, jauh berbeza dengan dua pertiga daripada lebih 800,000 penduduknya terdiri daripada golongan Yahudi ultra Ortodoks atau bangsa Arab.
Pada 2005, seorang pembantah fahaman ultra Ortodoks menikam tiga orang yang menyertai perarakan gay di Baitulmuqaddis.

Beberapa tahun lalu pula, seorang wakil rakyat dari parti ultra Ortodoks, Shas, menyatakan di Parlimen bahawa gempa bumi merupakan satu hukuman Tuhan terhadap aktiviti homoseksual.
Tel Aviv juga sebenarnya tidak terlindung daripada keganasan apabila kejadian tembakan rambang dilakukan oleh seorang penyerang bertopeng di sebuah pusat khidmat bagi belia gay dan lesbian pada 2009.
Serangan paling ganas terhadap komuniti homoseksual di Israel itu menyebabkan seorang kaunselor lelaki berumur 26 tahun dan seorang gadis berumur 17 tahun terbunuh sementara penyerang tersebut masih gagal ditangkap.

Semua kebimbangan itu bagaimanapun nampak jauh daripada minda pelawat dan pelancong ke Tel Aviv.
Di sebalik semua keganasan itu, pemilik hotel butik Brown, Leon Avigad menganggap suasana di Tel Aviv kini secara umumnya 'sungguh liberal' sehinggakan sesetengah kelab telah melabelkan premis mereka sebagai 'ramah-heteroseksual' pula.
"Tel Aviv kini sungguh gay sehinggakan anda tidak perlu mengumumkan orientasi seksualiti diri untuk menarik minat golongan homoseksual.
"Walaupun Israel mungkin melakukan beberapa perkara yang saya secara peribadi tidak bersetuju, tidak bermakna negara ini tidak boleh menjadi satu destinasi gay yang menarik untuk pelancong luar. Ia nilai tambah kepada rencah di sini," katanya.

Avigad, 40, telah berkahwin dengan pasangannya, seorang lelaki gay dan mempunyai seorang anak perempuan tetapi menegaskan dia tidak bimbang dengan politik berbahaya rejim Zionis.
Seperti biasa di Asia Barat, sesetengah pengkritik telah menuduh Israel menggunakan toleransi terhadap golongan homoseksual untuk mengalih perhatian daripada dakwaan melanggar undang-undang terhadap penduduk Palestin.

Pembangkang di Israel mencemuh penerimaan budaya homoseksual sebagai satu usaha secara sedar untuk mengaburi pencabulan hak asasi manusia warga Palestin di sebalik imej toleransi.
Kumpulan-kumpulan hak asasi manusia juga menuduh Israel melakukan pelbagai bentuk pencabulan terhadap penduduk Palestin.

Ini termasuk penahanan remaja bawah umur, memusnahkan rumah warga Palestin yang dibina tanpa permit, merampas tanah Palestin di Tebing Barat, menahan rakyat Palestin berbulan-bulan lamanya tanpa pendakwaan dan gagal mengambil tindakan terhadap tentera yang melakukan kesalahan di wilayah Palestin.
Israel menyatakan mereka menghormati hak asasi manusia dan apa yang dilakukan di wilayah Palestin itu cuma atas kebimbangan keselamatan semata-mata.

Kempen pelancong gay di Tel Aviv juga telah menimbulkan perbezaan pendapat antara golongan gay sendiri.
Ini termasuk seorang aktivis lesbian dan profesor di Kolej Staten Island, Universiti Bandar New York, Sarah Schulman menulis dalam akhbar New York Time November lalu tetapi kemudian diselar seorang editor gay majalah The New Republic, James Kirchick.

"Meningkatkan hak golongan gay telah menyebabkan sebilangan individu yang berniat baik menyalah tafsir tahap kemajuan sesebuah negara berdasarkan tindakan mereka terhadap homoseksualiti," tulis Schulman.
Kirchick kemudian membalas tulisan Schulman dalam majalah dalam talian, Tablet, dengan menuduh aktivis lesbian itu serta rakan-rakannya mempunyai agenda tersembunyi.
"Kerana diselubungi kebencian terhadap Israel, mereka sanggup memesongkan kebenaran tentang penindasan kejam golongan homoseksual di Tebing Barat dan Semenanjung Gaza.
"Jika ada usaha mengaburi sesuatu di sini, ia Schulman yang mahu menyorokkan pahit getir golongan gay di Palestin," tegas Kirchick.

Seorang profesor undang-undang di Universiti Tel Aviv, Aeyal Gross pula mengakui banyak kemajuan telah dicapai dalam perjuangan hak golongan homoseksual di Israel tetapi turut berkongsi pendapat serupa dengan Schulman.

"Lebih lama Israel menjenamakan dirinya sebagai demokrasi liberal, semakin kurang tekanan diterimanya daripada masyarakat antarabangsa.
"Tetapi, jika kamu betul-betul mengambil berat tentang hak asasi golongan gay, maka kamu juga perlu mengambil berat apabila hak asasi golongan lain ditindas," ujarnya. - AP


SUMBER.............

Selasa, 31 Januari 2012

Facebook kini jadi lubuk 'jerung'

 gambar hiasan


Facebook kini jadi lubuk 'jerung'

KUALA LUMPUR 25 Jan. - Para pengguna laman sosial Facebook seharusnya lebih berhati-hati dan jangan mudah terpedaya mengenai segala bentuk kemewahan yang dicanangkan oleh rakan 'maya' yang dikenali menerusi laman berkenaan.

Profesor Ekonomi di Fakulti Ekonomi, Kewangan dan Perbankan, Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Datuk Amir Baharuddin menyifatkan Facebook sebagai lubuk 'jerung' yang hanya menanti mangsa untuk disambar.

Katanya, masyarakat harus sedar tiada jalan pintas untuk mendapatkan keuntungan besar melalui pelaburan seperti yang digambarkan dan helah itu adalah sama dengan skim-skim lain yang diperkenalkan sebelum ini.
"Penipuan menerusi pelaburan Internet sudah lama berleluasa dan tidak sepatutnya masih ada mangsa yang terpedaya dengan omongan pihak-pihak berkenaan yang menjanjikan keuntungan sehingga 10 peratus sebulan daripada nilai pelaburan.

"Itu semua adalah sandiwara semata-mata bagi menarik minat mereka yang mahukan keuntungan segera. Masyarakat harus sedar bukan semudah itu untuk mengumpul kekayaan," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan khas akhbar ini mengenai modus operandi skim pelaburan Internet yang kini beralih menggunakan medium laman sosial Facebook untuk menjerat mangsa.
Tambahnya, adalah lebih baik sekiranya wang yang ada itu dilaburkan ke dalam pelaburan yang disahkan dan dijamin kerajaan.

"Kerajaan telah menyediakan banyak saluran untuk kita membuat pelaburan seperti Amanah Saham Nasional (ASN) dan Amanah Saham Bumiputra (ASB), jadi mengapa harus memilih pelaburan yang tidak menentu.
"Sepatutnya sebelum mengeluarkan duit yang ada, kita seharusnya berfikir dengan masak kerana kerugian adalah risiko yang perlu ditanggung sendiri," ujarnya.

Sementara itu, Pensyarah Sekolah Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Malaysia Sabah (UMS), Profesor Dr. Syed Azizi Wafa Syed Khalid Wafa menasihatkan orang ramai menyelidik dahulu latar belakang sesuatu skim sebelum membuat sebarang pelaburan.

"Harus dipastikan sama ada skim yang ingin disertai itu sah dan berdaftar dengan Bank Negara dan jangan mudah 'gelap mata' dek kemewahan dan pulangan yang digambarkan.
"Penipu ini licik dan pandai. Banyak cara yang mereka ada untuk memperdaya kita semua dan terkini mereka mengunakan laman sosial pula," tegasnya.

Katanya, masyarakat perlu berfikir secara logik dan rasional, sedangkan Petronas dan syarikat terbaik dunia yang lain pun hanya sekadar mencatat keuntungan sebanyak 30-50 peratus setahun.
"Jadi mana mungkin hanya dengan pelaburan 'maya' kita mampu untuk memperoleh pulangan sebanyak 10 peratus sebulan ataupun 120 peratus setahun," ujarnya.


gambar hiasan

 

SUMBER............

Isnin, 30 Januari 2012

LGBT, agenda pinkwashing Israel

TIDAK pernah terfikir bahawa perjuangan kumpulan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) menjalar ke Malaysia dan ironisnya telah ditakrifkan sebagai perjuangan hak kebebasan bersuara yang tidak sepatutnya disekat oleh kerajaan.

Sememangnya itu adalah fenomena global kerana di seluruh dunia kumpulan tersebut begitu lantang memperjuangkan hak mereka dan agak ironis sekali apabila ada antara mereka mengumpamakan kebangkitan LGBT selari dengan revolusi rakyat Arab yang cuba bebas daripada belenggu setelah ditindas oleh pemimpin diktator buat sekian lama.

Timbul kemusykilan mengapa dengan secara mendadak perjuangan LGBT mendapat simpati dan sokongan padu global bukan sahaja dalam kalangan individu atau pertubuhan malahan ada negara dengan secara rasminya menyokong dan memberi bantuan kepada aspirasi perjuangan LGBT.
Mungkin ada agenda tersirat atau pun sememangnya gerakan LGBT ini mempunyai matlamat yang sah, agak menarik untuk dibahaskan.

Tetapi satu perkara yang agak nyata adalah persepsi yang cuba digambarkan adalah bagi individu, pertubuhan atau negara yang menyokong perjuangan LGBT, mereka ini dianggap sebagai kumpulan yang menghormati proses demokrasi. Sebab itu dikaitkan perjuangan LGBT dengan hak asasi manusia dan revolusi rakyat Arab kerana kedua-duanya adalah sinonim dengan perjuangan demokrasi.

Paling membimbangkan adalah kayu ukuran yang digunakan untuk negara yang mempunyai undang-undang mesra LGBT dianggap sebagai sebuah negara yang mempunyai sistem demokrasi yang matang.
Sebaliknya pula negara yang mengekang golongan LGBT dilabelkan sebagai pemerintahan ala diktator yang langsung tidak mempunyai sifat tolak ansur. Begitu mengaibkan sekali wujud pula masyarakat antarabangsa yang akur dengan persepsi songsang tersebut dan terperangkap dengan agenda yang lebih popular dikenali sebagai pinkwashing.

Rejim Israel umpamanya telah mengamalkan strategi pinkwashing ini dengan mempergunakan agenda LGBT untuk menggambarkan bahawa sistem demokrasi mereka adalah yang terbaik di rantau Asia Barat.
Tel Aviv dianggap sebagai antara bandar paling mesra LGBT dan rejim tersebut tanpa segan silu mempromosikan gambaran tersebut sebagai benar dan bukannya persepsi semata-mata. Tentera Israel daripada golongan LGBT tidak perlu menyembunyikan kecenderungan mereka kerana hak mereka diiktiraf. Malah Mahkamah Agung Israel turut mengiktiraf hak seperti pewarisan harta keluarga LGBT sama seperti keluarga lain.

Datuk Bandar Tel Aviv Ron Huldai dengan megah menyatakan bahawa Israel cuba membentuk model masyarakat yang mempunyai sifat toleransi, keterbukaan dan pluralisme dengan lebih memahami kehendak LGBT.

Jika kota London, Toronto atau New York dianggap sinonim dengan ungkapan bandar mesra LGBT, tidak keterlaluan jika diandaikan Tel Aviv telah berada jauh di hadapan di antara ketiga-tiga bandar raya tersebut.
Malah Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu ketika memberi ucapan di hadapan perwakilan Kongres Amerika Syarikat pada Mei tahun lepas dengan megah mengisytiharkan Israel adalah sebuah negara demokrasi contoh terbaik di Asia Barat berbanding negara lain yang merejam wanita, kumpulan gay dihukum gantung dan penganut agama Kristian dikekang aktiviti mereka.

Begitu jelas sekali strategi Israel yang mengamalkan pinkwashing bukan sahaja untuk menggambarkan demokrasi Israel adalah yang terbaik tetapi dengan sekali gus memburukkan negara Islam.
Rejim Israel sebenarnya mempergunakan isu LGBT sebagai alat perhubungan awam untuk mengaburi persepsi masyarakat antarabangsa terhadap kekejaman yang telah diperlakukan terhadap rakyat Palestin terutama sekali di Tebing Barat dan Genting Gaza. Begitu pintarnya rejim tersebut mengamalkan pinkwashing walaupun undang-undang Yahudi itu sendiri tidak mengiktiraf hak kumpulan LGBT.

Strategi pinkwashing Israel telah diamalkan secara terancang sejak 2005 apabila rejim tersebut menilai isu LGBT boleh dipergunakan untuk menutup segala kekejaman terhadap rakyat Palestin.
Kempen yang pada asalnya dinamakan Brand Israel disasarkan khas kepada mereka yang berumur di antara 18 hingga 34 tahun untuk menggambarkan Israel sebagai sebuah negara yang moden dan relevan.
Setiap tahun kempen Brand Israel dengan strategi pinkwashing dijalankan dengan begitu agresif kerana mempunyai pembiayaan kewangan yang kukuh dan menerima sokongan daripada kepimpinan tertinggi kabinet Israel. Malah pada tahun lepas Lembaga Pelancongan Israel membelanjakan hampir AS$90 juta secara khusus untuk menonjolkan Tel Aviv sebagai destinasi terbaik untuk percutian golongan gay.
Amat menyedihkan jika ada rakyat Malaysia yang terbawa-bawa dengan isu LGBT dengan mengaitkan dengan faktor hak asasi manusia dan menuduh sesiapa yang menentang hak LGBT adalah berlaku kejam. Rakyat Malaysia perlu berhati-hati dan menilai dengan teliti sama ada tuduhan tersebut berasas atau pun mempunyai agenda tersirat.

Amat mengaibkan pula jika ada masyarakat antarabangsa yang termakan dengan pinkwashing Israel yang cuba menutup kekejaman rejim tersebut terhadap rakyat Palestin yang bukan sahaja menahan atau membunuh rakyat Palestin tanpa usul periksa, malah merampas hak dan kedaulatan Palestin tanpa mempedulikan undang-undang antarabangsa.

Sokongan terhadap kebangkitan LGBT tidak boleh disandarkan semata-mata kepada hak kebebasan bersuara kerana kemungkinan tetap ada ia melanggar hukum agama, adat susila dan kehidupan yang lazim.
Bukan itu sahaja kerana ia mungkin dipergunakan oleh pihak tertentu untuk agenda global tersirat seperti pinkwashing Israel.

PENULIS ialah GeoStrategis Institut
GeoSpatial UTM dan ahli bersekutu
Majlis Profesor Negara

SUMBER...........