Isnin, 31 Januari 2011

Medium dakwah baru Jakim

ARKIB : 28/01/2011


Medium dakwah baru Jakim



Oleh ZUARIDA MOHYIN

Gambar hiasan








Jakim.TV adalah penghargaan dan hadiah kepada para pengunjung yang setia, selain mencari sahabat baru Jakim.



--------------------------------------------------------------------------------







SUATU ketika dahulu orang rasa jelik dengan karaoke. Tetapi kini siapa sangka dengan aktiviti karaoke, ia boleh menyatukan sebuah keluarga hanya dengan bersama-sama mendendangkan lagu-lagu ketuhanan yang dinyanyikan indah oleh artis Maher Zain.



Begitu juga beberapa tahun lalu, kita melihat anak-anak muda menggunakan walkman sambil mendengar lagu-lagu artis-artis kegemaran mereka. Jangan terkejut pula apabila ada di kalangan anak-anak muda zaman ini yang memakai pemain MP3 tetapi sebenarnya sedang i'adah (mengulang) al-Quran.



Malahan mengimbas kembali detik permulaan penggunaan Internet suatu masa dahulu, ia pada asalnya digunakan oleh ibu pejabat Jabatan Keselamatan Amerika Syarikat (AS), Pentagon. Tujuannya untuk berperang, tetapi kemudian ia digunakan dan menyelusup serta membudaya dalam semua aspek kehidupan masyarakat moden sekarang.



Begitu juga kerajaan Jerman yang mencipta kenderaan perang yang tidak menggunakan air kerana pada ketika itu mereka berperang di padang pasir. Namun apabila tamatnya peperangan, Jerman mencipta jenama kenderaan Volkswagen yang kini adalah antara kenderaan berprestij dan terunggul di dunia.



Hakikatnya, industri hiburan dan dunia pendidikan telah lama menggunakan gajet multimedia atau apa sahaja aplikasi terkini untuk mencapai matlamat masing-masing. Mungkin tidak mustahil ia boleh digunakan dengan lebih meluas sehingga kepada satu kaedah atau medium terkini dalam penyampaian mesej dakwah.



Pokoknya, apa juga cara yang dipilih, ia bergantung kepada cara kita memanfaatkan teknologi dan media baru ini. Lantaran itu, tepat dengan masanya Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengambil inisiatif memperkenalkan siaran televisyennya ke seluruh dunia melalui saluran Internet yang diberi nama Jakim.TV.



Aplikasi moden ini adalah sebahagian dari kemudahan MyAIM (Malaysian Authoritative Islamic Media). MyAIM adalah usaha Jakim menyediakan maklumat dan panduan tentang Islam dalam pelbagai media seperti media audio/video dan media cetak melalui Internet.



Ini juga selaras dengan usaha-usaha kerajaan menyediakan sebanyak mungkin kandungan tempatan yang berkualiti dari segala aspek, sebagai persediaan untuk mengimbangi kandungan luar yang negatif susulan dari penyediaan jalur lebar ke seluruh negara.



Buat permulaan, kebanyakan kandungannya adalah berbentuk video on demand (VoD), hasil produksi Bahagian Media Jakim dan video koleksi dan arkib rancangan RTM khususnya yang berkaitan dengan Islam.



Jakim.TV dilancarkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Seri Jamil Khir Baharom pada 11 Januari 2011, sempena Majlis Perhimpunan Agensi-Agensi di bawah Menteri di JPM di Putrajaya.



Menurut Ketua Pengarah Jakim, Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz, kewujudan Jakim.TV ini juga dilihat sebagai satu lagi usaha terkini Jakim dalam mengisi seberapa banyak ruang yang ada untuk misi dakwahnya.



Apatah lagi, dakwah sebagaimana yang dikiaskan oleh tokoh terkenal dari Mesir iaitu Sheikh Mohammad Mutta'awali al Syakrawi: "Dakwah ini umpama air dari langit. Yang mana sifatnya suci bersih, apabila ia turun ke bumi ia akan menyelinap ke setiap ruang tanpa terkecuali."



Secara umumnya, kata beliau, Jakim tidak mahu ketinggalan dalam memanfaatkan media baru itu, lebih-lebih lagi menerusi Jakim.TV yang turut mensasarkan kepada satu lagi kelompok baru dan tidak sahaja golongan remaja tetapi juga golongan pesara.



"Ini kerana telah nampak trend di mana kumpulan ini semakin leka dengan perkembangan industri teknologi maklumat (IT). malah tidak terkejut sekiranya golongan yang sebelum ini buta IT kini semakin celik sehingga ada yang ketagih dengan apa yang ditawarkan oleh perkembangan drastik dunia ICT masa kini. Sekali gus mengubah persepsi orang ramai yang menganggap apa sahaja yang berkaitan aplikasi teknologi moden adalah untuk golongan muda," katanya.



Tambah Wan Mohamad, Jakim.TV juga bagaikan ensiklopedia pada skrin. Kalau sebelum ini untuk memperoleh maklumat kita terpaksa mengikut abjad, melalui Jakim.TV, banyak bahan popular semua agensi di bawah Menteri di JPM turut boleh dimuatkan.



Contohnya, Tabung Haji ada mengeluarkan pelbagai alat bantuan latihan untuk jemaah haji. Kadang-kadang, ada antaranya boleh digunakan semula sebagai proses pengukuhan. Jadi, televisyen Internet boleh menjadi alat pengukuhan tersebut.



Selain itu, penonton turut berpeluang berhubung secara interaktif. Ini bermaksud ketika menonton, seandainya ada sesuatu isu atau fakta yang perlu dicari, maka pada masa sama, penonton dilengkapkan dengan ciri-ciri interaktif, capaian dan carian kepada kandungan lain yang berkaitan seperti artikel, fatwa dan sebagainya. uniknya lagi, ia berlaku secara maya.



"Pendek kata, apabila seseorang itu melayari laman web Jakim, pada masa sama dia juga berpeluang mendapatkan semua maklumat pada satu tempat sahaja. Ia seolah-olah seperti sebuah perpustakaan, penyiaran televisyen dan akhbar dipusatkan di situ.



"Di samping itu, banyak juga yang kita dengar di mana orang bukan sahaja menonton televisyen tetapi lebih kepada mendengar televisyen.



"Justeru Jakim.TV juga boleh dijadikan alat untuk mendengar tanpa perlu menonton. Ia sebenarnya begitu mesra pengguna. Umpamanya, tugas surirumah yang sibuk. Sambil mereka sibuk di dapur, mereka juga berkesempatan untuk mendengar tanpa perlu menonton," kata beliau.

Ahad, 30 Januari 2011

Ujian dan Musibah dalam Kaca Mata Sufi


Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud: Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: Kami beriman, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)? Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang sebenar-benarnya beriman dan nyata pula apa yang diketahuiNya tentang orang-orang yang berdusta. (Al-Ankabut: 2-3)




Ujian dan Musibah dalam Kaca Mata Sufi



Adapun para sufi menegaskan bahawa, ujian dan musibah merupakan suatu “ta’aruf” atau perkenalan dari Allah s.w.t., di mana setiap kali Allah s.w.t. menguji seseorang hamba tersebut, bererti Dia memperkenalkan diri-Nya kepada para hamba-Nya disamping menilai bagaimana hamba tersebut memperkenalkan dirinya kepada-Nya.


Ujian dari Allah s.w.t. ada dua jenis iaitu:


Pertama: Ujian berbentuk Musibah. Ujian ini merupakan suatu bentuk kesusahan yang ditimpakan ke atas manusia seperti kematian, kehilangan, kemiskinan, kesakitan dan sebagianya.


Dalam bentuk ujian ini, Allah s.w.t. memperkenalkan diri-Nya dengan sifat-sifatjalal-Nya (sifat-sifat keagungan-Nya) di mana pada ketika itu, hamba-hamba-Nya akan mendapati bahawa, Allah s.w.t. Maha Berkuasa dan hanya kepada Allahlah, tempat mengadu segala masalah, kerana hanya Dialah yang Maha Membantu dan sebaik-baik Penolong.


Dalam kondisi ini, seseorang hamba yang jujur dalam Ubudiyahnya (pengabdiannya) akan memperkenalkan dirinya kepada Allah s.w.t., sebagai seorang hamba-Nya yang sabar. Maka, ketika diuji dengan musibah, seseorang hamba dapat meningkatkan darjatnya di sisi Allah s.w.t. dengan kesabarannya, di mana setiap kali dia sabar dalam ujian, maka setingkat demi setingkat darjatnya semakin meningkat di sisi Allah s.w.t., di samping mendapat keredhaan Allah s.w.t. dengan izin-Nya..


Di samping itu juga, seseorang hamba yang diuji dengan musibah, perlu redhodengan setiap suratan dan ketentuan Allah s.w.t., yang menimpanya, dan sebagai balasan, Allah s.w.t. juga akan meredhai hamba-Nya yang redha dengan ketetapan-Nya, dengan izin Allah s.w.t..

Hamba yang diuji dengan musibah juga perlulah sentiasa merenung diri sendiri, dan bermuhasabah, kerana boleh jadi, musibah tersebut merupakan natijah dari dosa-dosa dan maksiat yang dikerjakannya, di samping bertaubat dari sebarang kesilapan dan dosa. Inilah adab seseorang hamba yang sentiasa merendahkan dirinya di hadapan Allah s.w.t.


Kedua: Ujian berbentuk Kesenangan. Allah s.w.t. juga turut menguji para hamba-Nya dengan nikmat kesenangan, seperti kekayaan, banyak zuriat, kedudukan, dan sebagainya.


Dalam ujian berbentuk kesenangan tersebut, Allah s.w.t. memperkenalkan diri-Nya kepada hama-hamba-Nya yang mendapat kesenangan tersebut, dengan sifat-sifatJamal-Nya (sifat-sifat kecantikkan dan keindahan-Nya), di mana hamba-hamba-Nya akan dapati pada kondisi tersebut, bahawa mereka mempunyai Tuhan yang Maha Pemurah lagi Maha Mulia.


Adapun hamba-hamba yang menerima kesenangan pula, hendaklah baginya memperkenalkan diri mereka sebagai hamba-hamba yang bersyukur, kerana dalam keadaan kesenangan, kesyukuran merupakan pintu-pintu untuk meningkatkan darjatnya di sisi Allah s.w.t.. Mereka hendaklah sentiasa mengingati bahawa, setiap nikmat tersebut datang dari Allah s.w.t., dan tidak lupa diri, dengan menyangka bahawa, merekalah sebenarnya yang menyebabkan kesenangan tersebut, kerana ia merupakan sikap biadab di hadapan Allah s.w.t.


Hamba-hamba yang dianugerahkan nikmat hendaklah berterima kasih kepada Allah s.w.t., di samping tidak merasa bangga dengan apa yang diterimanya. Mereka juga perlulah mengingatkan diri mereka, bahawa, boleh jadi nikmat yang Allah s.w.t. berikan kepada mereka merupakan suatu istidraj (tipu daya yang menyebabkan seseorang lebih jauh dari Allah s.w.t.) supaya mereka sentiasa meminta ampun dari Allah s.w.t. dan bersikap merendah diri di hadapan Allah s.w.t.



Apabila seseorang hamba itu berterima kasih, maka Allah s.w.t. akan meningkatkan darjat dan kedudukannya di sisi-Nya, di samping menambahkan lagi kenikmatan-kenikmatan yang telahpun diperolehinya.


Kesimpulannya, seluruh yang berlaku dalam kehidupan manusia merupakan ujian dari Allah s.w.t., samada dalam bentuk kesenangan atau dalam bentuk musibah. Apa yang penting, seseorang hamba yang memahami rahsia di sebalik ujian tersebut, maka dia perlulah sentiasa beradab dengan Allah s.w.t., samada di waktu susah atau senang, dengan kesabaran dan kesyukuran, kerana ianya merupakan pintu-pintu untuk meningkatkan darjat seseorang hamba di sisi Allah s.w.t



 
dipetik dari :
http://ustazmoden.wordpress.com/2009/05/24/mari-kita-berdoa-dijauhkan-dirikeluarga-dan-negara-dari-segala-bala-bencana/
 

Jumaat, 28 Januari 2011

TIADA PENGECUALIAN MENUNTUT ILMU-TAZKIRAH JUMAAT


Hadith pertama:

Daripada Anas b Malik r.a bersabda baginda Rasulullah SAW."Menuntut ilmu adalah wajib ke atas setiap muslim". (Riwayat Ibn Majah dan Abu Ya'la)





Hadith kedua:
KEWAJIPAN MENYAMPAIKAN ILMU

Daripada Abdullah b 'Amir r.a sesungguhnya Nabi SAW bersabda:"Sampaikanlah daripadaku walaupun satu ayat dan ceritakanlah tentang Bani Israel. Tiada sebarang kesempitan dan dosa."



Khamis, 27 Januari 2011

BENGKEL KEMASKINI PANDUAN DAN PERATURAN PEMBAYARAN IMBUHAN IMAM/GURU TAKMIR/PEGAWAI PENYELARAS MASJID DAERAH

25-27 Januari Institut latihan Islam Malaysia (ILIM), Bangi

Perbincangan dipengerusikan oleh Pengarah Bahagian Kemajuan Islam yang berbahagia Ustaz Nordin.
Kelihatan Ustazah Khalidah Ketua Penolong Pengarah Kanan BKI turut sama dalam perbincangan bengkel ini.


KPP PMS Terengganu dan Kelantan juga En Suffian dari Akauntan JPM


Pegawai Takmir Sarawak, Terangganu dan Kelantan


Pegawai Takmir Perak

En Yusri dari Bahagian Kewangan JAKIM hadir membantu garis panduan peraturan bayaran imbuhan ini

DOA AGAR MEMPEROLEHI TEMPAT TINGGAL YANG BAIK




80. Dan Katakanlah: "Ya Tuhan-ku, masukkanlah daku secara masuk yang benar dan keluarkanlah (pula) Aku secara keluar yang benar dan berikanlah kepadaku dari sisi Engkau kekuasaan yang menolong[866].




[866] Maksudnya: memohon kepada Allah supaya kita memasuki suatu ibadah dan selesai daripadanya dengan niat yang baik dan penuh keikhlasan serta bersih dari ria dan dari sesuatu yang merusakkan pahala. ayat Ini juga mengisyaratkan kepada nabi supaya berhijrah dari Mekah ke Madinah. dan ada juga yang menafsirkan: memohon kepada Allah s.w.t. supaya kita memasuki kubur dengan baik dan keluar daripadanya waktu hari-hari berbangkit dengan baik pula.



Ibn Kathir meriwayatkan sebuah hadith sohih daripada al Tirmizi bahawa Allah SWT turunkan ayat ini kerana konspirasi orang Quraisy untuk membunuh Nabi SAW
 

Rabu, 26 Januari 2011

Kelahiran bayi tidak sah taraf pada tahap kronik

Metro-Januari 26 / 2011

KUALA TERENGGANU: Menggerunkan apabila seramai 623 anak tidak sah taraf dilahirkan di negeri ini tahun lalu sekali gus menunjukkan gejala kelahiran anak luar nikah berada pada tahap kronik.



Lebih mengejutkan, daripada jumlah itu, kadar tertinggi dicatatkan pada Mei dengan 72 kelahiran dan September 60 kelahiran yang dikaitkan dengan kemunculan ‘produk’ yang dibuat sembilan bulan sebelum itu iaitu pada Ogos dan Disember.





Hasil kelahiran dicatatkan dua bulan itu juga dikaitkan sebagai ‘musim mengawan’ pasangan muda-mudi yang berpesta seks tanpa ikatan sah pada malam sambutan hari kemerdekaan dan tahun baru.





Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Terengganu, Ghazali @ Suhaimi Muhammad berkata, jumlah kelahiran anak tidak sah taraf itu dicatatkan di sembilan pejabat JPN membabitkan bayi pelbagai agama daripada pasangan warganegara dan bukan warganegara.


 
“Angka ini begitu menggerunkan dan menunjukkan penyakit masyarakat yang membimbangkan semua pihak. Lebih menyedihkan, majoriti bayi dilahirkan daripada ibu beragama Islam.


“Jadi kita minta kerjasama agensi lain seperti Jabatan Agama Islam Negeri, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan agensi lain bersama membanteras pergaulan bebas muda-mudi bagi mengelak mereka terjerumus ke lembah maksiat dan menghasilkan anak luar nikah,” katanya selepas menyempurnakan Majlis Penganugerahan Taraf Kewarganegaraan Malaysia di pejabat JPN Terengganu, di sini, semalam.

 
 
Pada majlis itu, lima orang menerima sijil warganegara mengikut Perkara 15A Perlembagaan Persekutuan dan lapan lagi mengikut Perkara 19(1)(a) Perlembagaan Persekutuan dengan lapan berasal dari Kemboja serta masing-masing satu dari Indonesia dan India.
 
 

Islam: Pemuda Pas selar kenyataan Kuan Yew

KUALA LUMPUR 25 Jan. - Dewan Pemuda Pas hari ini menyelar sikap bekas Perdana Menteri Singapura, Lee Kuan Yew yang bertindak menyemarakkan dendam kesumat dan permusuhan terhadap Islam serta umatnya tanpa bersandarkan maklumat yang tepat




Ketuanya, Nasrudin Hassan berkata, tuduhan Kuan Yew bahawa Islam menjadi penghalang kepada integrasi dan pembangunan di Singapura tidak ubah seperti musuh yang melihat Islam dengan api dendam serta permusuhan berpanjangan.



Beliau berkata, kenyataan itu juga jelas memperlihatkan tahap pemikirannya yang telah luput tarikh selain menggambarkan Menteri Mentor Singapura itu umpama seorang pejuang militan rasis sedang mengalami penyakit Islamophobia begitu parah.



''Biarpun telah lama hidup hampir dengan komuniti umat Islam, ternyata Kuan Yew masih gagal melihat secara positif bagaimana Islam dan umatnya menjalani kehidupan dan menyertai politik mahupun ekonomi.



''Kuan Yew perlu sedar penghalang sebenar kepada keharmonian kaum sehingga mencetus sentimen perkauman yang melampau malah mendorong berlakunya jenayah adalah hasil daripada penolakan agama Islam atau salah faham yang serius terhadap agama Islam itu sendiri,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.



Beliau berkata demikian sebagai reaksi kepada gesaan Kuan Yew terhadap umat Islam di republik itu supaya tidak terlalu kuat berpegang kepada ajaran Islam bagi membantu proses integrasi dan pembangunan negara.



Kenyataan bekas Perdana Menteri Singapura itu terkandung di dalam buku Lee Kuan Yew: Hard Truths To Keep Singapore Going.



Di dalam buku tersebut, Kuan Yew turut menyebut, Singapura boleh mengintegrasi semua kaum dan agama kecuali Islam.



Lebih malang lagi beliau berkata, Kuan Yew turut menaruh rasa curiga terhadap Malaysia dan Indonesia sebagai negara Islam serta negara jiran yang dikatakan cuba menggugat kedaulatan negaranya.



''Cara berfikir dan sikap yang diambil oleh Kuan Yew merupakan sesuatu yang berisiko tinggi bagi keselamatan serantau ini. Bagi saya ia merupakan satu bentuk fikiran yang aktif ke arah mencetus konfrantasi,'' katanya lagi.



Dalam perkembangan sama beliau berkata, tokoh sebijak Kuan Yew sepatutnya tidak tergesa-gesa membuat kesimpulan mengenai Islam tanpa terlebih dahulu merujuk kepada para ulama.



''Mereka merupakan pihak yang berautoriti untuk menjelaskan kedudukan Islam dan umatnya secara tepat dan benar,'' katanya.



Dalam pada itu, Nasrudin menjelaskan Islam merupakan agama yang sangat mementingkan toleransi terutama dalam konteks hubungan silaturrahim.



''Definisi mudah mengenai ajaran Islam ini boleh difahami daripada kenyataan Duta Besar Islam ke Habsyah, Saidina Jaafar Abi Talib di hadapan Raja Najasyi.



''Islam menyuruh kami bercakap benar, menunaikan amanah, menghubungkan tali kekeluargaan, berbaik dengan jiran, meninggalkan perkara yang haram dan meninggalkan pertumpahan darah.



''Islam melarang kami dari kekejian (zina), bercakap bohong, memakan harta anak yatim dan menuduh perempuan yang bersih dengan tuduhan zina,'' katanya.



Beliau berkata, kenyataan di atas jelas menunjukkan bagaimana ajaran Islam diamalkan.



''Berpegang teguh atau komited dengan ajaran Islam tidak akan menjadikan masyarakat berpecah belah apa lagi terperangkap dalam permusuhan dan perkauman sempit yang boleh mencetus huru hara,'' ujarnya.



Untuk itu katanya, pihak Pemuda Pas menggesa supaya Kuan Yew lebih banyak mengkaji Islam dan mempelajarinya daripada tokoh Islam yang mempunyai autoriti untuk membetulkan persepsi beliau terhadap Islam.



''Kami sendiri bersedia untuk memberi penjelasan mengenai Islam kepada Kuan Yew seandainya diberi peluang untuk berbuat demikian,'' katanya lagi.

 
Utusan Online-26 Januari 2011