Isnin, 12 Disember 2011

Mendidik anak berdoa dalam hidup

Mendidik anak berdoa dalam hidup




Oleh DR. AMINUDIN MANSOR



UMUM mengetahui bahawa doa adalah salah satu bentuk ibadah. Doa dapat difahami sebagai permohonan atau permintaan yang baik kepada Tuhan.



Doa yang dipinta adalah kebaikan yang dipinta dengan restu daripada Tuhan. Mendidik anak-anak supaya sentiasa berdoa dalam kehidupan sangat penting.



Pada hakikatnya, kita sebagai manusia sering mengalami pelbagai masalah dan kita semua berhajat kepada Tuhan untuk menyelesaikan masalah. Kita semua adalah orang-orang fakir akan rahmat Tuhan.



Tidak seorang pun daripada kita di dunia ini yang tidak mempunyai impian yang ingin dicapai. Siapa di antara kita yang tidak pernah berbuat maksiat atau kesalahan dan mengharap Allah mengampunkan semuanya.



Oleh itu hanya melalui doa, iaitu permintaan kepada Allah sahaja yang dapat menyelesaikan segala masalah. Justeru, doa merupakan ubat yang paling bermanfaat.



Doa juga penolak penyakit dan musibah. Doa akan menolak, mengatasi, mencegah kedatangan, menghilangkan atau meringankan penyakit jika sudah menimpa. Doa adalah senjata seorang mukmin.



Dalam hal itu, al-Hakim meriwayatkan dalam kitab sahihnya daripada sahabat Ali bin Abu Talib r.a, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Doa adalah senjata seorang mukmin, tiang penyangga agama, serta lentera (lampu) langit dan bumi".



Selain itu, dalam usaha mengatasi bala atau mara bahaya, doa memiliki tiga keadaan, iaitu:



Pertama, doa lebih kuat daripada bala sehingga mampu mengalahkannya.



Kedua, doa lebih lemah daripada bala sehingga doa dikalahkan dan akibatnya seorang hamba ditimpa musibah atau penyakit, akan tetapi isi kandung doa dalam hal ini meringankan penyakit, meskipun kadarnya lemah.



Ketiga, doa dan bala sama-sama kuat sehingga terjadi saling mengalahkan.



Doa yang bermanfaat mestilah dilakukan dengan bersungguh-sungguh, meminta kepada Allah dengan sepenuh hati. Dalam berdoa jangan sedikit sesekali berputus asa dan lemah dalam berdoa, kerana seseorang itu tidak akan binasa selagi ia mampu berdoa.



Salah satu penghalang termakbulnya doa adalah sifat tergesa-gesa dalam berdoa, hingga jika keinginannya tidak dikabulkan ia mengeluh dan meninggalkan doa dan tidak yakin akan termakbulnya doanya.



Telah diajarkan doa memohon keampunan antaranya: Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya kami telah beriman, oleh itu ampunkanlah dosa-dosa kami dan peliharalah kami daripada azab neraka. (ali-'Imran: 16).



Keterangan ayat di atas "kami telah beriman" bermaksud kami telah membenarkan seruan Islam, "memohon keampunan" pula ertinya memohon agar ditutup semua keburukan dan dilepaskan daripada kiraan dosa-dosa. (Tafsir al-Khazin).



Dalam ayat berikutnya, Allah SWT menyenaraikan golongan yang sentiasa berdoa kepada Allah tergolong dalam golongan yang sabar, golongan yang membenarkan (al-Sidiqqin), golongan yang taat kepada Allah (al-Qanitin), golongan yang bersedekah pada jalan Allah (al-Munfiqin) serta yang sering beristighfar dan bangkit berqiamullail pada sebelah malamnya (al- Murstaghfirin bil ashar).



Khasiat dan kaifiat beramal dengan doa ini mudah-mudahan iman kita akan meningkat kepada iman golongan yang mulia.



Waktu yang



mustajab berdoa



Antara waktu-waktu doa mustajab dilakukan secara khusyuk dan konsentrasi sepenuh hati terhadap apa yang diinginkan adalah enam pilihan waktu iaitu sepertinya malam terakhir, ketika azan, waktu antara azan dan iqamat, sesudah solat wajib, ketika imam naik mimbar di hari Jumaat hingga selesai solat jemaah Jumaat, serta waktu-waktu terakhir sesudah solat asar di hari Jumaat.



Antara lafaz doa yang ampuh telah diriwayatkan dalam kitab-kitab al-Sunan dalam sahihnya daripada Abdullah bin Yazid daripada ayahnya, Rasulullah SAW pernah mendengar seorang hamba Allah berdoa yang ertinya; "Ya Allah, aku meminta kepada-Mu, aku bersaksi bahawa Engkau adlah Allah, tiada tuhan melainkan Engkau Yang Maha Esa, tempat bergantung, yang tidak melahirkan dan juga tidak dilahirkan, yang tidak ada sesuatu pun yang menyamai".



Rasulullah SAW kemudiannya bersabda, "Sesungguhnya dia telah meminta kepada Allah dengan Allah dengan nama-Nya yang Maha Agung". (riwayat at-Tirmizi).



Ada juga diriwayatkan oleh Abu Hatim dan Ibnu Hibban daripada Anas bin Malik, bahawa ia bersama Rasulullah SAW sedang duduk-duduk, sementara ada seorang lelaki sedang melakukan solat, kemudian berdoa, yang ertinya; "Ya Allah, aku meminta kepada-MU, segala puji bagi-Mu, tiada tuhan melainkan Engkau, Maha Pemberi, Pencipta langit dan bumi, wahai Yang Memiliki Keagungan dan Kemuliaan, wahai yang Maha Hidup dan Maha Penegak".



Rasulullah SAW bersabda: "Sungguh dia telah berdoa kepada Allah dengan nama-Nya yang Maha Agung, yang apabila dia berdoa dengannya maka Allah kabulkan dan jika doa meminta dengan-Nya, maka Dia akan memberi". (riwayat Imam Ahmad).



Antara sebab doa dikabulkan Allah adalah kerana direstui dengan keadaan terdesak daripada orang yang berdoa, kekhusyukan kepada Allah dan kerana kebajikan yang pernah dilakukannya sehingga Allah membalasnya sebagai tanda terima kasih atas amal kebajikan.



Di samping itu juga, kerana doa tersebut dilakukan pada waktu-waktu mustajab, selain lafaz dan keyakinan yang penuh kepada Allah.



Oleh itu, sesiapa yang diberikan kekuatan berdoa, ini bererti bahawa doanya akan dikabulkan. Allah SWT berfirman, yang maksudnya; Berdoalah kepada-Ku, nescaya akan Ku perkenankan bagimu… (al-Mukmin: 60).



Allah SWT juga berfirman yang bermaksud: Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu tentang Aku, maka (jawablah), bahawasanya Aku adalah dekat. Aku mengkabulkan permohonan orang yang berdoa apabila ia memohon kepada-Ku. (al-Baqarah: 186).



Dalam Sunan Ibn Majah, diriwayatkan daripada Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Barang siapa yang tidak meminta kepada Allah, ia marah kepada-Ku". (riwayat at-Tirmizi).



Hadis ini menunjukkan bahawa keredaan Allah bergantung pada apabila seseorang meminta kepada-Nya dan taat kepada-Nya. Jika Allah meredai, semua kebaikan terletak pada keredaan-Nya. Sebaliknya semua bala dan bencana terdapat pada kemurkaan-Nya.



Sesungguhnya doa sebagai ibadah amat penting di amalkan dalam kehidupan. Kesibukan dan kelalaian kita menyebabkan kita lupa berdoa dan sentiasa tergesa-gesa semasa berdoa. Hal ini menyebabkan kita tidak dimakbulkan oleh Allah.



Semangat untuk berdoa juga amat penting dilakukan pada waktu-waktu mustajab yang disebutkan bagi mendapatkan kejayaan dan termakbulnya sesuatu doa.



RUJUKAN..........

Tiada ulasan:

Catat Ulasan