Khamis, 18 Oktober 2012

Mendepani gejala murtad

Mendepani gejala murtad


pengabdian diri hanya kepada Allah semata-mata. - Gambar hiasan
DALAM kehidupan seseorang insan pendidikan sangat penting untuk menjadikan hati dan diri seseorang itu sentiasa di bawah lindungan Allah S.W.T. Tanpa didikan yang betul dan berterusan seseorang itu mungkin boleh terpesong daripada akidah yang menyebabkan dirinya murtad.
Pendidikan akidah secara berterusan dapat menjadi benteng kepada gejala sosial dan masalah murtad dalam kalangan umat Islam. Akidah dalam basa Arab menurut Kamus Dewan Edisi Ketiga dapat difahami sebagai kepercayaan, keyakinan yang kuat kepada Allah.
Manakala murtad dapat difahami sebagai perbuatan orang yang telah mengucap dua kalimah syahadat , atau orang yang keturunan Islam kemudian melakukan sesuatu yang menyebabkan kekafiran. Seperti sujud kepada berhala secara sukarela. Menghinakan sesuatu yang dilarang oleh Allah S.W.T, seperti nama-nama Allah S.W.T, sifat-sifat Allah S.W.T, al-Quran, hadis, hukum syarak, rasul-rasul dan sebagainya.
Sesungguhnya seperti dalam kalimah syahadat, "Tiada tuhan melainkan Allah dan Nabi Muhammad S.A.W adalah utusan atau pesuruh Allah," merupakan sumber kesatuan umat Islam. Apabila seseorang mengucapkan kalimat ini dan dia tidak melanggarnya, maka sejak waktu itu dia merupakan bahagian yang tidak dipisahkan daripada umat Islam.
Oleh itu, dengan sendirinya orang-orang yang masih berada di luar Islam, mereka tidak termasuk bahagian daripada umat Islam ini. Tokoh Islam, Said Hawwa menjelaskan bahawa, orang yang menyatakan dirinya masuk Islam akan pasrah dan mengarahkan dirinya hanya kepada Allah S.W.T, mengikut petunjuk-petunjuk Rasulullah S.A.W yang bererti dia telah menyatakan dirinya untuk terus mengabdi kepada Allah S.W.T dan dengan sendirinya terbebas daripada segala macam bentuk pengabdian kepada yang lain.
Kesatuan akidah sangat penting bagi menghindarkan seseorang daripada unsur-unsur yang membawa kepada murtad. Selain itu, akidah juga boleh menjadi benteng kepada segala ancaman gejala sosial pada masa kini, khususnya kepada kalangan remaja dan generasi muda.
Kita memahami bahawa, semua manusia diciptakan oleh Allah SWT dan sebagai umat Islam adalah untuk beribadat kepada-Nya. Allah SWT berfirman yang bermaksud: Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka mengabdi kepada-Ku. (adz-Dzaariyaat: 56)
Mengabdikan diri bermaksud beribadat kepada Allah SWT dan tidak kepada yang lain. Bagi makhluk yang ingkar dan tidak patuh, sudah tentulah akan mendapat balasan daripada-Nya.
Justeru, Nabi SAW bersabda yang bermaksud: "Umat terdahulu selamat (jaya) kerana teguhnya keyakinan dan zuhud. Manakala umat terakhir kelak akan binasa kerana kebakhilan (harta dan jiwa) dan cita-cita yang kosong." (Ibnu Abi Ad dunia).
Lantaran itu, pendidikan akidah adalah teras penting untuk menanamkan keyakinan kepada manusia terhadap keesaan Allah dengan mengabdikan diri kepada-Nya, menjadi insan soleh yang mendekatkan diri kepada Allah dan merealisasikan segala tujuan hidup di dunia ini.
Oleh itu, dalam mempelajari akidah, ibu bapa dan guru perlu mengaplikasikan kaedah pengajaran supaya anak-anak atau pelajar lebih menghayati tujuan mempelajarinya. Pendidikan akidah adalah teras penting yang perlu dididik kepada seseorang sejak seseorang itu masih kecil lagi.
Imam al-Ghazali menegaskan, pendidikan akidah ini menjadi asas kepada keimanan dan keyakinan manusia terhadap keesaan Allah yang merupakan asas kepada segala ilmu. Menurutnya, "Mencintai dan mengamalkan ilmu adalah tanda kecerdasan dan disukai Allah. Barang siapa yang keluar rumahnya dengan niat untuk mencari ilmu, nescaya dilindungi Allah sampai dia kembali.

Rabu, 17 Oktober 2012

Dinasti Mamluk

Dinasti Mamluk


kemajuan Dinasti Mamluk terlihat pada bangunannya yang indah pada masa pemerintahannya dan segelintirnya masih kekal hingga kini.
KETIKA dunia Islam mengalami perpecahan politik pada awal abad ke-13, muncul sebuah dinasti di Mesir yang membawa warna baru dalam sejarah politik Islam.
Dinasti itu bernama Mamluk, sering juga disebut Mamalik. Sebenarnya, ada dua pemerintahan Islam yang didirikan oleh kaum Mamluk iaitu, Dinasti Mamluk di India (1206-1290) yang dibentuk oleh Qutbuddin Aybak dan Dinasti Mamluk di Mesir (1250-1517).

Namun, Dinasti Mamluk di Mesir lebih terkenal. Pemerintahan Dinasti Mamluk di Mesir bersifat oligarki ketenteraan dan membawa banyak kemajuan.
Dinasti Mamluk mencapai puncak kejayaannya terutama pada masa Sultan Baybars. Ekonomi dan perdagangan sangat maju. Kaherah menjadi jalur perdagangan penting bagi Asia Barat dan Laut Tengah.

Kemajuan ilmu pengetahuan terlihat dengan semakin berkembangnya berbagai-bagai cabang ilmu seperti sejarah, kedoktoran, astronomi, matematik dan ilmu agama. Saat itu muncul nama-nama ilmuwan besar seperti Ibnu Khaldun (sejarah), Nasiruddin at-Tusi (astronomi) dan Ibnu Taimiyah (agama).
Di bidang pembangunan dan seni bina, kemajuan Dinasti Mamluk terlihat pada bangunan-bangunannya yang indah dan megah.

Mamluk Bahri

Mamluk Bahri adalah golongan hamba yang datang Caucasus, di sempadan antara Rusia dengan Turki oleh Malik as-Saleh, penguasa Dinasti Ayubiyah. Mereka dijadikan pengawal untuk menjamin kelangsungan kekuasaan Malik dengan mendapat hak-hak istimewa.
Malik as-Saleh meninggal dunia pada 1249 Masihi lalu digantikan oleh puteranya, Turansyah.
Bagaimanapun, kaum Mamluk Bahri tidak menyukai Turansyah dan mereka kemudian merebut kekuasaan dengan membunuh sultan tersebut. Sejak itu mereka berkuasa dan mendirikan Dinasti Mamluk.

Mamluk Burji

Mamluk Burji pula berasal dari Syirkasiah (Turki), dibawa masuk ke Mesir oleh pemerintah Mamluk ketika itu, Sultan Qalawun (1279-1290). Bagaimanapun, sejak tampuk pemerintahan beralih kepada Mamluk Burji pada 1382 Masihi, Dinasti Mamluk mulai lemah kerana para sultan Mamluk Burji tidak memiliki pengetahuan tentang cara mentadbir pemerintahan kecuali latihan ketenteraan.
Kesultanan ini hancur apabila Sultan Salim I dari kerajaan Uthmaniah di Turki merampas kembali Mesir daripada tangan mereka pada 1517 Masihi.

Dinasti Mamluk mencapai puncak kejayaannya pada pemerintahan Sultan Baybars.
Dinasti Mamluk
di India

Selain Dinasti Mamluk di Mesir, terdapat juga Dinasti Mamluk yang berkuasa di India. Dinasti Mamluk di India ini didirikan oleh Qutbuddin Aybak. Pada awalnya, Qutbuddin adalah salah seorang jeneral daripada Dinasti Guri yang berjaya memperluas wilayah ke India pada tahun-tahun terakhir abad ke-12.
Ketika Dinasti Guri yang berpusat di Khurasan (Afghanistan) menjadi lemah, Qutbuddin mengukuhkan penguasaan sebagai Sultan Delhi dan mengasaskan Dinasti Mamluk India. Bagaimanapun, dinasti ini hanya bertahan sementara sahaja dan kemudian digantikan dengan dinasti-dinasti lain.

Oligarki ketenteraan

Pemerintahan Dinasti Mamluk bersifat oligarki ketenteraan dan tidak menerapkan sistem turun-temurun. Tokoh ketenteraan yang terkenal dan berprestasi dipilih menjadi sultan. Namun hal tersebut berubah sejak pemerintahan Qalawun. Baginda mula mewariskan kekuasaannya kepada keturunannya hingga kepada empat generasi sehingga kemudiannya terjadi perebutan kekuasaan di antara keturunannya itu.

Daripada 47 orang sultan Mamluk, sultan yang termasyhur adalah Sultan Baybars (1260-1277), sultan keempat. Baginda merupakan seorang pemimpin tentera yang gagah dan perkasa, bahkan dianggap sebagai pembangun hakiki Dinasti Mamluk.

Baybars mampu membangunkan pemerintahannya dengan baik. Baginda menghidupkan kembali Mazhab Sunni. Baybars juga menjalin hubungan yang baik dengan Kesultanan Delhi, Konstantinople, Sicily, dan Kesultanan Moghul.

Seni bina pada masa Dinasti Mamluk berkembang dengan cemerlang. Para sultan seolah-olah berlumba-lumba untuk mendirikan bangunan bernilai seni yang tinggi seperti masjid, madrasah, dan muzium.

Dinasti Mamluk juga pernah terlibat dalam menambah Masjid Nabawi di Madinah serta mendirikan pagar di makam Nabi Muhammad SAW. Selain mendirikan masjid sebagai tempat ibadah dan pusat keilmuan, Sultan Qalawun merupakan pemerintah Mamluk yang mementingkan hal ehwal kesihatan rakyat. Hal ini dapat ditelusuri dengan pembinaan beberapa buah hospital pada zaman pemerintahannya.

Selasa, 16 Oktober 2012

Nafkah isteri, kewajipan suami

Nafkah isteri, kewajipan suami


wanita yang menyerahkan diri sepenuhnya kepada lelaki melalui hubungan perkahwinan wajib mendapat nafkah daripada suami walaupun seorang kanak-kanak. - Gambar hiasan
SUDAH beberapa minggu saya menulis mengenai perceraian dan saya pasti ia bukanlah suatu penulisan yang boleh menyelesaikan semua masalah.
Perkahwinan adalah jalinan hubungan dua insan dan keluarga masing-masing. Jalinan hubungan antara dua insan ini merangkumi hubungan lahiriah dan batiniah.
Saya akan terus menulis mengenai perceraian dan ia akan dibincang dari masa ke semasa terutama bagi tujuan menjawab persoalan yang diutarakan oleh pembaca.
Masalah perkahwinan ini tidak ada hujungnya selagi manusia bernyawa dan berkahwin. Kali ini saya hendak menulis mengenai nafkah isteri dan anak.
Untuk permulaan saya akan menulis mengenai nafkah isteri dahulu. Apakah yang dimaksudkan dengan nafkah?
Perkataan nafkah adalah perkataan Arab berasal dari perkataan infaq bermaksud mengeluarkan. Dari segi bahasa bermaksud apa yang dikeluarkan oleh seseorang itu ke atas ahli keluarganya.
Nafkah bermaksud: "Tanggungan perbelanjaan untuk menyara kehidupan ahli keluarga daripada makanan, pakaian, tempat tinggal dan perbelanjaan yang lain".
Pada 'urfnya atau adatnya nafkah yang dimaksudkan ialah makanan yang merangkumi roti atau makanan asasi seperti beras, jika di Malaysia dan apa yang dimakan dengannya. Nafkah termasuk pakaian iaitu pakaian yang penutup badan dan kain selimut.
Tempat tinggal pula merangkumi rumah, kelengkapan rumah dan keperluan sampingan seperti harga air, elektrik, alat pembersihan dan sebagainya mengikut keperluan harian.
Beberapa fuqaha kontemporari memberi tambahan kepada skop nafkah termasuklah khidmat atau apa yang perlu mengikut 'urf atau adat sesuatu masyarakat. Fuqaha Shafi'i mengkategorikan nafkah kepada dua kategori; Nafkah yang wajib ke atas diri sendiri dan nafkah yang wajib dibelanjakan untuk orang lain.
Seseorang itu wajib memberi nafkah kepada diri sendiri terlebih dahulu sebelum memberi nafkah kepada orang lain. Ini adalah berdasarkan hadith Rasulullah SAW yang bermaksud, "Mulakan dengan dirimu, kemudian mereka yang wajib ke atasmu membiayai nafkah".
Nafkah yang wajib ke atas orang lain adalah berdasarkan kepada tiga sebab; sebab perkahwinan, hubungan kerabat dan pemilikan. Sebab perkahwinan adalah merujuk kepada nafkah kepada isteri. Nafkah kerana hubungan kerabat adalah nafkah kepada orang yang mempunyai tali persaudaraan dengan kita termasuklah ibubapa ke atas, anak-anak ke bawah, adik beradik dan sebagainya.
Syarat wajib nafkah adalah: (i) Isteri menyerahkan diri sepenuhnya kepada suami, walaupun suami adalah seorang kanak-kanak. Jika isteri menahan diri dari disetubuhi, tidak wajib nafkah.
Ini berasaskan kepada fakta bahawa Rasulullah SAW mengahwini 'Aishah dan hanya bersatu selepas dua tahun 'akad perkahwinan dan baginda tidak membiayai nafkah melainkan selepas bersatu dengan 'Aishah.
Jika isteri menahan dirinya kerana sebab yang hak seperti suami tidak membayar mahar tunai, atau tidak menyediakan tempat tinggal yang sesuai, maka suami wajib membayar nafkah. (ii) Isteri telah dewasa dan boleh disetubuhi.(iii) Perkahwinan adalah sah (iv) Tidak gugur hak untuk mendapat nafkah berdasarkan satu sebab yang shar'i, seperti isteri nusyuz yang menggugurkan haknya untuk mendapat nafkah.
Nafkah diwajibkan melalui al-Quran dalam surah al-Talaq 65:7 yang bermaksud: "Hendaklah orang yang mampu memberi nafkah menurut kemampuannya, dan sesiapa yang disempitkan rezekinya maka hendaklah ia memberi nafkah dari apa yang diberikan Allah SWT kepadanya, Allah SWT tidak memberatkan seseorang melainkan yang diberikan Allah kepadanya..."
Dalam surah al-Baqarah ayat 233, Allah swt berfirman yang maksudnya "Dan kewajipan bapa pula ialah memberi makan dan pakaian kepada ibu dengan cara yang ma'ruf..." dan dalam surah al-Talaq ayat 6, yang bermaksud : "Tempatkanlah isteri-isteri (yang menjalani idahnya) itu di tempat kediaman kamu (sesuai dengan kemampuan kamu." Dalam sebuah hadis tentang Hindun; yang mana dia telah datang kepada Rasulullah (saw) dan berkata "Wahai Rasulullah, sesungguhnya Abu Sufyan seorang lelaki yang bakhil. Dia tidak membiayai nafkah saya dan anak saya dengan mencukupi". Lalu Rasulullah SAW bersabda, "Ambillah hartanya sekadar yang mencukupi untukmu dan anakmu dengan sepatutnya. Hadis di atas menunjukkan bahawa kewajipan membiayai nafkah isteri adalah mutlak dan ia dinilaikan dengan kecukupannya.
Oleh yang demikian, isteri boleh mengambil sendiri nafkahnya tanpa diketahui suaminya jika suami tidak memberi ataupun ia tidak mencukupi. Ayat-ayat al-Quran dan hadis menunjukkan kewajipan memberi nafkah kepada isteri oleh suami.
Ini diperkuatkan oleh enakmen undang-undang keluarga Islam di negeri-negeri. Kewajipan memberi nafkah oleh suami kepada isterinya tidak dipandang serius oleh masyarakat Islam Malaysia terutama hari ini di mana ramai isteri yang bekerja 'menanggung' suami dan keluarga dan bukan sebaliknya.
Ketidakfahaman tentang hukum nafkah menyebabkan ramai suami mengabaikan nafkah isteri masing-masing sehinggakan isteri terpaksa bekerja sehingga dia juga mengabai tanggungjawabnya sebagai isteri dan ibu. Ada isteri yang terpaksa 'turun naik' mahkamah syariah kerana suami gagal membayar nafkah kepadanya semasa mereka masih berkahwin.
Jika semasa berkahwin pun suami gagal membayar nafkah, apatah lagi apabila mereka bercerai. Suami sering menggunakan kuasanya mengenai nafkah untuk menyiksa isteri sedangkan nafkah isteri itu wajib ke atas suami. Dibuat dapat pahala, ditinggal atau abai menjadi dosa.
Nafkah tertunggak adalah hutang yang boleh dituntut dari waris jika suami telah meninggal dunia. Nafkah sangat penting dalam kehidupan keluarga dan ia menjamin kesejahteraan keluarga.

Isnin, 15 Oktober 2012

Penyeri kota Mekah

Penyeri kota Mekah

MANUSKRIP tulisan tangan Syeikh Hasan al Masysyat pada 1393 Hijrah iaitu lebih kurang enam tahun sebelum kewafatannya.
MASJID al Haram pada dekad-dekad yang silam tidak pernah sunyi daripada ulama Ahli Sunnah Wal Jamaah yang merupakan jaguh ilmuan daripada mazhab yang empat. Mereka menyampaikan ilmu dengan penuh kesungguhan dan keikhlasan demi berkhidmat kepada syariat Nabi Muhammad SAW. Ilmu dan keberkatan yang dititipkan akhirnya dibawa pulang oleh para guru dari Tanah Melayu untuk disebarkan kepada masyarakat Islam di rantau ini.
Di antara mereka yang menjadi nadi memakmurkan Masjid al Haram dengan ilmu, hikmah dan amal, tulus, ikhlas lagi suci hatinya ialah al 'Alim al 'Allamah Syeikh Hasan bin Muhammad al Masysyat al Maliki al Manafi al Qurasyi.
Dilahirkan pada 3 Syawal 1317 Hijrah bersamaan 4 Februari 1900 Masihi di Mekah al Mukarramah dengan salasilah nenek moyang sampai kepada Abdu Manaf bin Qusay bin Kilab, iaitu datuk ketiga bagi Rasulullah.
Semenjak kecil, beliau telah dihantar oleh bapanya Syeikh Muhammad al Masysyat menghafaz al Quran di pusat penghafazan al-Quran kemudian menyambung pembelajarannya di Madrasah Saulatiyyah yang masyhur di Mekah pada zaman itu. Di sana, beliau telah menghabiskan waktu dengan menghafaz segala matan-matan ilmu Islam baik yang berbentuk nazam mahupun prosa.
Setelah menamatkan pengajian awal di Madrasah Saulatiyyah, beliau dilantik sebagai tenaga pengajar di situ dan berkhidmat dalam tempoh yang agak lama.
Pada masa yang sama juga beliau memenuhkan waktunya menuntut ilmu di halaqah-halaqah ilmu di Masjid al Haram daripada para ulama yang masyhur, seperti Syeikh Muhammad Ali al Maliki, Syeikh Umar Hamdan al Mahrisi, Sayyid Umar Bajunaid, Syeikh Muhammad Habibullah al Syanqiti dan ramai lagi.
Disebabkan kebijaksanaan dan penguasaan yang cepat terhadap ilmu-ilmu Islam, beliau telah ditauliahkan sebagai salah seorang tenaga pengajar di Masjid al Haram dan mengajar di sana sepanjang hayatnya tanpa mengambil sebarang gaji atau upah.
Kemahiran beliau dalam ilmu Islam dan kedudukannya yang tinggi juga menyebabkan beliau dilantik sebagai Ahli Majlis Syura, Ketua Mahkamah Syariah kemudiannya sebagai Kadi di Mekah.
Keilmuan Syeikh Hasan juga mendapat pengiktirafan luar apabila beliau turut ditauliahkan sebagai tenaga pengajar di Masjid Nabawi, Masjid Sayyiduna Husain di Mesir dan Masjid Umawi di Syria dalam siri ziarahnya ke sana. Beliau mengajar pelbagai bidang ilmu Islam terutama dalam bidang fiqh dan usul, hadis dan ulum hadis, tafsir, sirah dan tasawuf, terutamanya kitab Ihya' 'Ulumiddin dan Hikam Syeikh Ata'illah al Sakandari.
SYEIKH HASAN MUHAMMAD AL MASYSYAT

Bermusafir
Bermusafir atas tujuan ilmu adalah menjadi satu kemestian bagi seorang ulama. Syeikh Hasan al Masysyat juga tidak terkecuali daripada itu apabila melakukan kunjungan ke beberapa negara Islam seperti Sudan, Mesir dan Syria.
Di Mesir beliau telah bertemu dengan jaguh-jaguh ulama di sana seperti Syeikh Muhammad Zahid al Kauthari, Syeikh Salamah al Qudha'i dan ramai lagi. Dalam musafirnya ke Sudan, beliau telah bertemu dengan Syeikh al Fatih Qaribullah dan Sayyid Ali al Mirghani di mana dalam pemusafiran ini, matlamatnya tidak lari daripada urusan dakwah, perbincangan ilmiah, penyampaian ilmu dan permohonan ijazah.

Sepanjang bergelar ahli ilmu, beliau telah memperoleh faedah ilmu dan ijazah daripada ramai ulama Ahli Sunnah Wal Jamaah terkemuka, sama ada yang berada di Mekah dan Madinah mahupun selainnya.

Antara mereka yang telah membina personaliti ilmu dan mengijazahkannya ialah Syeikh Muhammad Ali al Sannari, Syeikh Abdullah Hamaduh, Syeikh Abdurrahman Ahmad al Dahhan, Syeikh Jamal Amir al Maliki, Sayyid Umar ibn Abu Bakr Bajunaid, Syeikh Muhammad al Syanqiti, Syeikh Khalifah al Nabhani, Syeikh Isa Rawwas, Syeikh Muhammad Ali al Maliki yang digelar Sibawaih pada zamannya lantaran kehebatannya dalam ilmu Nahu, Muhaddith al Haramain Syeikh Umar Hamdan al Mahrisi, Sayyid 'Aidarus ibn Salim al Bar, Sayyid 'Alawi ibn Tahir al Haddad bekas Mufti Kerajaan Johor, Sayyid Abdul Hayy al Kattani, Syeikh Najib al Muti'i dan ramai lagi. Senarai gurunya itu boleh dirujuk di dalam kitab al Thabat al Kabir fi Masyyakhah wa Asanid wa Ijazaat al Syeikh Hasan al Masysyat al Makki.

Ketika menjadi tenaga pengajar di Mekah, beliau dan beberapa ulama di sana telah mengasaskan Jam'iyyah al Khairiyyah Li Tahfiz al Quran al Karim iaitu sebuah badan kebajikan yang menyelenggara dan menguruskan halaqah-halaqah penghafazan al-Quran di sana yang dipengerusikan oleh al Imam al Allamah Sayyid Alawi ibn Abbas al Maliki. Selepas kewafatan Sayyid Alawi pada tahun 1391 Hijrah, beliau telah dilantik pula memikul amanah menyelia dan mempengerusikan badan tersebut sehingga ke akhir hayatnya.

Setelah mencurahkan ilmu dan bakti kepada umat manusia, Syeikh Hasan al Masysyat dipanggil bertemu Allah pada 7 Syawal 1399 Hijrah bersamaan 31 Ogos 1979 dan disemadikan di Mekah al Mukarramah. Ingatan terhadapnya kekal berbaki dan jasa baktinya kekal dalam ingatan dan doa insan-insan yang mencintainya selagi mana manusia berpegang dengan al Quran dan Sunnah dalam menempuh jalan yang lurus. Semoga Allah merahmatinya dan menjadikan tempat persemadiannya sebagai salah satu dari taman-taman syurga-Nya.

Khamis, 11 Oktober 2012

Perkhidmatan Cemerlang Islam Gemilang

Perkhidmatan Cemerlang Islam Gemilang

Selaras dengan hasrat memperkasakan dan mentransformasikan Perkhidmatan Hal Ehwal Islam ke arah kecemerlangan, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) telah menganjurkan Konvensyen Perkhidmatan Hal Ehwal Islam 2012 pada 3 Oktober 2012 bertempat di Dewan Dato’ Mohd. Shahir, Institut Latihan Islam (ILIM) Malaysia, Bandar Baru Bangi, Selangor.
 
Antara objektif Konvensyen ini adalah bagi memperkasa perkhidmatan hal ehwal Islam dengan kemahiran pengurusan hal ehwal Islam yang efisien dan berwibawa bagi menjadikan Malaysia sebuah Negara Islam yang maju; meningkatkan penguasaan ilmu dan maklumat dalam semua disiplin ilmu Islam bagi menyampaikan mesej dakwah kepada pelbagai lapisan masyarakat; dan mewujudkan jaringan maklumat dan kerjasama pintar antara semua agensi perkhidmatan hal ehwal Islam di Malaysia dalam membangunkan modal insan negara.
 
Konvensyen yang bertemakan “Perkhidmatan Cemerlang Islam Gemilang” ini buat julung kalinya telah disempurnakan perasmiannya oleh YBhg. Dato’ Sri Dr. Ali bin Hamsa Ketua Setiausaha Negara. Beliau dalam amanatnya telah menyarankan agar Jakim dapat menerajui transformasi perkhidmatan hal ehwal Islam demi memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada masyarakat. Begitu juga, agensi-agensi agama perlu memperkasakan peranannya dalam menangani isu-isu semasa masyarakat terutamanya permasalahan aqidah umat Islam yang perlu diberi perhatian serius.
 
 
 
Konvensyen ini telah dihadiri seramai 800 orang peserta yang merupakan pegawai-pegawai hal ehwal Islam dari seluruh negara. Para peserta adalah terdiri daripada para pegawai Jakim, para pegawai agensi-agensi agama kerajaan peringkat persekutuan seperti Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) dan JAWHAR, juga para pegawai dari Majlis Agama Islam Negeri-negeri, Jabatan Agama Islam Negeri-negeri dan Jabatan Mufti Negeri-negeri. Turut menyertai konvensyen ini adalah pegawai-pegawai Jakim yang ditempatkan sebagai kader di pelbagai agensi dan kementerian, serta pegawai-pegawai hal ehwal Islam yang bertugas di pusat-pusat Islam peringkat universiti.
 
 
 
Sepanjang Konvensyen ini berlangsung, sebanyak dua kertas kerja telah dibentangkan. Kertas kerja pertama bertajuk ”Pengurusan Islam dan masa depan di Malaysia” oleh YBhg. Dato’ Hj. Yusof bin Hj. Husin; Pengarah Jabatan Agama Islam Perak. Manakala kertas kerja kedua bertajuk ”Persepsi Terhadap Pengurusan Hal Ehwal Islam di Malaysia : Harapan dan Kenyataan”. Kertas kerja ini dibentangkan oleh YBhg. Prof. Emeritus Dato’ Paduka Dr. Mahmood Zuhdi Hj. Ab. Majid dari Universiti Islam Antarabangsa.
 
 
 
Secara keseluruhannya, konvensyen ini telah dilaksanakan dengan jayanya. Semoga perkhidmatan hal ehwal Islam dapat diperkasakan dan ditransformasikan selaras dengan keperluan semasa, agar mencapai kecemerlangan dan mendapat pengiktirafan yang sewajarnya. Ini adalah selaras dengan peranan perkhidmatan hal ehwal Islam yang sangat penting dalam memperjuangkan dan mengembalikan kegemilangan Islam di dunia. 
 
 
 
 
 
 
 
Pengarah-pengarah Bahagian bergambar bersama KSN
 

Isnin, 8 Oktober 2012

Menebus dosa silam

 

Menebus dosa silam

KEDUDUKAN semua insan di sisi Allah SWT adalah sama, hanya yang membezakan adalah ketakwaan dan keimanan seseorang.
Begitu jua Allah SWT turut memberi jaminan akan mengampunkan dosa hamba-hambanya asalkan mereka bertaubat kepada-Nya dengan sebenar-benar taubat.
Sebagai manusia, pastinya tidak akan lari daripada melakukan kesilapan dan kekhilafan akibat kelalaian dan kealpaan diri terhadap Pencipta kita.
Apa yang pasti, apabila sampai waktunya dan mendapat pula hidayah daripada Allah SWT, insan-insan ini akan pulang semula ke pangkal jalan.
Ini yang terjadi terhadap sekumpulan wanita dari Rumah Sinar Salam, yang telah mendapat hidayah dan petunjuk daripada Allah SWT dengan meninggalkan kehidupan masa lalu yang penuh kegelapan dan diberi rezeki pula untuk menjejakkan kaki ke Mekah mengerjakan umrah atas tajaan individu prihatin.
Ini membuktikan sesiapa sahaja boleh bertaubat dan mencari keredaan di sisi Tuhan biarpun pada masa lalu bergelumang dalam kancah maksiat.
Bercakap mengenai Rumah Sinar Salam, pastinya tidak akan lari daripada menyoroti kisah-kisah penghuninya yang terjebak dengan gejala sosial.
Sebutlah apa sahaja kegiatan sosial - persundalan, najis dadah, buang anak, anak luar nikah dan sebagainya merupakan sebahagian daripada jenayah sosial yang dilakukan oleh penghuni-penghuninya yang kini menumpang teduh di rumah itu bagi mendapatkan sinar.
Menurut Pengasas Rumah Sinar Salam, Arfidah Abd. Latif, 58, ramai penghuni Rumah Sinar Salam ini sudah mendapat hidayah Allah SWT dan berjaya keluar dari kemelut sosial selepas aktiviti outreach (temu seru) dilakukan terhadap mereka.
''Ramai yang terbuka hati untuk bertaubat. Biarpun mungkin masih janggal pada mata masyarakat akibat cara kehidupan masa lalu namun saya berdoa agar kami semua para penghuni di sini masih ada tempat di sisi Allah.
''Itu yang kami cari selama ini iaitu rahmat Tuhan. Kadangkala kami turut tertanya-tanya apakah dosa kami yang lalu akan diampunkan Allah. Begitu juga adakah taubat kami ini akan diterima oleh-Nya, kerana kesan-kesan kehidupan masa lalu yang amat gelap dan jijik," katanya.
Dia yang ditemani tiga lagi rakannya ditemui di pejabat I Umrah Rakyat Sdn. Bhd., di Rampai Town Centre, Taman Seri Rampai, Kuala Lumpur, iaitu agensi umrah di bawah Syarikat Fayrooz Travel And Marketing Sdn. Bhd., yang ditubuhkan berlandaskan kebajikan dengan memberi peluang kepada masyarakat yang kurang mampu mengerjakan umrah dengan sebahagian kosnya dibiayai oleh agensi ini.
Sementara itu, rata-rata kebanyakan daripada bekas penghuni yang terpilih untuk mengerjakan umrah ini telah pun berkeluarga dan sekarang menjadi sukarelawan membantu 'menarik' insan-insan senasib ke pangkal jalan.
Tambah Arfidah lagi, niat untuk mengerjakan ibadah dan mengunjungi rumah Allah ini telah lama terbuku dalam jiwa penghuni.
Namun masing-masing tidak mampu menyuarakannya memandangkan ketiadaan wang dan 'malu' dengan keterlanjuran mereka yang telah lalu menyebabkan mereka rasa tidak layak menjejakkan kaki ke 'rumah' Allah itu.
''Selalunya kami hanya melihat di televisyen cerita mengenai insan-insan yang berkesempatan untuk ke sana mengerjakan haji dan umrah.
''Kami tidak menyangka, berkat doa kami yang tidak berkesudahan, suara hati kami yang sentiasa mahu kembali ke jalan yang lurus, kami akhirnya dapat juga menjejakkan kaki ke rumah Allah tidak lama lagi dengan ihsan I Umrah Rakyat di bawah Program Umrah Rakyat," katanya yang turut tidak henti-henti mengucapkan terima kasih kepada penulis yang sanggup berusaha mencari dan menemukan penaja ini bagi mereka.

Selasa, 2 Oktober 2012

Sumber baru bumi Gaza

Sumber baru bumi Gaza

BOT-BOT nelayan milik nelayan Gaza yang tersadai dan peralatan menangkap ikan yang terbiar di jeti penangkapan ikan di bandar gaza akibat larangan pihak israel.
PERSOALAN Gaza, Palestin bumi yang sangat berkah akhirnya terjawab dalam misi bantuan Aqsa2Gaza8 untuk penduduk di wilayah yang tertindas itu anjuran pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Aqsa Syarif Malaysia, pada Ramadan lalu.
Sebelum itu, saya yang berada dalam kumpulan terakhir daripada tiga kumpulan misi, terpaksa bermalam di sebuah bandar pelancongan tepi Laut Mediterranean, El Arish, Mesir.
El Arish merupakan bandar yang menjadi perhentian terakhir sebelum anggota misi masuk ke Gaza.
Terletak di Semenanjung Sinai, Mesir kedudukannya ialah kira-kira 50 kilometer dari Rafah yang merupakan sempadan Mesir-Gaza.
Dalam hati saya, walaupun Gaza hanya tinggal beberapa kilometer sahaja dari El Arish, sangkaan awal pastinya ia tidak seindah El Arish. Rupa-rupanya gambaran itu jauh meleset dan terpaksa menarik balik kata-kata itu.
Semenanjung Gaza, terutama Bandar Gaza itu setanding El Arish malah jauh lebih menawan hati.
Tidak sahaja memiliki keindahan alam semula jadi yang sama, iaitu pesisiran pantai Laut Mediterranean tetapi pasir pantainya putih, lebih bersih, lebih segala-galanya.
SANGAT MENYELERAKAN... Ikan tilapia yang diternak dalam air laut ini lebih enak daripada ikan tilapia yang dibela dalam air tawar.
Malah, yang lebih menghairankan, kita dapat melihat sendiri di sepanjang pesisiran pantai di Bandar Gaza itu terdapat aktiviti pertanian yang agak produktif.
Pemandangan yang hampir sama seperti berada di kawasan pertanian tanah tinggi Cameron Highlands.
Cili tumbuh subur
Di sepanjang tepi pantai di Bandar Gaza, pepohon cili dipenuhi cili-cili bersaiz besar, merah menyala dan hanya menunggu masa untuk dipetik, hidup subur dalam cuaca yang sangat panas.
Subhanallah, inilah yang sering diperkatakan bahawa Gaza adalah bumi yang penuh keberkatan, waima bumi anbia ini ditimpa pelbagai ujian berat.
Bahkan, bukan perkara baru dikatakan Gaza dikurniakan Allah SWT dengan bermacam-macam kelebihan yang menyebabkan Israel ingin merampas tanah-tanah di situ.
Anggota rombongan Aqsa2Syarif8 sempat dibawa ke sebuah ladang pertanian moden di selatan Gaza, iaitu berdekatan dengan Rafah dikenali sebagai Muhrrarat Hitteen (bermaksud Tanah Kebebasan) yang dahulunya pernah dirampas oleh rejim Israel sebelum bebas 2005. Kawasan itu juga pernah di jajah oleh tentera Salib selama hampir 100 tahun dan berjaya dirampas semula oleh pahlawan Islam terkenal, Salahuddin Al Ayyubi dalam Peperangan Hittin.
Apabila kawasan lain terpaksa menggunakan bekalan air yang bersumberkan air laut, tetapi tidak di Taharrat Hitteen.
Sebanyak tujuh perigi mata air dalam tanah yang dimusnahkan dan ditimbus oleh pihak Israel sebelum mereka meninggalkan kawasan itu, berjaya ditemui dan telah mengembalikan kawasan subur itu untuk penduduk Gaza.
Ini menjadikan kawasan yang pada pandangan mata kasar merupakan sebuah padang pasir yang luas dan tandus tetapi tersembunyi di dalamnya akan emas-emas 'putih', iaitu sumber bekalan air bersih.