Jumaat, 1 Februari 2013

Malaysia Negara Pertama Menganugerah Pensijilan Halal Berdasarkan Standard Farmaseutikal Halal Terulung Di Dunia

Malaysia Negara Pertama Menganugerah Pensijilan Halal Berdasarkan Standard Farmaseutikal Halal Terulung Di Dunia

Putrajaya, 30 Januari 2013 – Bahagian Hab Halal JAKIM telah mencipta sejarah pada hari ini dalam Industri Halal Global dengan menjadi badan persijilan pertama di dunia yang mengguna dan mengesahkan pengeluaran produk farmaseutikal berdasarkan standard farmaseutikal Halal pertama dunia, MS2424:2012.
 
Sijil Halal di bawah skim pensijilan MS2424 buat julung kalinya ini telah dianugerahkan kepada tiga buah anak syarikat Chemical Company Malaysia Berhad (CCM). Majlis penganugerahan telah diadakan di Ibu Pejabat JAKIM, Putrajaya. Sijil tersebut telah disampaikan oleh YB Mejar Jeneral Dato’ Seri Jamil Khir Bin Baharom (B), Menteri di Jabatan Perdana Menteri. Turut hadir adalah Ketua Pengarah JAKIM, Dato’ Hj. Othman Bin Mustapha dan Y. Bhg.Tan Sri Dato’ Sri Hamad Kama Piah Bin Che Othman, Pengerusi CCM.
 
Sebelum terdapatnya Standard Halal Farmaseutikal ini, Standard Makanan Halal telah dirujuk sebagai panduan serta kaedah yang digunapakai oleh semua pengeluar. Walau bagaimanapun, kaedah tersebut adalah tidak ideal kerana Standard Makanan Halal tidak diolah untuk menangani kompleksiti dan pengkhususan yang wujud di dalam sektor farmaseutikal.
 
Dalam membangunkan standard MS2424 Jakim merasa bangga kerana turut terlibat sebagai ahli dalam working group dan jawatankuasa teknikal yang berpadu tenaga membangunkan satu standard yang bertaraf antarabangsa ini.   Pakar – pakar yang memberi sumbangan yang penuh bermakna ini diketuai oleh Prof Dr Zhari Ismail, dari Universiti Sains Malaysia, yang kini turut merupakan salah seorang ahli dilantik oleh Majlis Raja-Raja untuk Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI),Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan (BPFK), Kementerian Kesihatan Malaysia, Halal Industry Development Corporation (HDC) dan Hab Halal Jakim.
 
Lanjutan dari standard ini, Jakim juga telah membangunkan satu sistem pensijilan berdasarkan MS2424. Kejayaan ini adalah hasil kerjasama strategik berkonsepkan “Lautan Biru”  atau “Blue Ocean” bersama Working Group dan agensi-agensi lain seperti Bahagian BPFK, Bahagian Farmasi MINDEF dan Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).
 
Ini telah mewujudkan satu era baru dalam pengeluaran produk farmaseutikal di pasaran di mana elemen Halal untuk produk farmaseutikal dapat dikenalpasti dan disahkan melalui logo “Halal Malaysia” yang kini boleh dipamerkan pada barangan ‘Over the Counter’ (OTC) seperti supplemen kesihatan dan ubat-ubatan / produk terapeutik yang tidak memerlukan sebarang  preskripsi daripada doktor atau farmasi. Pengguna sekarang mempunyai lebih kuasa untuk membuat pilihan bijak dengan adanya alternatif Halal di pasaran.
 
 
 
 
YB Menteri di JPM menyampaikan ucapannya.
 
YB Menteri menyampaikan sijil penganugerahan MS 2424: 2012.
 
Sidang media.
 
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan