Khamis, 3 Mei 2012

Al-'Adatu Muhakkamah

Al-'Adatu Muhakkamah


Kefahaman tentang suasana semasa dan adat setempat adalah amat penting dalam proses ijtihad dan mengeluarkan fatwa. - Gambar hiasan



DALAM proses ijtihad, para mujtahid akan merujuk kepada sumber-sumber utama syariah Islam iaitu al-Quran dan sunnah. Namun, pelaksanaan hukum-hakam tersebut akan mengambil kira situasi semasa dan kebiasaan masyarakat di sesuatu tempat itu.
Perlu difahami bahawa kedudukan sesuatu hukum itu tidak tertakluk mutlak kepada gambaran situasi semasa. Ia tetap didasari dengan wahyu Allah SWT. Namun, adat hanyalah salah satu faktor yang akan dipertimbangkan oleh para ulama dalam mengeluarkan hukum.
Justeru, melihat kepada adat sebagai salah satu faktor penyumbang kepada ketentuan hukum, maka para ulama telah menggagaskan sebuah kaedah fiqh iaitu 'Al-'Adatu Muhakkamah yang bermaksud, adat dijadikan hakim.
Kaedah ini berdasarkan beberapa dalil. Salah satunya adalah hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Mas'ud yang bermaksud: Apa yang dinilai oleh kaum muslimin sebagai baik, maka ia adalah baik di sisi Allah, dan apa yang dinilai buruk oleh kaum muslimin, maka buruklah ia di sisi Allah (riwayat Bukhari).
Walaupun terdapat perbincangan di kalangan ulama tentang kedudukan Hadis ini sebagaimana yang ditakhrijkan oleh Imam Ahmad bin Hanbal dalam musnadnya, tetapi maksud hadis tersebut bertepatan dan tidak bertentangan dengan akal. Justeru, banyak permasalahan fikah yang mengambil kira adat atau uruf di sesuatu tempat khususnya perkara yang tidak dinyatakan secara jelas dalam al-Quran dan hadis.
Perkara yang paling penting dalam memahami adat serta uruf yang diiktiraf di sisi para ulama adalah ia perlu bertepatan dengan Al-Quran dan Hadis. Jika ia bertentangan dengan kedua-dua sumber utama berkenaan, maka ia tertolak.
Sebagai contoh, keadaan masyarakat di sebuah tempat yang menerima riba sebagai suatu kebiasaan dalam urusniaga. Apabila memberikan pinjaman, mereka akan meminta bayaran yang lebih dan ia diterima oleh masyarakat berkenaan.
Ia tidak dianggap zalim dan mereka yang terlibat dalam transaksi tersebut bebas melakukan riba. Adat ini tidak boleh diterima kerana bertentangan dengan al-Quran, hadis dan ijmak ulama.
Demikian juga apabila masyarakat telah menganggap tarian yang mendedahkan aurat sebagai seni dan adat yang perlu dikekalkan. Adat seumpama ini juga tidak boleh dijadikan hukum kerana jelas bertentangan dengan syariah.
Adat yang boleh diambil kira sebagai hukum juga hendaklah menepati maslahah iaitu ia membuka ruang kebaikan dan menolak kemudaratan.
Maslahah ini hendaklah meliputi kesemua umat Islam bukan hanya berkaitan individu-individu tertentu sahaja.
Pertimbangan para ulama berkenaan dengan masa, orang dan suasana juga dikenali sebagai fiqh waqi'. Beberapa hukum yang pernah diputuskan oleh cendekiawan yang pakar dalam syariah mempunyai kaitan dengan adat dan uruf sebagai pertimbangan hukum. Antaranya, hukum berkaitan had umur baligh, penentuan masa haid dan sebagainya.
Pernah suatu ketika Nabi SAW ditanya oleh Zaid bin Khalid berkenaan dengan hukum menangkap unta-unta yang terbiar. Nabi menjawab dengan sabdanya yang bermaksud: Apa kaitan kamu dengannya. Biarkannya, kerana ia boleh menjaga diri dan mencari minumannya. Ia akan meminum air dan memakan pepohon yang ada sehinggalah ia dijumpai semula oleh tuannya… (riwayat Muslim)."
Hadis ini jelas menunjukkan bahawa Nabi melarang menangkap unta yang tersesat. Hukum ini masih dipraktiskan pada zaman Nabi, Abu Bakar dan Umar al-Khattab.
Apabila tiba zaman Uthman bin Affan sebagai khalifah, pandangan beliau agak berlainan dengan apa yang disabdakan oleh Nabi. Pada zaman tersebut, Uthman mengarahkan supaya unta-unta yang terbiar ditangkap dan dijual.
Hasil jualan unta tersebut kemudiannya disimpan sehinggalah dituntut oleh tuan punya unta tersebut. Pada zaman Ali bin Abi Talib pula, beliau mengarahkan supaya unta-unta tersebut ditangkap dan dipelihara di sebuah tempat khas sehinggalah dituntut oleh tuannya.
Hukum fiqh bersifat semasa
Pendekatan yang berbeza itu dilaksanakan dengan mengambil kira suasana dan adat masyarakat. Pada zaman Nabi, masyarakat lebih amanah dan bertanggungjawab sedangkan pada zaman Uthman dan Ali, masyarakat semakin meninggalkan agama mereka.
Ini menunjukkan bahawa kefahaman tentang suasana semasa dan adat setempat adalah amat penting dalam proses ijtihad dan mengeluarkan fatwa.
Terdapat beberapa lagi contoh aplikasi ijtihad yang mengambil kira adat pada zaman para sahabat r.a seperti hukum talak tiga dengan satu lafaz. Ibnu Abbas r.a meriwayatkan sebuah Hadis yang bermaksud: Talak (dengan lafaz tiga talak sekali gus) pada zaman Rasulullah SAW, Abu Bakar dan dua tahun pemerintahan Umar hanyalah satu. (riwayat Muslim).
Ini bermakna, pada zaman Umar r.a telah berlaku perubahan di mana lafaz talak tiga sekali gus akan dikira sebagai talak tiga. Ini kerana, Umar berpandangan bahawa keadaan masyarakat dan adat setempat telah berubah.
Masyarakat pada waktu itu suka bermain-main dengan talak di mana ada di kalangan mereka melafazkan talak sewenang-wenangnya. Jadi, beliau perlu mengetatkan peraturan dan hukuman untuk mendisiplinkan para suami agar tidak menjadikan wanita sebagai mangsa untuk dipermainkan.
Kesimpulannya, hukum-hukum yang berkaitan dengan fiqh adalah bersifat semasa dan mengambil kira adat sesuatu masyarakat sebagai pertimbangan.
Ini berlainan dengan perkara yang berkaitan akidah yang bersifat tetap dan tidak berubah. Sifat hukum fiqh yang murunah (fleksibel) ini menyebabkan syariah Islam relevan untuk semua tempat, masa dan keadaan.
Justeru, tiada alasan untuk kita meninggalkan hukum-hakam dalam meneruskan kehidupan di mana jua kita berada.


RUJUKAN.....

Tiada ulasan:

Catat Ulasan