Rabu, 26 Disember 2012

Teriakan petanda kiamat

Teriakan petanda kiamat


bencana- bencana yang berlaku sekarang ini adalah bukti kekuasaan Allah SWT yang perlu diambil pengajaran. - Gambar hiasan
PADA ayat yang sebelumnya, Allah SWT menyuruh mereka bertakwa kepada-Nya dan mengingatkan supaya jangan menerima azab seperti yang pernah dialami oleh umat-umat terdahulu kerana mereka telah mendustakan para rasul.

Manakala dalam ayat yang berikutnya dia menerangkan pula keingkaran tentang hari kebangkitan semula manusia dan juga permintaan mereka agar hari kebangkitan tersebut didatangkan dengan segera dalam nada mengejek.

Kemudian diterangkan kepastian berlaku hari kebangkitan dan bangkit dari kubur masing-masing lantas mereka bertanya: Siapakah yang telah mengejutkan kami dari kubur? Kemudian dijawab: Allah SWT yang menentukan semua ini dan Dia telah menjanjikannya kepada rasul-rasul-Nya yang lepas.

Ibnu Kathir berkata: "Allah SWT mengkhabarkan tentang anggapan orang kafir yang mengatakan mustahil terjadinya hari Kiamat dalam kehidupan mereka."
Firman Allah SWT: Dan (apabila mereka diingatkan tentang huru-hara dan balasan akhirat) mereka bertanya (secara mempersenda): Bilakah datangnya (hari akhirat) yang dijanjikan itu? Jika betul kamu orang-orang yang benar (maka Kami sedia menunggu). (Yasin: 48)

Al-Maghari berkata: "Mereka berkata dengan nada mengejek-ejek serta memperolok-olok: Bilakah berlakunya hari kebangkitan manusia yang sering kali kamu ancamkan kepada kami, sama ada secara jelas atau samar jika kamu orang yang boleh dipercayai kata-katanya?"

Kata-kata di atas ditujukan kepada Rasulullah SAW dan orang Mukmin yang sentiasa membacakan ayat yang menyebut hari kebangkitan manusia dan menyuruh mereka beriman dengan peristiwa tersebut. Pertanyaan mereka dijawab oleh Allah SWT.

Firman Allah SWT: Mereka tidak menunggu melainkan satu pekikan yang (dengan secara mengejut) akan membinasakan mereka semasa mereka dalam keadaan leka bertengkar (merundingkan urusan dunia masing-masing). (Yasin: 49)

Ibnu Jarir meriwayatkan daripada Ibnu Umar yang berkata: "Sebenarnya sangkakala akan ditiup ketika manusia berada di jalan, majlis-majlis dan pasar-pasar. Ketika itu sehelai kain masih berada di tangan dua orang yang sedang tawar-menawar, tiba-tiba mereka terkejut."

Itulah yang dimaksudkan Allah SWT dalam firman-Nya: Mereka tidak menunggu melainkan satu teriakan sahaja akan membinasakan mereka ketika sedang bertengkar.
Ibnu Kathir berkata: "Mereka tidak menunggu kecuali satu teriakan sahaja. Ketika ditiupkan sangkakala, manusia masih lagi bertengkar, tawar-menawar di pasar-pasar. Malaikat Israfil diperintahkan Allah SWT meniup dengan kuat dan berterusan, tidak satu makhluk yang terkecuali mendengarnya lantas semuanya dibangkitkan dan berkumpul di hari kiamat."

Imam al-Bukhari dan Muslim meriwayatkan sebuah hadis daripada Abu Hurairah, bahawa Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud: Kiamat akan berlaku ketika dua orang masih merentang sehelai kain dalam proses tawar-menawar hingga kedua-duanya tidak sempat lagi meneruskan urusan jualbelinya, apatah lagi melipat semula kainnya itu. 

Kiamat juga akan berlaku ketika seseorang baru menyimen kolahnya sebelum sempat mengisi air di dalamnya. Hari kiamat juga berlaku ketika seseorang membawa susu kambingnya tanpa sempat meminumnya. Kiamat juga akan berlaku ketika seseorang baru menyuap makanan ke dalam mulutnya sebelum sempat dia mengunyahnya.

Kemudian Allah SWT menerangkan kedatangan hari Kiamat yang begitu cepat dengan hanya satu teriakan sahaja malah lebih cepat daripada itu.
Firman Allah SWT: Maka dengan itu, mereka tidak berpeluang membuat sebarang pesanan (wasiat atau lainnya), dan (kalau mereka berada di luar) mereka tidak sempat kembali kepada keluarganya. (Yasin: 50)

Ibnu Kathir berkata: "Atas yang mereka miliki kerana saat itu lebih penting daripada masalah tersebut."

Al-Maghari berkata: "Ketika itu mereka tidak lagi berpeluang membuat pesanan wasiat kepada seseorang di kalangan ahli keluarganya. Begitu juga dengan seseorang yang berpisah dengan keluarga tidak sempat lagi untuk berkumpul semula."

Pekikan itu datang dengan mendadak sehingga mereka akan mati berkaparan di mana sahaja ketika itu. Kemudian Allah SWT menerangkan pula tiupan sangkakala yang kedua akan ditiupkan nanti.
Marilah sama-sama kita menginsafi betapa kerdilnya kita yang akan melalui peringkat perjalanan yang jauh, bermula daripada kehidupan dunia menuju ke alam kubur seterusnya dibangkitkan menjadi hamba Allah yang perlu taat dan patuh kepada perintah-Nya. Ini kerana kebahagiaan yang hakiki ialah apabila seseorang selamat dari neraka Allah dan dapat menghuni syurga-Nya.

Isnin, 24 Disember 2012

Menyantuni si miskin

Menyantuni si miskin


Jadikanlah diri kita manusia yang pemurah dengan cara melazimkan diri selalu bersedekah.
- Gambar hiasan
ADAKAH manusia boleh menolak kedatangan orang-orang miskin dan menyatakan bahawa kemiskinan itu boleh dihindari jika mereka berusaha untuk menjadi kaya. Apakah pandangan Islam jika ada orang yang bersifat demikian dan apakah caranya supaya manusia tidak memandang serong kepada orang-orang miskin?

Jawapan 

SEGALA puji bagi Allah SWT yang telah menjadikan kekayaan dan kemiskinan sebagai satu ujian bagi setiap manusia. Di dalam Islam, kemiskinan bukanlah sesuatu yang wajar dicari, namun, jika ditakdirkan menjadi miskin, seseorang itu tidak pula seharusnya membiarkan dirinya terus-menerus berkeadaan miskin. Mereka dianjurkan agar berusaha dan mencipta kejayaan dalam hidupnya. Namun, jika mereka bersabar dalam tempoh kemiskinan itu, pastilah besar pahalanya di sisi Allah SWT.

Banyak ayat al-Quran dan hadis Nabi Muhammad SAW yang menyeru manusia agar berusaha dan menjadikan diri mereka mampu bersedekah dan berzakat. Sudah pastilah, ia adalah satu isyarat agar kita berusaha untuk keluar daripada kemiskinan.

Namun, jangan kita lupa bahawa manusia boleh menjadi miskin dengan pelbagai sebab. Ada orang menjadi miskin atas faktor keadaan. Misalnya, harta-benda dan kekayaannya musnah akibat bencana alam seperti gempa bumi, tsunami dan sebagainya. Atau dia menjadi miskin kerana kegawatan ekonomi, perusahaannya bankrap atau dia dibuang kerja. Maka, dia menjadi miskin secara tiba-tiba tanpa diduga.

Ada juga orang menjadi miskin atas faktor latar belakang keluarga yang tidak berpendidikan atau memang terkekang dengan belenggu yang menghalang perubahan. Misalnya pada zaman dahulu, ada orang menjadi miskin kerana mereka lahir dalam keturunan miskin, pekerja bawahan dan juga keturunan hamba abdi, seperti Bilal bin Rabah. Sukarlah mereka untuk keluar daripada keadaan sedemikian.

Maka, untuk memuliakan manusia hamba itulah, Allah SWT telah mengizinkan agar mereka dibebaskan dengan peruntukan zakat. Bahkan, Nabi Muhammad SAW juga menyeru agar manusia sentiasa berfikir untuk menjadi lebih baik dan keluar daripada status yang lemah.

Nabi Muhammad SAW menyatakan: Mukmin yang kuat adalah lebih baik dan lebih dicintai oleh Allah daripada Mukmin yang lemah dan pada tiap-tiap (mereka) ada kebaikan. Bersungguh-sungguhlah kamu mendapatkan apa yang mendatangkan manfaat bagi kamu, dan pohonlah pertolongan kepada Allah dan janganlah kamu lemah dan sekiranya suatu (musibah) menimpa kamu maka janganlah kamu mengatakan: Kalau saya melakukan itu (dulu) sudah tentu saya akan begini dan begitu, tetapi katakanlah: (Ini adalah) takdir Allah, Dia berkuasa melakukan apa yang Dia kehendaki. Sesungguhnya "KALAU" membuka amalan syaitan. (riwayat Muslim)
Hakikatnya, walau apa pun situasi kemiskinan, ia adalah ujian daripada Allah SWT. (rujuk al-An'am: 53)

Pemberian

Berbalik kepada persoalan di atas, bagaimanakah sikap orang kaya apabila didatangi orang-orang miskin? Jawapannya, sudah pastilah Islam menghendaki agar golongan miskin ini dilayan secara sepatutnya. Jika perlu memberi, maka berilah. Jika enggan memberi, maka tolaklah dengan baik. Bahkan, pemberian yang diiringi ucapan yang jahat, dipandang hina oleh Allah SWT. (rujuk al-Baqarah: 264)

Perkara yang paling dilarang adalah, jika si kaya itu enggan memberikan hartanya maka dia turut mendabik dada bahawa harta itu adalah miliknya; bahkan sebaliknya mengherdik orang-orang miskin itu agar berusaha sendiri mencari hartanya. Allah SWT menyelar golongan ini kerana mereka telah berkelakuan seperti Qarun. (rujuk al-Qasas: 78)

Rabu, 19 Disember 2012

ATURCARA PROGRAM TAFAQQUH FIDDIN PERDANA PERINGKAT NEGERI PULAU PINANG TAHUN 2012-TAKMIR PULAU PINANG MEMBASMI AJARAN SESAT-SYIAH DAN ARQAM

ATURCARA
PROGRAM TAFAQQUH FIDDIN PERDANA
GURU TAKMIR 
PERINGKAT NEGERI PULAU PINANG TAHUN 2012
 HOTEL SERI MALAYSIA KEPALA BATAS





11 Disember 2012 (Selasa)



8.00 pagi - 8.30 pagi
:
Pendaftaran Peserta 


 
9.00 pagi - 10.30 pagi
:
 
 
:
 
:
 
 
 
:
 
 
:

Perasmian Program Tafaqquh Fiddin Perdana Peringkat Negeri Pulau Pinang Tahun 2012


Bacaan Ayat Suci Al-Quran

Ucapan Aluan Oleh:
Y.Bhg. Dato‘ Haji Sazali bin Haji Hussein
Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang

Ucapan dan Perasmian Majlis Oleh:
Y.B. Dato‘ Haji Mohd Salleh bin Man
Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang

Penyampaian Cenderahati Kepada
Y.B. Yang Dipertua MAINPP

10.30 pagi -11.00 pagi
:
Minum Pagi



11.00 pagi -
1.00 tgh
:
Diskusi Buku Kerja I (Sesatnya Al-Arqam)
Tersungkur Di Pintu Syurga”
Oleh:Ustaz Zabidi bin Mohamed
Pendakwah Bebas
1.00 tgh - 2.30 ptg
:
Makan Tengah Hari / Check In Hotel / Solat Zohor 


 
2.30 ptg -
5.00 ptg
:
Diskusi Buku Kerja II
Siapa Syiah Sebenar”
Oleh: Al-Fadhil Ustaz Abdullah bin Din
Persatuan Ulama Malaysia Negeri Kedah
5.00 ptg - 6.30 ptg
:
Solat Asar / Rehat
6.30 ptg - 8.00 mlm
:
Makan Malam dan Solat Maghrib
8.00 mlm - 8.30 mlm
:
Rehat / Solat Isyak


8.30 mlm -
10.30 mlm
:
Diskusi Buku Kerja III
Syiah Yang Melampau”
Oleh: Al-Fadhil Ustaz Abdullah bin Din
Persatuan Ulama Malaysia Negeri Kedah
10.30 mlm - 11.00 mlm
:
Minum Malam / Rehat

12 Disember 2012 (Rabu)
7.00 pagi -8.30 pagi
:
Sarapan Pagi



8.30 pagi -
10.30 pagi
:
Diskusi Buku Kerja IV
Ancaman Syiah Kepada Negara”
Oleh: PDRM Bukit Aman Kuala Lumpur
10.30 pagi - 11.00 pagi
:
Minum Pagi



11.00 pagi - 1.00 tgh
:
Diskusi Buku Kerja V
Isu-isu Semasa Mengenai Syiah”
Oleh: Al-Fadhil Ustaz Aizam bin Mas’ud
Bahagian Penyelidikan JAKIM, Putrajaya
1.00 tgh - 2.30 ptg
:
Makan Tengahari / Solat Zohor / Check Out



2.00 ptg - 4.30 ptg
:
Diskusi Perdana “Perpecahan Aqidah”
Tajuk: 73 Pintu, 73 Jalan (73 Furqah Aqidah)
Moderator : Tuan Haji Roslan bin Che Rus
Panel I : Ustaz Mohd Zahir bin Abd. Ghani
Panel II : Ustaz Aizam bin Mas’ud
Panel III : Ustaz Irwan Aswandy bin Ashaari
4.30 ptg - 5.00 ptg
:
Bersurai


Isnin, 17 Disember 2012

Perkasa institusi latihan Islam

Perkasa institusi latihan Islam


Ab. Halim Tamuri
PERKEMBANGAN pusat latihan Islam yang semakin pesat ditubuhkan sejak akhir-akhir ini membuktikan satu lagi anjakan baru dalam industri dakwah tanah air.
Ternyata selepas mula bergerak aktif sejak 10 tahun lalu, penubuhan pusat latihan Islam menunjukkan peningkatan yang ketara dengan kerjasama pelbagai pihak termasuk badan kerajaan, bukan kerajaan atau persendirian.

Perkembangan ini juga secara tidak langsung menunjukkan kesatuan umat Islam dalam menyebarkan dakwah Islamiah dan pelbagai ilmu Islam dalam pelbagai medium. Antaranya, menerusi kursus serta latihan Islam.

Ini merupakan khabar gembira kepada seluruh umat Islam di negara ini yang mengimpikan syariat Islam terus dimartabatkan dalam membina negara Islam cemerlang dan yang lebih sempurna.
Namun, dalam kepesatan penubuhan pusat latihan Islam tersebut, sejauh mana jaminan terhadap keberkesanan pusat latihan tersebut dalam melatih ummah bagi melahirkan insan yang cemerlang, perlu diambil perhatian.

Ataupun lebih membimbangkan adakah ia ditubuhkan sekadar berlandaskan keuntungan di sebalik memenuhi kehendak dan keperluan masyarakat, khususnya dalam perkara yang berkaitan hal-ehwal Islam?

Perkara inilah yang ditekankan oleh pensyarah Jabatan Perkaedahan dan Amalan Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Datuk Dr. Ab. Halim Tamuri ketika membentangkan kertas kerja dalam Konvensyen Pusat Latihan Islam Malaysia, baru-baru ini.
Dr. Ab. Halim berkata, di sebalik kepesatan kewujudan pusat latihan Islam itu, apa yang dikhuatiri adalah berlaku persaingan sesama sendiri untuk merebut peserta, sedangkan mereka sendiri tidak mempunyai kemahiran dan kepakaran yang mendalam dalam ilmu tersebut.

Hal ini umpama 'ketam mengajar anaknya berjalan lurus' yang tidak mendatangkan sebarang kesan malah akan merosakkan imej pusat latihan Islam yang menjadi harapan masyarakat untuk memperoleh latihan yang berasaskan kepada roh Islam hanya kerana tidak dapat dikelola dengan baik.

Oleh itu, ujar Dr. Ab. Halim, jurulatih Islam terlebih dahulu perlu diberi latihan dan mendapat persediaan yang secukupnya bagi memastikan pengurusan dan pentadbiran Islam mempunyai tahap kualiti yang tinggi.

Ini kerana menurutnya, kejayaan kursus atau latihan yang dijalankan adalah bergantung kepada dua faktor utama iaitu; kandungan atau modul latihan dan tenaga pengajar atau jurulatih yang mengendalikan kursus tersebut.

"Kedua-dua komponen ini amat berkait rapat dalam menjamin keberkesanan kecemerlangan latihan dan dakwah, selain perlu disokong oleh kemudahan fizikal yang sesuai dalam memenuhi keperluan latihan lain.

"Namun faktor inilah yang dilihat masih belum dikuasai sepenuhnya oleh segelintir pusat latihan tersebut. Tugas jurulatih yang cemerlang sangat penting kerana pemantapan dan keberkesanan dakwah Islam adalah bergantung kepada kemampuan jurulatih memberikan pendedahan, latihan dan kursus kepada peserta.

"Kandungan atau modul latihan yang diberikan juga penting dan haruslah bersesuaian dengan tahap penerimaan peserta," katanya.

Dr. Ab. Halim membentangkan kertas kerja bertajuk Jurulatih Islam: Ciri-ciri dan kemahiran yang perlu ada bagi memastikan kejayaan latihan Islam di Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), Bangi, Selangor baru-baru ini.

Konvensyen Pusat Latihan Islam Malaysia merupakan konvensyen yang julung kalinya diadakan dengan mengumpulkan sebanyak 40 pusat latihan Islam dari seluruh negara.

Perhimpunan selama dua hari itu juga diadakan bagi membincangkan permasalahan dan kelemahan yang berlaku kepada pusat latihan Islam, di samping mewujudkan kerjasama strategik antara institusi latihan.

Konvensyen itu juga diadakan berikutan tiada penyelarasan yang strategik daripada badan tertentu terhadap kegiatan pusat latihan Islam seluruh negara dilakukan sebelum ini.
Perkara tersebut dilihat kurang memberi impak yang tinggi kepada masyarakat dan secara tidak langsung boleh mencemarkan identiti pusat latihan Islam yang menjadi pemangkin kepada pembentukan rohani dan sahsiah diri ummah.

Sebanyak sembilan kertas kerja dibentangkan pada konvensyen tersebut.
Antara pembentang kertas kerja yang hadir adalah Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pembangunan Insan, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Yaakob Abdul Rahim; Ketua Penolong Pengarah ILIM, Mohamad Zamri Mohamed Shapik dan pensyarah Fakulti Sains Kemanusiaan, Universiti Pendidikan Sultan Idris, Profesor Dr. Habib Mat Som.

Khamis, 13 Disember 2012

Malam “TAHAJJUD CINTA”

Malam “TAHAJJUD CINTA”

“TAHAJJUD CINTA”

Kau datang ketika duka
dan bintang bercahya
tunjukku ke jalan syurga
Ku haus di tengah laut
lemas mencari tempat berpaut
kirimkan aku kekuatan
serta pedoman di kesesatan

Ku sunyi dalam gembira
perih pedih tanggung derita
sungguh aku bukan wali
yang suci dari hina dan benci

Kau datang ketika duka
dan bintang bercahya
tunjukku ke jalan syurga

Terlalu lama aku mencuba
terlalu banyak
cinta yang ku damba
tiada yang sempurna
hanyalah fana
Tuhan, ampuni hamba-Mu

Kau datang ketika duka
dan bintang bercahya
tunjukku ke jalan syurga

Ku rebah di dada malam
memecah dendam yang lama diam
ku tanggalkan baju dunia
dakapku dengan selimut syurga
ya Tuhanku hanya padamu
tempat mengadu segala rindu
limpahi ku rahmat kasihmu
dalam tahajjud cinta bersujud
 
 
 
Sidang Media Pelancaran Malam Tahajjud Cinta
 
 
Ucapan Dato' Siti Nurhaliza
 
          Jabatan Kemajuan Islam (JAKIM) melalui  Majlis AIDS Malaysia (MAM) dengan kerjasama Yayasan Ihtimam Malaysia (YIM) akan mengadakan malam amal “Tahajjud Cinta” yang akan berlangsung pada 30 Januari 2013.  Tujuan malam amal ini adalah bagi meraih dana yang akan di salurkan kepada Yayasan AIDS Malaysia dan Yayasan Ihtimam Malaysia bagi usaha Advokasi  dalam menangani permasalahan  HIV/AIDS di Malaysia serta hasrat bagi pembinaan sebuah rumah perlindungan HIV/AIDS.
 
           Pelancaran Malam Tahajjud Cinta tersebut telah diadakan pada 5 Disember 2012 baru ini bertempat di Grand Hyatt Kuala Lumpur yang telah dihadiri oleh Tan Sri Zaman Khan selaku Timbalan Pengerusi YIM, Mr. Robert Dallimore Pengurus Besar Grand Hyatt Kuala Lumpur, Cik Mawar selaku penaja program Malam Tahajjud Cinta serta turut disokong oleh artis terkenal seperti Dato’ Siti Nurhaliza, Fahrin Ahmad, Bob AF dan beberapa orang lagi artis terkenal yang telah dilantik sebagai selebriti sokongan riben merah di bawah seliaan MAM.
 
         Diharap program ini akan berjalan lancar dan mendapat  sokongan semua pihak dalam menangani masalah HIV/AIDS yang semakin menular di Malaysia.
 
 
 
Selebriti Sokongan Riben Merah
 
 
Sesi Soal Jawab Bersama Wartawan
 
 

Isnin, 10 Disember 2012

Himpunan 1000 Jiwa 1 Hati Kembali Lagi

Himpunan 1000 Jiwa 1 Hati Kembali Lagi

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia ( JAKIM ) dengan kerjasama  Pusat Bimbingan Puteri Raudatus Sakinah ( RS) akan menganjurkan Program Himpunan 1000 Jiwa 1 Hati buat kali ke-3 pada 31 Disember 2012 dan 1 Januari 2013 bertempat di Masjid  Sultan Salahudin Abdul Aziz Shah, Shah Alam Selangor. Program yang akan berlangsung dua hari ini bertemakan “ Jiwa Kuat Generasi Hebat “ adalah satu  program alternatif kepada remaja-remaja untuk menyambut ambang tahun baru 2013.
Program ini menyasarkan seramai 2400 orang khususnya remaja, setakat ini seramai 1500 orang telah berdaftar sebagai peserta  dan 170 orang telah didaftarkan sebagai fasilitator. Kepada mereka yang berminat untuk menyertai program ini bolih membuat pendaftaran secara percuma di web www.1000jiwa1hati.com
Sidang Media Himpunan 1000 Jiwa 1 Hati
Beberapa pengisian program bakal menarik minat remaja belia termasuk Bicara Cinta Anak Muda yang bertajuk ‘Destinasi Cinta’ akan dikendalikan oleh Fedtri Yahya membariskan beberapa panel ternama antaranya Wardina Safiyyah, Heliza Helmi dan Mohd Nor Mamat.

Peserta dan fasilitator bakal disajikan dengan slot-slot menarik seperti hiburan yang mendidik jiwa daripada kumpulan anak muda Edcoustic, In-Team, Unic dan Hafiz Hamidun. Selain itu, menjelang jam 12 tengah malam 31 Disember, satu laungan ikrar akan dibacakan oleh semua peserta bagi menzahirkan mereka adalah remaja dan belia yang bijak menjauhi zina serta berupaya menjaga jati diri bersempena sambutan tahun baru.
Dalam pada itu,  peserta juga akan menghidupkan malam itu dengan program qiamullail yang dipimpin oleh Imam Muda Najdi. Pada keesokkannya pula peserta akan menunaikan solat Dhuha yang akan dipimpin oleh Imam Muda Hasan dalam slot Sinaran Dhuha. Perasmian penutup program ini akan disempurnakan oleh Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)
Akbar Sinar Harian dan Majalah I merupakan media rasmi untuk program ini.  Program ini juga telah mendapat kerjasama daripada JAIS, MAIS, Masjid Sultan Salahudin Abdul Aziz Shah, Kumpulan Media KarangKraft, IKRAM, felcra Traning Center (FTC) , Yayasan Ihtimam Malaysia dan Yayasan WIBA Prima.
Pada 5 Disember 2012 telah berlangsung pra-pelancaran dan sidang media bertempat di Auditorium KarangKraf, Shah Alam Selangor dihadiri oleh Pengarah Urusan Kumpulan Media Karangkraf,  Datuk Hussamuddin Yaacob, Ketua Pegawai Eksekutif Raudatus Sakinah Master Traning & Consultancy, Puan Rosmawati Binti Zainal, Pengurus Bahagian Pemulihan Al-Riqab MAIS, Ustazah Hafizatul Akmal Abd Jalil, Editor Pengurusan Majalah I, Ahmad Yani Abd Manaf dan Abd Rahman Awang dari Bahagian Pembangunan Keluarga Sosial dan Komuniti JAKIM.

Jumaat, 7 Disember 2012

Kelebihan Ustaz Nabil

Kelebihan Ustaz Nabil


Nabil Mahathir bahagia di kelilingi insan tersayang termasuk ibu, Abiaz Ibrahim (kanan) dan isteri, Nurul Ain Muhamad.
Beliau mampu melayari Internet seperti Facebook dan membaca mesej di telefon bimbit, malah hobinya menonton sama ada di panggung wayang, di kaca televisyen mahupun di komputer.
Tindakannya itu membuatkan banyak yang tertanya-tanya bagaimana ahli perniagaan muda ini mampu melakukan semua itu memandangkan beliau mempunyai masalah penglihatan sejak berusia empat tahun lagi.
Lebih menghairankan beliau tidak bertongkat seperti orang kelainan upaya (OKU) dengan masalah penglihatan yang lain, malah boleh menunggang basikal dan motosikal.
Ini menguatkan lagi anggapan masyarakat bahawa Nabil Mahathir, 25, atau dikenali sebagai Ustaz Nabil Al-Hafiz mempunyai kelebihan tersendiri yang tidak mampu dicapai oleh akal fikiran.
Kehebatannya turut terbukti dengan keupayaan membaiki alat-alat elektronik sejak remaja lagi dan kini diteruskan dengan membaiki komputer serta telefon bimbit.
Begitupun aktiviti tersebut sebagai hobi masa lapang kerana beliau kini telah berjaya menjadi seorang ahli perniagaan dalam bidang perubatan Islam.
Mengakui kelebihan yang dimiliki itu, ibu Nabil, Abiaz Ibrahim, 59, berkata, beliau sudah dapat melihat potensi yang ada pada anaknya itu sejak kecil lagi kerana mampu menghafaz ayat al-Quran yang dibacanya dan diajarkan kepada anak-anak lain.
"Setiap hari saya akan mengajar anak-anak mengaji al-Quran dan Nabil akan mendengar. Keesokan harinya, beliau datang kepada saya dengan membaca setiap baris ayat al-Quran yang telah kami baca sebelum itu.
"Guru-guru di sekolah turut memuji anak saya kerana beliau sering mendapat tempat pertama pada setiap peperiksaan penggal," katanya.
Abiaz turut berbangga dengan pencapaian anaknya dan menghadiahkan alat braille sebagai hadiah pertama buat Nabil yang mendapat tempat pertama di sekolah.
Dalam pada itu sikap penyayang dan mengambil berat dimiliki Nabil terhadap setiap ahli keluarganya, telah memikat hati Nurul Ain Muhamad, 23, sehingga terbuka hati untuk menjadikan lelaki itu teman hidupnya.
Bagi wanita muda ini, Nabil memiliki sifat yang sangat luar biasa berbanding lelaki lain.
"Semangatnya tidak pernah luntur dalam apa jua perkara yang dilakukan. Kesanggupan beliau berjaga malam untuk bersolat sunat bagi mengubati pesakit atau membaiki komputer yang dihantar jiran-jiran membuatkan beliau sangat hebat di mata saya," katanya.
Nabil, yang hilang penglihatan kerana kerosakan saraf telah membuktikan golongan sepertinya mampu berjaya dan membina kerjaya sendiri.
Kini beliau mengusahakan pusat perubatan yang dikenali sebagai Pusat Perubatan Al Afiah di Taman Melati, Gombak, Kuala Lumpur.
"Setiap manusia mempunyai kelebihan dan kekurangan yang diberikan oleh Allah.
" Gunakan kelebihan yang diberikan sebaik mungkin dan jangan menjadikan kekurangan itu sebagai halangan untuk berjaya dalam hidup.
"Saya juga sangat percaya pada hati yang bersih dan ikhlas serta reda selain berusaha dengan gigih adalah kunci kejayaan bagi seseorang," ujar Nabil ketika dikunjungi premis perniagaanya baru-baru ini.
Menggunakan perubatan melalui gabungan ayat al-Quran dan aura metafizik, beliau dapat mengetahui penyakit seseorang dan sejauh mana tahap penyakit tersebut.
Beliau yang juga seorang hafiz telah berjaya menghafaz 30 juzuk ayat al-Quran pada usia 11 tahun sewaktu melanjutkan pengajian peringkat ijazah dalam bidang al-Quran dan Bahasa Arab di Universiti Antarabangsa Afrika, di Khartoum, Sudan.
Beliau memulakan kerjaya dalam bidang perubatan Islam ini apabila menyedari kemampuannya ketika mengubati ibunya pada usia 15 tahun.
Nabil bukan sahaja boleh mengubati masalah spiritual malah juga mampu mengubati penyakit fizikal sama ada penyakit biasa mahupun kronik.
Beliau yang mempunyai dua orang pembantu untuk menguruskan pusat perubatan tersebut menerima pesakit bukan sahaja dari Malaysia malah luar negara seperti Singapura, Indonesia dan Brunei.
Beliau turut terlibat dengan program motivasi, khidmat nasihat dan ceramah kepada masyarakat di bawah kendalian sebuah syarikat usaha sama beliau dan rakan-rakan.
Kecekalan, kekuatan semangat serta kelebihan beliau, membuktikan OKU juga golongan yang produktif dan mampu bersaing dengan insan normal lain.
Bagi maklumat lanjut boleh layari facebook Pusat Rawatan Al Afiah atau hubungi talian 011-15683771.

Rabu, 5 Disember 2012

Tafsir mimpi

 

Tafsir mimpi

TEMAN saya menceritakan mimpinya kepada saya, lalu meminta saya mentafsirkan mimpi tersebut. Saya tidak memiliki apa-apa kemahiran dalam mentafsirkan mimpi. Apa hukumnya jika saya sengaja pandai-pandai mentafsirkan mimpi itu?

Jawapan:
Perbincangan tentang tafsir mimpi terdapat dalam setiap tamadun manusia. Sejak dulu lagi, mimpi dilihat sebagai isyarat ghaib yang hanya dapat difahami dan ditafsirkan oleh orang tertentu. Para pentafsir mimpi ini biasanya adalah para pakar rujuk keagamaan dalam tiap-tiap masyarakat tersebut.
Islam mengakui bahawa mimpi lebih daripada sekadar bunga tidur. Kadangkala ia mengandungi makna tertentu sebagai satu peringatan daripada Allah SWT. Namun begitu, tidak semua mimpi mengandungi makna yang boleh ditafsirkan.

Rasulullah SAW bersabda: "Mimpi (terbahagi) tiga. Mimpi yang merupakan gangguan daripada syaitan untuk membuat sedih anak Adam. (Mimpi yang asalnya) sesuatu yang difikirkan oleh manusia pada saat terjaga, lalu terbawa hingga ke tidur. Dan (mimpi) yang merupakan satu daripada 46 bahagian kenabian." (riwayat Ibn Hibban).

Mimpi kebanyakan manusia seperti kita berkisar antara bentuk pertama dan kedua, yakni hanya mainan syaitan dan ciptaan imaginasi belaka. Mimpi seperti ini tidak perlu diendahkan apalagi dipaksakan untuk dicari makna di sebaliknya.

Adapun mimpi dalam bentuk ketiga, yakni mimpi bermakna yang disebut sebagai satu bahagian daripada kenabian, maka pemiliknya bukan sembarang orang. Mereka adalah orang soleh yang selalu menjaga diri daripada dosa dan maksiat.

Berkata Imam Al-Qurtubi: "Muslim yang jujur dan saleh menyerupai keadaan para nabi. Oleh itu mereka dianugerahi sebahagian daripada apa yang diberikan kepada para nabi, iaitu melihat ke alam ghaib melalui mimpi."

Meski begitu, tidak dinafikan kadang kala mimpi yang bermakna ini mendatangi orang-orang biasa, bahkan orang yang suka bermaksiat, jika dikehendaki oleh Allah SWT. Sebagaimana yang terjadi pada Firaun yang bermimpi tentang Nabi Musa yang akan menggulingkan kerajaannya. Namun kes pengecualian ini sangat jarang terjadi.

Sembarang mentafsir

Berkenaan dengan takwil mimpi pula, kita mesti menyedari bahawa kemahiran ini sebuah ilham daripada Allah, bukan satu cabang ilmu yang boleh dipelajari. Ia kelebihan yang Allah berikan kepada hamba-hamba tertentu yang memiliki hati yang bersih daripada dosa dan maksiat.
Oleh itu, jangan tertipu oleh pelbagai buku tafsir mimpi yang terdapat di pasaran pada saat ini. Setakat membaca buku-buku seperti ini tidak melayakkan kita untuk mentafsirkan mimpi. Sebab bentuk mimpi yang sama boleh jadi mengandungi tafsiran yang berbeza mengikut perbezaan orang yang bermimpi, sifat-sifat dirinya dan masa mimpi itu didapatkan. Demikian yang dijelaskan oleh Al-Hafiz Al-Suyuti dalam kitab Al-Hawi li Al-Fatawi.

Para ulama menetapkan, siapa yang tidak memiliki keahlian dalam tafsir mimpi, maka haram baginya mentafsirkan mimpi tanpa ilmu.

Imam Malik pernah ditanya: "Bolehkah sembarang orang mentafsirkan mimpi?" Beliau menjawab: "Apakah ia hendak bermain-main dengan kenabian? Mimpi adalah satu bahagian daripada kenabian. Maka tidak boleh bermain-main dengan kenabian." Demikian diriwayatkan oleh Ibn Abdil Bar dalam kitab Al-Tamhid. Wallahu a'lam.

Selasa, 4 Disember 2012

Kursus Fotografi DSLR

Kursus Fotografi DSLR

Jalan Perdana – 26 Nov 2012. Unit Penerbitan dan Multimedia Masjid Negara telah menganjurkan Kursus Asas Fotografi (DSLR) yang berlangsung pada 26 November 2012 (Isnin) bertempat di Dewan Syarahan Utama, Masjid Negara. Seramai 50 orang peserta dari pelbagai agensi kerajaan khasnya JAKIM terlibat dalam kursus ini. Kursus ini dikendalikan oleh En. Saiful Nizam, fotografer sepenuh masa yang berpengalaman luas dalam bidang fotografi dan grafik.

Kursus yang berlangsung dari jam 8.30 pagi hingga 5.00 petang ini memberi pengetahuan kepada para pelajar pelbagai kemahiran dan teknik fotografi. Antaranya kaedah pemilihan kamera, penjagaan, memanipulasi kamera, pencahayaan, teknik mengambil gambar, grafik dan sebagainya.

Peserta juga diberi tugasan melakukan penggambaran luar studio dengan mengambil gambar masjid sebagai subjek dan persekitaran seperti landskap, alam flora, manusia dan persekitaran. Sesi kritikan diadakan pada siding petang untuk menilai kualiti karya yang dirakam oleh peserta. Majlis Perasmian Penutup telah disempurnakan oleh En. Mohd Rejab bin Ramli, Penolong Pengarah Kanan, Unit Pentadbiran dan Kewangan Masjid Negara seterusnya menganugerahkan sijil kepada para peserta.

Diharap kepada semua para peserta dapat mengambil manfaat dan mengaplikasikan ilmu yang dipelajari kerana Allah s.w.t. Wallahu'alam.


Gambar para peserta









Hasil karya peserta


sumber.......

Khamis, 29 November 2012

Berdakwah di alam maya

Berdakwah di alam maya


Noor Bahyah Mahamood (kiri) bersama suami, Wan Akashah Wan Abdullah (dua dari kiri) beramah mesra bersama peminat mereka.
ACAP kali apabila seseorang itu bergelar selebriti, nama mereka sering kali dikaitkan dengan laman sosial seperti Facebook, Twitter dan sebagainya.

Laman sosial itu, sama ada diwujudkan oleh mereka sendiri atau peminat telah menyebabkan hampir setiap masa, segala aktiviti termasuk status dan post selebriti itu telah memberikan pengaruh yang besar kepada orang ramai.

Malah para pendakwah termasuk para ustaz dan ustazah turut tidak terlepas daripada tempias laman sosial. Malah terdapat peminat mereka turut mendirikan fan pages bagi mengumpulkan rakan dan menganjurkan aktiviti sesama mereka.

Bagaimanapun para pendakwah tidak mengunakan peluang itu untuk mencari keuntungan atau mencari publisiti, tetapi menggunakan kesempatan tersebut untuk menyebarkan ajaran Islam.

Tidak terkecuali bagi tokoh pendakwah terkenal, Datuk Noor Bahyah Mahamood yang mempunyai laman facebook sejak 2010 .

Katanya, laman yang dikendalikan oleh beliau sendiri sedikit sebanyak telah memberi manfaat kepada masyarakat.

Bukan sahaja aktiviti beliau hampir setiap hari diperhatikan oleh masyarakat tetapi gerak geri suaminya, Wan Akashah Wan Abdullah dan empat cahaya mata mereka juga mengalami nasib sama.

"Saya menggunakan peluang ini untuk menunjukkan contoh tauladan yang baik kepada masyarakat bahawa Islam sebuah agama indah dalam membimbing keluarga dengan penuh kasih sayang dan harmoni.
"Biar masyarakat dapat mengambil contoh terbaik yang wujud dalam keluarga saya, semoga segala kebaikan yang diambil itu mendapat berkat dan ganjaran daripada Allah SWT," kata Noor Bahyah.

Selain gambar aktiviti keluarga dimuatkan dalam facebook, beliau turut menghebahkan program ceramah kepada umum supaya orang ramai dapat turut menyertai aktiviti tersebut.
"Biarpun terdapat keburukan pada Facebook, namun kebaikannya tidak boleh dinafikan. Peluang itu wajar digunakan pendakwah untuk mempelbagaikan platform saluran ilmu. Dakwah bukan sahaja di masjid atau surau, tetapi di mana-mana," ujar beliau lagi.

Sejuta peminat

Tiada lafaz boleh diungkapkan melainkan ucapan syukur kepada Allah selepas Facebook Noor Bahyah berjaya mengumpul sejuta peminat selepas beliau menunaikan solat Isyak pada 29 September lalu.

"Alhamdulillah, tujuan untuk menyampaikan mesej dakwah kepada masyarakat melalui Facebook akhirnya tercapai dengan kejayaan tersebut.

"Jelas menunjukkan ayat-ayat al-Quran, potongan hadis dan kata-kata hikmah serta doa-doa harian yang dipaparkan dalam laman Facebook mendapat maklum balas positif," ujarnya.

Beliau berkata, teknologi canggih dalam menyebarkan maklumat dengan pantas dan berkesan amat sesuai dalam menyebarkan dakwah kepada masyarakat termasuk bukan beragama Islam.

Sebahagian besar peminat beliau adalah terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat berusia antara 18 hingga 34 tahun.

"Peminat dari Malaysia mencatat jumlah sebanyak 900,000 seterusnya India berjumlah 20,000 dan diikuti Perancis, Britain, Amerika Syarikat, Yaman, Australia, Arab Saudi, Jepun, Pakistan, Sri Lanka, Bahrain dan lain-lain.

"Kalau di negara ini, masyarakat bandar, khususnya di Kuala Lumpur mencatat peratusan peminat yang tinggi berbanding kawasan lain. Ini menunjukkan bahawa kesibukan bekerja dalam kalangan warga kota, tidak menghalang mereka untuk melayari mesej dakwah di facebook saya," ujar beliau.

Rabu, 28 November 2012

Keutuhan Islam di Kota London

Keutuhan Islam di Kota London



PENYEBARAN dakwah Islam di seluruh dunia merupakan satu kejayaan walaupun terdapat anasir luar untuk menggugat usaha murni tersebut, selain wujud tanggapan negatif yang dilakukan oleh orientalis terhadap agama tersebut.

Sebenarnya kejayaan itu bergantung kepada usaha dan kegigihan para pendakwah dalam mencari peluang dan jalan bagi menyebarkan kebenaran bahawa agama Islam itu sesuai dianuti oleh semua bangsa, sama ada kaya atau miskin kerana semuanya berhak mendapat cahaya Ilahi.

Dalam sirah Nabi SAW, tindakan yang pertama dilakukan oleh Rasulullah SAW ketika tiba di Madinah pada peristiwa Hijrah adalah membuka masjid yang dinamakan sebagai Masjid Quba. Atas dasar perpaduan umat Islam, pembinaan rumah Allah itu turut bertujuan untuk menjadi pusat setempat aktiviti masyarakat Islam, termasuk urusan negara, ekonomi, dakwah dan sebagainya.

Tindakan seumpama itu diteruskan oleh generasi selepas wafatnya Rasullullah dengan kewujudan masjid di seluruh negara walaupun runtuhnya legasi khalifah Uthmaniah pada awal 1940-an, kewujudan masjid di negara bukan Islam adalah amat membanggakan.

Sehubungan itu, pembinaan Masjid London Central atau juga dikenali sebagai Pusat Kebudayaan Islam London yang terletak di Utara London, United Kingdom ketika Perang Dunia Kedua adalah kesinambungan usaha dakwah Rasullullah khususnya di negara majoriti bukan beragama Islam.

Malah Masjid London Central dirasmikan oleh Raja England ketika itu, King George VI iaitu Bapa kepada Ratu Elizabeth II pada tahun 1944 merupakan satu pengiktirafan daripada kerajaan baginda terhadap masyarakat Islam dalam negara Union Jack tersebut.

Malah pimpinan kerajaan Perdana Menteri Britain ketika itu, Winston Churchill untuk memperuntukkan sebanyak 100,000 pound (RM491,490) bagi tujuan pengambilalihan tapak tanah untuk tujuan tersebut.
Pada mulanya Masjid London Central merupakan Pusat Kebudayaan Islam, tetapi telah diubah menjadi sebuah masjid yang direka bentuk oleh arkitek Inggeris bernama Frederick Gibberd dengan perbelanjaan yang diderma oleh Raja Arab Saudi, Raja Faisal Arab Saudi sebanyak 2 juta pound (RM9 juta).
Masjid itu akhirnya siap pada Julai 1977 dengan jumlah kos sebanyak 650,0000 pound (RM3 juta).


Jawatankuasa masjid

Pengurusan masjid telah menubuhkan jawatankuasa Lembaga Amanah Masjid Masjid London Central yang telah diperbadankan pada September 1947. Pada mulanya, sebanyak tujuh wakil dari enam negara-negara Islam bertindak sebagai pemegang amanah tetapi pada 1995 telah berlaku penambahan ahli jawatankuasa dengan diwakili oleh 29 negara Islam.

Objektif utama kewujudan jawatankuasa itu adalah untuk mengawal perjalanan dan pengurusan masjid dan pusat kebudayaan tersebut selain menjaga keharmonian komuniti Islam di England.

Struktur binaan

Masjid London Central mudah dikenali kerana mempunyai sebuah kubah emas besar berukuran 423 sentimeter. Selain dibina dengan seni bina masjid, bangunan itu juga memperoleh sentuhan rekaan moden dan menyerupai bentuk bangunan lain.

Seperti dengan kebanyakan masjid di seluruh dunia, Masjid London Central adalah sebuah kompleks yang mempunyai perpustakaan dengan lebih 20,000 buku, pejabat pentadbiran, bilik persidangan, kedai buku dan dewan serta ditambah sayap baru pendidikan pada 1994.

Rekaan dewan solat utama berorientasikan Masjid Haram Mekah dengan permaidani berwarna merah, sebuah kubah besar yang dihiasi dengan mozek dan lampu candelier di tengah masjid berkenaan. Tempat ibadah itu mampu menampung seramai 1,400 jemaah pada waktu solat, tetapi boleh sehingga 4,000 bagi waktu perayaan.

Aktiviti

Selain menjadi tempat ibadah untuk menunaikan solat lima waktu dan aktiviti kemasyarakatan seperti majlis perkahwinan, majlis perayaan dan sebagainya, masjid ini turut menganjurkan kelas agama pada hujung minggu di Barat London yang dipanggil Al-Qalam Weekend School yang menyediakan sukatan asas pendidikan Islam kanak-kanak berumur lima hingga 16 tahun.

Penubuhan kelas berkenaan sejak awal 1980-an dipuji oleh masyarakat di bandar tersebut malah tindakan sama telah dilakukan oleh seluruh masjid dan pertubuhan lain di England.

Selain kelas pengajian, masjid itu turut menempatkan sebuah perpustakaan rujukan Islam yang terbesar dan tertua. Ia mengandungi pelbagai pilihan buku-buku dalam Bahasa Inggeris dan Bahasa Arab serta kemudahan Internet.

Atas inisiatif Pusat Kebudayaan Islam, satu pameran perkongsian ilmiah untuk memperkenalkan Rasulullah kepada masyarakat telah dibuat bagi menyebarkan kesedaran dan pemahaman tentang kehidupan mulia baginda Nabi Muhammad SAW.

Pameran ini yang pertama diwujudkan di England disediakan dalam bentuk gambar visual untuk memberikan pengalaman menarik kepada pengunjung. Ia juga bertujuan untuk memberi pemahaman yang besar berhubung mesej Islam, sekali gus menggalakkan persefahaman dan harmoni.

Masjid London Central dibuka kepada orang ramai setiap masa dan tempat ibadah tersebut kini telah menjadi pusat tarikan pelancong ke Utara London. Pelancong beragama Islam yang mengunjungi Kota London turut tidak melepaskan peluang untuk menziarahi masjid tersebut.

Selasa, 27 November 2012

Sihir jejas akidah

Sihir jejas akidah

 

PENYAKIT dalaman sering dikaitkan dengan amalan sihir dan santau. Dua perkataan itu yang berkaitan antara satu sama lain merupakan tindak tanduk perbuatan syaitan untuk menyesatkan dan berhasrat merosakkan kehidupan manusia.

Menurut Ketua Pengarah Jabatan Muzium Negara, Datuk Ibrahim Ismail, pada mulanya sihir diwujudkan untuk mengejar kebaikan tetapi akhirnya ia bertukar menjadi kejahatan apabila manusia mengejar ketamakan dunia dan mempunyai sikap hasad dengki.

Tambah beliau, sihir yang disamakan dengan kegelapan dan mengikut kamus Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) bermaksud, ilmu guna-guna atau mantera yang ditujukan untuk menyakiti atau mempersonakan seseorang.

"Ia dihantar dalam bentuk dalaman dengan menyakiti anggota badan atau mempengaruhi hati dan fikiran manusia melalui perantaraan iblis dan syaitan. Sebagai contoh, santau yang dihantar kepada seseorang bagi membinasakan mangsa secara perlahan atau cepat.

"Peralatan digunakan berbentuk senjata tajam iaitu keris dan pisau, tanduk, tulang binatang dan sebagainya. Bagaimanapun kedua-dua amalan sihir dan santau berkait dengan pemujaan terhadap syaitan dan bertentangan dengan syariat Islam," katanya dalam program Sembang Santau bersempena Pameran Magis Perubatan Tradisional anjuran Jabatan Muzium Negara, baru-baru ini.

Sehubungan itu, ujar beliau, tujuan pihaknya mengadakan program berkenaan untuk mendedahkan kepada orang ramai khususnya para pelajar untuk menyebarkan keburukan amalan sihir dan khurafat yang akhirnya bertujuan untuk merosakkan akidah manusia.

Pameran Magis Perubatan Tradisional yang bermula dari 15 September lalu dan akan berakhir pada 15 November ini diselitkan dengan pelbagai program dalam usaha menarik perhatian masyarakat terhadap kaedah rawatan perubatan alternatif termasuk perubatan Islam.

Selain pameran dan demonstrasi kaedah rawatan perubatan Islam oleh pelakon Ashraff Muslim dari Pusat Rawatan Islam al-Hidayah, program selama dua bulan itu turut disertai oleh rawatan tradisional lain seperti ayuverda, bekam dan penjualan herba serta akar kayu.

Orang ramai yang berminat boleh kunjungi Muzium Negara, Jalan Damansara, Kuala Lumpur bermula 9 pagi sehingga 6 petang setiap hari atau boleh layari laman www.jmm.gov.my untuk maklumat lanjut.

Isnin, 26 November 2012

Perubatan Islam mampu merawat

Perubatan Islam mampu merawat


PeNGIKTIRAFAN perubatan Islam dalam penggubalan Rang Undang-Undang Tradisional dan Komplementari 2012 berupaya mengangkat martabat rawatan alternatif itu setanding rawatan moden, di samping penerimaan baik oleh segenap lapisan masyarakat.
DAN Kami turunkan daripada al-Quran itu sesuatu yang menjadi penawar (penyembuh) dan rahmat bagi orang-orang yang beriman. (al-Israa: 82)

Al-Quran merupakan mukjizat umat Islam. Di dalamnya terdapat pelbagai khazanah dan syifa sehingga para pengkaji kitab suci tidak putus asa dan berterusan untuk merungkai rahsia isi kandungannya.

Al-Quran bukan sahaja menjadi rujukan pelbagai bidang, malah panduan utama umat Islam tersebut juga digunakan sebagai perawat kepada penyakit dalaman dan luaran yang sukar dirawat melalui kaedah perubatan moden.

Bukan sahaja ayat-ayat al-Quran tetapi potongan hadis berbentuk doa dan zikir Rasullullah juga digunakan sebagai ayat Ruqyah (pengubat) untuk tujuan seumpama itu.
Maka kaedah perubatan Islam sering digunakan sebagai jalan terakhir selepas para pesakit gagal menemui penawar kepada penyakit yang dihidapi mereka.

Malah para pegawai perubatan yang buntu untuk mencari penyelesaian kepada masalah pesakit mereka akhirnya diserahkan kepada kaedah rawatan Islam sebagai ikhtiar terakhir.
Pengiktirafan perubatan Islam daripada kerajaan Malaysia baru-baru ini dengan amalan perubatan alternatif tersebut dimasukkan ke dalam Rang Undang-Undang Tradisional dan Komplementari 2012 menunjukkan kaedah tersebut diterima baik negara ini.

Bagi Pengerusi Gabungan Persatuan Pengamal Perubatan Islam Malaysia (Gappima), Mohd. Fauzi Mustaffa, perjuangan pihaknya memartabatkan perubatan Islam di negara ini telah berjaya.
Langkah itu juga untuk membuktikan bahawa kaedah alternatif mampu menyembuhkan penyakit yang tiada harapan untuk sembuh.

Ujar beliau, dengan sifat Islam yang merupakan agama pembawa rahmat kepada seluruh alam, maka tiba pada masanya perubatan Islam diiktiraf seiring menghormati semangat prinsip agama persekutuan Malaysia seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

"Setakat yang kita tahu, Malaysia salah satu yang mengiktiraf perubatan Islam dalam penggubalan undang-undang berbanding negara Islam lain.

"Ini bermaksud kaedah alternatif telah diterima baik. Dalam perkembangan lain, ia dilihat untuk menyekat perkembangan amalan bomoh dan khurafat yang berleluasa sejak kebelakangan ini.

"Walaupun perubatan Islam telah lama wujud di negara ini, tetapi perjuangan Gappima untuk memartabatkan perkara tersebut hampir berjaya dan banyak tindakan yang perlu dirancang agar ia berada atas sama tahap dengan kaedah rawatan moden," ujar beliau.

Kewajaran perubatan Islam

Dunia sains pernah dikejutkan dengan penemuan seorang saintis dari Jepun, Dr. Masaru Emoto yang mendakwa air yang dibaca dengan bacaan doa membentuk molekul kristal bersegi enam dengan lima cabang daun muncul berkilauan.

Walaupun kajian itu tidak diketahui sejauh mana kebenarannya, tetapi ia cukup menggambarkan bahawa perubatan Islam mampu merawat khususnya penyakit dalaman.

Menurut Fauzi, prinsip perubatan Islam adalah para pengamal cuma merawat tetapi yang menyembuhkan hanya Allah, sehubungan itu tambah beliau, ketika merawat mereka menanamkan keyakinan untuk sembuh kepada pesakit.

"Ketika merawat, kita tanam keyakinan pada pesakit bahawa penyakit itu boleh diubati. Sebenarnya kita sakit bukannya berpunca daripada virus atau kuman tersebut kuat tetapi antibodi lemah.

"Contohnya bila dimaklumkan oleh doktor bahawa pesakit mempunyai enam bulan untuk hidup, semangat itu telah tiada. Tetapi dalam perubatan Islam, kita berdoa dan berkata insya-Allah penyakit boleh sembuh selain ditambah dengan ketenangan dan kekuatan oleh bacaan al-Quran.

"Secara saintifik, apabila pesakit diberi harapan, ia seolah memberikan mereka keyakinan untuk kuat, maka mereka akan melawan kerana wujud kekuatan," kata beliau.

Jelas Fauzi, kebanyakan doktor yang memahami perubatan Islam akan menyerahkan kepada rawatan alternatif setelah mereka tidak mampu merawat penyakit kritikal dan gangguan dalaman.

Fauzi yang juga merupakan perunding motivasi kemudian menjelaskan bahawa perubatan Islam walaupun selalu digunakan oleh orang ramai sebagai jalan terakhir maka ia dilihat peluang kedua untuk mereka kembali sihat.

"Oleh sebab itu kita perjuangkan agar rawatan Islam dimartabatkan dan diiktiraf agar masyarakat mengetahui bahawa rawatan Islam setaraf dengan kaedah perubatan lain bahkan lebih daripada itu," tambah Fauzi.

Sabtu, 24 November 2012

Jakim Hantar Wakil Ke Majlis Pemasyuran Mufti Bosnia & Herzagovina

Jakim Hantar Wakil Ke Majlis Pemasyuran Mufti Bosnia & Herzagovina

Jakim Hantar Wakil Ke Majlis Pemasyuran Mufti Bosnia & Herzagovina
 
Pada hariKhamis, 1 Muharram 1434H telah berlangsung Majlis Pemansyuran Grand Mufti & Raisul-Ulama, bagi Negara Bornia & Herzagovina. Menteri Di Jabatan Perdana Menteri adalah antara tetamu yang dijemput untuk menghadiri majlis yang bersejarah ini. Pada hari tersebut Syeikh Hussin Effendy Kavasovic, 48 telah dimasyurkan sebagai Grand Mufti dan Raisul-Ulama yang Ke 14 menggantikan Syeikh Dr. Mustafa Ceric yang telah tamat tempoh perkhidmatan selama 17 tahun menjadi Mufti Bosnia & Herzagovina. Syeikh Hussin adalah ulama lulusan Syariah dari Universiti Al-Azhar, Mesir. Beliau dipilih secara undian oleh masyarakat  Islam Bosnia, dari kalangan 8 orang Mufti sediaada yang terdapat di dalam wilayah-wilayah Bosnia & Herzagovina. Majlis pemasyuran seumpama ini adalah acara tradisi yang telah dilaksanakan di Bosnia & Herzegovina, sejak tahun 1884 M, iaitu ketika di bawah naungan Empayar Uthmaniyah.
 
Majlis diadakan di Masjid Besar Sarajevo, dihadiri ribuan masyarakat Islam serta lebih 500 orang tetamu jemputan dari dalam dan luar Negara. Majlis ini juga mendapat liputan meluas media tempatan, termasuk siaran langsung oleh dua stesen TV tempatan.Turut hadir ialah perwakilan ulama dari Negara-negara OIC iaituTurki, Saudi Arabia, Mesir, Iran, Kuwait, Indonesia, Pakistan dan lain-lain lagi. Malaysia diwakili oleh Tn Haji Mohamad Nordin bin Ibrahim, TKP (Dasar) dan Tuan Mohd Hussain Bakar,  Pemangku Duta Besar Malaysia di Sarajevo. Selepas majlis tersebut diadakan jamuan makan malam yang turut dihadiri oleh Presiden Bosnia & Herzegovine, serta pemimpin-pemimpin tertinggi Katholik dan Protestant Bosnia.
 
Dalam kesempatan tersebut juga TKPD dan Pemangku Duta Besar Malaysia di Sarajevo telahmengadakan kunjung hormat kepada Mufti baru. Pertemuan selama 30 minit itu adalah bagi mengucapkan tahniah bagi pihak Kerajaan Malaysia, di samping membincangkan beberapa isu berkaitan dakwah, pendidikan Islam dan pengurusan halal.  Mufti telah mengucapkan terima kasih kepada Malaysia yang banyak membantu Bosnia selama ini, dan menyatakan harapan yang tinggi kepada Negara-negara Islam, khususnya Malaysia supaya terus memberi sokongan moral dan bantuan bagi membangunkan modal insan masyarakat Islam Bosnia & Herzagovina yang masih dalam keadaan tidak menentu, dari masa ke semasa.