Khamis, 19 Januari 2012

Kalilah wa Dimnah kompilasi cerita pengajaran

Kalilah wa Dimnah kompilasi cerita pengajaran


Kalilah wa Dimnah pada mulanya merupakan kumpulan cerita rakyat dalam sastera India.



ADA sebuah hikayat dalam versi Arab yang terkenal di dunia Islam. Hikayat itu berjudul Kalilah wa Dimnah dan merupakan kumpulan cerita berangkai yang memberikan ajaran moral dan pendidikan.
Watak cerita dalam hikayat ini ialah haiwan yang mengisahkan sebuah cerita yang bersambung-sambung. Oleh sebab itu, kumpulan cerita ini disebut cerita berangkai.

Hikayat Kalilah wa Dimnah merupakan salah satu cerita berangkai yang turut popular dalam sastera Melayu. Semua kisah dalam Kalilah wa Dimnah mempunyai pengajaran tentang akhlak. Walaupun cerita itu berlaku dalam dunia haiwan, seperti singa, serigala, ikan dan burung, namun sasaran utama pengajarannya ialah manusia.
Dengan kata lain, manusia mendapat pengajaran tentang akhlak daripada setiap kisah dalam kumpulan cerita ini. Pancatantra Kalilah wa Dimnah pada mulanya merupakan kumpulan cerita rakyat dalam sastera India yang dikenali dengan nama Pancatantra (lima cerita haiwan). Kisah ini dikumpul sekitar abad ke-3 SM.
Sebelum kedatangan Islam, karya dalam bahasa Sanskrit ini telah tersebar luas dan diterjemahkan ke bahasa Parsi kuno dengan judul Karataka danDamanaka.

Pada pertengahan abad ke-2 Hijrah, Ibnu al-Muqaffa, penyair Arab-Parsi, menterjemahkannya ke dalam bahasa Arab dengan judul Kalilah wa Dimnah.Pengaruh Karya terjemahan Kalilah wa Dimnah yang dibuat Ibnu al-Muqaffa berpengaruh besar dalam sejarah perkembangan kesusasteraan Islam. Sejak itu, telah berkembang gaya penulisan prosa yang menggunakan dialog dan kehidupan haiwan sebagai latar belakangnya.

Melalui prosa ini disampaikan pesan yang bertujuan untuk memperbaiki akhlak dan tingkah laku manusia.
Tersebar ke Eropah Sebelum diterjemahkan oleh Ibnu al-Muqaffa, Pancatantra atau Karataka dan Damanaka hanya terkenal dalam masyarakat India dan Parsi. Namun sesudah diterjemahkan ke dalam bahasa Arab, kisah itu tersebar luas hingga ke Eropah dan bahagian dunia yang lain.
Penterjemahan Kalilah wa Dimnah versi Arab ke dalam bahasa Latin, Jerman, Yunani dan Ibrani dilakukan pada abad ke-10. Versi bahasa Sepanyol, Itali dan Perancis adalah terjemahan daripada versi Latin.
Watak cerita Kalilah dan Dimnah ialah nama dua ekor serigala yang menjadi watak utama dalam cerita pertama. Dalam cerita itu, Kalilah dan Dimnah menjadi penjaga singa, raja di hutan. Sewaktu Dimnah bertanya kepada Kalilah tentang perilaku singa, Kalilah mengingatkan Dimnah agar pertanyaannya jangan sampai diketahui raja di hutan itu kerana hal itu akan menyebabkan berlakunya kisah kera dan tukang kayu.
Dari sini, Kalilah mula menceritakan kisah Kera dan Tukang Kayu, yang berlanjutan kepada cerita-cerita seterusnya.

Kisah tiga ekor ikan
Dalam Kalilah wa Dimnah terdapat cerita berjudul "Tiga Ekor Ikan". Yang pertama pintar, kedua cerdik dan ketiga bodoh.

Dua orang nelayan datang menghampiri kolam dan cuba menangkap ikan-ikan itu. Ikan yang pintar segera berenang ke dasar kolam hingga tidak dapat dilihat.

Ikan yang cerdik dapat ditangkap tetapi pura-pura mati. Sewaktu nelayan meletakkannya di tanah kerana menyangka ikan itu sudah tidak bergerak, tiba-tiba ikan yang cerdik itu melompat kembali ke dalam kolam dan melarikan diri.

Ikan yang bodoh pula tidak dapat berbuat apa-apa, lalu ditangkap oleh nelayan.

SUMBER..........

Rabu, 18 Januari 2012

Bertabarruk dengan kubur Rasulullah

Bertabarruk dengan kubur Rasulullah

SEPERTI yang telah kita bincangkan minggu lepas, terdapat banyak riwayat daripada Salafus Soleh yang merakamkan bahawa mereka menerima dan beramal dengan bertabarruk dengan kesan-kesan atau bekas peninggalan Nabi SAW dalam rangka mendekatkan diri kepada Allah. Pandangan ini turut dipegang oleh Ibnu Taimiyyah dan Imam Al-Zahabi seperti yang kita petik di bawah. Mereka ini merupakan di antara rujukan pilihan bagi kelompok yang cenderung anti-tabarruk pada zaman ini.

Al-Qadhi 'Iyadh berkata: "Abdullah ibn Umar SAW pernah dilihat meletakkan tangannya di atas tempat duduk Rasulullah SAW di mimbarnya. Kemudian dia meletakkan tangannya itu di mukanya." Diriwayatkan daripada Ibnu Qusait dan al-'Utbi: "Apabila masjid telah kosong, para sahabat Nabi SAW mengusap tombol mimbar yang terletak berhampiran kubur Nabi SAW dengan tangan kanan, kemudian mereka menghadap kiblat seraya memanjatkan doa. "Berkata al-Mulla Ali al-Qari, pensyarah kitab al-Syifa: Hadis ini diriwayatkan oleh Ibnu Sa'ad. (Al-Shifa', 3:518)
Hadis ini juga diriwayatkan oleh Syeikh Ibnu Taimiyyah daripada Imam Ahmad. Beliau memberi rukhsah mengenai mengusap mimbar dan tombol kayu tersebut dan menyebut bahawa Ibnu Umar, Sa'id ibn al Musayyib, dan Yahya ibn Sa'id RA dari kalangan fuqaha Madinah, melakukan perkara tersebut. (Ibnu Taimiyyah, Iqtido' Sirot al-Mustaqim, H: 367)

Ketika Amir al-Mukminin, Umar ibn al-Khattab RA hampir wafat, beliau berkata kepada anaknya, Abdullah RA, Pergilah kamu kepada Ummul Mukminin, Sayyidah 'Aisyah RA dan katakanlah, "Umar menyampaikan salam kepadamu." Jangan kamu katakan Amir al-Mukminin, kerana hari ini aku bukan lagi ketua kaum Mukminin. Katakan juga kepadanya, bahawa, "Umar ibn Khattab meminta izin untuk dikebumikan bersama (berdekatan) kedua orang sahabatnya (Rasulullah SAW dan Abu Bakar RA)." 

Maka Abdullah RA pun memberikan salam dan meminta izin untuk masuk. Lalu dia pun masuk dan mendapati Sayyidah Aisyah RA sedang duduk menangis. Abdullah RA berkata, "Umar menyampaikan salam kepadamu dan meminta izin untuk dikebumikan berhampiran kedua orang sahabatnya." 'Aisyah berkata, "Sebenarnya aku menginginkan tempat itu untuk diriku. Tetapi hari ini, aku akan mendahulukan dia (Umar RA) daripada diriku."

Setelah kembali, maka dikatakan, "Ini Abdullah ibn Umar RA telah kembali." Umar ibn Khattab RA berkata (kepada para sahabat), "Angkatlah aku." Lalu beliau disandarkan oleh salah seorang sahabatnya kepada Abdullah RA. Umar RA berkata, "Apakah berita yang kamu bawa?" Dia berkata, "Berita yang kamu suka, wahai Amir al-Mukminin! Kamu telah diizinkan." Umar RA berkata, "Alhamdulilah, tidak ada sesuatu yang lebih penting bagiku selain daripada itu. Sekiranya aku telah wafat, bawalah aku dan ucapkanlah salam kepada 'Aisyah, dan katakanlah, "Umar meminta izin." Jika dia mengizinkan aku, maka masukkanlah aku. Tetapi jika dia menolakku, kembalikanlah aku ke perkuburan kaum Muslimin. (riwayat Bukhari dalam kitab Janaiz)

Pandangan Imam Al-Zahabi
Berkata al Imam Syamsuddin Muhammad ibn Ahmad al-Zahabi: Telah mengkhabarkan kepada kami Ahmad ibn Abdul Mun'im lebih daripada sekali, telah menyampaikan kepada kami Abu Ja'far al-Soidalani secara bertulis, telah menyampaikan kepada kami Abu Ali al-Haddad secara berdepan, telah menyampaikan kepada kami Abu Nu'aim al-Hafiz, telah menyampaikan kepada kami Abdullah ibn Ja'far, telah menyampaikan kepada kami Muhammad ibn 'Asim, telah menyampaikan kepada kami Abu Usamah, daripada Ubaidillah, daripada Nafi' daripada Ibnu Umar RA, "Sesungguhnya dia membenci perbuatan mengusap kubur Nabi SAW." Saya berpendapat: Ibnu Umar RA membenci perbuatan tersebut kerana melihat ketiadaan adab dan ketidaksopanan orang yang berkunjung ke kubur Nabi SAW.

Imam Ahmad RA pernah ditanya tentang hukum mengusap kubur Nabi SAW dan mengucupnya. Maka dia tidak berpendapat, perbuatan tersebut adalah salah. Telah meriwayatkan daripadanya anaknya, Abdullah ibn Ahmad.

Justeru, sekiranya ditimbulkan persoalan: Kenapa sahabat tidak melakukan perbuatan tersebut? Maka dijawab: Kerana mereka dapat melihat dan bertemu dengan Rasulullah SAW dengan mata kepala mereka sendiri semasa Baginda SAW masih hidup. Mereka bergaul dengannya dan mencium tangannya. Nyaris-nyaris mereka berbunuh-bunuhan untuk mendapatkan air wuduknya.

Mereka mengagih-agihkan rambutnya yang suci pada musim haji yang agung. Apabila Baginda SAW berludah, belum pun sempat ludahnya jatuh ke tanah, ia telah disambut oleh tangan seorang sahabat, lalu dia menyapu mukanya dengan air ludah tersebut.

Adapun kami, disebabkan kami tidak berpeluang mendapat tuah atau keuntungan yang begitu sempurna dan indah, maka kami lebih sepatutnya mengunjungi kuburnya dengan penuh iltizam, penghormatan, penyerahan dan mengucupnya. Adakah kamu tidak melihat, bagaimana Thabit al-Bunani telah melakukannya? Beliau telah mengucup tangan Anas ibn Malik RA dan meletakkan tangannya ke mukanya sambil berkata, "Ini adalah tangan yang pernah menyentuh tangan Rasulullah SAW." Perbuatan sebegini tidak akan digerakkan oleh seorang Muslim kecuali kerana lonjakan kasih yang bersangatan terhadap Rasulullah SAW.

Bahkan, sememangnya seorang Muslim itu disuruh mengasihi Allah dan Rasul SAW melebihi kasihnya terhadap dirinya, anak-anaknya, manusia seluruhnya, harta benda, syurga dan bidadarinya. Bahkan, terdapat sebahagian daripada kaum Mukminin itu mengasihi Abu Bakar RA dan Umar RA melebihi daripada kasih terhadap diri mereka sendiri.

Diceritakan kepada kami, bahawa ketika Jundar berada di bukit al-Biqa', dia mendengar seseorang mencaci Abu Bakar RA. Lalu dia menghunus pedangnya dan memenggal kepala orang tersebut. Tetapi jika dia mendengar orang mencaci dirinya atau bapanya belum tentu dia akan menghalalkan darah orang tersebut. Lihatlah, seorang sahabat yang berada dalam kecintaan yang begitu mendalam terhadap Nabi SAW berkata, "Bolehkah kami sujud kepadamu?" Maka Baginda SAW bersabda, "Tidak boleh." Sekiranya mereka diizinkan, sudah pasti mereka akan sujud kepadanya kerana membesarkan dan memuliakan Baginda SAW, bukan kerana menyembah atau beribadat kepadanya sebagaimana sujud saudara-saudara Nabi Yusuf AS kepadanya. Begitu jugalah dengan perbuatan, sujud seorang Muslim kepada kubur Nabi SAW kerana membesarkan dan memuliakan Baginda SAW. Ia tidak dikira kufur pada asalnya, tetapi dikira berdosa melakukannya. Justeru, ketahuilah bahawa ini adalah perkara yang dilarang, begitu juga dengan melakukan solat menghadap kubur. (Al-Zahabi, Mu'jam Al-Syuyukh, 1:73-74)

SUMBER.........

Ahad, 15 Januari 2012

Dah tak sudi

Dah tak sudi

Oleh Muhd Izawan Baharin, Mary Victoria Dass dan Mior Azlan Mior Kamarulbaid
am@hmetro.com.my

JOHOR BAHRU: Perbuatan tidak berhati perut segelintir anak-anak membuang ibu atau bapa walaupun ketika ‘nyawa-nyawa ikan’ di wad kecemasan semakin berleluasa hingga membimbangkan pengurusan hospital.
Pengarah Hospital Sultanah Aminah (HSA), Dr Rooshaimi Merican A Rahimberkata, perbuatan tidak bertanggungjawab seumpama itu seolah-olah menjadi kecenderungan sebagai jalan mudah melepaskan tanggungjawab menyara ibu bapa yang berusia 60 tahun ke atas.

Beliau berkata, tidak kurang juga ada anak yang sanggup memalsukan identiti ibu bapa dengan memberikan maklumat salah bagi mengelakkan pengurusan hospital mengetahui alamat tempat tinggal.
“Apabila mereka menghantar ibu bapa yang kritikal ke hospital, dalam keadaan kecemasan, hospital menjalankan pelbagai usaha termasuk memberi rawatan sesuai bagi menyelamatkan nyawa warga emas terbabit.

“Ketika itu, mungkin pengurusan hospital tidak menyedari helah waris pesakit memberikan maklumat termasuk alamat dan nombor telefon palsu.

“Perkara itu mengakibatkan pengurusan hospital mengalami kesulitan mengesan waris dalam usaha membincangkan rawatan kepada pesakit mahupun bagi melaporkan keadaan kesihatan mereka,” katanya.

Harian Metro semalam melaporkan ada anak-anak membawa ibu bapa uzur ke wad kecemasan di mana-mana hospital kerajaan dan kemudiannya dalam kesibukan pegawai perubatan membuat pemeriksaan dan tanpa mendaftar, anak-anak akan angkat kaki.

Taktik itu disokong oleh kenyataan Naib Pengerusi Pusat Jagaan Siti Nor Aini di Kajang, Dr Abdullah Noel Michael yang mengakui pihaknya menerima 70 warga tua dihantar hospital selepas waris mereka gagal dikesan.

Beliau turut menganggap trend itu membimbangkan dan walaupun banyak cara termasuk menghantar surat kepada waris warga tua terbabit, namun tiada yang membalasnya.

SUMBER...........

Jumaat, 13 Januari 2012

Renung wasiat Hassan al-Banna untuk mula tahun baru

SEMOGA kehadiran tahun baru 2012 ini menjanjikan sesuatu yang lebih baik untuk kita. Pengalaman sepanjang 2011 kita simpan sebagai kenangan yang tidak mungkin dapat kita ulangi.
Orang cakap ‘sejarah mungkin berulang’ tapi adakah ia sama seperti pertama kali terjadi? Tak, kan? Kenangan manis, kita kenang sampai bila-bila.
Kenangan pahit, kegagalan yang berlaku sepanjang 2011 kita anggap saja sebagai langkah yang perlu dilalui untuk kehidupan yang lebih berjaya.

Sebagai muhasabah dalam memulakan langkah 2012, penulis ingin mengajak kita merenung wasiat dan nasihat Hassan al-Banna yang sangat relevan dan hidup kata-katanya walaupun beliau sudah tiada lagi antaranya:



  • Segeralah tunaikan solat pada awal waktu iaitu kala mendengar azan. Usahakanlah semampu terdaya. Ini membuktikan kesungguhan anda.

    Di situ ada sumber kejayaan, pertolongan dan taufiq.

    Perhatikanlah banyak perintah ayat al-Quran di mulakan dengan menyebut solat pada awalnya. Perhatikanlah Tuhan mensyariatkan solat di medan perang walaupun pada saat genting dan cemas.





  • Bacalah al-Quran dan cuba memerhati mesejnya. Selalu berzikir dan cari ilmu walaupun sedikit. Kurangkan mengisi masa yang tidak bertujuan.

    Sesungguhnya al-Quran adalah sumber asli lautan ilmu. Sumber hidayah kepada anda dan saya. Bacalah al-Quran, kelak ia memberi syafaat.

    Sentiasalah membaca, menghafal dan cuba hayati mesej arahannya. Selalu berzikir, berzikir dan terus berzikir! Di sini ada ketenteraman, kedamaian dan keselamatan. Jadilah hamba yang sejahtera.





  • Dorong diri untuk menguasai bahasa al-Quran. Mulakan dulu walaupun sepatah perkataan. Sebenarnya anda sudah lama bermula iaitu sejak anda solat setiap hari.

    Sebut dulu walaupun tidak faham. Antara malapetaka pertama menimpa umat kita ialah kecuaian menguasai bahasa agamanya. Ayuh! Apa tunggu lagi bukalah ruang walaupun seminit!





  • Usahlah bertarung idea tanpa adabnya. Berdebatlah jika kiranya berbuahkan kebaikan. Awasilah pertengkaran kerana di sana ada unsur lain membisikkan, syaitan namanya!





  • Senyumlah selalu tapi bersederhanalah dalam ketawa! Rasulullah s.a.w adalah yang paling banyak senyum. Baginda ketawa kena pada tempatnya.

    Bagaimanapun berpada-pada saja wahai kawan, Plato juga berharap supaya pementasan hiburan yang tidak bermutu, terlalu banyak ketawa dan lawak bodoh hanya disaksikan golongan abdi dan orang upahan asing.

    Begitu juga pendapat Aristotle, supaya belia ditegah daripada menyaksikan hiburan yang membolehkan perbuatan ketawa berlebih-lebihan, agar tidak menular keburukan dalam diri!





  • Seriuslah selalu dan berguraulah berpatutan. Tanpa serius, hilanglah kesungguhan. Tanpa bergurau, tawarlah kehidupan. Kata seorang penyair: Berikan kerehatan pada jiwamu. Yang sibuk dengan berfikir, ubati dengan bergurau. Tapi, kalau mengubatinya dengan bergurau mestilah dalam batas seperti kau masukkan garam ke dalam gulai.





  • Kawal nada suaramu setakat yang diperlukan oleh pendengar di depanmu. Janganlah jadi seperti orang bodoh. Bahkan menyakiti hati orang lain pula. Luqman al-Hakim juga mencela orang yang tidak pandai menjaga nada suara pada tempatnya.

    Itulah katanya suara keldai! Surah al-Isra’ memberi tip kepada kita. Jangan keraskan suaramu dalam solat. Tapi jangan pula merendahkannya. Carilah jalan tengah di antara keduanya.





  • Usahlah mengumpat dan usahlah merendah-rendahkan pertubuhan lain. Bercakaplah jika ada unsur kebajikan. Ayuh! Hindarilah mengumpat! Tidak sekali mencabuli jemaah lain! Perkatakanlah kebaikan demi kebajikan bersama.

    Sukakah anda makan daging? Pasti anda suka! Tapi sukakah anda makan daging kawan anda yang sudah mati? Sekali-kali tidak! Begitulah dosa orang yang mengumpat.

    Bertaubatlah jika anda mengumpat tapi mesti minta ampun terhadap orang umpatanmu. Boleh mengumpat apabila ada tujuan syarie iaitu untuk menuntut keadilan apabila dizalimi, untuk menghapuskan kemungkaran atau kerana memberi amaran kepada Muslim lain mengenai kejahatan dan mengisytiharkan kefasikan dan kejahatan.





  • Luaskanlah interaksimu dengan umat manusia. Sekali pun mereka tidak diminta berbuat demikian. Salam kasih sayang adalah untuk semua.

    Salam kemesraan adalah untuk sejagat.

    Hulurkanlah, hulurkanlah salam perkenalan. Lihatlah pensyariatan ibadah haji. Pelbagai bangsa, lapisan dan darjat datang berkunjung. Sama-sama menjunjung obor suci. Tidak mengenali tapi tak sepi.





  • Maksimumkan faedah waktu anda dan tolonglah orang lain supaya manfaatkan masa. Hadkanlah masa penunaiannya. Biasakan hidup berjadual di hadapan.

    Bijaksanakanlah menggunakan waktu anda. Bersegeralah, kerana dalam sabda Nabi yang bermaksud: “Bertindak segeralah melakukan amal...” (Diulang 7 kali..). Sayangilah masa saudaramu, hormatilah waktu mereka, usahlah berbicara meleret-leret tanpa haluan dan noktahnya.


    Selamat menyambut tahun baru 2012! 




  • SUMBER..................

    Khamis, 12 Januari 2012

    Amalan Rasullullah - Berkuda, Memanah dan Berenang

     
    Gambar saya naik kuda di Karamu Trail.(berenang belum pandai, belum pernah memanah)

    Sabda Rasulullah SAW : “Lemparkanlah (panah) dan tunggangilah (kuda).”(Riwayat Muslim)
    Berkuda
    Berkuda amat baik untuk kesihatan manusia. Seluruh anggota tubuh badan dari kepala hingga ke kaki, dari fizikal hingga mental akan mendapat manfaatnya.
    Bentuk lekuk badan belakang kuda – tempat di tunggang- baik untuk merawat segala masalah tulang belakang manusia.
    Semasa pergerakan galloping iaitu cara rentak kuda melompat dan berlari, menyebabkan vetebra tulang belakang manusia bergesel antara satu sama lain dalam keadaan harmoni, dan meransang saraf-saraf tulang belakang, seolah-olah diurut, sedangkan pakar chiropraktik pun tidak mampu berbuat seperti gerakan natural tulang-tulang veterbra semasa orang menunggang kuda.
    Seluruh anggota : tulang rangka, otot-otot, organ-organ viseral – termasuklah sistem penghadaman, sistem saraf, sistem voluntary mahupun involuntary, organ perkumuhan, malah geseran kepada organ-organ seksual akan teransang secara optimum untuk menjadi semakin sihat. Penunggang kuda yang hebat selalunya bebas dari mengalami sakit belakang atau ’ter’gelumang dengan tabiat-tabiat seks yang di luar tabie. Selain itu menunggang kuda turut mencerahkan mata sebab terdapat ransangan terhadap saraf kranial semasa gerakan ‘galloping’ kuda.

    Memanah
    Melatih emosi dan fizikal untuk meletakkan target pada sasaran. Memanah sangat menitik beratkan body balancing. Maka jika pemanah emosinya tertekan, maka panahan amat mudah tersasar. Secara tidak langsung, sukan ini melatih manusia bertenang dan menstabilkan emosi.
    Individu yang tidak tenang, gopoh, pemarah, kurang sabar atau kurang sihat mentalnya tidak akan menjadi pemanah yang baik.
    Perbuatan melenturkan anak panah di busurnya, kemudian melepaskannya perlu satu kekuatan fizikal, sukan ini juga satu latihan holistik kepada diri seseorang dari segi fizikal dan mental.
    Bersabda Rasulullah SAW, ” Kamu harus belajar memanah kerana memanah itu termasuk sebaik-baik permainanmu.” (Riwayat Bazzar, dan Thabarani dengan sanad yang baik)

    Berenang
    Semasa berenang, mental, fizikal, segala otot dan tulang rangka digerakkan untuk membuat satu gerakan yang berkoordinasi antara dua anggota kaki dan dua anggota tangan, selain meransang stamina ( sistem kardiovaskular )
     
    (baru belajar berendam heheh)

    Berenang juga memberi peluang manusia untuk menguasai air serta menjadi berani.
    Islam menggalakkan umatnya bersukan sebagaimana hadis Rasulullah s.a.w, Orang mukmin yang kuat itu lebih baik dan lebih Allah kasihi daripada mukmin yang lemah.(riwayat Muslim)
    Baginda juga pernah bergusti dengan ahli gusti kafir Quraisy, Rukanah bin Abu Yazid bin Hashim. Peristiwa itu berlaku bila mana Rasulullah diminta membuktikan mukjizatnya. Syarat pertandingan itu ialah jika Rasulullah menang, Rukamah akan memeluk Islam. Akhirnya, Rasulullah memenangi pertandingan gusti yang diadakan tiga pusingan itu.
    Dalam peristiwa lain, Rasulullah pernah berlumba lari dengan isterinya, Saidatina Aishah. Semua ini membuktikan yang Islam mengharuskan kita bersukan. Pepatah Arab juga menyebut ‘otak yang cerdas datangnya dari badan yang sihat’.

     
    (Saya berlari? okaylah sikit sikit)

    Ini semua semenangnya selaras dengan kajian saintifik yang menganjurkan kesihatan melalui sukan.
    Tiap-tiap sesuatu yang bukan zikrullah berarti permainan dan kelalaian, kecuali empat perkara:
    (1) Seorang laki-laki berjalan antara dua sasaran (untuk memanah).
    (2) Seorang yang mendidik kudanya.
    (3) Bermain-mainnya seseorang dengan isterinya.
    (4) Belajar berenang.” (Riwayat Thabarani)

    Dan ia bersabda:
    “Kuda itu ada tiga macam: kuda Allah, kuda manusia dan kuda syaitan.Adapun kuda Allah ialah kuda yang disediakan untuk berperang di jalan Allah, maka makanannya, kotorannya, kencingnya dan apanya saja – mempunyai beberapa kebaikan. Adapun kuda syaitan, iaitu kuda yang dipakai untuk berjudi atau untuk dibuat pertaruhan, dan adapun kuda manusia, iaitu kuda yang diikat oleh manusia, ia mengharapkan perutnya (hasilnya), sebagai usaha untuk memenuhi keperluannya.”
    (Riwayat Bukhari dan Muslim )






    Rabu, 11 Januari 2012

    MASJID MADANI NEGERI PULAU PINANG

    Text Box: Text Box:

    KONSEP MASJID MADANI

     

    1. Masjid merupakan sebuah institusi terpenting sejak zaman Rasulullah S.A.W.
     
    2. Usaha pertama yang dilakukan oleh Rasulullah S.A.W. sebaik saja tiba di Madinah adalah mendirikan Masjid Quba dan Masjid Nabawi.

    3. Kewujudan masjid-masjid utama dalam sejarah Islam, bukan semata-mata sebagai syiar Islam dan tempat ibadah,  bahkan peranannya meliputi pelbagai aspek; sebagai pusat pentadbiran negara,  pusat ilmu dan pendidikan malah pusat aktiviti sosial masyarakat Islam.

    4. Ramuan ini telah membentuk generasi muslim terbaik dalam sejarah Islam dan telah mencapai kegemilangan sehingga ke zaman Khulafa’ Ar –Rashidin, Bani Umayyah , Kerajaan  Abbasiyyah dan Kerajaan Islam di Sepanyol.

    5. Masjid Madani membawa makna masjid terkehadapan dari aspek pengimarahan dan  menjana tenaga menjadikan masjid sebagai pusat tranformasi untuk membangun masyarakat Islam dengan cemerlang.

    MASJID MADANI

    Selaras dengan hasrat Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk mengembalikan kegemilangan umat Islam, JHEAIPP berusaha menobatkan beberapa masjid untuk menjadi model dengan nama MASJID MADANI.

    Tujuh buah masjid telah dipilih sebagai Masjid Madani.   Masjid-masjid tersebut adalah  :

     

    1. Masjid Negeri Pulau Pinang


    2. Masjid Daerah Barat Daya


    3. Masjid Daerah Seberang Perai Selatan


    4. Masjid Daerah Seberang Perai Tengah


    5. Masjid Daerah Seberang Perai  Utara


    6. Masjid At-Taqwa, Taman Bertam Indah, K.Batas


    7. Masjid Al-Huda, Sungai Ara, Bayan Lepas

    Usaha untuk membangunkan masjid- masjid sebagai Masjid  Madani tidak terbatas kepada 7 buah masjid tersebut. Sebaliknya konsep Masjid Madani akan terus diperkembangkan lagi kepada masjid–masjid lain pada masa-masa akan datang  setelah 7 masjid tersebut berjaya tertegak sebagai Masjid Madani.

     

    OBJEKTIF

    1. Menjadikan masjid tumpuan paling utama masyarakat sekitar.
    2. Menyediakan program pendidikan dan pengimarahan yang menarik bagi semua peringkat umur.
    3. Menjadi pusat sosio ekonomi untuk meningkatkan taraf kehidupan umat.
    4. Menjadikan masjid sebagai pusat tranformasi bagi membangun dan membentuk masyarakat Islam menjadi lebih  cemerlang

    CIRI-CIRI
    Dalam usaha memacu perkembangan Agama Islam di Negeri Pulau Pinang, Kerajaan Negeri berhasrat untuk mengembalikan fungsi-fungsi masjid yang menyeluruh berteraskan ciri-ciri 3 M iaitu Mulia , Mesra dan Menarik.

    Mulia  dengan erti kata mengembalikan masjid sebagai zon aman dan bebas daripada menjadi medan pertelagahan.

    Mesra dengan maksud pihak pentadbir dan  pengurus masjid melaksanakan tugas dan mengalu-alukan para jemaah datang ke masjid dengan ramah dan mesra.

    Menarik  bermaksud masjid melakukan segenap perubahan di dalam perancangan dan pelaksanaan program-program yang bermanfaat. 

    FOKUS
    Oleh yang demikian, Masjid Madani ini meliputi aspek-aspek berikut :

    1. Mesra Belia. Masjid Madani akan dibentuk menjadi masjid mesra belia dengan cara mewujudkan fasiliti-fasiliti berikut :
    1.1. Kemudahan Komputer  dan Internet secara percuma atau bayaran yang berpatutan.
    1.2.  Kemudahan sukan
    1.3.  Bilik perkembangan kreativiti dan inovasi.

    2. Mesra Keluarga. Ciri ini dapat dibentuk melalui kemudahan berikut :
    2.1. Kemudahan permainan kanak-kanak.
    2.2. Pusat jagaan sementara anak-anak semasa ibu bapa mengikuti kuliah atau solat.

    3. Mesra Masyarakat. Bagi mewujudkan suasana ini, kemudahan berikut bakal disediakan:
    3.1.Dewan serbaguna untuk majlis keraian, kemasyarakatan dan sukan.
    3.2. Bilik seminar/kuliah
    3.3. Kemudahan OKU
    3.4. Kedai serbaneka.
    3.5. Pusat jagaan harian kanak-kanak
    3.6. Penginapan musafir
    3.7. Pusat Rawatan Islam
    3.8. Kafeteria

     
    4. Mesra Pengimarahan. Aktiviti pengimarahan yang pelbagai dan berinovasi meliputi setiap peringkat umur.

    5. Mesra Pentadbiran. Membentuk pentadbiran yang bersikap mesra dan bermaklumat berorientasikan konsep pepohon yang tumbuh dan menaungi.

    PENGISIAN DAN  PERANCANGAN

    Pelancaran Masjid Madani akan diadakan bersempena dengan kedatangan tahun baru Hijrah iaitu 1 Muharam 1433H bersamaan 27 November 2011. Sementara itu Konsep Masjid Madani akan dimulakan pelaksanaan dan pengisiannya mulai Januari 2012.
    Bagi merealisasi konsep Masjid Madani , pengisian yang cemerlang dan pentadbiran yang cekap akan diwujudkan melalui pendekatan berikut :
    1. Merangka aktiviti–aktiviti pengimarahan  dan kemasyarakatan mengikut peringkat umur dan lapisan masyarakat
    2. Mempertingkatkan keupayaan Ahli Jawatankuasa dan Pegawai Masjid bagi mengwujudkan pentadbiran yang cekap, pintar dan efisien agar setanding dengan pencapaian masjid-masjid tersohor
    3. Menyediakan prasarana-prasarana yang berteraskan ciri-ciri 3M secara berperingkat sehingga Konsep Masjid Madani dapat direalisasikan.



    ALAMAT-ALAMAT MASJID MADANI


    1. Masjid Negeri Pulau Pinang,
    Jalan Air Itam,
    11400 Pulau Pinang
    No. Tel : 04-8282212, No. Fax : 04-8279908
    masjidnegeri.blogspot.com

    2.    Masjid Daerah Barat Daya
    Jalan Balik Pulau,
    11000 Balik Pulau
    No. Tel : 04-8691420, No. Fax : 04-8691422
    masjiddaerahbd.blogspot.com

    3.    Masjid Daerah Seberang Perai Utara
    Teluk Air Tawar,
    13050 Butterworth
    No. Tel : 04-3519621,  No. Fax :04-3519622
    mdspu.blogspot.com

    4.    Masjid Seberang Perai Tengah
    Jalan Perda Utama,
    Bandar Baru Perda
    14000 Bukit Mertajam
    No. Tel : 04-5401121, No. Fax : 04-5401121

    5.    Masjid Daerah Seberang Perai Selatan
    11200 Sungai Jawi,
    Seberang Perai Selatan
    No. Tel : 04-5831340,  No. Fax :04-5831341
    Mdspsjaipp.wordpress.com

    6. Masjid At-Taqwa,
            Taman Bertam Indah,
    13200 Kepala Batas
    No. Tel : 04-5747401, No. Fax: 5741401
    Facebook/Masjid At-Taqwa Taman Bertam Indah

    7.    Masjid Al– Huda, Sungai Ara,
    Jalan Dato’ Ismail Hashim,
    Bayan Lepas ,
    11950 Pulau Pinang
    No. Tel & Fax : 04-6469566
    Masjid-alhuda-sungaiara.com



     MASJID PUSAT TRANSFORMASI UMMAH


    Selasa, 10 Januari 2012

    TAFSIR SURAH AL-`ADIYAT (100) AYAT 1-5-SAMBUNGAN


    Sumpah dengan al-`Aadiyat di dalam surah ini yang diikuti empat ayat seterusnya dan yang menyatakan ketangkasannya sebagai kuda-kuda perang menarik dua isu penting:

    Pertama, Peperangan merupakan satu keperluan manusia yang ingin hidup bebas dan cintakan keamanan kerana perang satu-satunya jalan untuk menegakkan keadilan, terutama apabila manusia sombong dan tidak menghormati kewujudan orang lain. Islam membenarkan perang terhadap siapa jua yang zalim dengan tujuan mengembalikan kedudukan masing-masing pada tempatnya yang sebenar mengikut ketentuan yang telah ditetapkan oleh Allah. Kuda-kuda perang yang tangkas menyerang musuh mendapat pujian Allah kerana berada pada kedudukan ini.

    Kedua, kuda mempunyai nilainya tersendiri berbanding haiwan-haiwan lain, bukan sahaja dalam agama, bahkan juga dalam kesusasteraan Arab. Kebanyakan Qasidah Arab yang masyhur, kuda menjadi pilihan untuk mencipta ungkapan apabila membuat sesuatu kiasan, analogi atau tamsilan. Mungkin Abu al-Tayyib al-Mutanabbi seorang penya`ir agung Arab termasuk dalam kumpulan ini, antara Qasidah beliau:
    وَما الخَيلُ إلاَّ كالصَديقِ قَلِيلـةٌ
    وإن كَثُرَت في عَيْنِ مَن لا يُجرِّبُ
    إذا لم تُشاهِدْ غَيرَ حُسنِ شِياتِهَا

    وَأعْضَائِهَا فالحُسْنُ عَنكَ مُغَيَّبُ

    Terjemahan:
    Kuda bagaikan teman, bilangannya kecil sekali,
    Anda melihatnya besar, itu pandangn tanpa pengalaman,
    kecantikan kuda jika tapong dan anggota anda maksudkan,
    Keindahan sebenar masih tersembunyi pada anda[764].

    Al-Mutanabbi menjelaskan lagi gambaran ringkas kedudukan kuda dalam budaya Arab menerusi qasidahnya:

    أَعَزُّ مَكَانٍ فِيْ الْدُّنَا سَرْجُ سَابِحٍ
    وَخَيْرُ جَلِيْسٍ فِيْ الْأَنَامِ كِتَابُ

    Terjemahan:
    Pelana kuda yang tangkas berlari, itulah sebaik-baik tempat di dunia..
    Bertemankan buku yang dibaca lebih baik dari bertemankan manusia.

    Kata Sayyid Qutb: Persumpahan Allah swt dengan kuda-kuda perang dalam bentuk itu membayangkan betapa kasihnya Allah kepada gerakan dan kegiatan kuda-kuda perang dan betapa tingginya nilai kegiatan jihad di sisi Allah[765]. Bagaimanapun kuda-kuda hanyalah alat, kelebihannya bergantung pada tujuan ia dipergunakan. Kuda boleh dipergunakan untuk lumba kuda, boleh digunakan untuk meronda dan mengejar penceroboh lain-lain. Justeru itu, kuda di dalam ayat di atas di sebut bersama peranannya yang tangkas di medan jihad.

    Kemahiran Berkuda Dalam Islam

    Islam dibangkit ketika umat Arab terkenal sebagai bangsa yang mempunyai kemahiran berkuda, mereka berbangga dengan kuda-kuda mewah kepunyaan mereka dan dengan kepakaran mereka dalam bidang perkudaan. Islam mengiktiraf bidang ini sebagai bidang yang banyak membawa manfaatnya kepada manusia serta merangsang umat Arab meneruskannya kerana Islam menjadikan jihad sebagai kewajipan yang berterusan ke atas umat Islam hingga Qiyamat. Perkudaan merupakan saluran jihad pada ketika itu kerana menerusi saluran ini kekuatan para mujahidin teruji.

    Allah memerintah para mu`minin supaya melengkapkan diri mereka dengan kelengkapan perang dan dengan senjata untuk menghadapi tentangan musuh, firman Allah:

    وَأَعِدُّوا لَهُمْ مَا اسْتَطَعْتُمْ مِنْ قُوَّةٍ وَمِنْ رِبَاطِ الْخَيْلِ تُرْهِبُونَ بِهِ عَدُوَّ اللَّهِ وَعَدُوَّكُمْ [766]

    Terjemahan: Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh yang menceroboh) segala apa sahaja kekuatan yang mampu disediakan kamu dan dari kuda-kuda tambatan perang untuk menggerunkan dengan persediaan itu musuh Allah dan musuh kamu.

    Kuda tambatan perang meliputi perkakas dan keperluan makan minumnya, sehingga memungkinkannya dibawa keluar ke medan perang dan menjalani tugasnya dengan sempurna. Imam al-Bukhari meriwayatkan:

    مَنْ احْتَبَسَ فَرَسًا فِي سَبِيلِ اللَّهِ إِيمَانًا بِاللَّهِ وَتَصْدِيقًا بِوَعْدِهِ فَإِنَّ شِبَعَهُ وَرِيَّهُ وَرَوْثَهُ وَبَوْلَهُ فِي مِيزَانِهِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ [767]

    Terjemahan: Sesiapa menambat kuda di jalan Allah kerana iman kepada Allah dan percayakan janji-Nya, maka sesungguhnya kekenyangan dan kepuasan dahaganya, najisnya dan kencingnya berada dalam neraca kebajikan pada hari Qiyamat.


    Islam mendidik manusia di bidang perkudaan dengan membetulkan arah tuju dan matlamat perkudaan supaya bidang ini merupakan satu kemudahan yang di guna untuk memberi khidmat kepada agama serta membersihkan kegitan perkudaan ini dari dicemari isu perkauman dan taksub dan supaya seluruh kegitan perkudaan yang berbagai-bagai ini menjadi jihad di jalan Allah.

    Umat Islam Arab telah mendapat latihan berkuda dengan sebaiknya kerana bidang ini diowarisi mereka sejak jahiliah lagi. Peluang mendapat kepakaran bertambah luas lagi apabila Islam membuka ruang khas mengizinkan mereka berlumba kuda tertakluk kepada kaedah dan prinsip-prnsip yang digariskan oleh syarak[768].


    Walaupun Umat Islam teruma bangsa Arab menerajui bidang ini pada suatu ketika dahulu, namun kedudukan mereka tercabar dengan kelahiran kenderaan bermotor dan senjata moden dalam peperangan, meskipun khidmat kuda tetap diperlukan sehingga Qiyamat sebagaimana telah dinyatakan dalam sabda.

    Al-Shaykh al-Imam Muhammad Abduh melahirkan rasa kesalnya terhadap sikap sesetengah umat Islam yang diakui sebaik-baik umat dan sebagai umat yang berpedomankan kitab suci al-Qur`an kerana mengabaikan peranan kuda dan kemahiran berkuda, malah antara mereka ada yang mengejek-ejek penunggang kuda.

    Tidakkah eneh kerana ada orang yang berpegang kepada kitab al-Qur`an dan salah seorang bekas pelajar agama sangat takut menunggang kuda, keadaannya bagaikan orang kehilangan sifat-sifat kepahlawanan, sehingga salah seorang professor yang terkenal, apabila dinasihatkannya supaya menghidupkan semula pengajian sebahagian ilmu-ilmu agama. Dia menjawab: kalau semua perkara yang berfaedah itu harus kita ajarnya kepada pelajar-pelajar kita, maka seharusnya kita juga prlu belajar menunggang kuda. Dia seolah-olah memberi reaksi yang negatif kepada cadangan saya menghidup semula sebahagian pengajian silam yang ditinggalkan, kunonnya sama dengan mengajar mereka pelajaran berkuda yang menurutnya tidak sesuai lagi dengan ulama yang menjadi pewaris nabi-nabi[769].
    Abd al-Karim al-Khatib menyatakan pendapatnya tentang bidang perkudaan katanya: Ketangkasan kuda yang disebutkan di dalam ayat-ayat ini satu isyarat jelas kepada taktik peperangan dan kepada penyusunan yang sepatutnya dilakukan dalam pentadbiran tentera Muslimin tatkala berhadapan tentera musuh. Ini adalah satu pelajaran yang sangat penting dalam peperangan, disampaikan secara tidak langsung supaya kesannya lebih mendalam berbanding pengajaran secara langsung.

    Pelajaran yang disampaikan di sini mengenai kuda, penunggang-penunggang kuda, gerak laku mereka dalam peperangan. Ayat-ayatnya diturunkan ketika umat Islam dikepong di Makkah oleh tentera Musyrikin, seharusnya pelajaran ini mesih segar dalam ingatan umat Islam. Kemungkinan pada suatu hari nanti mereka akan menjadi tentera berkuda dalam tentera Allah yang akan membuat serangan tangkas dalam jihad untuk menegakkan agama Allah di bumi ini dan seterusnya mendirikan Negara Islam[770].

    Pengajaran dan Saranan:

    1: Menyanjung tinggi amalan jihad dan persediaan para mujahidin yang sedia berjihad kerana menyahut seruan Allah dan menegakkan agama-Nya.

    2: Kelebihan kuda berbanding haiwan-hiwan lain kerana besar sumbangannya ketika berjihad di jalan Allah.

    3: Kelebihan jihad dan memelihara kuda tambatan pertang, termasuk memelihara, melatih memberi makan dan melengkapkan persiapan perang adalah antara amalan jihad di dalam Islam.

    4: Tingginya nilai kuda di sisi Allah. Lariannya yang tangkas dan pergerakan yang berani hendaklah dijadikan pengajaran dan iktibar.









    [754] Musnad Ahmad, hadith (4563). Isnadnya muttasil mengikut syarat Bukhari dan Muslim, daripada Abdullah ibn Umar.
    [755] Ma`alim al-Tanzil, 8/505.
    [756] Ibid. Kedua-dua qaul ini dikemukan al-Taberi dalm tafsirnya. Pada akhirnya beliau mentarjihkan pendapat pertama. Tafsir al-Tabari, 30/271-273.
    [757] www.amrullah.com 20/8/2010 (Jumaat).
    [758] Tafsir al-Razi, 20/259.
    [759] Tafsir Ruh al-Ma`ani, 30/215.
    [760] Tafsir al-Qurtubi, 20/158
    [761] al-Tafsir al-Qur`ani li al-Qur`an, 5/1656
    [762] Fi Zilal al-Qur`an, 17/499.
    [763] al-Bukhari, Fard al-Khumus, hadith (2904) daripada Urwa ibn Abu al-Ja`d.
    [764] Qasidah ini diungkap al-Mutanabbi tatakala hubungan baiknya dengan Saif al-Dawlah terjejas akibat fitnah pihak ketiga yang buruk hati terhadapnya (penulis)
    [765] Fi Zilal al-Qur`an, 17/499
    [766] al-Anfal: 60.
    [767] Al-Bukhari, al-Jihad wa al-Siyar, Man Ihtabas Faras.., hadith (2698) daripada Abu Hurayrah ra.
    [768] Bicara tentang kuda, aktiviti kesokanan dan perlumbaan, syarat-syarat dan panduannya in Sya Allah akan dilanjutkan lagi apabila tiba pada mentafsirkan surah al-Anfal: ayat 60 nanti.
    [769] Tafsir al-Qur`an al-Karim Juz 30, ms143.
    [770] al-Tafsir al-Qur`ani li al-Qur`an, 5/1657.
    Dihantar Oleh Dr Abdul Hayei Abdul Sukor pada 8/22/2010 04:36:00 AM
    Label: TAFSIR SURAH AL-`ADIYAT (100) AYAT 1-5

    RUJUKAN.............