Selasa, 10 Januari 2012

TAFSIR SURAH AL-`ADIYAT (100) AYAT 1-5-SAMBUNGAN


Sumpah dengan al-`Aadiyat di dalam surah ini yang diikuti empat ayat seterusnya dan yang menyatakan ketangkasannya sebagai kuda-kuda perang menarik dua isu penting:

Pertama, Peperangan merupakan satu keperluan manusia yang ingin hidup bebas dan cintakan keamanan kerana perang satu-satunya jalan untuk menegakkan keadilan, terutama apabila manusia sombong dan tidak menghormati kewujudan orang lain. Islam membenarkan perang terhadap siapa jua yang zalim dengan tujuan mengembalikan kedudukan masing-masing pada tempatnya yang sebenar mengikut ketentuan yang telah ditetapkan oleh Allah. Kuda-kuda perang yang tangkas menyerang musuh mendapat pujian Allah kerana berada pada kedudukan ini.

Kedua, kuda mempunyai nilainya tersendiri berbanding haiwan-haiwan lain, bukan sahaja dalam agama, bahkan juga dalam kesusasteraan Arab. Kebanyakan Qasidah Arab yang masyhur, kuda menjadi pilihan untuk mencipta ungkapan apabila membuat sesuatu kiasan, analogi atau tamsilan. Mungkin Abu al-Tayyib al-Mutanabbi seorang penya`ir agung Arab termasuk dalam kumpulan ini, antara Qasidah beliau:
وَما الخَيلُ إلاَّ كالصَديقِ قَلِيلـةٌ
وإن كَثُرَت في عَيْنِ مَن لا يُجرِّبُ
إذا لم تُشاهِدْ غَيرَ حُسنِ شِياتِهَا

وَأعْضَائِهَا فالحُسْنُ عَنكَ مُغَيَّبُ

Terjemahan:
Kuda bagaikan teman, bilangannya kecil sekali,
Anda melihatnya besar, itu pandangn tanpa pengalaman,
kecantikan kuda jika tapong dan anggota anda maksudkan,
Keindahan sebenar masih tersembunyi pada anda[764].

Al-Mutanabbi menjelaskan lagi gambaran ringkas kedudukan kuda dalam budaya Arab menerusi qasidahnya:

أَعَزُّ مَكَانٍ فِيْ الْدُّنَا سَرْجُ سَابِحٍ
وَخَيْرُ جَلِيْسٍ فِيْ الْأَنَامِ كِتَابُ

Terjemahan:
Pelana kuda yang tangkas berlari, itulah sebaik-baik tempat di dunia..
Bertemankan buku yang dibaca lebih baik dari bertemankan manusia.

Kata Sayyid Qutb: Persumpahan Allah swt dengan kuda-kuda perang dalam bentuk itu membayangkan betapa kasihnya Allah kepada gerakan dan kegiatan kuda-kuda perang dan betapa tingginya nilai kegiatan jihad di sisi Allah[765]. Bagaimanapun kuda-kuda hanyalah alat, kelebihannya bergantung pada tujuan ia dipergunakan. Kuda boleh dipergunakan untuk lumba kuda, boleh digunakan untuk meronda dan mengejar penceroboh lain-lain. Justeru itu, kuda di dalam ayat di atas di sebut bersama peranannya yang tangkas di medan jihad.

Kemahiran Berkuda Dalam Islam

Islam dibangkit ketika umat Arab terkenal sebagai bangsa yang mempunyai kemahiran berkuda, mereka berbangga dengan kuda-kuda mewah kepunyaan mereka dan dengan kepakaran mereka dalam bidang perkudaan. Islam mengiktiraf bidang ini sebagai bidang yang banyak membawa manfaatnya kepada manusia serta merangsang umat Arab meneruskannya kerana Islam menjadikan jihad sebagai kewajipan yang berterusan ke atas umat Islam hingga Qiyamat. Perkudaan merupakan saluran jihad pada ketika itu kerana menerusi saluran ini kekuatan para mujahidin teruji.

Allah memerintah para mu`minin supaya melengkapkan diri mereka dengan kelengkapan perang dan dengan senjata untuk menghadapi tentangan musuh, firman Allah:

وَأَعِدُّوا لَهُمْ مَا اسْتَطَعْتُمْ مِنْ قُوَّةٍ وَمِنْ رِبَاطِ الْخَيْلِ تُرْهِبُونَ بِهِ عَدُوَّ اللَّهِ وَعَدُوَّكُمْ [766]

Terjemahan: Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh yang menceroboh) segala apa sahaja kekuatan yang mampu disediakan kamu dan dari kuda-kuda tambatan perang untuk menggerunkan dengan persediaan itu musuh Allah dan musuh kamu.

Kuda tambatan perang meliputi perkakas dan keperluan makan minumnya, sehingga memungkinkannya dibawa keluar ke medan perang dan menjalani tugasnya dengan sempurna. Imam al-Bukhari meriwayatkan:

مَنْ احْتَبَسَ فَرَسًا فِي سَبِيلِ اللَّهِ إِيمَانًا بِاللَّهِ وَتَصْدِيقًا بِوَعْدِهِ فَإِنَّ شِبَعَهُ وَرِيَّهُ وَرَوْثَهُ وَبَوْلَهُ فِي مِيزَانِهِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ [767]

Terjemahan: Sesiapa menambat kuda di jalan Allah kerana iman kepada Allah dan percayakan janji-Nya, maka sesungguhnya kekenyangan dan kepuasan dahaganya, najisnya dan kencingnya berada dalam neraca kebajikan pada hari Qiyamat.


Islam mendidik manusia di bidang perkudaan dengan membetulkan arah tuju dan matlamat perkudaan supaya bidang ini merupakan satu kemudahan yang di guna untuk memberi khidmat kepada agama serta membersihkan kegitan perkudaan ini dari dicemari isu perkauman dan taksub dan supaya seluruh kegitan perkudaan yang berbagai-bagai ini menjadi jihad di jalan Allah.

Umat Islam Arab telah mendapat latihan berkuda dengan sebaiknya kerana bidang ini diowarisi mereka sejak jahiliah lagi. Peluang mendapat kepakaran bertambah luas lagi apabila Islam membuka ruang khas mengizinkan mereka berlumba kuda tertakluk kepada kaedah dan prinsip-prnsip yang digariskan oleh syarak[768].


Walaupun Umat Islam teruma bangsa Arab menerajui bidang ini pada suatu ketika dahulu, namun kedudukan mereka tercabar dengan kelahiran kenderaan bermotor dan senjata moden dalam peperangan, meskipun khidmat kuda tetap diperlukan sehingga Qiyamat sebagaimana telah dinyatakan dalam sabda.

Al-Shaykh al-Imam Muhammad Abduh melahirkan rasa kesalnya terhadap sikap sesetengah umat Islam yang diakui sebaik-baik umat dan sebagai umat yang berpedomankan kitab suci al-Qur`an kerana mengabaikan peranan kuda dan kemahiran berkuda, malah antara mereka ada yang mengejek-ejek penunggang kuda.

Tidakkah eneh kerana ada orang yang berpegang kepada kitab al-Qur`an dan salah seorang bekas pelajar agama sangat takut menunggang kuda, keadaannya bagaikan orang kehilangan sifat-sifat kepahlawanan, sehingga salah seorang professor yang terkenal, apabila dinasihatkannya supaya menghidupkan semula pengajian sebahagian ilmu-ilmu agama. Dia menjawab: kalau semua perkara yang berfaedah itu harus kita ajarnya kepada pelajar-pelajar kita, maka seharusnya kita juga prlu belajar menunggang kuda. Dia seolah-olah memberi reaksi yang negatif kepada cadangan saya menghidup semula sebahagian pengajian silam yang ditinggalkan, kunonnya sama dengan mengajar mereka pelajaran berkuda yang menurutnya tidak sesuai lagi dengan ulama yang menjadi pewaris nabi-nabi[769].
Abd al-Karim al-Khatib menyatakan pendapatnya tentang bidang perkudaan katanya: Ketangkasan kuda yang disebutkan di dalam ayat-ayat ini satu isyarat jelas kepada taktik peperangan dan kepada penyusunan yang sepatutnya dilakukan dalam pentadbiran tentera Muslimin tatkala berhadapan tentera musuh. Ini adalah satu pelajaran yang sangat penting dalam peperangan, disampaikan secara tidak langsung supaya kesannya lebih mendalam berbanding pengajaran secara langsung.

Pelajaran yang disampaikan di sini mengenai kuda, penunggang-penunggang kuda, gerak laku mereka dalam peperangan. Ayat-ayatnya diturunkan ketika umat Islam dikepong di Makkah oleh tentera Musyrikin, seharusnya pelajaran ini mesih segar dalam ingatan umat Islam. Kemungkinan pada suatu hari nanti mereka akan menjadi tentera berkuda dalam tentera Allah yang akan membuat serangan tangkas dalam jihad untuk menegakkan agama Allah di bumi ini dan seterusnya mendirikan Negara Islam[770].

Pengajaran dan Saranan:

1: Menyanjung tinggi amalan jihad dan persediaan para mujahidin yang sedia berjihad kerana menyahut seruan Allah dan menegakkan agama-Nya.

2: Kelebihan kuda berbanding haiwan-hiwan lain kerana besar sumbangannya ketika berjihad di jalan Allah.

3: Kelebihan jihad dan memelihara kuda tambatan pertang, termasuk memelihara, melatih memberi makan dan melengkapkan persiapan perang adalah antara amalan jihad di dalam Islam.

4: Tingginya nilai kuda di sisi Allah. Lariannya yang tangkas dan pergerakan yang berani hendaklah dijadikan pengajaran dan iktibar.









[754] Musnad Ahmad, hadith (4563). Isnadnya muttasil mengikut syarat Bukhari dan Muslim, daripada Abdullah ibn Umar.
[755] Ma`alim al-Tanzil, 8/505.
[756] Ibid. Kedua-dua qaul ini dikemukan al-Taberi dalm tafsirnya. Pada akhirnya beliau mentarjihkan pendapat pertama. Tafsir al-Tabari, 30/271-273.
[757] www.amrullah.com 20/8/2010 (Jumaat).
[758] Tafsir al-Razi, 20/259.
[759] Tafsir Ruh al-Ma`ani, 30/215.
[760] Tafsir al-Qurtubi, 20/158
[761] al-Tafsir al-Qur`ani li al-Qur`an, 5/1656
[762] Fi Zilal al-Qur`an, 17/499.
[763] al-Bukhari, Fard al-Khumus, hadith (2904) daripada Urwa ibn Abu al-Ja`d.
[764] Qasidah ini diungkap al-Mutanabbi tatakala hubungan baiknya dengan Saif al-Dawlah terjejas akibat fitnah pihak ketiga yang buruk hati terhadapnya (penulis)
[765] Fi Zilal al-Qur`an, 17/499
[766] al-Anfal: 60.
[767] Al-Bukhari, al-Jihad wa al-Siyar, Man Ihtabas Faras.., hadith (2698) daripada Abu Hurayrah ra.
[768] Bicara tentang kuda, aktiviti kesokanan dan perlumbaan, syarat-syarat dan panduannya in Sya Allah akan dilanjutkan lagi apabila tiba pada mentafsirkan surah al-Anfal: ayat 60 nanti.
[769] Tafsir al-Qur`an al-Karim Juz 30, ms143.
[770] al-Tafsir al-Qur`ani li al-Qur`an, 5/1657.
Dihantar Oleh Dr Abdul Hayei Abdul Sukor pada 8/22/2010 04:36:00 AM
Label: TAFSIR SURAH AL-`ADIYAT (100) AYAT 1-5

RUJUKAN............. 

Isnin, 9 Januari 2012

TAFSIR SURAH AL-`ADIYAT (100) AYAT 1-5




PENTAFSIRAN AYAT (1-5)
ISTIMEWA KUDA KERANA KHIDMATNYA

وَالْعَادِيَاتِ ضَبْحًا(1) فَالْمُورِيَاتِ قَدْحًا(2) فَالْمُغِيرَاتِ صُبْحًا(3) فَأَثَرْنَ بِهِ نَقْعًا (4)فَوَسَطْنَ بِهِ جَمْعًا (5)


Terjemahan

[100: 1] Demi Kuda-kuda yang tangkas berlari dengan kedengaran nafasnya kencang.
[100: 2] Dan demi Kuda yang mencetuskan api dari hentakan kakinya.
[100: 3] Dan demi kuda-kuda perang yang meluru menyerbu musuh pada waktu pagi.

[100: 4] Sehingga menerbangkan debu berkepul-kepul.

[100: 5] Lalu dengan kepulan debu itu ia menggempur di tengah-tengah kumpulan musuh.

Istimewa Kuda Kerana Khidmatnya

Di dalam al-Qur`an kerap menyebut khidmat kuda dalam pelbagai lapangan dan kegiatan, sekaligus meletakkan haiwan itu pada tempat dan kedudukannya yang terpuji dan istimewa, berbanding haiwan-haiwan lain. Menerusi ayat ini Allah swt bersumpah dengan kuda-kuda perang kerana ketangkasannya apabila berperang, kencang lariannya apabila memburu musuh, tapak-tapak kakinya yang berlapikkan besi itu mengeluarkan bunga-bunga api dan menerbangkan kepulan debu ketika membuat lompatan kerana menyerbu musuh di awal pagi.

Allah bersumpah dengan kuda-kuda perang. Dia bebas bersumpah dengan apa sahaja yang dikehendaki-Nya, Dia pernah bersumpah dengan waktu-waktu siang dan malam, pagi dan petang, dengan matahari, bulan dan bintang, dengan bukit bukau, negeri dan buah-buahan. Allah bebas bersumpah dengan bahan-bahan ciptaan-Nya kerana Dia jua mengetahui hakikatnya. Kebebasan seumpama itu tidak diberi kepada manusia, sebaliknya diperingatkan oleh Nabi saw agasr tidak bersumpah dengan selain-Nya, sabda Nabi saw:

مَنْ كَانَ حَالِفًا ، فَلْيَحْلِفْ بِاللَّهِ ، لا َتَحْلِفُوا بِآبَائِكُمْ [754]

Terjemahan: Sesiapa ingin bersumpah, bersumpahlah dengan nama Allah, jangan bersumpah dengan bapa-bapa kamu.

(100: 1) Antara perkara yang tidak diketahui manusia ialah besarnya pengorbanan para Mujahidin dan peranan kuda-kuda perang kepunyaan mereka. Allah bersumpah dengan kuda-kuda ciptaan-Nya:
وَالْعَادِيَاتِ ضَبْحًا(1)

[100: 1] Demi Kuda-kuda yang tangkas berlari dengan kedengaran nafasnya kencang.


Perkataan الْعَادِيَات diambil daripada kata dasarnya الْعَدْوُ ertinya melampaui sempadan. Musuh dalam bahasa Arab disebut عَدُوّ kerana kegiatannya yang melampaui batas. Perkataan الْعُدْوَان ertinya permusuhan kerana wujud padanya unsur-unsur keterlaluan. Larian yang pantas dan cepat disebut الْعَدْوُ ertinya berlari-lari, padanya juga wujud unsur-unsur keterlaluan dan melampaui batas kesederhanaan. Perkataan ضَبْحًا ertinya suara nafas kuda-kuda yang kencang berlari dan penat dalam lariannya.

Mufassirin berbeza pandangan pada menetukan mawsuf yang disifatkan dengan al-`Adiyat di sini sama ada kuda, unta atau awan yang berarak laju dari kawasan ke kawasan.

Ibn `Abbas, `Ata`, Mujahid, `Ikrimah, al-Hasan, Qatadah dan lain-lain berpendapat, maksud al-`Adiyat di sini ialah kuda-kuda perang yang tangkas berlari sehingga mengeluarkan suara dengusan. Ibn `Abbas menyatakan, tiada haiwan berdengus kerana penat berlari kecuali kuda, anjing dan tha`lab[755].

Ali ibn Abu Talib, Ibn Mas`ud, Muhammad Ibn Ka`b dan al-Suddi berpendapat maksud al-`Adiyat di sini ialah unta yang membawa jemaah haji dari Arfah ke Muzdalifah dan seterusnya ke Mina. Mereka memperkukuhkan pendapat ini kerana surah ini diturunkan dalam perjalana haji pada tahun meletusnya peperangan Badr. Pendapat ini menolak al-`Aadiyat dengan erti kuda kerana dalam peperangan ini hanya dua ekor kuda sahja bersama mereka iaitu kepunyaan al-Zubayr dan seekor lagi kepunyaan al-Miqdad ibn al-Aswad, sedangkan al-`Adiyat menunjukkan sekurang-kurangnya tiga ekor kuda[756].

`Amru al-Sha`ir, seorang penyelidik dan penggiat Tafsir al-Qur`an di Mesir berpendapat, Maksud al-`Aadiyat ialah awan mendung yang membawa hujan dan berarak laju dari tempat ke tempat serta mengeluarka suara angin yang menderu[757]. Imam al-Razi dan kebanyakan Mufassirin mentarjihkan pendapat pertama dan serasi dengan nuzul surah ini di Madinah selepas keizinan berperang[758].

(100: 2) Kuda itu berlari pantas dengan suara dengusan yang menunjukkan tenaganya penat kerana lariannya kencang. Kuda-kuda ini berlari pada waktu malam yang gelap gelita, bunga-bunga api kelihata pada tapak-tapak kakinya tatkala membuat lompatan.

فَالْمُورِيَاتِ قَدْحًا(2)
[100: 2] Dan demi Kuda yang mencetuskan api dari hentakan kakinya.

Perkataan  المُورِيَاتِ  ism fa`il daripada kata dasarnya  ira`, ertinya kuda-kuda yang mencetuskan bunga api yang keluar hasil pergeseran kuku-kukunya dengan batu semasa lariannya yang laju.

Peperangan yang berlaku pada waktu malam itu mungkin berlaku di kawasan berbatu, lompatan kuda yang kuat menjadikan batu-batu bergegar dan bergeser sesama sendiri sehingga mengeluarkan api atau kukunya yang bertampalkan besi itu mengelurkan bunga-bunga api tatkala membuat lompatan. Kuda-kuda dibayangkan dalam ayat ini meluru ke arah musuh pada waktu malam kerana membuat serangan mengejut dengan berani, sebagaimana digambarkan dalam sya`ir dalam analoginya:

قَومٌ إِذَا الشَرُّ أَبْدَى نَاجِذَيهِ لَهُمْ *** طَـارُوا إِلَيهِ زَرَافَاتٍ وَوُحْدَانَا


Terjemahan:
Kaum itu pantang melihat musuh-musuh menunjukkan dua tering.
Serangan mengejut pasti dilancar tanpa mengira berkumpulan atau berseorangan,

Bagi tafsiran al-`Aadiyat yang diertikan dengan awan, maksud bunga-bunga api ialah kilat dan petir yang berdentum bersama awan yang bergerak laju membawa hujan.

(100: 3) Kuda-kuda perang ini menggempur musuh dengan serangan kilat pada waktu pagi.

فَالْمُغِيرَاتِ صُبْحًا(3)

[100: 3] Dan demi kuda-kuda perang yang meluru menyerbu musuh pada waktu Subuh.

Serbuan yang berjaya dalam peperangan ialah yang dilakukan dengan mendadak di luar dugaan musuh seperti ketika mereka sedang nyenyak tidur pada waktu pagi. Berkata al-Alusi: Serbuan biasanya dilakukan pada waktu malam ketika musuh tidak menduga, manakala serangan dilakukan pada waktu pagi[759]. Berkata al-Qurtubi: Para sahabat apabila ingin menyerbu mereka bergerak pada waktu malam dan menyerang pada awal pagi[760].

(100: 4) Ketika serbuan dilancar, debu-debu berterbangan di udara. Peperangan menjadi hebat apabila debu-debu berterbangan.

فَأَثَرْنَ بِهِ نَقْعًا (4)



[100: 4] Sehingga menerbangkan debu berkepul-kepul.

Ganti nama بِهِ (dengannya) boleh dirujuk kepada kuda yang pantas berlari, atau kepada waktu pagi dan boleh juga dirujuk kepada tempat serbuan dilakukan[761]. Perkataan نَقْعًا ertinya berdebu. Asal maknanya ialah debu-debu tebal sebagaimana air takungan yang cetek dan berubah menjadi keruh apabila debu banyak jatuh ke dalamnya.

Inilah gambaran kuda-kuda perang fi sabili`llah, pergerakannya pantas dan segera, lariannya laju dan menpati sasaran musuh, tidak seperti kuda lakunan dan hiburan yang biasanya manja.
(100: 5) Debu-debu yang berkepul di udara membantu kuda untuk membuat serangan ke tengah-tengah kedudukan musuh.
فَوَسَطْنَ بِهِ جَمْعًا (5)


[100: 5] Lalu dengan kepulan debu itu ia menggempur di tengah-tengah kumpulan musuh.

Berkata Sayyid Qutb: Allah swt bersumpah dengan kuda-kuda perang dan memuji pergerakan jihadnya peringkat demi peringkat, dari lariannya yang pantas dengan suara nafasnya yang kencang dan dengan tapak kakinya yang menghentak bumi sehingga mengeluarkan bunga-bungan api, kemudian menggempur musuh dengan serangan mengejut pada waktu pagi, menyebabkan musuh tidak sempat berbuat apa-apa selain menyerah kalah[762].

Sumpah Allah dengan kuda-kuda perang ini membayangkan betapa kasihnya Allah kepada pergerakan dan kegiatan kuda-kuda perang dan kemuliaannya di sisi Allah kerana dengan peperangan itu nanti akan mengajar manusia yang sombong dan berasa dirinya lebih besar dari kuasa Allah dan akhirnya diharapkan kenal siapa sebenarnya mereka. Inilah juga matlamat utama dan kemuncak manfaat yang diperolehi daripada kuda, Nabi saw bersabda mengenai kuda dan keberkatan perkhidmatannya:
الْخَيْلُ مَعْقُودٌ فِي نَوَاصِيهَا الْخَيْرُ الْأَجْرُ وَالْمَغْنَمُ إِلَى يَوْمِ الْقِيَامَةِ [763]

Terjemahan: “ kebajikan berupa pahala dan ghanimah itu berada di kepala (ubun-ubun) kuda sampai hari Kiamat”

Fa` pada ayat (4) dan (5) membawa makna `atifah. Ini bermakna, dua ayat ini termasuk dalam rangkaian sumpah. Oleh itu ia membawa ungkapan berikut:

وَالْعَادِيَاتِ ضَبْحًا * فَالْمُورِيَاتِ قَدْحًا * فَالْمُغِيرَاتِ صُبْحًا* فَالْمُثِيرَاتِ بِهِ نَقْعًا * فَالْمُتَوَسِّطَاتِ بِهِ جَمْعًا*

Terjemahan: Demi Kuda-kuda yang tangkas berlari dengan kedengaran nafasnya kencang. Dan demi Kuda yang mencetuskan api dari hentakan kakinya. Dan demi kuda-kuda perang yang meluru menyerbu musuh pada waktu pagi. Dan demi kuda-kuda yang menerbangkan debu berkepul-kepul. Dan demi kuda-kuda yang menggempur di tengah-tengah kumpulan musuh.

Jumaat, 6 Januari 2012

Fakta Sains di Dalam al-Quran-BAHAGIAN 2



MATAHARI AKAN PADAM SELEPAS TEMPOH TERTENTU

Cahaya matahari dihasilkan oleh proses kimia di permukaannya yang telah berlaku sejak lima billion tahun dahulu. Ia akan padam pada suatu masa nanti apabila matahari kelenyapan bahan api yang akan membawa kepupusan kehidupan di bumi ini. Ayat al-Quran menyebut mengenai perkara ini: ´Dan (sebahagian dari dalil yang tersebut ialah) matahari; ia kelihatan beredar ke tempat yang ditetapkan baginya; itu adalah takdir Tuhan yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengetahui.” (Surah Yaa Siin: 38)

(Mesej yang sama difirmankan oleh Allah s.w.t sebagaimana terkandung di dalam al-Quran menerusi ayat-ayat 13: 2, 35: 13, 39: 5 and 39: 21)

Perkataan Arab yang digunakan di sini ialah ´mustaqarr´, yang bermakna tempat atau masa yang telah ditentukan. Justeru, al-Quran menyatakan matahari bergerak menuju ke satu tempat yang ditetapkan dan perkara itu akan berterusan sehingga ke satu tempoh yang telah ditetapkan - bermakna ia akan padam atau tamat.

KEWUJUDAN BAHAN DI RUANG ANGKASA

Ruang di luar sistem astronomi yang tersusun dikatakan tidak mempunyai apa-apa bahan dan vakum sahaja. Ahli astro-fizik kemudiannya menemui kewujudan bahan-bahan yang dipanggil plasma dan ianya terdiri daripada gas yang diionkan sepenuhnya dan mengandungi jumlah elektron bebas dan ion positif yang sama. Ia juga kadang-kadang dipanggil keadaan bahan yang keempat (selain daripada tiga keadaan yang diketahui- pepejal, cecair, dan gas).

Al-Quran menyebut kewujudan bahan ini dalam ayat: “Tuhan yang menciptakan langit dan bumi serta segala yang ada di antara keduanya.” (Surah Al-Furqaan: 59)

Amat tidak logik sekali untuk sesiapa pun membayangkan kewujudan bahan di antara galaksi telah diketahui 1400 tahun dahulu.



ALAM SEMESTA YANG SENTIASA MENGEMBANG

Pada tahun 1925, ahli astronomi Amerika yang bernama Edwin Hubble, membentangkan bukti hasil kajiannya bahawa semua galaksi semakin menjauhi antara satu sama lain, yang membayangkan alam semesta ini sedang mengembang. Pengembangan alam semesta kini diiktiraf sebagai fakta sains.

Inilah yang al-Quran katakan mengenai sifat alam semesta ini: “Dan langit itu Kami dirikan dengan kekuasaan Kami (dalam bentuk binaan yang kukuh rapi) Dan sesungguhnya Kami adalah mempunyai kekuasaan yang luas tidak terhingga.” (Surah Dzaariyaat: 47)

Perkataan Arab ´musi´u´n diterjemahkan dengan betul kepada ´mengembangkannya´, dan ia merujuk kepada penciptaan alam semesta yang amat besar dan sedang mengembang.

Stephen Hawking, dalam bukunya, A Brief History of Time, berkata, ´Penemuan bahawa alam semesta ini sedang mengembang merupakan salah satu dari revolusi intelek yang amat hebat di kurun ke 21.´

Al-Quran menyebut mengenai pengembangan alam semesta, sebelum manusia belajar membuat teleskop. Ada yang berkata fakta-fakta astronomi di dalam al-Quran tidaklah mengejutkan kerana orang Arab memang mahir di bidang astronomi. Mereka memang betul bila berkata orang Arab mahir di bidang astronomi.

Bagaimanapun mereka gagal menyedari bahawa al-Quran diturunkan sebelum orang Arab menjuarai bidang astronomi. Selain daripada itu, kebanyakan fakta-fakta saintifik yang disebut di atas mengenai astronomi, seperti asal usul alam semesta dari Big Bang, tidak diketahui oleh orang Arab walaupun sehingga zaman kegemilangan sains mereka.

Oleh hal yang demikian itu, fakta saintifik di dalam Al-Quran bukan disebabkan oleh keunggulan orang Arab di bidang astronomi. Malahan, yang sebaliknya betul. Orang Arab menjuarai astronomi kerana astronomi disebut di dalam al-Quran.

GAS HIDROGEN DAN HELIUM DAN PERMULAAN LANGIT DAN BUMI

Salah satu kajian dalam bidang ilmu astrofizik ialah tentang keadaan alam selepas berlakunya Big Bang. Kajian menunjukkan bahawa pengembangan berlaku di dalam keadaan suhu yang tinggi diikuti dengan penyejukan. Di peringkat awal itu, proton telah bercantum dengan neutron dan melahirkan gas deuterium (hidrogen berat atau heavy hydrogen) di samping gas-gas ringan yang lain, terutamanya helium, dan sedikit daripada lithium, berylium dan boron. Ini disebutkan juga sebagai ´primary nebula´.

Akhirnya, dalam jangka masa yang singkat, angkasa raya ketika itu didominasi oleh gas hidrogen dan helium. Selepas lebih kurang sejuta tahun, gas di angkasa membeku dan kemudiannya bercantum mengikut proses-proses tertentu untuk menjadi galaksi, bintang-bintang dan bumi. Penemuan ini adalah selari dengan pernyataan al-Quran.

PERMULAAN ALAM MENURUT AL-QURAN DAN SAINS

Dalam surah Al-Anbiya ayat 21: 30, Allah s.w.t berfirman yang bermaksud: “Apakah orang-orang kafir tidak melihat bahawa sesungguhnya langit dan bumi pada asalnya adalah bercantum sebagai satu, kemudian Kami pisahkan keduanya…”

Di dalam Al Jamik li Ahkamil Quran Jilid 5 halaman 4323, Imam Qartubi telah meriwayatkan perkataan-perkataan Ibn Abbas, Al-Hasan, ´Atha, Ad-Dahhak dan Qatadah: “Ia bermaksud bahawa kedua langit dan bumi pada asalnya adalah satu yang melekat lagi bercantum, kemudian Allah s.w.t pisahkan di antara kedua-duanya dan dijadikan di antara kedua-duanya udara.”

Di dalam Al-Asas fit Tafsir Jilid 7 halaman 3454, Said Hawa telah mendatangkan riwayat dari Ibn Kathir tentang pandangan Said bin Jubair berhubung dengan ayat ini: “Bahkan… sebelum ini langit dan bumi melekat dan bercantum di antara satu dengan yang lainnya. Ketika Allah s.w.t meninggikan langit maka menonjollah bumi. Demikianlah maksud Allah s.w.t memisahkan di antara kedua-duanya.”

Syeikh Tantawi Jauhari dalam kitabnya yang terkenal Al-Jawahi´ yang ditulisnya sekitar tahun 1920-1930, telah menyebutkan: “Apa yang telah dijelaskan oleh al-Quran dahulu ialah bahawa langit alam yang ada di dalamnya, adalah semua bercantum lalu Allah s.w.t pisahkan semuanya. Di sini kita tegaskan bahawa ini adalah mukjizat, kerana ilmu ini belum diketahui kecuali pada zaman sekarang.”

Berpandukan ayat ini, tafsiran yang muktabar menerima hakikat bahawa alam ini pada suatu ketika dahulu adalah bercantum sebelum dipisahkan mengikut yang dikehendaki oleh Allah s.w.t.




TEORI ´BIG BANG´

Satu teori yang telah diterima umum tentang asal kejadian alam ialah teori Big Bang. Ia mengatakan bahawa alam ini pada asalnya adalah bercantum, kemudiannya berlakulah satu letupan yang kuat (cosmic explosion) 10 ke 20 billion tahun dahulu, yang dinamakan sebagai Big Bang. Bermula dari situ berlakulah pengembangan dan penyejukan (expanding and cooling) yang melahirkan bintang-bintang, galaksi dan yang seumpamanya

Teori ini pada asalnya diasaskan dari formula General Theory of Relativity yang diutarakan oleh Albert Einstein pada tahun 1915. Kemudian pada tahun 1922 seorang pakar fizik Rusia, Alexander Friedmann, telah mengembangkan lagi formula ini dan mengukuhkan lagi teori Big Bang ini.

Pada tahun 1929, tokoh astronomi dari Amerika, Edwin Hubble, telah menemui bukti-bukti kukuh yang menyokong teori Big Bang. Dengan menggunakan alat yang canggih, beliau telah mendapati bahawa alam ini sedang berkembang sekali gus mengukuhkan pendapat bahawa alam ini bercantum padu pada asalnya dan letupan besar telah berlaku yang menyebabkan pengembangan itu.

Penyelidikan berhubung dengan tahap radiasi dan tentang gas helium yang tersebar secara seimbang di angkasa, adalah selari dengan teori Big Bang. Kajian tentang tahap radiasi di angkasa raya telah dilakukan oleh pakar astrofizik dari Amerika, Arno Penzias and Robert Wilson, pada tahun 1965.

Kajian tambahan yang dilakukan di antara tahun 1989 hingga 1993, dengan menggunakan alat pengesan khas NASA yang dikenali sebagai ´COBE Spacecraft,´ juga telah mengesahkan tentang perkara ini.

Pada hari ini dengan alat dan prasarana yang lebih canggih, seperti makmal CERN yang terletak berhampiran dengan Geneva, banyak kajian baru yang dapat dilakukan. Kajian-kajian terkini dari makmal ini telah mengukuhkan lagi teori Big Bang.

Pada tahun 1928, Thomas Gold dan Hermann Bondi telah mengutarakan satu teori yang berlawanan dengan Big Bang, iaitu, Teori ´Steady State´ yang mengatakan bahawa alam ini tidak ada permulaan, malah berkeadaan sama sejak dahulu hinggalah sekarang. Pada tahun 1964, dengan penemuan gelombang-gelombang tertentu di udara yang mengesahkan tentang kewujudan Big Bang, teori ini terus ditolak.

Semua ini mengesahkan bahawa langit dan bumi pada suatu ketika dahulu adalah bercantum padu, kemudiannya dipisahkan. Kesemuanya telah disebutkan oleh al-Quran.
RUJUKAN.................

Khamis, 5 Januari 2012

Fakta Sains di Dalam al-Quran-Bahagian 1


Fakta Sains di Dalam al-Quran
17 June 2005
Oleh SYED MAHADZIR SYED IBRAHIM

ASAL-USUL ALAM DARIPADA ASAP?

Di dalam surah Fussilat 41: 11, Allah s.w.t berfirman yang bermaksud: “Kemudian Dia menuju ke langit dan langit ketika itu berbentuk asap lalu Dia berkata kepadanya dan bumi: ´Datanglah kamu berdua dengan tunduk atau terpaksa.´ Keduanya menjawab: ´Kami datang dengan tunduk.´”

Di dalam kitab Al-Asas fit Tafsir, jilid 9, halaman 5010, Said Hawa menyatakan: “Sesungguhnya di sana memang sudah ada suatu keyakinan bahawa sebelum terjadinya bintang-bintang, keadaan adalah di dalam bentuk gas nebula seperti asap. Dan pandangan yang seperti ini boleh dianggap sahih kerana ia begitu hampir dengan hakikat kalimat ´dukhan´ di dalam al-Quran.´

PENCIPTAAN ALAM SEMESTA

Penciptaan alam semesta diterangkan oleh ahli astro-fizik (fizik angkasa) sebagai satu fenomena yang diterima ramai dan dikenali sebagai ´Big Bang.´ Ia disokong oleh data yang diperoleh daripada pemerhatian dan eksperimen oleh ahli astronomi dan ahli astro-fizik sejak berdekad-dekad lamanya. Menurut ´Big Bang´, seluruh alam semesta pada asalnya ialah satu jisim yang besar (Nebula Asas).

Kemudian terjadi ´Big Bang´ (Pemisahan Kedua) yang menghasilkan galaksi-galaksi. Ia kemudiannya berpecah-pecah lagi untuk menjadi bintang, planet, matahari, bulan, dan lain-lain. Asal penciptaan alam semesta ini memang unik dan kemungkinan untuk ia terjadi secara tidak sengaja adalah sifar.

Al-Quran mengandungi ayat berikut, berkenaan asal kejadian alam semesta: “Dan tidakkah orang-orang kafir itu memikirkan dan mempercayai bahawa sesungguhnya langit dan bumi itu pada asal mulanya bercantum (sebagai benda yang satu), lalu Kami pisahkan antara keduanya?” (surah Al-Anbiyaa´: 30)

Persamaan di antara ayat Al-Quran dengan teori Big Bang tidak dapat dinafikan lagi. Bagaimana sebuah kitab yang muncul di padang pasir Arab 1400 tahun lalu, mengandungi fakta sains begini?

WUJUD JISIM GAS SEBELUM PENCIPTAAN GALAKSI
Ahli sains berkata, sebelum galaksi-galaksi di alam semesta ini dibentuk, yang ada pada mulanya ialah bahan-bahan gas. Dengan kata lain, bahan-bahan atau awan gas yang besar wujud sebelum pembentukan galaksi-galaksi. Untuk menerangkan perkara ini, perkataan ´asap´ adalah lebih sesuai berbanding gas.

Ayat Al-Quran berikut merujuk kepada keadaan alam semesta oleh perkataan ´dhukhan´ yang bermaksud asap: “Kemudian Dia menujukan kehendak-Nya ke arah (bahan-bahan langit sedang langit itu masih berupa asap; lalu Dia berfirman kepadanya dan kepada bumi: ´Turutlah kamu berdua akan perintah-Ku, sama ada dengan sukarela atau paksa!´ Keduanya menjawab: ´Kami berdua sedia menurut - patuh dengan sukarela.´” (Surah Fussilat: 11)

Lagi sekali, fakta ini juga tidak diketahui oleh orang Arab pada zaman Nabi Muhammad s.wa.w. Justeru, dari mana pula sumber ilmu ini?

BENTUK BUMI BULAT

Pada zaman lampau, manusia percaya bumi ini rata. Sejak berkurun-kurun lamanya, manusia takut untuk belayar terlalu jauh kerana risau mereka akan jatuh di tebing bumi. Sir Francis Drake ialah orang pertama yang membuktikan bumi ini bulat apabila beliau belayar mengelilingi bumi pada tahun 1907.

Lihat maksud petikan ayat al-Quran ini yang membincangkan mengenai pertukaran siang dan malam: “Tidakkah engkau memerhatikan bahawa Allah SWT memasukkan malam pada siang dan memasukkan siang pada malam (silih berganti).” (Surah Luqman: 29)

Memasukkan di sini bermakna malam bertukar menjadi siang secara perlahan-lahan dan bertahap-tahap dan begitulah sebaliknya. Kejadian begini hanya boleh berlaku jika bumi ini bulat. Jika ia rata, sudah tentu perubahan malam dan siang berlaku secara mendadak dan bukan perlahan-lahan.

Berikut ialah maksud petikan ayat al-Quran yang juga membayangkan bumi ini bulat: “Dia menciptakan langit dan bumi dengan ada faedah dan guna yang sebenar; Dia juga menjadikan malam melingkari siang (dengan gelapnya), dan menjadikan siang melingkari malam (dengan cahayanya).” (Surah Az-Zumar: 5)

Perkataan Arab yang digunakan di sini ialah ´kawwara´ bermakna ´untuk menindihkan´ atau ´melingkari´ - seperti serban yang dilingkarkan mengelilingi kepala. Penindihan dan pelingkaran malam dan siang hanya boleh berlaku jika bumi ini bulat. Bumi ini bukanlah bulat seperti bola, tetapi berbentuk geo-spherical (geo-bulat), iaitu leper di hujung.

Ayat berikut mengandungi keterangan mengenai bentuk bumi: “Dan bumi sesudahkan itu dijadikan berbentuk telur.” (surah An-Naazi´aat: 30)*

(*Perkataan Arab dahaha diterjemahkan oleh Mufti Haji Muhammad Noor Haji Ibrahim sebagai ´dihamparkannya´, yang juga betul. Perkataan dahaha juga bermakna telur burung unta. Lihat ayat ini yang berkaitan dengan sifat cahaya matahari dan bulan: “Dialah yang menjadikan matahari bersinar-sinar (terang-benderang) dan bulan bercahaya....´ (Surah Yunus: 5))

Perkataan Arab untuk telur di sini ialah ´dahaha´ yang bermaksud telur burung unta. Bentuk telur buurng unta menyerupai bentuk bumi yang geo-bulat (geo-spherical). Justeru, Al-Quran menerangkan bentuk bumi dengan tepat, walaupun anggapan umum pada masa Al-Quran diturunkan ialah bumi ini rata.

CAHAYA BULAN ADALAH CAHAYA PANTULAN

Peradaban-peradaban awal manusia percaya bulan menghasilkan cahayanya sendiri. Sains kini memberitahu kita bahawa cahaya bulan ialah cahaya yang dipantulkan. Walau bagaimanapun, fakta ini telah disebut di dalam al-Quran 1400 tahun dahulu di dalam firman-Nya yang bermaksud: “Maha Berkat Tuhan yang telah menjadikan di langit, tempat-tempat peredaran bintang, dan menjadikan padanya lampu dan bulan yang menerangi.” (Surah Al-Furqan: 61)

Perkataan Arab untuk matahari di dalam Al-Quran ialah ´syams´. Ia merujuk kepada ´siraaj´, yang bermaksud api pelita (torch) atau ´wanhaaj ´yang bermakud ´lampu yang menyala´ atau ´diya´ yang bermaksud ´kemegahan yang menyinari.´ Ketiga-tiga keterangan itu memang sesuai untuk matahari memandangkan ia mengeluarkan haba dan cahaya oleh sebab kebakaran dalamannya.

Perkataan Arab untuk bulan pula ialah ´qamar´ dan ia diterangkan di dalam al-Quran sebagai ´muneer´, iaitu sesuatu yang mengeluarkan nur, iaitu cahaya. Sekali lagi, keterangan al-Quran menyamai sifat semula jadi bulan yang tidak menghasilkan cahayanya sendiri dan merupakan benda yang tidak aktif yang hanya memantulkan cahaya matahari. Tidak pernah sekalipun di dalam al-Quran, bulan disebut sebagai ´siraaj´, ´wanhaaj´, atau ´diya´ atau matahari sebagai nur atau ´muneer´.
Ini menunjukkan Al-Quran menyedari perbezaan di antara cahaya matahari dan cahaya bulan.

Lihatlah maksud ayat-ayat firman-Nya ini yang berkaitan dengan cahaya matahari dan bulan:

1. “Dialah yang menjadikan matahari bersinar-sinar (terang benderang) dan bulan bercahaya.” (Surah Yunus: 5)

2. “Tidakkah kamu mengetahui dan memikirkan bagaimana Allah telah menciptakan tujuh petala langit bertingkat-tingkat. Dan Dia menjadikan padanya bulan sebagai cahaya serta menjadikan matahari sebagai lampu (yang terang benderang).” (Surah Nuh: 15-16)



MATAHARI TIDAK BERPUTAR

Sejak sedemikian lama ahli falsafah dan ahli sains Eropah percaya bumi ini berkedudukan tetap di tengah-tengah pusat alam semesta dan semua benda lain beredar mengelilinginya. Di Barat, konsep alam semesta berpusatkan bumi (geocentric) ini berleluasa dari zaman Ptolemy pada kurun kedua Sebelum Masihi lagi.

Pada tahun 1512, Nicholas Copernicus membentangkan teorinya yang dipanggil Heliocentric Theory of Planetary Motion (Teori Heliocentric Mengenai Pergerakan Planet), yang mendakwa matahari itu yang berkedudukan tetap di pusat sistem matahari dengan planet-planet lain beredar mengelilinginya.

Pada tahun 1609, ahli sains Jerman Yohannus Keppler menerbitkan Astronomia Nova. Di dalamnya dia menyimpulkan bahawa planet-planet bukan hanya beredar dalam orbit bujur (elliptical) mengelilingi matahari, mereka juga berputar di paksinya pada kelajuan yang tidak menentu. Dengan pengetahuan ini, ahli-ahli sains Eropah mampu menerangkan secara tepat beberapa corak perjalanan sistem matahari termasuklah kejadian malam dan siang.

Selepas penemuan-penemuan ini, matahari dianggap sebagai berkedudukan tetap dan tidak berputar di paksinya seperti bumi. Penulis masih ingat ketika belajar kesilapan ini dari buku Geografi pada zaman persekolahan penulis. Lihatlah maksud ayat-ayat al-Quran ini:

“Dan Dialah (Tuhan) yang telah menjadikan malam dan siang, serta matahari dan bulan; tiap-tiap satunya beredar *terapung-apung di tempat edaran masing-masing (di angkasa lepas).” (Surah Al-Anbiyaa: 33)
(*Mufti Haji Muhaamd Noor Haji Ibrahim menterjemahkan beredar terapung-apung). Sila lihat keterangan ini:

Perkataan Arab yang digunakan di atas ialah ´yasbahun´. Perkataan ´yasbahun´ diambil dari perkataan ´sabaha´. Ia membawa makna pergerakan dari benda-benda yang bergerak. Jika anda menggunakan perkataan itu untuk manusia, ia tidak bermakna orang itu bergolek tetapi ia bermakna orang itu berjalan atau berlari. Jika anda menggunakan perkataan itu untuk manusia di dalam air, ia tidak bermakna orang itu sedang terapung-apung, tetapi bermakna dia sedang berenang.

Begitu juga, jika anda gunakan perkataan ´yasbah´ untuk benda-benda di angkasa raya seperti matahari ia tidak bermakna ia terbang melalui angkasa tetapi ia bermakna berputar sambil bergerak melalui angkasa. Kebanyakan buku teks telah memasukkan hakikat matahari berputar di atas paksinya.

Putaran matahari di paksinya boleh dibuktikan dengan bantuan peralatan yang boleh mengimbas imej matahari ke atas meja supaya seseorang itu boleh mengkaji imej matahari tanpa menjadi buta. Kita boleh perhatikan matahari menyempurnakan putarannya setiap 25 hari, yakni matahari mengambil masa 25 hari untuk berputar di paksinya.

Sebenarnya, matahari bergerak melalui angkasa pada kelajuan lebih kurang 150 batu sesaat, dan mengambil masa 200 juta tahun untuk menyempurnakan satu pusingan mengelilingi pusat galaksi kita iaitu Galaksi Bima Sakti.

“Dengan ketentuan yang demikian, matahari tidak mudah baginya mengejar bulan, dan malam pula tidak dapat mendahului siang; kerana tiap-tiap satunya beredar terapung-apung di tempat edarannya masing-masing.” (Surah Yaa Siin: 40)

Ayat ini memberitahu fakta penting yang ditemui oleh astronomi moden, iaitu wujudnya orbit tersendiri untuk matahari dan bulan, dan mereka beredar melalui angkasa dengan pergerakannya sendiri. ´Tempat tetap´, di mana matahari bergerak menuju ke arahnya dan membawa bersamanya sistem matahari telah dikenal pasti tempatnya oleh astronomi moden. Ia digelar Solar Apex. Sistem matahari sesungguhnya bergerak di angkasa ke arah satu tempat di ´constellation of Hercules ´(alpha layer) yang telah dikenalpasti dengan sahih di mana letaknya.

Bulan berputar di paksinya dalam tempoh yang sama diambilnya untuk mengelilingi bumi. Ia mengambil masa 29 1/2 hari untuk menyempurnakan satu pusingan. Seseorang itu tentunya terkejut dengan ketepatan saintifik yang ditunjukkan dalam ayat-ayat al-Quran. Justeru, tidak perlukah kita fikirkan: Apakah sumber ilmu-ilmu yang terkandung di dalam al-Quran ini?´RUJUKAN...............


Rabu, 4 Januari 2012

TEORI BIG BANG DALAM AL QURAN

بسم الله الرحمن الرحيم
الحمد لله رب العالمين, والصلاة والسلام على أشرف المرسلين. أما بعد :


Teori Big Bang Tercantum Dalam Al-QuranAllah berfirman :

أَوَلَمْ يَرَ الَّذِينَ كَفَرُوا أَنَّ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ كَانَتَا رَتْقًا فَفَتَقْنَاهُمَا وَجَعَلْنَا مِنَ الْمَاءِ كُلَّ شَيْءٍ حَيٍّ أَفَلَا يُؤْمِنُونَ

Artinya : "Dan apakah orang-orang yang kafir tidak mengetahui bahwasanya langit dan bumi itu keduanya dahulu adalah suatu yang padu, kemudian Kami pisahkan antara keduanya. Dan dari air Kami jadikan segala sesuatu yang hidup. Maka mengapakah mereka tiada juga beriman?" (QS Al-Anbiya' : 30)

Kata "ratq" yang di sini diterjemahkan sebagai "suatu yang padu" digunakan untuk merujuk pada dua zat berbeda yang membentuk suatu kesatuan. Ungkapan "Kami pisahkan antara keduanya" adalah terjemahan kata Arab "fataqa", dan bermakna bahwa sesuatu muncul menjadi ada melalui peristiwa pemisahan atau pemecahan struktur dari "ratq". Perkecambahan biji dan munculnya tunas dari dalam tanah adalah salah satu peristiwa yang diungkapkan dengan menggunakan kata ini.

Teori Big Bang Tercantum Dalam Al-QuranMarilah kita kaji ayat ini kembali berdasarkan pengetahuan ini. Dalam ayat tersebut, langit dan bumi adalah subyek dari kata sifat "fatq". Keduanya lalu terpisah ("fataqa") satu sama lain. Menariknya, ketika mengingat kembali tahap-tahap awal peristiwa Big Bang, kita pahami bahwa satu titik tunggal berisi seluruh materi di alam semesta. Dengan kata lain, segala sesuatu, termasuk "langit dan bumi" yang saat itu belumlah diciptakan, juga terkandung dalam titik tunggal yang masih berada pada keadaan "ratq" ini. Titik tunggal ini meledak sangat dahsyat, sehingga menyebabkan materi-materi yang dikandungnya untuk "fataqa" (terpisah), dan dalam rangkaian peristiwa tersebut, bangunan dan tatanan keseluruhan alam semesta terbentuk.

Ketika kita bandingkan penjelasan ayat tersebut dengan berbagai penemuan ilmiah, akan kita pahami bahwa keduanya benar-benar bersesuaian satu sama lain. Yang sungguh menarik lagi, penemuan-penemuan ini belumlah terjadi sebelum abad ke-20.

Read more: http://www.artikelislami.com/2010/06/teori-big-bang-tercantum-dalam-al-quran.html#ixzz1iNlEJF00

Selasa, 3 Januari 2012

CAPAIAN DAKWAH MAYA LEBIH MELUAS

TAHUN 2012 INI MEMBENTANGKAN KEPADA KITA AKAN UJIAN CABARAN YANG TIDAK DAPAT KITA DUGA. HANYA ALLAH SWT TEMPAT BERGANTUNG HARAP DAN MEMINTA PERTOLONGAN AGAR SETIAP DENYUT NADI KITA HANYA SEMATA-MATA BERIBADAH KEPADA TUHAN SELURUH ALAM. YA ALLAH! KURNIAKAN KAMI KEKUATAN LUARAN DAN DALAMAN UNTUK MEMBAWA BENDERA AGAMA. AGAR SETIAP CABARAN DAPAT KAMI HADAPI DENGAN MUDAH DAN MOGA ISLAM AKAN TERUS BERKEMBANG! AMIN



Oleh MOHD. SHAH CHE AHMAD

Gambar ZULKARNAIN MOHD SAIDIN







Pelajar jurusan agama dan tahfiz juga perlu mempunyai kemahiran menggunakan teknologi moden terutama Internet untuk memantapkan lagi usaha dakwah. - Gambar hiasan



--------------------------------------------------------------------------------





MANUSIA tidak perlu lagi bersusah payah mengirim surat untuk berkomunikasi, berjumpa untuk melihat rupa, ataupun mengeluarkan sejumlah wang yang besar untuk mendapatkan maklumat semasa mengenai isu global.



Segalanya boleh diperolehi sepantas kilat iaitu dengan hanya menekan butang carian laman web di hujung jari.



Perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) yang semakin pesat membangun menjadikan kehidupan manusia bertambah mudah dan sempurna dalam segala aspek.



Peralatan teknologi canggih kian bertambah dari hari ke hari. Ia menawarkan pelbagai kemudahan serta tarikan interaktif yang menjadi kegilaan remaja masa kini untuk menguasainya.



Fenomena evolusi media baru itu menjadikan dunia tanpa sempadan sekali gus merubah peradaban manusia menuju kepada era modenisasi.



Sehinggakan masyarakat yang lahir selepas kebangkitan era informasi dan teknologi itu digelar sebagai generasi Y.



Mula digunakan oleh Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat pada tahun 1980 untuk menjejaki musuh, kini Internet diguna secara meluas di seluruh dunia.



Untuk itu, anak-anak masa kini 'wajib' didedahkan dengan pelbagai kemudahan teknologi dan laman sosial agar tidak ketinggalan dalam proses pembesaran mereka.



Ia bertepatan dengan pesanan Saidina Ali kepada umat Islam supaya mendidik anak-anak mengikut zaman yang mereka sedang lalui, bukannya zaman ibu bapa yang sudah jauh berbeza.



Selari dengan perubahan semasa itu, pendakwah tidak terkecuali mengambil manfaat media interaktif tersebut untuk menyebarkan ilmu ajaran Islam kepada masyarakat.



Sebagai contoh laman sosial seperti Facebook (Fb), You tube dan blog yang kini digunakan ramai dijadikan sebagai medan berkesan dalam berdakwah.



Perkara itu diakui oleh pendakwah dan penulis prolifik Dr. Zaharuddin Abdul Rahman dan Mohammad Kazim Elias al-hafiz.



Dr. Zaharuddin yang juga pensyarah Fakulti Ekonomi dan Pengurusan Sains, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) berkata, bagaikan ribut tsunami, media baru berupaya mempopularkan seseorang atau menyebarkan pengaruh dalam tempoh yang amat singkat.



Katanya, boleh dikatakan hampir semua orang kini melayari Internet dan mempunyai laman Fb sendiri.



"Pastinya mereka mempunyai jumlah rakan tersendiri di laman sosial tersebut. Oleh itu, setiap status yang kita kemaskini akan dibaca oleh setiap rakan kita itu.



"Oleh itu, pendakwah juga perlu mengambil kesempatan daripada kemudahan ini untuk menyebarkan ajaran Islam melalui pendekatan yang santai dan digemari tersebut," katanya ketika ditemui di pejabatnya di UIAM, Gombak, baru-baru ini.



Dr. Zaharuddin yang mempunyai bilangan peminat di Fb mencecah hampir 300,000 orang berkata, kuasa media baru itu dikatakan lebih mendapat sambutan daripada medium media yang lain seperti televisyen, radio atau akhbar.



Katanya, strategi menyampaikan dakwah perlu bersifat fleksibel dan praktikal mengikut kesesuaian dengan peredaran semasa.



"Jika kita dapat memanfaatkan medium tersebut dengan memaksimumkan kreativiti, pengisian serta gaya penulisan yang baik, maka ia akan menjadi tarikan kepada pembaca.



"Sebagai contoh, setiap status yang saya kemaskini akan dapat dibaca oleh orang ramai yang mengikuti blog atau Fb saya.



"Secara langsung bilangan pembaca yang puratanya hampir 200,000 pembaca pada setiap status itu menjadikan jumlah pelayar melebihi pembaca di akhbar atau penonton siaran televisyen atau radio," katanya.



Menurut beliau, segala perkongsian informasi tersebut boleh diperolehi dan dilakukan dengan mudah, pantas serta tidak perlu mengeluarkan tenaga yang banyak.



Bagaimanapun katanya, di samping pelbagai kemudahan dan kebaikan, pengguna perlu berhati-hati dalam memilih ilmu yang disebarkan menerusi Internet.



"Dasar kebebasan tanpa sekatan dalam dunia siber membolehkan semua orang menulis dan memberikan pandangan. Ada dalam kalangan mereka yang tidak mempunyai pengetahuan yang mendalam dalam ilmu agama atau berniat buruk untuk menyelewengkan ajaran Islam.



"Oleh itu, pengguna harus bijak dalam memilih ilmu yang ingin diperolehi. Pengguna juga perlu mengkaji dengan terperinci dalam semua aspek termasuk latar belakang penulis serta sumber sokongan yang kukuh untuk menguatkan hujah penulis tersebut sebelum menerima sesuatu maklumat," katanya.



Dr. Zaharuddin berkata, perkara itu penting kerana terdapat banyak laman web dan gerakan-gerakan yang dikenal pasti cuba mengambil kesempatan menyesatkan umat Islam dengan mengaburi mereka menggunakan latar belakang Islam.



Walaubagaimanapun, beliau menegaskan, pembelajaran secara berguru (talaqqi) tidak boleh ditinggalkan dan perlu diteruskan oleh setiap orang dalam menuntut ilmu asas agama.



"Orang yang mengambil sepenuhnya ilmu daripada Internet tanpa mempunyai ilmu asas berkemungkinan besar mudah terseleweng dan terpengaruh dengan ajaran yang bertentangan dengan Islam," katanya.



Beliau berkata, belajar secara tradisional yang memerlukan murid bertemu gurunya sangat penting.



Ini kerana ia membolehkan pelajar berinteraksi secara terus kepada gurunya dan lebih memahami apa yang ingin disampaikan.



"Menuntut ilmu secara bertalaqqi mampu memberikan apa yang tidak boleh dilakukan melalui Internet.



"Keberkatan ilmu dapat diperolehi daripada pengajian berguru dan membuatkan pelajar dapat lebih menumpukan perhatian kepada pelajaran mereka," jelasnya.



Sementara itu, Mohammad Kazim berkata, terdapat empat elemen dalam menuntut ilmu iaitu dengan bertalaqqi secara terus, belajar, melihat dan mendengar.



Katanya, tiada batasan atau halangan dalam mengajak seseorang kepada kebaikan malah dituntut oleh Allah SWT.



Oleh kerana trend masyarakat terutama remaja masa kini yang sukakan teknologi, jadi tidak salah pendakwah mengambil kesempatan menyebarkan dakwah menerusi platform tersebut.



"Ia bukan sahaja mudah untuk dibaca dan dilihat pada bila-bila masa dan juga di mana sahaja, malah penyampaian yang interaktif mampu menarik minat pelayar laman tersebut secara tidak langsung menjadikan dakwah lebih berkesan," katanya.



Beliau menasihati para pendakwah supaya bersikap profesional dan tidak mencampuradukkan sebarang elemen lain dalam penyampaian dakwah.



"Pendakwah adalah ikon kepada masyarakat serta melambangkan keindahan Islam itu sendiri.



"Sekiranya unsur lain seperti ideologi politik atau masalah peribadi dimasukkan dalam penyampaian dakwah, ini akan memberi kesan yang buruk kepada masyarakat.



"Masyarakat akan terpengaruh dengan perkara yang disampaikan oleh penceramah tersebut dan ia akan menjejaskan tujuan asal ceramah atau penulisan untuk menyampaikan ajaran Islam," jelasnya.



Mohammad Kazim menambah, sebagai pelayar Internet pula, masyarakat perlu meneliti penceramah serta pengisian yang dikemukakan.



Jangan sewenang-wenangnya menyebarkan maklumat jika didapati mempunyai unsur yang tidak betul.



Bagi meluaskan dakwah Islam menerusi siber, beliau yang juga Pengetua Pusat Pendidikan Al-Barakah menerapkan kelas pengajian komputer kepada pelajar pusat tahfiznya agar berkemahiran dalam media baru.



"Pelajar agama tidak terkecuali mengetahui perkembangan teknologi semasa. Sebenarnya kumpulan inilah yang akan mencetuskan pelbagai idea baru bagi menyebarkan Islam menerusi dunia siber.



"Penguasaan Internet dalam kalangan golongan berpendidikan agama juga mampu merubah fenomena 'kegilaan' masyarakat daripada perkara yang tidak bermanfaat kepada pengetahuan ilmu agama dengan mengislamkan dunia siber," katanya.

RUJUKAN...........

FORUM HAL EHWAL ISLAM



SUKACITA DIMAKLUMKAN BAHAWA MASJID NEGERI AKAN MENGANJURKAN PROGRAM FORUM AGAMA SEPERTI BUTIRAN BERIKUT:





TARIKH : 05 JANUARI 2012 (KHAMIS)

MASA : SELEPAS ISYAK

TEMPAT : DEWAN SOLAT UTAMA MASJID NEGERI

TAJUK FORUM : KEHEBATAN AL-QURAN



AHLI PANEL : Y.BHG TUAN SYEIKH YUSUFF BIN AHMAD

JAB. AGAMA ISLAM NEGERI KEDAH



: Y.BHG USTAZ WAN HIZAM BIN ABDULLAH SABIL

PENDAKWAH BEBAS



MODERATOR : Y.BHG TUAN HJ ABDUL RASHID BIN ABDUL JALIL

JAB. AGAMA ISLAM PULAU PINANG



MUSLIMIN DAN MUSLIMAT DIJEMPUT HADIR