Selasa, 9 April 2013

Persidangan Meja Bulat Penubuhan Kolej Universiti Darul Quran

Persidangan Meja Bulat Penubuhan Kolej Universiti Darul Quran

5 APRIL 2013 - Pada Jumaat yang lalu, satu persidangan meja bulat penubuhan Kolej Universiti Darul Quran telah diadakan di Dewan Datuk Mohd Shahir, ILIM, bangi. Persidangan ini diadakan bagi mendapatkan pandangan ahli persidangan akan cadangan menaikkan taraf Darul Quran JAKIM menjadi Kolej Universiti Darul Quran (KUDQ). Persidangan kali ini telah dihadiri oleh 50 orang pengarah-pengarah dari pelbagai agensi serta tokoh-tokoh akademik dan pengurusan. Persidangan ini  telah dipengerusikan oleh Y.Bhg. Dato’ Haji Othman bin Mustapha, Ketua Pengarah, JAKIM. Hasil perbincangan persidangan meja bulat ini ialah:
1. Pihak kerajaan perlu memberikan status KUDQ sebagai Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA). Perkara ini akan dikaji dan dimaklumkan semula kepada Perdana Menteri dalam Mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) akan datang.
2. Kertas Jemaah Menteri perlu disediakan dalam waktu terdekat selepas mendapat keputusan dan pandangan semula dalam mesyuarat MKI.
3. Satu Pasukan Nukleus akan ditubuhkan di JAKIM, dianggotai oleh beberapa tokoh akademik dan ahli-ahli dalam bidang pengurusan, untuk menyusun dan membuat persiapan awal dari segi:
     i. Perundangan
     ii. Kewangan dan Pembangunan Prasarana dan Sumber Manusia
     iii. Program Akademik
Turut hadir dalam persidangan kali ini ialah Y.Bhg. Datuk Borhan bin Dolah, Timbalan Ketua Setiausaha Pengurusan JPM, Y.Bhg. Prof Emeritus Tan Sri Dato’ Dr. Abd Shukor bin Haji Husin, Pengerusi Jawatankuasa Fatwa MKI, Y.Bhg. Tuan Haji Razali bin Shahabudin, Timbalan Ketua Pengarah Pembangunan Insan JAKIM, Y.Bhg. Haji Mohamad Nordin bin Ibrahim, Timbalan Ketua Pengarah Dasar JAKIM,  Y.Bhg. Sahibul Samahah Dato’ Seri Haji Wan Zahidi bin Wan Teh, Mufti Wilayah Persekutuan serta Y.Bhg. Tuan Haji Paimuzi bin Yahya, Pengarah Darul Quran.
web-DSC_0691a
web-DSC_0832
web-DSC_0884
web-DSC_0886
web-DSC_0895
web-DSC_0911
web-DSC_0951
Fotografi: Muktasyaf Ibrahim AnNamir


sumber...... 

Isnin, 8 April 2013

Tafsir mimpi

Tafsir mimpi

 

TEMAN saya menceritakan mimpinya kepada saya, lalu meminta saya mentafsirkan mimpi tersebut. Saya tidak memiliki apa-apa kemahiran dalam mentafsirkan mimpi. Apa hukumnya jika saya sengaja pandai-pandai mentafsirkan mimpi itu?

Jawapan:

Perbincangan tentang tafsir mimpi terdapat dalam setiap tamadun manusia. Sejak dulu lagi, mimpi dilihat sebagai isyarat ghaib yang hanya dapat difahami dan ditafsirkan oleh orang tertentu. Para pentafsir mimpi ini biasanya adalah para pakar rujuk keagamaan dalam tiap-tiap masyarakat tersebut.
Islam mengakui bahawa mimpi lebih daripada sekadar bunga tidur. Kadangkala ia mengandungi makna tertentu sebagai satu peringatan daripada Allah SWT. Namun begitu, tidak semua mimpi mengandungi makna yang boleh ditafsirkan.

Rasulullah SAW bersabda: "Mimpi (terbahagi) tiga. Mimpi yang merupakan gangguan daripada syaitan untuk membuat sedih anak Adam. (Mimpi yang asalnya) sesuatu yang difikirkan oleh manusia pada saat terjaga, lalu terbawa hingga ke tidur. Dan (mimpi) yang merupakan satu daripada 46 bahagian kenabian." (riwayat Ibn Hibban).

Mimpi kebanyakan manusia seperti kita berkisar antara bentuk pertama dan kedua, yakni hanya mainan syaitan dan ciptaan imaginasi belaka. Mimpi seperti ini tidak perlu diendahkan apalagi dipaksakan untuk dicari makna di sebaliknya.

Adapun mimpi dalam bentuk ketiga, yakni mimpi bermakna yang disebut sebagai satu bahagian daripada kenabian, maka pemiliknya bukan sembarang orang. Mereka adalah orang soleh yang selalu menjaga diri daripada dosa dan maksiat.

Berkata Imam Al-Qurtubi: "Muslim yang jujur dan saleh menyerupai keadaan para nabi. Oleh itu mereka dianugerahi sebahagian daripada apa yang diberikan kepada para nabi, iaitu melihat ke alam ghaib melalui mimpi."

Meski begitu, tidak dinafikan kadang kala mimpi yang bermakna ini mendatangi orang-orang biasa, bahkan orang yang suka bermaksiat, jika dikehendaki oleh Allah SWT. Sebagaimana yang terjadi pada Firaun yang bermimpi tentang Nabi Musa yang akan menggulingkan kerajaannya. Namun kes pengecualian ini sangat jarang terjadi.

Sembarang mentafsir

Berkenaan dengan takwil mimpi pula, kita mesti menyedari bahawa kemahiran ini sebuah ilham daripada Allah, bukan satu cabang ilmu yang boleh dipelajari. Ia kelebihan yang Allah berikan kepada hamba-hamba tertentu yang memiliki hati yang bersih daripada dosa dan maksiat.
Oleh itu, jangan tertipu oleh pelbagai buku tafsir mimpi yang terdapat di pasaran pada saat ini. Setakat membaca buku-buku seperti ini tidak melayakkan kita untuk mentafsirkan mimpi. Sebab bentuk mimpi yang sama boleh jadi mengandungi tafsiran yang berbeza mengikut perbezaan orang yang bermimpi, sifat-sifat dirinya dan masa mimpi itu didapatkan. Demikian yang dijelaskan oleh Al-Hafiz Al-Suyuti dalam kitab Al-Hawi li Al-Fatawi.

Para ulama menetapkan, siapa yang tidak memiliki keahlian dalam tafsir mimpi, maka haram baginya mentafsirkan mimpi tanpa ilmu.

Imam Malik pernah ditanya: "Bolehkah sembarang orang mentafsirkan mimpi?" Beliau menjawab: "Apakah ia hendak bermain-main dengan kenabian? Mimpi adalah satu bahagian daripada kenabian. Maka tidak boleh bermain-main dengan kenabian." Demikian diriwayatkan oleh Ibn Abdil Bar dalam kitab Al-Tamhid. Wallahu a'lam.

Khamis, 4 April 2013

Cabaran membangun organisasi dakwah

Cabaran membangun organisasi dakwah

DALAM konteks organisasi, kesan keselesaan yang terlalu lama menyebabkan organisasi dan budayanya tidak dapat memenuhi keperluan semasa. Bahkan dalam situasi sukar itulah keadaan sebaliknya berlaku, orang yang mengetuainya adakalanya terpaksa menggaru di tempat yang tidak gatal sebelum bermula ke bahagian yang gatal.

Itulah yang dihadapi oleh Datuk Dr. Aziz Jamaludin Mhd. Tahir semasa dilantik sebagai Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) pada 1 April 2010.

Antara sebabnya, budaya organisasi itu dilihat terlalu banyak lemaknya, akibat sudah begitu selesa dengan kaedah kerja dan budaya berseminar, berceramah sedangkan perubahan persekitaran semakin menyempitkan ruang dan peluang untuk mengulanginya.

Ubah pendekatan

Atas kesedaran itu, Dr. Aziz memulakan perubahan perspektif menyampaikan dakwah, daripada kelaziman menjemput para peserta untuk hadir dan kemudiannya mereka diberikan ceramah kepada turun ke bawah menemui khalayaknya dalam program yang lebih santai dan sentuhan psikologi.

Sebagai contoh, kelemahan dakwah kepada Orang Asli sebelum ini banyak diperkatakan kerana pendekatan secara touch n go, program susulan yang terlalu lambat dan kaedah penyampaian yang bersifat sepihak, menyebabkan khalayaknya semakin sukar didekati. Sebaliknya, pihak-pihak yang lain daripada kumpulan mubaligh lebih ke hadapan.

Semasa memulakan tugas sebagai YDP, Dr. Aziz menegaskan: "Kebelakangan ini banyak perkara yang menimbulkan keresahan umat Islam tentang kedudukan umat Islam dan orang Islam di Malaysia dan inilah hakikatnya bahawa kita sedang mengharungi lautan bergelora, merentasi kawasan berbukit bukau, melalui hutan belantara yang penuh dengan binatang buas.

"Kita bukan sahaja harus tabah tetapi harus berhati-hati dan bijaksana mengatur langkah dalam berdakwah. Inilah antara penekanan yang saya ingin terapkan dalam pelaksanaan program-program Yadim". (1 April 2010).

Bagi menterjemahkan aspirasi itu, beliau berusaha menyemai dan memecah tembok selesa dengan menyuntik membina: (1) strategi dan menilai perubahan persekitaran; (2) membina rangkaian penyebaran dan perkongsian maklumat; dan, (3) menetapkan penanda aras sebagai saranan penilaian dan pencapaian matlamat aktiviti.

Penerbitan

Tugas pertama adalah menghidupkan semula penerbitan majalah Dakwah setelah terhenti hampir 10 tahun atas politicking dalaman dan keluaran pertama edisi baharu berjaya menemui khalayak pada Mei 2010.
Majalah tersebut dilancarkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom pada 13 Mei 2010 di Putrajaya.

Meskipun Dakwah diterbitkan setiap dua bulan berbanding sebelumnya setiap bulan, penerbitan edisi baharu ini menjadi lebih menarik kerana ia membawa hasrat menggerakkan semula kelesuan bahan-bahan bacaan berkala dalam masyarakat Islam di Malaysia.

Ia benar-benar menyemarakkan penerbitan lebih banyak majalah-majalah berunsurkan Islam diterbitkan selepas Yadim melakukannya.

Apa yang lebih menarik, dalam keluaran September/Oktober 2010 (jilid ke-3) memberikan fokus mengenai konsep wasatiyyah (kesederhanaan).

Konsep itu kemudiannya membuka inisiatif kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk diadaptasi ke dalam pendekatan pentadbirannya selaras dengan gagasan 1Malaysia:Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.

Konsep itu kemudiannya diperdebatkan dalam Perhimpunan Agung Tahunan UMNO pada bulan November 2010 dan kemudiannya diterima sebagai pendekatan terbaik budaya berorganisasi dan bermasyarakat.
Pada tahun lalu, konsep wasatiyyah itu kemudiannya berkembang dengan lebih realistik apabila tertubuhnya Kerusi Wasatiyyah di salah sebuah universiti awam, dizahirkan dengan cadangan penubuhan Institut Wasatiyyah dan seterusnya, tertubuhnya Global Movement of Moderates, Perdana Global Peace Foundation dan sebagainya. Ini membawa erti, sedikit sebanyak bahan keilmuan yang dijadikan fokus dalam majalah Dakwah mempunyai kesan sama ada secara langsung atau tidak langsung kepada masyarakat dan cetusan pemikiran yang lebih luas.

Melalui tulisan

Berkelulusan Deoband, India sebelum memperoleh ijazah sarjana dari Universiti al-Azhar, Dr. Aziz juga berpengalaman luas dalam bidang pentadbiran dan kehakiman, kemudiannya menjadi rakyat Malaysia pertama yang lulus ijazah doktor falsafah dari Universitas Islam Negeri Sultan Syarif Kassim, Pekan Baru, Indonesia.

Hasil penyelidikannya mengenai pemikiran politik Hasan al-Banna, pengasas Ikhwanul Muslimin dianggap begitu tepat dengan apa yang berlaku di Mesir. Tanpa diduga, penyelidikannya sejak tahun 2010 dan kemudiannya diterima sebagai sebuah tesis yang memberikan tahap kelulusan cumlaude pada pertengahan 2012, menampakkan betapa meluasnya pengaruh pemikiran politik yang dimulai oleh Hasan al-Banna.
Kemudian beliau menerbitkan hasil penyelidikannya dengan tajuk, Hakikat Pemikiran Politik Hasan al-Banna: Meluruskan Salah Faham Terhadap Peranan dan Aktiviti Hasan al-Banna (2012).

Sejumlah 94 rencana yang disiarkan dalam tempoh dua tahun (2010-2011) dibukukan dalam Membumikan Erti Kasih Sayang dan dilancarkan semasa Perhimpunan Agung Tahunan UMNO 2011 oleh bonda Perdana Menteri, Toh Puan Rahah Tan Sri Mohd. Noah pada 2 Disember 2011.

Menariknya buku ini ialah ia cuba menjelaskan bahawa kasih sayang perlu diaplikasikan secara sederhana dan berkesan kerana sikap berlebihan akan membawa kemusnahan, konflik dan permusuhan. Sikap ini juga menjadikan kita keterlaluan dalam tindakan, tamak, prejudis dan berfikiran jumud; tidak melihat kasih sayang orang lain sebagai baik, hanya menilai kasih sayang kita sahaja yang terbaik.
lPENULIS ialah Pengurus Besar Analisa dan Penyelidikan YADIM

Selasa, 2 April 2013

Pelindung dari Yakjuj dan Makjuj

NAMA Yakjuj dan Makjuj disebut sebanyak dua kali dalam al-Quran, iaitu dalam surah al-Kahfi ayat 94 dan surah al-Anbiya ayat 96. Dalam surah al-Kahfi, diterangkan bahawa Yakjuj dan Makjuj adalah orang yang membuat kerosakan di muka bumi yang ditakuti oleh suatu kaum yang tinggal di antara dua pergunungan sehingga ketika Zulkarnain datang ke tempat itu, kaum tersebut memohon kepadanya agar dibuatkan tembok penghalang daripada serangan mereka.

Manakala dalam surah al-Anbiya, disebutkan bahawa Yakjuj dan Makjuj akan segera turun dengan cepat dari tempat yang tinggi ketika tembok penghalang mereka terbuka sebagai tanda telah dekatnya kedatangan janji Allah SWT.

Al-Quran tidak menerangkan siapa sebenarnya Yakjuj dan Makjuj, daripada bangsa dan keturunan mana mereka itu. Al-Quran hanya menjelaskan sifat-sifat mereka, iaitu kaum pembuat kerosakan di bumi, kalau tembok penghalang dibuka, mereka akan turun mengalir seperti mengalirnya air bah, dan apabila tembok penghalang kukuh, mereka tidak masuk dan tidak dapat membuat kerosakan.

Oleh kerana itu timbullah beberapa tafsiran Ahmad Mustafa al-Maragi dalam kitab tafsirnya menyatakan bahawa Yakjuj adalah berbangsa Tartar, dan Makjuj adalah berbangsa Mongol. Mereka berasal daripada satu bapa yang bernama Turk, tempat tinggal mereka di bahagian utara Asia.
Daerah mereka memanjang dari Tibet dan China sampai ke Laut Baku Utara, di barat sampai Turkestan.

Dalam pelbagai zaman, bangsa-bangsa ini sering menyerang, membuat kerosakan di muka bumi dan menghancurkan bangsa-bangsa lain.

Di antara mereka terdapat bangsa-bangsa yang kejam, turun dari bukit-bukit di Asia Tengah dan pergi ke Eropah pada masa dahulu, seperti bangsa Semith, Simeria dan Hun. Mereka banyak menyerang negeri-negeri China dan Asia Barat.

Dengan munculnya Temujin yang dikenal dengan nama Genghis Khan (di dalam bahasa Mongol bermaksud Raja Alam- 1167-1227), pada awal abad ke-7 Hijrah / 12 Masihi, berikutan tenteranya yang perkasa keluar jauh ke Asia Tengah.

Ia menundukkan China Utara kemudian pergi ke negeri-negeri Islam, lalu menundukkan Sultan Qutbuddin bin Armilan, salah seorang raja Seljuk yang menganut aliran Khawarij. Genghis Khan melakukan kekejaman yang belum pernah berlaku sebelumnya di negeri tersebut.

Musnad Imam Ahmad bin Hanbal (Imam Hanbali), seperti dikutip Ibnu Kasir menyebutkan bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Nuh memiliki tiga orang anak, iaitu Sam, nenek moyang orang Arab; Ham, nenek moyang orang Sudan, dan Yafis, nenek moyang orang Turk."
Menurut sebahagian ulama, Yakjuj dan Makjuj adalah keturunan Yafis, putera Nuh itu. Demikian juga pendapat Nasafi, seorang ahli fekah, usul fekah dan tafsir yang bermazhab Hanafi yang menyatakan bahawa Yakjuj berasal daripada suku Turk, manakala Makjuj pula berasal daripada suku Jail serta Dailam keturunan Yafis yang membuat kerosakan di muka bumi. Mereka tidak mati dan masing-masing memiliki 1,000 keturunan yang dilengkapi dengan senjata.

Hamka pula memberi tafsiran bahawa Yakjuj dan Makjuj adalah segala gerakan yang telah dan akan merosakkan dunia ini.

Oleh hal yang demikian, baik diri, keluarga, mahupun negara serta bangsa wajib mendirikan tirai besi sebagai benteng agar Yakjuj dan Makjuj tidak dapat masuk.

Mungkin juga Yakjuj dan Makjuj dapat ditafsirkan sebagai berfikiran jahat, bermaksud buruk dan ideologi yang menyesatkan yang dianuti sebahagian manusia.

Manusia yang menganuti menjadi licik dan jahatserta mempergunakan manusia sesamanya sebagai alat untuk merosakkan bumi ini.

Oleh itu, fikiran yang baik, cita-cita yang mulia, dan ideologi yang sihat harus ditanam dengan teguh pada setiap diri, keluarga, bangsa dan negara untuk membentengi Yakjuj dan Makjuj.

Yakjuj dan Makjuj laksana air, sentiasa mencari tempat untuk masuk walaupun hanya sebesar lubang jarum.

Isnin, 1 April 2013

Himpunan para huffaz


Sebahagian hadirin yang memeriahkan Multaqa Huffaz Peringkat Kebangsaan Kali Ke-3 yang diadakan di Hotel Vistana, Pulau Pinang baru-baru ini.
DARUL Quran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sekali lagi melakar sejarah penting apabila berjaya menghimpunkan para huffaz seluruh negara dalam program Multaqa Huffaz Peringkat Kebangsaan Kali Ke-3 yang diadakan di Hotel Vistana, Pulau Pinang.

Majlis perasmian telah disempurnakan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Mashitah Ibrahim. Dalam ucapannya, beliau menegaskan bahawa penganjuran Multaqa Huffaz Peringkat Kebangsaan Kali ke-3 ini amat penting kerana ia sebahagian daripada usaha untuk memasyarakatkan al-Quran di samping mengiktiraf golongan yang menghafal al-Quran.

Antara pengisian majlis tersebut adalah Forum Huffaz yang telah mengupas tajuk, 'Peranan Huffaz Dalam Menangani Cabaran Masa Kini.' Forum ini telah menampilkan Pengetua Maahad Tahfiz Al-Quran Negeri Kedah, Kadri Abd. Hamid dan Penolong Pengarah Dakwah Kepimpinan Jabatan Pelajaran Negeri Pulau Pinang, Rosli Osman, manakala Shahrulkarnain Mohd. Nazir bertindak sebagai moderator.

Dalam Multaqa Huffaz ini juga diadakan majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) di antara Jakim dan Kolej Islam Teknologi Antarabangsa (KITAB) Pulau Pinang.

Hadir sama pada majlis tersebut ialah Timbalan Ketua Pengarah Pembangunan Insan, Razali Shahabuddin, Pengarah Darul Quran, Paimuzi Yahya, Mufti Negeri Pulau Pinang, Sahibul Samahah Datuk Seri Hassan Ahmad dan Timbalan Pengerusi Lembaga Pengarah KITAB, Datuk Dr. Harun Hassan.

Majlis ini juga meraikan seramai 51 orang penerima Sijil Tahfiz Malaysia. Setiap penerima Sijil Tahfiz Malaysia telah diberikan wang saguhati sebanyak RM1,000 seorang. (Sumber-Jakim)