Oleh MOHD. SHAH CHE AHMAD dan JUANI MUNIR ABU BAKAR
SETELAH gagal menemui jalan damai melalui kaedah rundingan, tindakan
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengarahkan anggota tentera
menentang balas pihak musuh bertepatan dengan syariat Islam.
Ini berlandaskan firman Allah SWT yang bermaksud:
Diizinkan
berperang bagi orang-orang (Islam) yang diperangi (oleh golongan
penceroboh) kerana sesungguhnya mereka telah dianiayai dan sesungguhnya
Allah amat berkuasa untuk menolong mereka (mencapai kemenangan). (al-Hajj: 39)
Oleh itu, pasukan keselamatan yang berjuang dalam misi mempertahankan
Lahad Datu daripada pencerobohan tentera Kesultanan Sulu disifatkan
sebagai berjihad di jalan Allah SWT.
Bahkan Majlis Fatwa Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia
berpendirian bahawa anggota-anggota keselamatan yang terkorban semasa
mempertahankan keselamatan rakyat dan negara di Lahad Datu dan Semporna,
Sabah baru-baru ini tergolong sebagai syahid akhirat.
Pengerusinya,
Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Abd. Shukor Husin berkata, kematian mereka dalam mempertahankan keselamatan rakyat dan negara adalah sangat mulia di sisi agama.
Penasihat Majlis Agama Islam Johor,
Datuk Noh Gadut, pula berkata, terdapat lima jenis konteks jihad sebagaimana yang digariskan oleh ulama berlandaskan
maqasid syariah (matlamat yang disyariatkan).
Beliau berkata, kategori jihad tersebut ialah mempertahankan agama, nyawa, akal, harta dan keturunan.
Bagaimanapun katanya, dalam konsep Islam yang merupakan agama
kesejahteraan juga mempunyai had yang membolehkan umat Islam untuk
bertindak apabila tergugat.
"Islam adalah agama yang sejahtera. Bukan mengajar umatnya melakukan
sebarang kekacauan atau keganasan. Walaubagaimanapun, terdapat had yang
membolehkan kita bertindak apabila beberapa aspek ini telah diganggu
gugat oleh pihak lain.
"Ini bertepatan dengan konsep jihad sebagaimana yang digariskan dalam
maqasid syariah
iaitu untuk mempertahankan agama Islam apabila ada yang cuba
meruntuhkannya, mempertahankan nyawa apabila diancam, melindungi fikiran
daripada sebarang unsur kotor, menjaga harta daripada dirampas dan
mengekalkan keturunan daripada dipecahbelahkan.
"Sekiranya lima asas
maqasid syariah ini digugat, maka Islam membenarkan umatnya mempertahankan diri selepas difikirkan tiada jalan penyelesaian lain," katanya.
Noh berkata, oleh itu, ahli keluarga mangsa yang terkorban tidak
perlu terlalu sedih dengan pemergian sanak saudara kerana gugurnya
mereka sebagai jihad.
"Ahli keluarga dan sanak saudara yang reda dengan pemergian tersebut
juga boleh dikategori sebagai jihad kerana merelakan keluarganya
berjuang mempertahankan keamanan negara dan agama daripada diceroboh,"
jelasnya.
Nada sama turut dinyatakan oleh Timbalan Mufti Perak,
Zamri Hashim
dengan menyebut sepotong hadis yang bermaksud: "Barang siapa terbunuh
kerana mempertahankan hartanya maka ia mati syahid, sesiapa terbunuh
kerana mempertahankan keluarganya maka ia mati syahid, barang siapa
terbunuh mempertahankan agamanya maka ia mati syahid, sesiapa yang
terbunuh kerana mempertahankan nyawanya maka ia mati syahid.
Jelas Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak itu, menurut
Kitab Tuhfah al-Ahwazi Syarah Jami' al-Tirmizi
mati mempertahankan harta daripada dirampas secara zalim,
mempertahankan maruah keluarga daripada dinodai, melindungi agamanya dan
mempertahankan jiwanya dikira mendapat pahala syahid di akhirat.
"Dalam kitab
Syarah Muslim, Imam Nawawi menjelaskan hadis
Rasulullah SAW itu dengan menyatakan barang siapa yang mati
mempertahankan hartanya dikira mendapat pahala mati syahid.
"Daripada hadis-hadis di atas jika anggota keselamatan Muslim
berjuang kerana mempertahankan kedaulatan agama dan negara maka mereka
mati dalam keadaan yang mulia dan mudah-mudahan mereka mendapat pahala
syahid," jelas beliau.
Sehubungan itu, Zamri menjelaskan mengikut
qias aulanya (lebih
utama), agama dan negara adalah lebih utama untuk dipertahankan
daripada harta kerana kedua-duanya aset sangat bernilai yang diamanahkan
Allah kepada kita.
Ganjaran Allah
Malah Pengerusi Jawatankuasa Himpunan Ulama Muda (Ilmu),
Fathul Bari Mat Jahya
berkata, pihak yang mempertahankan negara tergolong dalam kumpulan
memelihara agama. Sehubungan itu, gugurnya mereka di medan perang adalah
suatu pengorbanan yang mulia dan bakal mendapat ganjaran.
Janji itu dijelaskan oleh sebuah hadis apabila Rasulullah SAW ditanya
oleh seorang lelaki apakah ganjaran diterimanya sekiranya beliau gugur
di medan perang, maka baginda menjawab: "Ke dalam syurga."
Fathul Bari berkata, terdapat banyak hadis lain menceritakan
keistimewaan pengorbanan tersebut dengan menggambarkan pelbagai ganjaran
termasuk habuan syurga yang bakal dianugerahkan terhadap mereka gugur
untuk tujuan seumpama itu.
"Bagaimanapun gelaran syahid adalah hak Allah tetapi kita sebagai
umat Islam sewajarnya mendoakan mereka supaya diletakkan bersama roh
para syuhada di alam akhirat.
"Oleh demikian, kita seharusnya menghargai dengan mendoakan
kebahagiaan mereka di akhirat. Tanpa mereka, siapa lagi yang hendak
mempertahankan negara demi menjaga kesucian dan maruah agama Islam
tercinta," kata beliau.
Dalam pada itu, Fathul Bari berkata ahli-ahli keluarga lapan perwira
tersebut perlu reda dengan kejadian itu dan mereka patut berbangga
terhadap pengorbanan yang dilakukan tersebut.
Menurut beliau, keluarga para sahabat Rasulullah terdahulu amat
bangga sekiranya terdapat dalam kalangan mereka dikerah untuk ke medan
perang kerana mengetahui ganjaran besar yang bakal diterima.
Doa dan sokongan terhadap para pasukan keselamatan yang sedang
berjuang juga penting agar mereka bersemangat tinggi untuk
mempertahankan tanah air daripada pencerobohan, sehubungan itu Fathul
Bari mengajak seluruh rakyat Malaysia melakukan solat Hajat untuk
memohon kepada Allah SWT agar para perajurit diberikan kekuatan.
"Jangan kita melakukan pelbagai tohmahan terhadap pasukan
keselamatan, sesungguhnya tindakan itu bakal melemahkan semangat mereka.
"Adalah sangat biadap sekiranya kita menuduh macam-macam dakwaan
sedangkan mereka mempertaruhkan nyawa, berbanding kita yang hidup
bersenang-lenang.
"Bagi kata-kata semangat dan berdoa, insya-Allah dengan izin-Nya tanah air selamat daripada pencerobohan," jelas beliau.
Ajaran Islam
Fathul Bari berkata, tindakan kerajaan menangani isu pencerobohan pengganas dari Sulu bertepatan dengan syariat Islam.
Hal itu boleh dijelaskan melalui firman Allah SWT dalam surah al-Hujurat ayat 9 dan 10 yang bermaksud:
Dan
jika dua pihak daripada orang yang beriman berperang, maka damaikan di
antara keduanya; jika salah satunya berlaku zalim terhadap yang lain,
maka perangi yang zalim itu sehingga kembali mematuhi perintah Allah;
jika ia kembali patuh maka damaikan di antara keduanya dengan adil
menurut hukum Allah serta berlaku adil kamu, Sesungguhnya Allah
mengasihi orang-orang yang berlaku adil.
Katanya, tempoh rundingan hampir tiga minggu yang ditetapkan oleh
kerajaan Malaysia tidak diendahkan oleh pengganas Sulu kemudian mereka
menyerang anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) sehingga menyebabkan
lapan terkorban telah memaksa negara melancarkan serangan Ops Daulat.
"Kerajaan telah beri masa untuk pengganas Sulu meletak senjata tetapi
mereka enggan. Jadi tindakan gempur sebenarnya bertepatan dengan
suruhan Allah menerusi surah al-Hujurat itu.
"Kalau pencuri Islam menceroboh masuk ke kediaman yang pemiliknya
juga beragama Islam, ia dianggap penceroboh maka kita wajib cegah.
"Demikian juga seperti berlaku pengganas Sulu beragama Islam
melakukan pencerobohan bersenjata ke atas negara Islam, sewajarnya
kerajaan wajib melakukan tindakan segera," kata beliau.