Perkasakan masjid sebagai gedung ilmu
Oleh AZHARI ZAINOODDIN
Gambar GHAZALI BASRI
Ragam & pengajaran
PERANAN dan perkembangan masjid sebagai pusat ilmu yang ulung bukanlah sesuatu yang mustahil, memandangkan Universiti al-Azhar di Kaherah, Mesir sebuah universiti ternama dunia juga lahir dari sebuah masjid.
"Sejarah telah membuktikan perkembangan masjid sebagai gedung ilmu ini telah memberikan kesan kepada pembangunan ummah seperti mana yang berlaku pada Masjid al-Azhar yang seterusnya berkembang menjadi sebuah universiti terulung di dunia.
"Justeru, kita perlu mengembalikan kegemilangan masjid sebagai pusat melahirkan ilmuan Islam di zaman moden kini selaras dengan kepentingan ilmu pengetahuan seperti yang difirmankan Allah," kata Pengarah Bahagian Kemajuan Islam, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Zainal Abidin Jaffar.
Beliau berkata demikian pada majlis penutup Persidangan Perpustakaan Masjid peringkat Kebangsaan 2012, di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Tambahnya, peranan masjid sebagai gedung ilmu harus dihidupkan semula memandangkan ilmu pengetahuan adalah aspek penting yang sering dititikberatkan di dalam Islam.
Maka, dengan wujudnya perpustakaan masjid itu akan dapat memudahkan umat Islam untuk mendapatkan bahan bacaan, sekali gus meningkatkan tahap pengetahuan.
"Setiap kali mengunjungi masjid, para jemaah boleh meluang masa untuk mengunjungi perpustakaan yang ada bagi memenuhi masa terluang seperti ketika menanti masuknya waktu solat. Manakala ibu bapa yang membawa anak-anak kecil juga boleh memanfaatkan kemudahan yang ada untuk membudayakan amalan membaca kepada anak-anak seawal usia muda mereka lagi.
"Justeru, tidak sepatutnya perpustakaan dan masjid ini dipisahkan daripada kehidupan umat Islam kerana ia merupakan sebahagian daripada proses pendidikan dan peningkatan iman yang amat diperlukan dalam meningkatkan tahap pengetahuan ummah.
"Selain daripada bersolat, umat Islam boleh memanfaatkan kemudahan yang ada dan kita harap masjid juga memainkan peranan dalam memperbanyakan aktiviti kemasyarakatan lain yang boleh menarik para jemaah untuk mengimarahkan masjid," kata Zainal Abidin lagi.
Ini bertepatan dengan surah at-Taubah ayat 18 yang bermaksud: Sesungguhnya umat yang memakmurkan masjid-masjid Allah ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari kemudian serta tetap mendirikan solat, menunaikan zakat dan tidak takut (kepada sesiapapun) selain kepada Allah, maka merekalah orang-orang yang diharapkan termasuk golongan orang-orang yang mendapat petunjuk. (at-Taubah: 18)
Pastinya ayat ini memberitahu akan ganjaran yang bakal diberi sekiranya seorang Muslim itu mengimarahkan masjid. Sayangnya, namun apa yang terjadi adalah sebaliknya.
Biarpun banyak peringatan yang diturunkan supaya kita mengatur langkah menuju ke masjid, pun begitu senario masjid kosong terus berlaku.
Besar, cantik, canggih dan moden adalah antara ciri-ciri masjid di negara kita kini, namun ia masih gagal untuk menarik kunjungan para jemaah sehingga kebanjiran hanya pada waktu-waktu tertentu seperti solat Jumaat, solat sunat Aidilfitri dan sambutan Maal Hijrah.
Bahkan fungsi masjid hari ini juga dilihat lebih terarah sebagai tempat ibadat semata-mata tidak seperti zaman Rasulullah SAW dan zaman kegemilangan Islam lampau.
Masjid semasa era kegemilangan Islam dahulu berfungsi sebagai pusat kegiatan ummah yang merangkumi aktiviti muamalah, baik yang bersifat politik, ekonomi, sosial, budaya mahupun pertahanan dan keamanan.
Tidak ketinggalan fungsi masjid ketika itu juga sebagai sebuah gedung ilmu yang merangkumi setiap lapangan dan bukan sekadar tertumpu pada kelas-kelas fardu ain, ceramah dan syarahan keagamaan.
Inilah yang telah mencetuskan idea Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dengan kerjasama Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) akan keperluan fungsi masjid ini diperkasakan selaras dengan kepentingan ilmu terhadap pembangunan ummah, menganjurkan persidangan ini.
Persidangan dua hari itu adalah bertujuan untuk mengembalikan fungsi masjid sebagai gedung ilmu yang mampu melahirkan lebih ramai cendekiawan Islam seperti yang pernah dikecapi dahulu.
Malahan ia juga dilihat sebagai platform perkongsian idea dalam mencari kaedah terbaik bagi merealisasikan penubuhan perpustakaan masjid di negara ini.
Tegas Zainal Abidin, langkah itu penting kerana ia dapat membantu dalam mengembangkan ilmu pengetahuan seterusnya membudayakan ilmu dan amalan membaca di kalangan umat Islam negara ini.
Menyentuh mengenai perkembangan perpustakaan masjid di negara ini, Zainal Abidin memberitahu ia sememangnya telah mula dibangunkan sejak kebelakangan ini dan Jakim sentiasa berusaha untuk terus memperbanyakkan perpustakaan masjid di seluruh negara.
Katanya, antara masjid yang mempunyai kemudahan perpustakaan ini adalah termasuk Masjid Negara, Masjid Putra, Putrajaya dan Masjid Wilayah, Jalan Duta Kuala Lumpur.
SUMBER......